Azmah Nordin's Blog, page 7

September 5, 2011

Sudut Pandangan; Bagaimana Nak Pilih?

Sudut pandangan adalah perspektif daripada arah mana cerita itu disampaikan. Kita mungkin akan memilih untuk menyampaikannya dari Sudut Pandangan;

Orang Pertama = Saya, aku atau kami.

Orang Kedua = Awak, engkau, kau.

Orang Ketiga = Dia, ia

Sudut pandangan di mana menggunakan `saya' atau `kami', menggambarkan penulisnya sebagai bahan atau watak dalam karya penulisan kreatif itu. Mungkin saja penulisnya (watak dlm karya itu) memilih untuk memegang watak kecil cuma, sebagai pemerhati kepada pelbagai aksi/drama di sekelilingnya, menyaksikan watak utama (hero dlm karya itu).

Sementara sudut pandangan Orang Pertama biasanya membenarkan khalayak pembaca berasa dekat dengan watak tertentu dalam karya itu (penulisnya), ia juga membatasi kpd satu perspektif itu saja. Pembaca hanya tahu apa yang watak ini tahu. Segelintir penulis, terutama sekali penulis baru, ada kecenderungan utk `trsangkut/terbuntu' apabila menggunakan kaedah sudut pandangan Orang Pertama ini. Lebih baik dan luas jangkauan penulisnya, jika menggunakan sudut pandangan Orang Ketiga.


Sudut pandangan Orang Ketiga, menghadkan penulis pada pemikiran dan perasaan watak yang satu itu saja - kecuali anda cukup mahir dan mampu mempelbagaikan penggunaan sudut pandangan Orang Ketiga ini. Sudut pandangan Orang Ketiga memberikan lebih kebebasan dibandingkan dengan sudut pandangan Orang Pertama, tapi kurang daripada Sudut Pandangan Orang Ketiga yang Serba Tahu.

Jika anda baca novel Anna Karenina, di mana ia ditulis dari sudut Orang Ketiga yang Serba Tahu semuanya - ditulis orang pengarang yg serba tahu segalanya, membenarkan kita melihat dari sudut pandangan ramai watak, bukan hanya sudut pandangan Anna.

Sebagai penulis, anda perlu berfikir secara strategik untuk memilih sudut pandangan yang boleh memudahkan anda membina karektor anda dengan lebih berkesan. Saya sendiri lebih senang menggunakan sudut pandangan Orang Ketiga dlm setiap karya saya, kerana rasanya ia kurang bersifat peribadi (dan agak mengganggu emosi) dan membolehkan saya lebih ruang utk berkreatif.

Walaupun sudut pandangan Orang Pertama boleh menjadi sangat kukuh (emosi, psikologi), sudut pandangan Orang Ketiga lebih versatile dan fleksibel. Orang Ketika membenarkan anda menciptakan sebuah jagatraya yang lebih kaya dan kompleks. Novel seperti Anna Karenina, misalnya, hanya boleh ditulis dari sudutpandangan Orang Ketiga.

Cuba Pelbagaikan Penggunaan Sudut Pandangan

Lazimnya, penulis baru lebih cenderung berkarya dari sudut pandangan Orang Pertama, samada kerana ia lebih mudah atau kerana memang meraka menghasilkan karya itu tentang diri sendiri. Biarpun cerita anda ialah tentang autobiographi anda sendiri pun, kenapa tak cuba menulis dari sudut pandangan Orang Ketiga? Ini akan membantu anda untuk tidak terikat secara emosional dan boleh membuat anda menulisnya dengan lebih berkesan lagi.

Andainya anda rasa `tersangkut/terbuntu/ fikiran dlam menghasilkan karya anda, kenapa tidak cuba berpindah ke sudut pandangan yang lebih fleksibel? Ini bermakna, berpindah dari sudut pandangan Orang Pertama kepada Orang Ketiga. Mungkin, sebagai penulis baru, anda akan merasa sangat tersiksa apabila terpaksa menulis semula karya anda dari sudut pandangan Orang Ketiga, tapi untuk penulis profesional, eksperimen seperti itu adalah salah satu bahagian dalam dunia penulisan kreatif. Menyeronokkan juga, percayalah :)



(sdr.2. seperti sebahagian drpd artikel dlm blog ini, ilmu sudut pandangan ini saya perolehi lewat sifu2 lain di internet dlm bahasa inggeris - dan saya gabungkan dgn ilmu dan pengalaman sendiri)

...http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 05, 2011 07:44

August 28, 2011

Alny Leora

alny,  di sinilah kelas cerpen pertama anda bermula. ini yg perlu anda lakukan;



1.  beri nama penuh, usia, status sama ada pelajar atau pekerja, berasal dari mana, suku kaum - bagi memudahkan puan pengurus mendaftar anda nanti.



