.: dalam satu rasa [10] :.

“KAT sini,” jawab Zafifah bersandar pada kerusi yang diduduki, di dalam biliknya. “Sekarang. Dah sampai waktunya, adik…”
Mahirah yang baru hendak duduk berhadapan kakaknya, mencampak perlahan fail yang semenjak tadi kemas di tangan ke atas meja Zafifah. Membuatkan Zafifah menjongket sebelah kening kepadanya. Malahan Zahirah yang nampak hairan dengan perangainya turut tayang muka pelik. Mahirah tahu mereka sama-sama tidak faham mengapa dia berperangai takjub begini. Terlalu takjub sebenarnya kerana dia bukan sama sekali dirinya yang sebenar kini.
Hmm, nak kata bukan dirinya yang sebenar… tak berapa betul pula. Sebab memang ini dirinya apabila amukan perasaan bercanggah dengan pelbagai rasa yang saling mengasak hati dan diri. Bila tengah moody, dia memang akan begini. Dan, dia tahu Zafifah dan Zahirah amat jelas dengan itu. Namun, yang membuatkan mereka sama-sama hairan, mengapa timbul rasa itu. Untuk menerangkan tanda soal yang bermain dalam kepala otak kedua-dua kakaknya, dia memuncungkan mulut ke arah fail yang telah pun mengambil tempat di meja kakaknya.
“This will explain your mood?” tanya Zafifah seraya mencapai fail selepas Mahirah mengangguk sambil menyelesakan tubuh ke kerusi berhadapan dengannya, di sebelah Zahirah. Sekilas dilihat Zahirah yang tenang memerhati wajah tegang Mahirah. Cermat dan teliti.
Zafifah terus memakukan perhatian pada fail di tangan. Diteliti isi kandungannya tanpa meninggalkan sebarang jejak. Cuba diingat segala yang terlukis dan tergambar di situ. Malahan foto-foto yang terselit di situ turut dirakam kemas dalam kotak ingatannya. Tidak mahu ketinggalan satu apa pun, demi memudahkan dia depani apa yang perlu. Sesuatu yang dirasakan terlalu payah dan sukar, namun harus juga didepani demi memberi kata putus sebelum satu tindakan dilambil. Bukan olehnya, sebaliknya Farina. Sama ada Farina rela menerima setiap bukti yang mereka persembahkan atau tega memperjudikan nasib demi cinta yang dirasakan sudah jadi miliknya sebelum ini, walaupun hanya satu pihak yang memberi dan satu pihak saja merasa.
Sudahnya, satu keluhan panjang dilepaskan. Sarat dan dalam. Menjelaskan apa yang dirasai Zafifah sesudah melihat dan mengkaji fail di tangan. Hendak tak hendak, dipanggungkan juga kepala lalu direnung Zahirah dan Mahirah silih berganti.
“That bad, uh?” Zahirah tersenyum hambar. “Kita kena terima jugak, along. Kalau dah tu yang mampu kita buktikan. Jika apa yang terkumpul tak sokong pihak tu, bukan kuasa kita untuk mengubahnya. Bagi tau dia yang betul aje.”

“Adik tak sampai hati…” ucap Mahirah di balik keluhan yang bertali-arus. Susah untuk dilafazkan satu ayat yang bakal menghancurlumatkan hati dan harapan Farina. Itu kenyataannya, yang dia ketahui harus diterima oleh Farina malahan Farina sendiri sudah bersiap sedia dari mula lagi untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan.
Namun… mengapa begitu sukar untuk dia terima hakikat ini? Dan kiranya sepayah ini dia menerima kenyataan pahit ini, bagaimana pula dengan Farina yang menanam cinta dan memekarkannya di lubuk hati? Bolehkah dicantas pohon yang segar itu? Mampukah dibuang akar umbi pohon itu tanpa ada kesan di hari depan? Argh, sukarnya untuk dia lakukan semua ini!
“You’re not supposed to be so attached with our client, adik. Inilah yang akan jadi kalau adik terlalu turutkan hati,” tegur Zafifah selembut mungkin. Sudahlah hati itu cukup gusar dengan apa yang perlu didepani, takkanlah dia mahu tambah lagi. Sebabkan itulah dia cuba mengajar Mahirah untuk fikirkan ucapannya, secara lembut dan memujuk.
Mahirah sudah tidak boleh berganjak daripada bidang ini lagi apabila kedua-dua kaki berada di dalamnya. Perlu juga diteruskan walaupun hati tidak memberi keizinan. Kerana itulah dia cuba menasihati Mahirah agar tidak ulangi kesalahan yang serupa—terlalu akrab dengan klien mereka. Ia mungkin satu kebaikan jika dilihat dari satu sudut, namun sudut-sudut lain hanya akan menunjukkan keburukan apabila mula ia kaburi satu kebaikan.
