.: dalam satu rasa [5] :.

RASYAD duduk bersandar tenang pada kerusi empuk di bilik yang pintu hadapannya tertera Pengarah Urusan Astana, membelakangkan daun pintu bilik besarnya yang ketika ini rapat bertutup. Dia pula sedang memerhati ke cermin telus di depannya, yang menghamparkan pemandangan terus ke persekitaran KLCC. Dari tingkat setinggi ini, semuanya saujana mata memandang. Dan nampak indah untuk mata yang letih dan penat apabila seharian dikerjakan, dipaksa menengok fail syarikat itu ini.
Masih lihat ke depan, seketika Rasyad memejam mata. Waktu untuk memanjakan mata sementara dia masih ada ruang. Ia sudah bekerja lebih masa, jadi waktu rehat perlu diguna pakai untuk merehatkan ia. Dengan mata terpejam, Rasyad sandarkan kepala pada kerusi empuk yang membengkok dengan berat badannya yang dilepas sama. Tubuh badannya yang lampai itu juga perlukan rehat yang cukup. Tubuhnya itu juga sudah reti minta rehat. Mana tidaknya kalau dia guna serupa dia boleh ganti yang baru bila-bila. Macamlah kat rumah ada tiga untuk simpanan kemudian hari, rosak boleh ganti! Ingat Iron Man ke!
Mungkin kerana terlalu lelah dengan hal sekeliling, Rasyad langsung tidak sedar bila dia terlelap. Yang dia sedar, dia terjaga apabila pintu biliknya diketuk dari luar. Terus sebelah tangan ke mata, menutup seketika. Kemudian mata dibuka dan dikelip-kelipkan. Mata itu masih letih, tubuh ini masih penat. Entah bila bakal hilang…
Sambil memusing kerusi, kembali menghadap arah pintu yang masih ada ketuk-ketuk, Rasyad bersuara, “Masuk.”
Daun pintu terbuka lalu terjengul muka pengarah bahagian operasi Astana, merangkap kawan paling baik Rasyad pernah ada dan sampai sekarang masih berkongsi rahsia. Semuanya kerana lelaki sebayanya itu dikenali sudah terlalu lama. Vincent Goh atau Vince untuk kawan dan kenalan rapat dia kenal semenjak zaman berseluar biru lagi.
“Hello, my friend. You’re not eating?” Vincent akhirnya membawa sepenuh tubuh ke dalam bilik Rasyad, bos yang sampai sekarang melayannya sebagai kawan banding sub-ordinate.
“Aku tak rasa nak makan…” ujar Rasyad bangun dari kerusi, membuka kot pada tubuhnya lalu diletak pada kerusi. Tali leher bercorak abstrak yang jadi kegemarannya dilonggarkan malah tiga butang atas turut ditanggalkan. Santai. Itulah tema dia kalau di depannya Vincent. Tak ada maknanya nak tunjuk persona Pengarah Urusan Astana.
“Kau tak rasa nak makan, tapi perut kau…” ujar Vincent senyum kecil sambil angkat bungkusan kertas di tangan sedikit tinggi. Mendekati meja kopi di ruang besar bilik itu, dia letak bungkusan itu di situ lalu duduk di atas sofa kulit berwarna hitam di situ. Kemudian, Vincent ketuk-ketuk sampingnya, pandang Rasyad.
Rasyad senyum dengan aksi Vincent itu. Manalah tak ada yang salah tanggap dengan hubungan mereka yang lebih baik daripada isi dengan kuku itu. Mendengar ‘kata’ aksi Vincent, dia mengatur kaki ke ruang itu lalu terus melabuh tubuh di sebelah Vincent. Sekali letak macam lepas segala.
Vincent menggeleng-geleng sekejap kemudian terus membuka beg kertas berisi sandwic telur dan minuman panas, untuk Rasyad. Selalunya dialah yang belikan makan tengah hari untuk Rasyad kalau teman itu tidak keluar makan. Beli yang tidak terlalu berat, hanya untuk mengalas perut agar tidak berbunyi nanti. Sebab, kalau Rasyad tidak keluar makan tengah hari, itu maknanya Rasyad tiada selera untuk makan. Namun, demi dia yang membeli dan sebagai tanda menghargai, Rasyad akan kunyah perlahan-lahan makanannya. Kalau lapar sangat dan selera makannya ada, Rasyad biasanya meminta Subashini memesan makanan untuk mereka berdua. Waktu itu, bilik Vincent yang jadi gelanggang makan penuh rakus. Rasyad akan datang mencari. Jadi, kalau Rasyad tidak melakukan ia, tahulah Vincent Rasyad dalam mood yang bagaimana.
Vincent pandang sekilas Rasyad yang sudah mula mengunyah perlahan-lahan. Serupa anak dara segan nak makan depan bakal suami pun ada. Alahai… sebab itulah ramai yang salah faham.
Perasankan mata Vincent kepadanya, Rasyad melihat teman itu lalu jongket muka sedikit. Bertanya dengan aksi sebegitu.
“Sampai bila nak macam ni?”