2. postkan balik sinopsis yg telah anda perbaiki ke thread ini



3. tukar nama watak2 nya





aitu dulu alny,  esok malam kita jumpa lagi,  gigih terus khttp://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2011 23:16

June 6, 2011

Sastera Sabah Sudah Mati?

(Sdr.2 sekalian :) bersama ini ingin saya kongsikan artikel terbaru saya yang sudah terbit di WADAH, DBP Sabah.)



Benarkah Sastera Sabah mati? Soalan ini pernah hangat di persada sastera Sabah, baru-baru ini. Saya ada dua jawapan untuk soalan ini;



Jawapan pertama;







Tidak, Sastera Negeri Sabah tidak mati, namun saya rasakan Sastera Sabah mengalami kecederaan parah jiwanya akibat darpada kurang dihargai dalam masyarakat kontemporari. Bolehkah kecederaan sembuh dengan sendirinya, jika kian hari kita kian boleh disogokkan dengan gambaran bagaimana hampir semua kedai-kedai buku di mana-mana pun, dipenuhi dengan karya-karya picisan. Sedangkan karya-karya sastera bermutu tinggi bagaikan tidak pernah layak untuk bersaing dalam pasaran dengan karya-karya picisan, di kedai-kedai buku seperti ini.



Kemudiannya, ada pula yang mengatakan bahawa karya-karya sastera, terutama sekali novel, terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh masyarakat golongan kelas bawahan dan menengah. Dengan kerjaya hakiki yang menuntut setiap fokus dan masa mereka, membaca dan menulis adalah sesuatu yang terlalu `mewah’ dan tidak mampu mereka miliki. Saya tak tahu sama ada mahu menyetujuinya ataupun tidak. Yang pasti, semua orang tidak tahu; perkataan `mewah’ itu selalunya dikaitkan sesuatu yang bersifat kebendaan seperti kereta, makanan, penginapan, perjalanan dan seumpamanya. Dan, lazimnya, benda-benda mewah ini hanya mampu dibeli oleh mereka dari golongan kelas elit saja.



Anehnya, jika ini benar, mengapa mereka dari golongan kelas elit ini, kebanyakannya cenderung menjauhi karya-karya sastera dalam bahasa Melayu. Mereka beli juga karya-karya sastera, tetapi dalam bahasa Inggeris – tapi bukan untuk dibaca, sebaliknya untuk dijadikan perhiasan di kabinet2 buku mereka, untuk menunjukkan mereka hebat, mampu menelaah karya-karya dunia, konon! Jadi, ini tentunya bukan soal wang bagi golongan kelas elit ini, bukan?



“Mana kami ada masa mau berjam-jam duduk membacanya begitu?” rintih masyarakat kelas bawahan yang merungut akan ketidak-mampuan mereka membeli karya sastera. Uina! Mau beli makanan dan bayar sewa rumahpun, kami sudah hampir putus nafas, bagaimana mahu beli buku karya sastera?”



“HIsy, karya puisi, cerpen ataupun novel begitu kompleks untuk difahami, begitu membosankan, hanya sesuai dibaca oleh si kaki buku saja. Lebih senang baca buku picisan thriller biar lebih 600 ms drpd membaca novel sastera. Lebih menghiburkan.”kata masyarakat kelas menengah pula, acuh tak acuh.



