.: dalam satu rasa [4] :.

Mahirah mengerling sekilas kepada along dan angah, yang turut duduk bersamanya dan Farina. Masih di dalam bilik Zafifah. Dilihat alongnya terus memandang setiap gerak gayanya sehinggakan dia merasa sedikit kekok. Mahirah tahu apa yang mahu dilihat oleh wanita dipanggil along itu. Dan dia mahu along melihat apa yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini—kemampuan dan kesungguhannya dalam merealisasikan impiannya. Dia mahukan peluang ini dan ia sudah kemas dalam genggaman. Dia perlu bijak menggenggamnya. Tidak boleh terlalu kejap, bimbang akan musnahkannya. Tidak juga boleh terlalu longgar, gusar bakal melepaskannya. Dia perlu bijak menggenggamnya, demi buktikan kepada along. Ya, dia akan lakukannya.
Mahirah menyelesakan letak duduk punggungnya lalu menghantar senyum kecil kepada Farina sebelum membuka mulut berkata, “Saya masih baru dalam bidang ni, Puan Farina. Jadi, dari semasa ke semasa saya akan tagih bantuan Puan Farina agar mudah untuk saya cari satu kata putus dalam kes Puan Farina ni.”
“Saya yakin dengan awak malahan saya punya kepercayaan pada agensi ini. Saya dengar daripada Dy, agensi ni dah banyak membantu janda-janda kat luar sana. Dan saya memberi sepenuh janji, akan tolong awak dari segala segi, insya-Allah. Tapi ada satu syarat yang saya letakkan.” Farina senyum penuh makna. Malah ia sekian luas apabila lihat Mahirah membawa tubuh ke hadapan sedikit, tidak lagi bersandar pada kerusi.
“Panggil saya Kak Rina aje. Agak kekok untuk kita saling membantu kalau awak terus dengan Puan Farina. Rasa tak selesa. Seems like I’m talking to my employee instead of an investigator, a young and lovely female investigator.”
“I am your employee. Sebab Kak Rina bayar kami untuk siasatan ini,” jawab Mahirah tenang, kembali membawa tubuh ke kerusi. Sudah terjawab rasa hairannya dengan syarat Farina tadi. Mujur ia sesuatu yang terjangkau dek akal. Kalau tak terjangkau dek akal, mahunya dia jemput Salmiha menyanyi di sini.
“Kak Rina bayar untuk servis awak. Kak Rina yakin agensi ni serta awak akan selesaikan masalah yang Kak Rina depani ini. Harap sangat Kak Rina akan dapat satu petunjuk, sebelum Kak Rina atur satu lagi langkah ke depan.”
“You are in love with him, right?”
Soalan daripada Zahirah menyentak Farina. Tidak disangka pertanyaan sebegitu akan meniti bibir Zahirah. Bukan dia hairan mendengar soalan itu diajukan. Dia yakin ia akan dibangkitkan juga. Dia sudah boleh mengagak itu kerana semenjak dia buat keputusan untuk datang ke sini lagi dia sudah sedar, dia takkan mampu berpatah balik lagi setelah berada di sini. Dia juga tahu dia mungkin perlu ‘telanjangkan’ dirinya, setiap rahsia peribadi, termasuk hati. Dan dia sudah buat keputusan, harus lakukannya. Yang menghairankan Farina ketika ini adalah soalan itu datang daripada Zahirah, yang paling pendiam antara tiga beradik ini. Malah ia bukan soalan bengkang-bengkong, lurus sahaja. Straight to the point.
“Ya…” Farina mengakui.
“Itulah sebetulnya masalah yang sering kami hadapi bila berdepan dengan klien-klien kami. They are always in love with the person they want to be investigated.”
Sampukan Zafifah membuatkan Farina pelik. “Adakah ia satu masalah?”
“Kak Rina, bila kita sayang seseorang, kita takkan nampak buruknya. Malah kadang jika nampak sekalipun, kita telan saja ia sebagai satu kelemahan yang kita rasakan mampu diperbaiki di hari kemudian.”
Kata-kata Mahirah membuatkan Farina diam sendiri. Berfikir.
“Tak semua kelemahan mampu diperbaiki, Kak Rina. Ada kelemahan yang takkan mampu dibetulkan, walau banyak mana pun kita usahakannya.” Zafifah senyum hambar apabila lihat keresahan pada raut Farina. Yakin wanita itu mampu tangkap makna yang cuba disampaikannya.
