.: secukup rasa [23] :.
SEBAIK memarkir kereta di hadapan rumah teres dua tingkat itu, Fuad bingkas keluar dari perut kereta. Tanpa hiraukan pintu kereta Nissan X-Trail kelabu yang ternganga saja, Fuad laju lagi cepat meluru masuk ke pintu masuk ke ruang tamu rumahnya itu. Gusar yang melukisi wajahnya kian menggoncang hati apabila dilihat Wafiah yang ke hulu ke hilir ruang tamu, kegelisahan.Cepat-cepat Fuad mendekati sambil bersuara, “Wafi, kenapa ni...?”
Mendengar suara Fuad, langkah kiri kanan mengukur ruang tamu rumah itu mati. Wafiah terus renung paras Fuad yang keresahan. Tanpa ditahan-tahan, melihat raut yang selalu tenang meresah begitu, mata Wafiah mula bergenang. Air hangat mula merembes keluar dan titik-titik menyentuh pipi.
Melihatkan Wafiah yang menangis mendadak begitu, Fuad terus menarik tubuh kurus tinggi itu ke dalam pelukannya. Erat dan hangat sentuhan Fuad, membiar saja Wafiah melepas sendu ke dadanya. Tangan kanan dan kiri Wafiah utuh memaut pinggangnya. Wafiah yang selalunya tidak merelakan sentuhan kalau mereka dinampak mata isi lain rumah itu, Wafiah yang biasanya takkan menyentuh dia jikalau tidak mereka berdua saja, kali ini melanggar semua kata janji yang sering diulang-ulang sebagai mantera.
Fuad tak boleh fikir jauh. Satu saja hal menyinggah benak. Hubungan terlarang mereka sekian lama, yang tidak diizinkan anak lelaki Wafiah, kini sudah ketahuan. Amar sudah tahu!
Walaupun hendak sangat bertanya lanjut akan hal itu, Fuad diamkan dulu. Dia berikan masa kepada Wafiah untuk melepas segala perasaan yang Wafiah usung sebelum ke rumah ini dan segala perasaan yang menginjak-injak Wafiah selama menunggunya lebih satu jam di sini.
Akhirnya, sesudah beberapa minit menjadikan dada Fuad tempat membuang toksik perasaan, tanpa melepas pautan pada pinggang Fuad atau menjauhkan diri daripada pelukan Fuad, Wafiah akhirnya angkat mata.
“Apa kita nak buat, Fuad...? Apa Wafi nak buat...?” tanya Wafiah antara sisa esak yang masih ada. Matanya yang masih basah merenung sepasang mata yang selalu jujur itu.
Mata yang sekian lama membicarakan perasaan Fuad kepadanya. Sampaikan dia yang awalnya berdegil, jadi kalah. Daripada berbohong bibir, bilang tidak suka atau cinta, akhirnya kelopak bibir jadi reti berkata jujur. Mata itu menumpaskan tembok degil yang Wafiah cuba bina. Jujurnya mata itu memberitahu, memungkinkan jujurnya bibir Wafiah dalam berbicara. Wafi sayang Fuad. Sayang sangat-sangat. Bicara telus itu akhirnya menyatukan hati mereka lalu hubungan mula dijalin, perasaan mula diseling. Setiap kali mencuri masa dan waktu bersama Fuad, tanpa pengetahuan siapa pun, hati Wafiah begitu uja dengan bahagia. Bahagia yang dia hanya rasa pada lewat usia. Atas tiket itulah dia rasakan hubungan dilarang itu bukan satu kesalahan. Namun tetap juga Wafiah tutup sebaik mungkin daripada dihidu orang.
Tapi kini... bagaimana mahu dia tutup lagi? Dia bakal mengusung satu bentuk bukti!
Fuad mengeluh perlahan apabila tubuh Wafiah menggigil kecil dalam pelukannya. Wafiah bukan saja risau. Wafiah sepertinya takut amat dengan apa yang sudah jadi. Sedang jadi!
Perlahan-lahan, penuh hati-hati, Fuad melangkah ke arah sofa lalu duduk bersama Wafiah yang terus dipeluk. Belakang tubuh itu dielus penuh kasih sayang. Sesungguhnya dia bukanlah lelaki yang menunjuk sayangnya melalui ucap kata. Dia tidak reti hendak begitu. Dia menyatakan cinta melalui renungan. Dia memberitahu sayang melalui sentuhan. Itulah dia dan Wafiah sangat kenal dia yang begitu. Kerana itulah Wafiah tidak pernah meminta apa yang Fuad tidak biasa. Wafiah sudah tahu betapa sayangnya dia kepada wanita itu.
“Wafi, apa dah jadi sebenarnya? Fuad tak faham. Jadi, Fuad tak boleh bagi tau apa yang perlu kita buat... untuk hilangkan takut Wafi ni...” Fuad berlagak bagai biasa, membetulkan tudung Wafiah yang sedikit senget. Wafiah sampai kini selesa dengan tudung bawal. Ada dia beli tudung fesyen kini yang jenis sarung saja itu, namun Wafiah buat muka. Sudahnya tudung itu hanya Wafiah simpan di dalam almari baju Fuad.
