.: dalam satu rasa [8] :.

“Mama Angah, are you truly busy? Atau saja-saja buat busy?” Umair berdiri tidak jauh dari muka pintu yang terkatup rapat sambil tangan mencekak pinggang dan kaki kanannya dihentak-hentakkan ke lantai. Siap menjongket sebelah kening lagi.
Zahirah sakan sembunyikan senyuman yang melebar dari mata Umair. Tidak mahu anak kecil yang nakal dan cukup menghiburkan itu menyedari betapa sukarnya dia berperang dengan rasa lucu yang hadir dengan gelagat Umair. Begitulah lagak Umair tiap kali dia berpura-pura tidak perasan akan kehadiran Umair, demi kerana mahu mengusik. Ketukan pintu yang perlahan dan bernada bak satu kod rahsia itu sudah memberitahunya akan kedatangan Umair. Dia dah hafal sangat ketukan Umair, kerana dia sendiri punya tabiat mengetuk pintu sedemikian.
Umair merengus. Cukup kuat kerana mahu Mama Angahnya yang nampak khusyuk dengan komputer riba sedar yang dia sudah habis sabar dengan perangai Mama Angahnya itu. Ingat dia tak ada kerja ke nak berdiri kat sini saja dan tunggu Mama Angah mengalih tumpuan kepadanya? Dia banyak kerja tau… Mana nak kacau Mama Angah lagi, nak ganggu Mama Adik lagi dan paling pasti, susahkan umi.
“Hah, mulalah tu…”
“Mair bosanlah, Mama Angah. Umi dengan Mama Adik tengah sibuk dengan perbincangan rahsia besar dia orang tu. Rahsia besar pun Mair masih tau dia orang tengah cakap pasal uncle nama Najmi. Siapa dia tu ek, Mama Angah?” ujar Umair sambil mengatur kaki mendapatkan Zahirah.
Sudah tiada rasa tidak puas hati kepada wanita itu hanya kerana ayat “Hah, mulalah tu…” tadi. Kerana bagi Umair, bila sudah ada balasan sedemikian maksudnya Mama Angah tidak sibuk atau buat-buat sibuk. Mama Angah acah mak labu saja tadi tu…
Umair yang bertubuh kurus dan kecil untuk budak lelaki 11 tahun terus selamba memanjat ke atas paha Zahirah lalu menyelesakan duduk di situ dan membawa kedua-dua tangan Zahirah ke atas bahunya lalu kedua-dua tangan itu digayut pada bahunya. Mata Umair melingas ke seluruh pelosok skrin komputer riba di hadapan. Cuba mencari apa yang menarik sangat di situ. Namun dia tidak dapat melihat sebarang tarikan di situ. Mungkin kerana dia tidak pernah punya minat dengan peribahasa Melayu seperti Mama Angah yang memang gemar menghimpun sendiri pelbagai peribahasa Melayu sebagai koleksi peribadi.
“Amboi… selesanya sayang Mama Angah duduk. Mair tu dah berat tau. Bukan budak kecik lagi. Dah nak masuk 11 tahun dah pun.” Sengaja Zahirah mengomen sedang dia sedikit pun tidak kisah akan tindakan Umair itu. Tak berat mana pun Umair untuknya.
Malahan, Zahirah amat selesa kerana Umair memang gemar duduk begini. Hanya dengan dia sahaja kerana dengan umi dengan mama, Umair telah memilih cara duduk yang lain. Nak tahu, tunggu sajalah waktunya nanti. To be continued…
Umair menjuih bibir, selamba sahaja mengeratkan pautan ke tangan Zahirah yang tergantung di bahunya. Selesa. “Mama Angah tengah kumpulkan peribahasa lagi? Kan dah banyak dah Mama Angah kumpul…”
“Ini kan kegemaran Mama Angah? Mama Angah tengok aje… Mana tau ada koleksi baru yang boleh ibu himpunkan. Peribahasa ni ada macam-macam jenis, malahan terselit pelbagai nasihat di baliknya.”
“Hmm, entah apalah nasihat yang Mama Angah perlu lagi. Lainlah mama tu!”
Ucapan Umair yang bak lagak orang dewasa itu benar-benar mencuit Zahirah. Bercakap… mengalahkan orang tua. “Pandailah awak tu. Nak kata mama perlu nasihat, padahal awak lagi perlu…”
“No, I don’t!” bantah Umair dengan mulut muncung sedepa dan wajah tidak puas hati. Ada ke pulak dia perlukan nasihat! Apalah Mama Angah ni?! Tak sekolah agama gamaknya!