“Adik tak faham…”
Zahirah membetulkan rambut depan Mahirah yang amat selesa mengikat satu rambutnya. Macam ekor kuda, dah tu tinggi pula. Membuatkan rambut keriting itu sering mengikut gerak tubuhnya, dalam apa saja perlakuannya.

“Apa yang along cuba nak sampaikan ialah…” ujar Zahirah memulakan kata dan hanya meneruskannya apabila Mahirah benar-benar menentang sepasang matanya. “Jangan terlalu rapat dengan klien kita. Siapa sekalipun. Sebelum kawan baru atau teman berbual, mereka adalah klien kita. Mereka bayar kita untuk lakukan pekerjaan. Hubungan pertama kita dengan mereka adalah majikan-pekerja, kemudian barulah teman atau kawan. Walau apa pun, jangan campur aduk ia. Know your boundaries, always. Clear?”
Mahirah pandang Zahirah sekejap, kemudian dikalih muka ke arah Zafifah pula. Sekali lagi dia melakukan aksi yang sama. Akhirnya, menundukkan kepala dan merenung jari-jari tangannya. Dikuis tanpa tujuan. Dia hanya mendiamkan diri tanpa sebarang balasan mahupun bantahan pada nasihat dan teguran kedua-dua kakaknya, yang amat diketahui cuba mengajar dia agar bijak mengawal perasaan. Reti membezakan hal kerja dan peribadi. Tidak terlalu terjurumus dengan keperibadiaan, sehingga lupakan hal pertamanya—kerja.
Semua ini bermula kerana dia sendiri menghendaki tugasan ini. Dia tidak dipaksa Zafifah atau Zahirah. Jika nak dikata ada pihak yang dipaksa, orang itu adalah mereka berdua. Bukankah sedaya mungkin along cuba elakkan dia daripada menjerumuskan diri dalam hal ini? Along sebetulnya bukan saja menjaga kebajikannya, sebaliknya juga hatinya. Kerana along tahu betapa mudahnya dia tersentuh apabila melibatkan soal hati dan perasaan. Seperti kini, itulah yang berlaku. Apa yang along jangka dan cuba elakkan, secara tidak sengaja sudah berlaku. Dan semua ini adalah salahnya sendiri.
Bukankah sudah berkali-kali along ulangi? Walau dalam apa keadaan sekalipun, walau apa jua kesudahan kes ini, pastikan dia bijak bezakan hal peribadi dan kerja. Jangan libatkan hatinya, yang mudah ditagih simpati dengan tugasan pertamanya ini. Kerana ia bakal menyukarkan Mahirah di masa akan datang. Dari sekarang, asingkan peribadi dan kerja. Tapi dia… dalam mengangguk tanda akan lakukannya, tetap gagal pertahan janji tidak langsung itu. Betapa dia telah hampakan hati along dan angah.
Zafifah mengerling ke arah Zahirah, yang diam tidak berkutik di samping Mahirah. Tanpa disangka mata mereka saling bertembung. Pandangan penuh rasa gusar dan tanda tanya dihantar. Zahirah membalas dengan senyum kecil, tanda usah terlalu risaukan hal ini. Malahan sepasang mata itu turut terpejam sekejap, tanda segalanya akan kembali baik. Sepasang mata Zahirah turut memberitahunya, Mahirah bukan lagi anak kecil yang mampu mereka jaga hati dan perasaannya daripada tercalar. Adik mereka sudah cukup besar untuk tentukan hidup dan pastikan keputusan sendiri. Tiada gunanya untuk bimbangkan sesuatu yang tak bermakna. Mahirah sudah besar untuk tangani apa sahaja masalah yang didepani.

Diam-diam Zafifah mengeluh lega. Melalui matanya, diucapkan tanda terima kasih kepada Zahirah, yang tersenyum membalas. Hanya secalit senyum tipis, namun besar sekali maknanya. Zahirah, adiknya ini memang begini. Sering tampak tenang dan yakin dalam apa jua keadaan. Ada kalanya dia rasa geram kerana terlalu sukar dibaca apa yang ada di dasar hati itu sebenar-benarnya. Paras itu terlalu bijak sembunyikan apa Zahirah hendak. Namun, ada waktunya dia boleh baca. Tapi bukan raut itu, sebaliknya sepasang mata yang saling tidak tumpah dengannya itu. Mata itulah yang membuatkan ukiran kelegaan ada dalam hati dan dirinya kala ini.
“Along? Angah?”
Panggilan lembut Mahirah yang sudah pun mengangkat muka dan merenung Zafifah dan Zahirah membuatkan pandangan yang bertaut tadi sama-sama terlari. Tepat menerjah mata Mahirah pula. Menanti penuh sabar kerana mereka yakin masa yang Mahirah perlukan untuk tenangkan diri dan perasaannya sudah sampai ke hujung. Penuh tekun mereka menunggu.