Wafiah sudahnya menolak dada Fuad, melepaskan pelukan pada pinggang Fuad, sekali gus melepaskan pelukan Fuad pada tubuhnya. Namun, dia tidak menjauh daripada Fuad. Untuk masa ini masih perlukan kedekatan Fuad. Demi memberi tenang pada jiwa yang masih gundah.
“Amar dah tau pasal hubungan kita ke?” soal Fuad lanjut apabila Wafiah diam bagai menimbang-nimbangkan sesuatu. Jemari tangan Wafiah yang duduk rapat dengannya dipaut lalu dielus-elus. Moga dengan begitu Wafiah mendapat sedikit tenang. Itu harapnya.
Wafiah kemam-kemam bibir sekejap sambil pandang jari-jari mereka yang saling bersulam. Sudahnya, perlahan-lahan dia menggeleng kepala.
“Tapi dia akan tau tak lama lagi…” ujar Wafiah mengangkat muka, merenung Fuad yang mengerut muka tidak begitu faham. Perlahan-lahan, tangan yang yang saling menyulam erat itu dilepas lalu dia bawa tangan Fuad yang sekali ganda besar daripada tangannya, dilekapkan pada perutnya.
Fuad masih keliru dalam hendak faham. Masih perlukan masa untuk dapat. Dan akhirnya ia sampai ke benak. Fuad terus tersengih suka.
“Sungguh?” tanyanya langsung tidak ada percaya. Malah tangan yang melekap pada perut Wafiah sudah reti mengelus lembut. Laksananya mengelus isi di dalamnya.
Wafiah mengangguk-angguk. Mata terkelip-kelip memandang Fuad.
Fuad terus peluk erat Wafiah yang masih terkaku, langsung tiada sedar bahawa itulah hal yang membangkitkan takut dan gerun Wafiah. Bimbang yang sangat. Dia semenjak tadi bagai hendak hilang akal dan waras memikir hal ini, masa ini Fuad pula ceria sakan dengan gelak tak sudah.
“Stop it, Fuad!” bentak Wafiah terus menolak kuat tubuh Fuad yang mengunci tubuhnya dengan pelukan sekejap tadi.
Terkebelakang sakan badan Fuad yang langsung tidak menjangka ia. Cukup kuat hinggakan belakang tubuh Fuad terhentak pada tangan sofa. Namun Fuad tidak mengaduh sakit. Tidak mampu apabila lukisan wajah Wafiah lebih menyakitkan rasa gembira yang tadinya mengacah-acah diri. “Wafi…?”
“Fuad tau tak apa akan jadi kalau perut Wafi makin besar? Semua orang akan nampak! Semua orang akan tau! Amar akan tau!” Melengking suara Wafiah tidak turah.
“Jadi, Wafi takut sangat… sebab ni?”
“Ya. Wafi takut! Takut Amar tau, takut keluarga Wafi tau! Wafi tak nak…” Wafiah mula teresak perlahan. Tangan mnyentuh bibir yang terketar-ketar menahan bunyi.
Fuad menarik nafas dalam. Cuba menahan hati, cuba mencabar diri dengan member lebih sabar. Dia perlu faham kesemuanya. Bukan beberapa peratus saja.
“Wafi tak nak apa…” Selembut yang mungkin, Fuad menanya.
“Wafi tak nak baby ni!” jerit Wafiah laksana hilang daya fikir. “Wafi tak nak!” Kali ini Wafiah tampar-tampar perut sendiri, seperti hendak melepas perasaan dan meminta apa yang ada di situ pergi.
“Wafi cakap apa ni!” Sedikit tinggi suara Fuad sambil paut pergelangan tangan kanan dan kiri Wafiah, sekali gus. Menghentikan tindakan Wafiah yang bukan saja menyakiti tubuh Wafiah sebaliknya hati Fuad sendiri. Tidak hendakkan darah daging mereka sendiri? Tuhan, sakitnya diri, lukanya rasa…
“Wafi cakap Wafi tak nak baby ni! Tak nak!” Tinggi lagi suara Wafiah sambil cuba lepaskan pautan Fuad pada tangannya, hendak terus hentam perut sendiri. “Kenapa dia tak pergi? Kenapa dia tak hilang macam sebelum ni?”
Tak pergi? Sebelum ni? Berkerut sakan dahi Fuad, masih tak hendak lepas pautannya. “Wafi… apa Wafi dah buat sebelum ni?”
“Dia patut gugur macam sebelum ni!” jerit Wafiah melepas perasaan. “Patut gugur!”