“Oh, really?” Zahirah melepaskan kedua-dua tangan yang tergantung lembik di atas bahu Umair seraya memaut kedua-dua bahu itu dan mengalih batang tubuh kecil itu. Menghadap mukanya.
Zahirah tertawa perlahan apabila lihat mimik muka anak kecil itu. Muka tidak puas hati cara orang dewasa! Argh, anak kecil ini benar-benar bijak mengajuk setiap gaya orang dewasa kerana Umair sendiri tinggal dalam kalangan tiga wanita dewasa. Walau seorang daripadanya hanya akan menjadi dewasa apabila keadaan mendesak—adik bongsunyalah tu!
“Aaa… ah…” Bak burung belatuk Umair menganggukkan kepala. Tayang muka slumberland lagi.
Zahirah cuba seriuskan muka, walaupun rasa mahu terus ketawa masih menggeletek ulu hati. Anak bujangnya ini, mana pernah tidak mengundang senyum atau tawanya? Dengan Umair sahajalah dia mampu tayang gigi dan gelak sekuat hati—selain along dan adiklah. Namun, apabila berdepan dengan orang luar, walau ada along dan adik, juga ungkapan bersahaja mereka yang mengundang tawanya, hanya senyum kecil yang akan tersua. Kerana dia masih mengawal diri jika ditempatkan dalam kalangan orang luar.
Namun dengan Umair, walau ada sepuluh makhluk yang tidak dia kenal mengelilinginya pun, dia boleh menjadi serpihan diri yang sering disembunyikan dari mata kasar lain. Tak boleh kawal diri lagi. Itulah kehebatan Umair, yang tiada pada insan lain. Hanya anak kecil rasa dewasa ini. Dan Umairlah seseorang yang mengata rambut pendeknya tak padan dengan gaya femininnya sedang si tomboi bertocang kuda bagai. Ada bakat jadi juri sungguh anak kecil ini.
“Kalau betul Mair tak perlukan nasihat, biarlah jadi telinga tempayan, jangan jadi telinga kuali. Maksudnya… lebih baik mendengar dan menurut ajaran yang membawa kebaikan daripada mendengar dan menurut ajaran yang membawa kepada kesusahan. Faham apa yang Mama Angah cuba bagi tau tak?”
Dengan bibir yang masih mencebir, Umair mengangguk malas. Nampak seolah-olah dipaksa sahaja. Macamlah Mama Angah pegang kepalanya dan goyang atas bawah secara paksa. Tapi dia tahu dia harus akur mengangguk kerana Umair faham apa yang Mama Angah cuba sampaikan. Itu pun sesudah mendengar penjelasan Mama Angah akan makna peribahasa yang dipetik tadi. Kalau tak, dia tak akan mencebik mulut begini sebaliknya tayang muka tak faham benda.
“Ibu nasihatkan Mair jangan curi dengar perbualan umi dan Mama Adik, kan?”
Zahirah menyentuh hujung hidung Umair dengan jari telunjuk. Sambil mengangguk, mengiakan pertanyaan Umair, dia menghantar pandangan ke setiap inci wajah kecil itu. Umair Rasyad banyak mewarisi rupa mereka bertiga. Umair Rasyad selalu dianggap anak mereka. Dan mereka tidak pernah menidak ia. Umair Rasyad anak umi, Mama Angah dan Mama Adik. Umair Rasyad darah mereka!
“Tapi, bukan Mair nak dengar pun… terdengar. Bukan nak curi dengar pun… terdengar,” ucap Umair masih cuba menangkan diri. Memang itu pun kebenarannya.
“Tapi boleh ngelak, kan? Mama Angah tau sangat Mair tu. Kalau dah terdengar, mulalah terpasang telinga nak tau keseluruhan cerita. Sayang, you better keep your ears to yourself. Kami semua tak mau Mair kehilangannya. Understand, buddy?” nasihat Zahirah penuh kelembutan.
Ada kebaikan yang tidak disedari oleh Umair di balik kata nasihat itu. Belum cukup usia untuk faham penuh bahawa dia tidak mahu Umair turut terlibat dalam kemelut mereka. Umair terlalu kecil untuk merintanginya. Lainlah mereka. Zahirah tidak pernah menginginkan sebarang lumpur yang mereka tanggung terpalit kepada Umair. Kebimbangan itulah yang selalu mengejar dia serta kakak dan adiknya.