“Kak Rina perlu tau ni, kami cuba siasat sedaya mungkin. Kami bawa setiap bukti malah juga saksi, dalam sesetengah kes, tapi ada kalanya dalam menang kami masih kalah. Klien kami tak mampu terima hakikat, cinta mereka hanyalah satu jual beli, satu urus niaga. Pihak lelaki sebetulnya membida ‘cinta’ mereka kepada pelanggan yang meletakkan harga paling tinggi, dari segi RM, bukan kasih sayang.”
Penjelasan Zafifah akhirnya menjemput reaksi daripada Farina. Dia mengangguk perlahan. “Macam Dy…”
Zafifah angguk mengiakan apabila wanita itu bersoal perihal Nordiana atau panggilannya Dy, yang menjadi antara klien Agensi 3SAI. “Kak Dy masih bertuah, kerana cinta tidak mengaburi celik mata dia. Dia masih melihat, sedang sesetengah rela melihat dalam kabur dan samar. Demi cuba sesuatu yang entahkan jadi…”
“Dia kecewa sangat bila tau laki tu sebetulnya nakkan harta dia, bukan kasih sayang dia. Dia patah hati. Malah sebab lihat dialah Kak Rina ke sini. Biar hampa mendahului, sebelum hampas diberi. Kak Rina dah ajar diri, malah Dy pun dah bagi amaran pada Kak Rina. Seperti yang Kak Rina kata sebelum ni, Kak Rina harap sangat akan dapat satu petunjuk, sebelum Kak Rina atur satu lagi langkah ke depan. Walau apa pun langkahnya, Kak Rina akan susuri.” Farina cuba menegaskan. Dia tahu apa yang Zafifah cuba lakukan. Mahu dia buat keputusan terakhir sebelum dia meletak ‘masa depan’nya pada pundak mereka. Hancur luluh atau girang bahagia hatinya sedikit sebanyak di tangan mereka kini.
Zafifah tersenyum tipis. Zahirah hanya diam tanpa sebarang riak. Mahirah nampak bangga. Farina hanya mampu menghantar pandangan penuh harapan.
“Okay then, tell me more about this PA of yours. Najmi?” Mahirah akhirnya memecah keheningan suasana.
“Ya, Najmi. Apa yang awak nak tau pasal dia? Apa saja, Kak Rina akan jawab.”
“Yang paling penting, berapa umurnya?”
Zafifah dan Zahirah saling berkongsi pandangan. Sedikit lucu dengan soalan yang diajukan Mahirah. Namun mereka tidak berkata apa. Cuba menghormati pendekatan yang digunakan oleh Mahirah. Masing-masing punya cara tersendiri dan mungkin ini cara Mahirah. Siapa mereka untuk menentang?
“Umurnya?” Farina nampak blur seketika. Nyata dia juga terkejut dengan soalan Mahirah. Namun demi tidak membantah, walaupun dia tertanya adakah ia penting, dia tetap membalas. “Tahun ini dia akan genap 28 tahun.”
“Hmm… bukan seorang yang mentah, sebaliknya sudah mampu berfikir. Rasanya tanpa makan saya tak boleh syak…”
“TANPA makan tak boleh syak? Apa bendanya tu, adik?” Akhirnya Zahirah mengalih kepala dari skrin komputer ribanya. Dipandang Mahirah yang selamba sahaja kuak lentang di atas katilnya. Dengan beberapa helaian kertas putih, yang ada antaranya ada kesan celoreng di sana sini, juga sebuah kamus dan sebuah buku tentang serial killer.
“Mmm, maksudnya… sebelum kita kenal seseorang, jangan kita menilai dia. Lebih kurang gitulah kalau tak salah.” Mahirah tidak mengangkat muka, sebaliknya terus-menerus menghadap kertas putih di hadapannya. Sudah diconteng itu ini pada dadanya. Dengan penutup pen pada gigi, yang digigit-gigit semenjak tadi.
“Siapa yang bagi ayat tu pada adik?”
“Azam, bila adik tolak dia sebagai teman istimewa dengan alasan hanya mampu terima dia sebagai teman biasa. Dengar macam menarik, kan? Itu pasal adik pinjam tadi. Nak nampak… sofiskated. Like we know what we are doing.”
“Walaupun tak tau. Gitu?”
“Tak tau, sebab masih cetek ilmu, pengalaman. Adik tak akan mengalah, angah!” Kali ini Mahirah tidak lagi menumpukan perhatian pada kertas di tangan, sebaliknya matanya kemas ke paras Zahirah. Seperti biasa kakaknya itu selesa dengan kaca matanya tiap kali menghadap komputer atau sebarang bahan bacaan. Dan kini, Zahirah sedang menghadap sesuatu pada skrin komputer.