Rasyad angkat bahu. “It’s not like I want to be like this, Vince…” cakapnya sesudah menelan sandwic di dalam mulut.
“Ya, aku tau. Tapi sampai bila? Kau dah cuba cari, guna setiap pengetahuan kau pasal dia… kau dah usaha cari. Tapi… nampak sangat dia nak menyorok. Dia tak nak kau jumpa dia. Jadi, kenapa…? Dah 12 tahun. Entahkan kau jumpa dia kau masih cam ke tak…”
“Aku akan cam!” tegas Rasyad meletak semula sandwic yang sudah separuh dimakan ke dalam bekasnya.
Vincent mengangguk. “Baik. Tapi dia akan cam kau? Dia akan ingat kau… sebagaimana kau masih ingat dia? Kau tau kan apa yang dia dah buat kat kau… Apa dah jadi kat kau…”
“Bukan sebab dia semua ni jadi, Vince. Sebab aku… Sebab aku tak boleh lupa dia. Sebab aku masih ingat dia. Sampai sekarang…” Rasyad bersandar longlai pada sofa, separuh tubuh menyenget macam bakal menggelongsor jatuh.
Vincent bangun, mendapatkan meja kerja Rasyad yang bersih. Hanya ada sebuah komputer riba dan sebuah bingkai gambar Rasyad bersama orang tuanya. Berdiri hampir dengan kerusi Rasyad yang rapat masuk ke meja, dia buka laci paling atas di meja itu. Laci yang selalu Rasyad kunci selepas keluar dari situ, walau ke mana pun dia pergi, walau seketika mana pun dia pergi. Kerana di dalam laci itu ada tersimpan hatinya. Hati yang Rasyad takut akan hilang.
Menarik laci tersebut, yang ketika ini tidak berkunci, Vincent capai sebuah bingkai gambar. Gambar seorang gadis 18 tahun, hitam manis, indah tersenyum, di samping Rasyad yang muda 12 tahun.
“Aku tak nampak apa yang kau tak boleh nak lupa kat dia…” Vincent masih tatap tak lepas wajah yang memang dia akui manisnya itu. Tapi kalau dikira mata yang memandang, terutama sekali dia yang melihat gambar tersebut sejak dulu, gadis ini biasa saja. Dalam kategori okeylah.
Jadi, sampai kini Vincent tak faham mengapa Rasyad yang kacak selalu itu, jadi idaman dan kegilaan wanita itu, masih tak boleh lupa perempuan kategori okeylah ini.
“Sebab kau tak tinggal hati kau kat dia…” jawab Rasyad selamba, mula senyum.
Vincent angkat bahu, simpan elok gambar ke tempatnya lalu kembali duduk di sebelah Rasyad. “Jadi… mama kau macam mana?”
“Dah diam…”
“Eh, macam mana boleh jadi gitu? Kan sebelum ni bukan main lagi suruh kau kahwin, siap paksa bagai…” Berkerut dahi Vincent. Macam tak boleh nak terima hakikat pun ada.
Bukan Vincent tak kenal dan tak nampak bagaimana tegarnya mama Rasyad, yang dia panggil bonda semenjak dulu. Datin Suraiyah yang berdarah bangsawan itu memang ada karisman bonda yang selalu dia lihat dalam cerita Melayu klasik.
“Dia dah tau sebab aku berpisah dengan Zety.”
“Tahu? Macam mana…?”
“Aku mintak Zety terus terang dengan mama. Sebab aku rasa bersalah kat Zety. Setiap kali dia nak aku jumpa anak Datuk tu, anak Tan Sri ni… mesti ada benda tak elok dan tak sedap pasal Zety dia akan kaitkan. Mama aku tuduh Zety curang dan perkahwinan kami tu sekerat jalan sebab Zety ada laki lain. Yalah, tak lama lepas edah kan Zety terus kahwin. Tapi…” Rasyad mengeluh. “Zety tak pernah buat salah untuk dapat tuduhan isteri curang atau simpan lelaki macam tu. Jadi, dua minggu lepas aku ajak Zety dengan mama, berjumpa dan berterus terang…”
Vincent mengangguk-angguk seketika, kemudian berkerut dahi semula. “Jadi, mama kau tak kisah? Setuju dengan niat kau nak cari sampai jumpa pencuri tu…?”
“Pencuri?” Rasyad senyum apabila dapat faham. “Entah… Kurang bunyi, kurang kata sekarang mama aku tu. Cuma…” Rasyad sungguh-sungguh sengih tayang gigi.
“Apa?” gesa Vincent nak tahu sangat.
“Angin bertiup kat ofis dah sampai ke telinga mama aku rasanya. Kita ada 007 dalam ofis ni…” Rasyad gelak-gelak.
Vincent ikut ketawa kecil sekejap. “Bonda percaya ke?”
“Kata abah, ada satu malam dia tak tidur fikir hal orientasi songsang aku. Dia siap cadang berhentikan kau dari sini kat abah, untuk elak hal orientasi songsang kita… berpanjangan.” Ketawa.