Pengajaran pertama dahulu membuatkan mereka benar-benar serik dan mula berjaga-jaga. Walaupun bukan Umair mangsanya, mereka tega mencari jalan mengelakkannya sebelum ia berlaku. Demi tidak mahu menegakkan juek-juek sesudah menyabit. Mereka tidak mahu sesudah segalanya selesai barulah teringat akan cara terbaik untuk menyelesaikannya. Jadi mereka bertiga sudah sama berpegang—mencegah sebelum merawat!
“Yeah… Yeah…” Dengan gerakan kepala ke kiri untuk ‘Yeah’ pertama dan kanan untuk ‘Yeah’ kedua, bersama lagak penuh kebosanan, Umair membalas teguran Mama Angah. Bukannya umi dan Mama Adik tahu pun dia pasang telinga. Lainlah kalau Mama Angah sendiri beritahu. Tapi dia yakin Mama Angah akan diamkannya, kerana Mama Angah selalu simpan setiap rahsianya dengan baik.
“My good boy!” Sekali lagi Zahirah mencuit hujung hidung Umair lalu memeluk tubuh itu seketika.
Sudahnya, Zahirah mengalihkan semula tubuh Umair ke arah komputer riba dan menyangkut semula kedua-dua tangannya pada bahu Umair, sebagaimana yang digemari oleh Umair. Nyata Umair suka. Yalah, tak perlu dengar nasihatnya di balik peribahasa Melayu kegemarannya. Kini anak kecil itu sedang menggenggam utuh kedua-dua jemari tangannya yang tergantung.
Umair. Nama yang mula hadir dalam kehidupannya sejak 11 tahun dulu. Bukanlah satu misteri lagi. Rasyad. Nama itu adalah misteri sehingga waktu ini. Siapa empunya nama itu? Zahirah tidak tahu malahan tidak pernah cuba tahu. Hanya kerana satu sebab. Sebaris nama yang pelik namun unik itu—Rasyad—mampu membawa satu perubahan yang maha ketara pada raut kakaknya. Kerana itulah nama itu tidak pernah dibangkitkan semenjak 11 tahun sudah.
“Hey, Mama Angah, you got mail!”
Suara lantang Umair mengembalikan Zahirah ke biliknya semula. Sepasang mata yang tadinya memang pada skrin komputer, namun tidak benar-benar di situ, kali ini memaut apa yang tertera di situ. Benar kata Umair, ada satu e-mel yang memenuhi inbox e-melnya. Tidak sedar bila Umair membesarkan ruangan e-melnya yang dikecilkan tadi kerana asyik dengan peribahasa Melayu yang tidak pernah dibacanya sebelum ini. Hah, tulah! Khayal sangat!
“Hanun? Siapa dia ni, Mama Angah?” soal Umair mendekatkan muka ke skrin komputer riba seraya mengalihkan tubuh bersama batang leher ke arah Zahirah. Menanti jawapan daripada wanita yang nampak terkesima itu.
“Mama Angah!” pekik Umair lantang. Mujur tidak terhumban tubuhnya dari paha Zahirah apabila wanita itu terenjat tiba-tiba. Terkejut gamaknya. Sambil memeluk leher Zahirah, Umair tayang gigi apabila wanita itu membulatkan mata melihatnya.
“Apa Mair cakap? Hanun?” soal Zahirah seolah-olah tidak percaya.
Namun anggukan tak ingat daripada Umair serta nama yang kemas tertera pada inbox e-melnya membuatkan Zahirah menelan sahaja rasa tidak percaya itu. Sebaris nama itu meyakinkan dia yang dia tidak tersalah dengar apabila Umair menyebut nama yang pernah jadi topik perdebatan antara dia dan Mahirah, dalam menentukan jantinanya. Walaupun dia dan Mahirah sama-sama meleraikannya dengan kata setuju jantina makhluk bernama Hanun itu adalah lelaki, tapi apa yang sedang menerpa matanya lebih mengesahkannya sehinggakan tiada ruang untuk berkompromi lagi.
Hanun Haiman bin Hazmir!
Memang sah dan pasti… Hanun adalah seorang lelaki!
Published on June 13, 2012 09:30
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