Terkejut. Terkasima. Yang terlalu. Terus saja pautan Fuad melonggar lalu melepas. Tidak langsung dia menyangka. Tidak pernah dia menjangka. Sungguh, sepanjang dalam hubungan bersama Wafiah, tak pernah sekali pun dia berharap akan ada tanda daripada hubungan itu. Tidak pernah pun dia terfikir mereka akan ada anak, penyambung warisnya. Dia sangat sayang kepada Wafiah. Dia terlalu kasih wanita itu. Tahukan usia Wafiah lebih tua daripadanya, dia rasakan mereka tidak perlu punya anak. Biarlah mereka hidup bersama, berdua saja selama hayat mereka yang ada. Dia sudah lebih daripada bersedia untuk itu. Hanya hendak bersama wanita yang dia cinta.
Fikirnya, sampai sudah mereka berdua saja. Cuma hari ini barulah dia tahu…
“Wafi pernah mengandung?” soal Fuad menahan rasa yang menekan-nekan.
Wafiah sepertinya baru tersedar. Terperasan akan apa yang dia sebut di luar rasa akibat terlalu mengikut perasaan. Dia kerling Fuad yang tunak melihatnya. Menunggu jawapan lanjutnya. Perlahan-lahan, gentar menjenguk, diangguk kepala.
“Wafi gugurkan…?” Fuad menyentuh dahi, menunduk kepala. Tuhan… Balasankah ini?
“Fuad, sebenarnya…”
“Sampai macam tu sekali ya Wafi tak nak orang tau pasal kita?” Masih menunduk muka, masih menyentuh dahi, tawa halus meletus.
Ketawa. Ya. Wafiah dengar. Tapi itu bukan ketawa yang datang daripada sukanya jiwa, sebaliknya sakitnya rasa. Fuad sangat luka dan tergores. Fuad sungguh tidak menyangka.
“Anak kita, Wafi… anak kita…” Fuad menggeleng-geleng. Sesal, kesal. Tiada atur kata, tiada susun bicara yang boleh dia guna dalam menyampaikan ia. “Wafi sanggup bunuh anak kita demi keluarga Wafi, demi Amar…”
Fuad akhirnya jauhkan tangan pada dahi, lalu kesat air hangat yang sekian lama menyentuh pipi. Mata yang merah itu akhirnya diangkat menentang Wafiah. Cinta yang menggebu masih ada, namun diwalangi marah yang kian menggebu-gebu.
Wafiah bawa telapak tangan ke bibir. Melihat si jantung hati ini menangis diam begini, luluh dan hancurnya hati, Wafiah sangat mengerti. Dia tahu dia sudah melukakan perasaan Fuad. Luka yang paling dalam. Luka ini, sesungguhnya takkan sembuh sampai bila-bila. Luka ini, sesungguhnya luka yang memakan sudut hati paling dalam. Fuad bukan sahaja bersedih sebaliknya Fuad sungguh kecewa. “Fuad… please understand…”
“Sampai bila, Wafi?” tanya Fuad dengan mata kembali basah. “Sampai bila hanya Fuad nak faham Wafi? Sampai bila hanya Fuad nak bersabar dengan keluarga Wafi? Sampai bila kita nak macam ni…? Huh?”
“Fuad… Wafi…” Wafiah mula menangis.
“Cukup, Wafi… cukup…” Fuad bangun, berdiri membelakangkan Wafiah yang kian teresak. “Perasaan Fuad sekarang ni… Tak ada satu ayat pun dapat Fuad dapat guna untuk gambarkan. Fuad dah penat sangatlah, Wafi… Penat faham Wafi, penat sokong Wafi, penat sayang Wafi… yang tak pernah hargai Fuad. Masa tu Wafi 18 tahun, jadi Wafi anggap budak 13 tahun tu hanya main-main, bohong, cakap kosong. Hari ni… lepas bertahun-tahun, Fuad rasa nak menangis macam budak 13 tahun tu, Wafi…”
Fuad mengalih tubuh, memandang Wafiah.
Esakan Wafiah kian kedengaran. Bukan sahaja kerana cakap Fuad, sebaliknya apa yang dia lihat. Fuad menangis hiba, tanpa suara. Fuad menangis bagai si kecil 13 tahun itu… dalam tubuh lelaki 45 tahun. Wafiah sentuh dada sendiri, menangis dan menangis lagi.
“Buatlah apa Wafi nak buat pasal baby tu… Buang, gugur, mati… buatlah! Sebab Wafi lebih perlukan keluarga Wafi, anak-anak Wafi… bukan Fuad atau anak Fuad. Pilih Amar, terus takutkan Amar… buang kami…” kata Fuad menangis terus, tanpa esak, tiada bunyi. Kalau tidak melihat, tiada siapa akan kata Fuad bercakap sambil menangis.
Ya Allah, yang kali ini dia sudah sangat melukakan Fuad. Dan dia tiada jalan untuk patah balik kembali. Wafiah menangis sampai jatuh terduduk dari sofa, melihat Fuad berlalu tinggalkannya dengan satu ayat saja.
“Jangan kembali ke rumah ni lagi kalau Wafi belum ada keputusan!”
Wafiah menangis dengan tangan kiri melekap pada perut dan tangan kanan pada dada kiri.
Published on May 18, 2012 15:27
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