“Boleh along dan angah temankan adik masa adik sampaikan berita ni kat Kak Rina?” Mahirah cuba meraih pengertian Zafifah dan Zahirah.
Mungkin Zafifah takkan ada keberatan kerana selama ini tiap kali tugasan mana-mana penyiasat Agensi 3SAI sampai ke penghujung, tiba masa untuk sampaikan keputusan, sama ada baik ataupun buruk, wanita ini akan ada bersama. Mahirah pasti along takkan hampakannya, namun bagaimana dengan angah?
Zahirah hanya selesa di pejabatnya sendiri. Menghadap angka-angka dan komputernya. Itulah dunia Zahirah apabila berada di Agensi 3SAI. Malahan menjenguk bilik Zafifah pun jarang sekali. Melainkan jika Zafifah memerlukan bantuan atau perhatian Zahirah, maka gadis itu akan ringankan kaki. Kalau tak menempek kemas kat kerusi sendirilah. Malahan tika ini pun, Zahirah berada di bilik Zafifah atas kehendak dia yang menginginkan mereka tiga beradik sama-sama ada saat dia sampaikan berita ini—kes Farina bakal ditutup dengan satu perkhabaran buruk. Kalau dia tak inginkannya, tentu sahaja Zahirah akan duduk dengan selesa di biliknya. Bukan tanda tidak peduli, namun sudah jadi kebiasaan sendiri.
Matanya sekilas tumpah ke paras Zafifah. Apabila kakak sulungnya menggoyangkan kepala tanda setuju, bersama senyuman demi yakinkan dia, hati Mahirah dihambat rasa lega yang amat. Walaupun sudah tahu itu jawapan yang bakal diterima, kelegaan yang amat tetap terasa. Kali ini dia palingkan muka kepada Zahirah. Malahan Zafifah pun sama.
Nafas Mahirah terasa disekat apabila menentang mata Zahirah. Kekakuan dan kebekuan Zahirah turut sukarkan dia untuk memberi ruang bernafas dengan baik. Tersentut-sentut saja rasanya. Dalam debar dia menanti.
“Just promise me one thing…” Akhirnya Zahirah mengeluarkan suara. Tajam panahan matanya menjilat wajah pucat Mahirah.
“Apa?”
“Sentiasa ingat nasihat along dan angah bila adik ambil kes kedua adik. Jangan terlalu rapat dengan klien kita. Ingat hubungan majikan-pekerja. Boleh?”
Laju Mahirah mengangguk seraya menghumbankan tubuh ke arah Zahirah. Dipeluk erat bersama ungkapan terima kasih yang tak luak meniti bibir.
“Silly girl! Ingat angah akan hampakan satu-satunya adik angah ni?” Zahirah cuit hujung hidung Mahirah apabila gadis itu longgarkan pelukan.
“Thank you so much…” Mahirah genggam utuh tangan kiri Zahirah dengan tangan kanannya. Sulaman yang kemas sekali. Tangan kiri pula dipanjangkan ke arah Zafifah, meminta agar Zafifah mencapainya. Apabila dituruti, sama erat sulaman tangan itu. “Adik memanglah bertuah sangat sebab ada kakak macam along dan angah.”
“Of course!” ucap Zafifah dan Zahirah serentak seraya sama-sama ketawa. Turut dikongsi oleh Mahirah.
“Bila?” Itulah ayat yang mula-mula meniti bibir Zafifah apabila gelak mereka mula beransur.
Rasanya tidak perlu lagi mereka mengelak dariapa mendepani kenyataan. Lebih cepat, akan lebih senang untuk Farina memulakan satu langkah. Mungkin sukar, mungkin payah… Namun Zafifah amat berharap Farina akan laluinya. Tapi rasa bimbang turut terpalit. Rasa kecundang di jiwa mungkin akan menutup kebenaran yang mereka bongkarkan. Mungkin Farina akan pejamkan mata dan lalui sahaja jalan yang terdahulu. Bukan tidak pernah ada antara klien mereka yang begitu. Tapi Zafifah tahu satu. Takkan ada kuasa dan kudrat daripada dia dan adik-adiknya dalam menghalang jika itu pilihan Farina. Mereka hanya melaksanakan tanggungjawab sebuah tugasan. Yang bakal memutuskan, memuktamadkan, adalah empunya pemberi tugasan itu.
“Adik akan call Kak Rina sekarang. Lebih baik kita sudahkannya secepat mungkin…” Penuh yakin, bicara itu ditutur.
Anggukan daripada Zafifah dan Zahirah membuatkan Mahirah menarik nafas panjang sebelum membawa tangan ke arah telefon di meja kakaknya. Gagang dicapai.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 27, 2012 05:37
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.