Vincent juga ketawa. Tergeleng-geleng kepala kemudian. “Hai… siapalah 007 kita ni yek…”
Rasyad buat selamba, angkat bahu. Kemudian terus sambung makan sandwic. Manakala Vincent hanya diam sambil sesekali kerling Rasyad. Ada lega melihat rakan baiknya mula ada selera hendak makan. Tak macam segan makan depan bakal suami dah. Gaya makan depan suami sungguh.
Bunyi yang terdengar-dengar buat Vincent alih muka ke bidai yang menutup ruang bilik itu, membuatkan pihak dalam tak nampak apa jadi di luar dan pihak luar tak lihat apa kes di dalam. Selalunya, waku rehat, memang Rasyad akan menutup bidai itu. Tak mahu jadi bahan pandang. Tepat jam 2.00 petang, bidai langsung dibuka. Kerana mata Rasyad juga perlu pandang ke luar sana. Untuk lihat kualiti kerja staf Astana yang dimulakan oleh Datuk Radhi dan kini di bawah pengurusan Rasyad, sepenuhnya. Datuk Radhi hanya bertindak sebagai pengerusi.
Tanpa kisahkan Rasyad, Vincent bangkit lalu hampiri bidai, disebak sedikit. Matanya terus ke arah meja Subashini, gadis berketurunan India yang sudah hampir lima tahun menjadi setiausaha kepada Rasyad. Gadis hitam manis yang bertubuh sedap itu gemar sangat memakai pencil skirt dan blaus lengan panjang. Menyebabkan langkah Subashini jadi kecil dan kalau gadis 30-an itu hendak bergerak laju… alahai, gugur jantung dia yang melihat lenggok pinggulnya. Seksi!
Tapi, Vince, sekarang abaikan seksi-meksi anak dara tua itu sebaliknya beri tumpuan pada apa dia sedang lakukan, arah Vincent kepada diri, terus perhati. Perasan Subashini mencapai telefon bimbit dari beg tangan Carlo Rino berwarna merah yang agak besar. Sambil lihat sekitar, Subashini buka langkah kecil laju-laju, terus ke pantri di tingkat itu. Tingkat yang dikhaskan untuk pihak berjawatan paling tinggi sahaja. Memerhati lenggok pinggul Subashini, hampir tergoda lalu kembali sedar diri, Vincent akhirnya senyum tipis. Kemudian dia pandang Rasyad yang sedang mengemaskan sisa makanannya.
“Aku ambik jus kat pantri. Sekejap lagi aku datang balik.” Berkata begitu, terus Vincent berlalu mendapatkan pintu dan melangkah selaju mungkin namun sesenyap boleh. Dia hendak sekodeng. Jadi, tak bolehlah beritahu pihak bakal kena sekodeng.
Tiba di pantri, Vincent berdiri di samping pintu masuknya. Di dalamnya dia dengar suara lunak Subashini yang sepertinya, fasih berbahasa Melayu. Bercakap dengan seseorang, yang butir cakapnya dia tak berapa hendak boleh tangkap. Tapi satu patah perkataan itu cukup jelas di telinganya. Datin. Vincent menjeguk muka, melihat Subashini yang besar mata nampak dia.
“Mmm…” Subashini tak turah. “Mmm… nanti saya telefon balik ya.” Tak dan-dan, dia matikan telefon bimbit.
Vincent atur kaki, masuk ke pantri dan berdiri betul-betul di hadapan pintu masuk ke pantri. Juga satu-satunya pintu keluar. “You terus matikan call macam tu, tak marah ke Datin kat you?” Menyakat, sinis.
Subashini telan liur kesat. Tangan menggenggam telefon bimbit ke dada manakala sebelah lagi membetulkan sanggul rambutnya yang diikat bulat, sedikit tinggi lalu rambut hadapan dicekak kemas supaya tidak terganggu pandangan. Walaupun itu hanya stail cincai, dengan getah hitam biasa, namun ramai yang kata nampak comel untuk dia. Tapi sekarang bukan itu halnya.
“Mmm…” Subashini cuba-cuba hendak bersuara.
“Youlah 007 ya?” perli Vincent melangkah ke hadapan, menghampiri dan Subashini yang mula menggelisah bergerak ke belakang. Satu langkah dia ke depan, dua langkah Subashini ke belakang bahana skirtnya.
“Mmm… saya boleh terang…”
“Jadi you syak I dengan bos you…” Akhirnya Vincent berhenti di depan Subashini yang tidak boleh berganjak lagi. Belakang tubuh itu bagai hendak melekat pada kabinet di situ. Hendak terus menggentarkan Subashini, Vincent letak tangan kiri dan kanan di atas kabinet, mengunci Subashini di situ.
“I boleh buktikan, I bukan…” Vincent tundukkan sedikit muka, dekat ke muka Subashini yang kian besar mata bulatnya dan makin ke belakang dan ke belakang wajah itu.
“007 I… ini buktinya…” Bersama senyum, Vincent mula menggatal. Asyik tergoda, apa salahnya dia mula menggoda!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2012 09:30
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.