“What are you doing?” Mahirah mengangkat tubuh dari katil Zahirah seraya melompat turun. Panjang mengatur kaki ke meja tulis kakaknya.
“Just checking our company’s e-mail. What is wrong with you?” Zahirah nampak pelik.
“Hanun ada hantar e-mel tak?” Tanpa pedulikan soalan Zahirah, dia berdiri di sisi kakaknya itu. Menyandar pinggul ke meja tulis agar dia bersemuka dengan Zahirah yang duduk memaut betis di atas kerusi.
Kurus keding sungguh kakaknya ini. Selera makan boleh menang dia, tapi Zahirah dulu sampai kini kurus sangat orangnya. Untuk ketinggian 171 sentimeter, kakaknya hanya 50 kilogram. Sedang dia, yang setinggi 165 sentimeter pun sudah 53 kilogram. Paling comel antara mereka tentulah along yang nampak tembam dan rendah banding mereka berdua. Ketinggian 160 sentimeter dan berat 52 kilogram.
“What. Have. You. Done?” Satu per satu perkataan itu keluar dari bibir Zahirah. Namun mampu difahami oleh Mahirah akan maksudnya, dia yakin. Dia bukan baru kenal Mahirah. Bukan juga baru hari ini melihat senyum jongket sebelah gadis itu. Dia kenal Mahirah, juga senyum jongket sebelahnya.
Mahirah telah lakukan sesuatu tanpa pengetahuannya. Tapi, apa?
“Adik ingatkan Hanun ada e-mel. Sebab tu adik tanya gitu…”
“Adik, apa adik dah buat sebenarnya? Dan, kenapa pula Hanun tu nak hantar e-mel? Tentu dia dah sedar e-mel yang dia salah hantar tu. Mungkin saja kawan dia, si Hans tu, dah terima e-mel yang sepatutnya.”
“Mungkin juga Hans dah terima e-mel tu malah mungkin juga dia akan hantar e-mel pada angah, melalui e-mel agensi kita.”
Dahi Zahirah berkerut kecil. Sudahnya, tidak lama kemudian, dia merengus kasar. “You did not!”
“But I did!” Mahirah tayang gigi. Dia amat yakin, Hanun akan menghantar e-mel kepada angahnya malahan dia juga yakin Hanun adalah lelaki. Bukan perempuan, sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh Zahirah kepadanya. Malahan dia tahu Zahirah juga jelas, cuma tidak mahu mengalah dengannya.
Bunyi pintu utama yang dikuak membuatkan Zahirah dan Mahirah sama-sama pasang telinga. Hilang sudah nama Hanun atau jantina Hanun daripada benak mereka. Yang hadir hanya satu nama, hanya satu wajah. Dan mereka tidak dihampakan apabila suara milik nama dan wajah itu nyaring mencuri ruang pelupuk telinga mereka.
“Dah balik!” ujar Mahirah girang. Mula berlari anak keluar dari bilik Zahirah. Dia juga sedar akan Zahirah yang mengekori, dengan langkah yang laju.
“Oho… Mair dah balik…!”
Bersama jeritan itu, sebatang tubuh kecil bingkas berlari mendapatkan dua batang tubuh yang baru keluar dari bilik tidur. Terus menerpa ke arah kedua-dua mereka dan rela menerima kucupan serta ciuman betubi ke pipinya.
Umair Rasyad memeluk kemas Zahirah dan Mahirah, yang sama-sama duduk mencangkung membalas dakapannya.
Dari jauh, Zafifah melihat bersama senyum tipis. Si kecil itu memang terlalu akrab dengan kedua-dua adiknya itu, sepertimana dengan dia. Jadi, tak hairanlah kalau sesudah tiga hari tidak jumpa muka, Zahirah dan Mahirah melepas rindu seperti itu. Umair nampak hampir lemas. Kalau tak kerana ketawa girang penuh suka Umair dengan reaksi Zahirah dan Mahirah, sudah lama Zafifah jadi penyelemat si kecil dalam darjah lima itu. Melihat apa di depan mata kini, Zafifah benar-benar rasa apa yang pernah mereka hadapi balasnya bahagia. Terima kasih, Allah… Dan kekalkanlah yang begini dalam hidup kami adik-beradik.
Published on May 16, 2012 09:30
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
