.: secukup rasa [24] :.

FAIL berwarna hitam sederhana tebal dengan segala maklumat yang diminta Amar diselak-selak lagi. Malah, gambar-gambar yang terdapat di situ ikut dia tilik. Hubungan yang sudah menginjak ke tahun keempat. Namun bijaknya kedua-dua pelakon itu, baru setahun lebih Amar berjaya menghidunya.
Hebat betul ibunya itu! Di bawah hidungnya semua berlaku namun tiada dapat dia hidu!
Sudah terlalu lama Amar diamkan saja. Sudah terlalu lama Amar buat tak tahu saja. Tapi Amar sudah tidak tahan untuk buat bodoh apabila dia sudah agak bijak mengetahuinya. Hari ini, Amar akan bertindak. Keputusan diperlukan!
Mendengar bunyi tapak kaki berhampiran dengan bilik kerjanya, Amar yang sudah pun mandi dan menukar pakaian kasual—khakis dan tee berwarna putih, seperti kebiasaannya—terus angkat tubuh dari kerusi yang didudukinya. Kaki melaju saja hendak keluar dari ruang bilik kerja itu, sedang semenjak tadi tiada satu pun kerja dibuatnya, melainkan menilik dan menilik saja fail hitam sederhana tebal di tangan. Sejam lebih dia begitu saja. Dan malam juga kian menginjak.
Amar mengatur langkah lurus hendak dapatkan pintu bilik kerja yang rapat terkatup. Namun pintu itu tidak pernah berkunci. Kerana tertutupnya ia memberitahu semua di luar sana bahawasanya dia tidak mahu diganggu. Semua orang, kecuali bakal isterinya.
Kerana sebelum Amar sampai pada pintu yang rapat di tempatnya itu, ia terbuka lebih awal dari luar sana. Mujur Amar tak cukup rapat, kalau tak sah pintu cium Amar. Dah lebam mulut sebelum malam pertama—dengan si gadis yang hampir menghentam pintu ke bibirnya!
Sipi! Sipi aje lagi! marak hati Amar dengan sikap fikir selepas buat Zunah. Selalu begitu.
Amar yang terpaling muka hendak selamatkan wajahnya, akhirnya melihat ke hadapan. Zunah sudah berdiri di hadapannya, mengangkat muka merenung Amar. Niat hendak lepas marah jadi hilang terus apabila mata Amar memandang elok paras Zunah. Basah dengan air mata, malahan sepasang mata itu terus basah dengan air mata yang masih menitik-nitik.
Belum sempat Amar hendak menyoal kenapa begitu keadaan Zunah, yang masih dengan pajama tidur yang sama tadi, Zunah meluru laju ke arah Amar, memaut sakan baju Amar. Digenggam kuat sambil menggoncang-goncang sakan.
“Nak balik… Nak balik…” ujar Zunah antara esak.
Kaget sekejap Amar. Balik?
“Awak dengar tak, Amar? Saya nak balik…” Zunah mengesak terus sambil mengasak terus dada Amar yang terkuit sedikit saja. Macam tak ada benda saja.
“Dengar… dengar…” Amar longgarkan genggaman Zunah pada bajunya lalu genggam kedua-dua jemari tangan itu. Apabila Zunah masih mengesakkan “Nak balik” berulang-ulang, Amar mengangguk-angguk tanda faham. “Ya, ya… Tapi balik mana? Cuba bagi tau abang…”
“Balik kampung… Daus… Daus…” Zunah mengongoi sakan. Apabila Amar cuba hendak pujuk dengan menarik dia rapat pada tubuh itu, Zunah menolak-nolak tak memberi izin.
“Amar! Amar buat apa ni?”
Soalan kuat itu mengejutkan Amar yang bersemangat hendak memujuk dan Zunah yang penuh ia menangis. Mereka sama-sama melihat ke depan muka pintu yang ternganga luas kedua-duanya. Berdiri Wafiah dengan muka terkejut sangat, kemudian cepat-cepat melangkah masuk ke dalam bilik kerja Amar lalu menarik Zunah rapat kepadanya. Dipeluk erat tubuh genit yang masih menangis-nangis itu. Ubuh kepala si gadis dielus penuh sayang, memujuk, sambil beri pandangan kurang suka kepada anak sulungnya.
Amar renung paras Wafiah, tunak. “Mama ingat Amar ada buat benda salah?”
“Habis, dah sampai nangis gini… kenapa?”
“Kalaupun benda Amar buat tu salah, mama… mama tak ada hak menghukum. Sebab mama tak layak menghukum orang yang salahnya kurang sikit daripada mama.” Sinis sekali Amar membalas. Senyum jemput-jemput sinikal disua.
Wafiah besar mata seketika dengar cakap Amar. Sinis. Sinikal. Inilah Amar yang pernah berujar dengannya dulu. Ketika Amar meminta dia memilih antara lelaki luar dengan anak sendiri. Waktu Amar tahu akan hubungannya dengan Fuad bertahun yang sebelumnya. Wafiah menelan liur kesat, sekali gus menahan rasa-rasa yang menerpa.
“Sebelum tegur salah anak, tengok salah diri dulu. Menjadi orang tua bukan tiket untuk kata anak saja yang silap.” Berkata begitu, terus Amar tarik pergelangan tangan kiri Zunah yang masih dalam pelukan longgar Wafiah. Lalu terus dia mengatur kaki berlalu dari bilik itu.
Zunah pula, antara peranjat dan antara esak, menurut langkah laju Amar sambil berlari-lari sakan sebab nak saing luasnya kaki Amar, mencuri-curi tengok Wafiah yang masih berdiri bagai tadi. Membelakangkan mereka yang sudah meninggalkan bilik kerja. Walaupun Zunah sedih, walaupun masih nangis, dia jadi hairan sangat dengan keadaan wanita itu. Belum dapat buka mulut, tangannya disentak kuat tiba-tiba. Lalu Zunah berlari sakan lagi, mengikut Amar yang sudah mula memanjat anak-anak tangga.
Wafiah terus berdiri di tempat yang sama. Terus memikir. Dia tidak salah faham. Dia tidak salah tangkap. Amar sudah tahu! Tapi, bagaimana? Sekian lama boleh sembunyi, kenapa kini tiba-tiba sahaja…
Mata Wafiah terus ke meja Amar yang hanya diisi sebuah fail hitam. Entah mengapa Wafiah dapat rasakan dia takkan suka pandang isinya, namun hati hendak juga tahu. Perlahan-lahan, takut-takutkan sesuatu, Wafiah terus mengatur kaki dan akhirnya berdiri di hadapan meja kerja Amar. Tangan memanjang, perlahan-lahan menarik fail hitam di situ, ke arahnya. Sedar pada tangannya yang menggeletar, lebih awal takut sebelum melihat isinya, dia menyelak ia. Terus terlihat sekeping gambar, antara kepingan-kepingan gambar yang ada.
Gambar dia bersama Fuad, di rumah Fuad!
Wafiah jatuh menggelongsor, menarik sama gambar-gambar dan fail hitam tersebut. Jatuh semuanya, termasuk dia!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 20, 2012 07:15
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.