Terkejut tidak anda, jika mendengar pengungkapan sesinis itu. Padahal, pada hakikatnya, sastera bukan diwujudkan hanya sebagai tulisan yang mempunyai gaya bahasa yang indah dan menarik saja. Sastera adalah sebuah ekspresi manusia yang disampaikan dengan menggunakan bahasa yang dikuasai sebagai wadah; ia begitu penting kerana berguna untuk menggambarkan kewujudan manusia dan bermutu.tinggi. Sastera adalah pengembangan daya jangkau pemikiran/perenungan untuk memahami kehidupan dan seluruh fenomenanya, pencarian jiwa dan batin terhadap pelbagai makna, pengembaraan, pengutaraan pengalaman antara manusia dengan manusia, antara manusia dengan alam, antara manusia dengan Tuhan Yang Maha Esa. Sastera bukan sekadar sebuah cerita yang padat dengan pelbagai bentuk symbol, ungkapan dan permaian gaya bahasa, sebaliknya ia adalah ilmu adalah ilmu yang mampu mengenal pasti sikap, pilihan sudut pandangan dalam menelusuri kehidupan dan menterjemahkan pelbagai makna dengan tepat kepada pembacanya yang mencari jati diri. Tidakkah itu cuup penting dan berharga untuk setiap manusia?



Jadi, apa masalah sebenarnya, hingga ada yang beranggapan bahawa sastera sudah mati?

Kemudian, timbul pula persoalan tentang tuntutan; masyarakat golongan menengah mahukan buku bermutu rendah, golongan kelas bawahan tak minta apa-apa pun (kalau minta pun tak mungkin dapat kan?), sementara golongan kelas elit pun lebih kurang sama tuntutan mereka dengan yang dari golongan kelas menengah, dan mungkin mereka juga baca jumlah buku yang sama dengan golongan menengah. Sedangkan golongan kelas menegah inilah yang paling ramai dalam sesebuah masyarakat, dan apakah kita akan terkejut dan lalu bersetuju apabila kebanyakan penulis dan penerbit bersedia untuk memenuhi citarasa mereka?





Jadi, soalnya sekarang, mengapa harus membaca karya picisan yang mampu membunuh minat pembaca membaca karya sastera?



Secara peribadi, saya rasa, tidak salah jika sesekali kita membaca karya picisan, jika sekadar untuk meringan-ringankan minda, sebabnya, karya picisan sendiri adalah ibaratkan makanan ringan.



Saya juga, sesekali mencicip makanan ringan ini, dengan penuh kesedaran bahawa makanan ringan adalah makanan tanpa khasiat yang berguna untuk tubuh manusia. Apabila terlalu kerap dan hanya memakan makanan ringan ini, apa akan berlaku? Kulit akan kering, tulang dan otot-otot pada seluruh badan yang kekurangan khasiat ini akan lemah.



Begitu juga apabila kita terlalu banyak atau hanya membiarkan minda kita `memakan’ karya-karya picisan yang sangat-sangat ringan sifatnya; jiwa dan batin akan kering, otot-otot pada semangat juang akan lemah dan sebagainya.



Siapakah yang ingin kita persalahkah, jika kita sendiri yang melakukannya ke atas minda, jiwa dan semangat juang sendiri? Siapa yang hendak dipersalahkan, jika sastera mengalami kecederaan parah kini, hinggakan bernafaskan sukar sudah sekarang? Apakah kita, pejuang-pejuang sastera, tergamak membiarkan saja atau menyembunyikan sastera yang mengalami kecederaan parah itu di sudut gelap, ataupun kita bangkit merawat kecederaan itu dengan semangat yang tidak mudah patah?

2. Jawapan kedua;



Yes, sastera memang sudah mati bagi mereka yang gagal menyedarii, menghargai nilai dan lalu memutuskan hubungan dengan karya sastera. Padahal, lewat karya sastera, seseorang pembaca itu boleh terpukau dengan keindahannya, mendapat inspirasi dengan merawat segala kebencian dan kepahitan dunia realiti dengan sastera Pendek kata, sastera adalah ubat.



Berbeza dengan mereka yg beranggapan bahawa Sastera Sabah sudah mati, seperti anda dan saya dan semua mereka yang mencintai dunia sastera, serta terpesona dan terus kekal mewarisinya lewat persatuan-persatuan yang berwibawa seperti Badan Bahasa Sabah, Ikatan Penulis Sabah dan lain-lain, Sastera akan terus mekar zaman ke zaman, insya Allah. Tiada apa pun usaha kita akan mati, selagi kita terus berusaha menghidupkannya, dan kemudian kita wariskan kepada generasi muda utk meneruskannya dgn gigih juga. Berjuang untuk mengembalikan sastera di medan pasaran buku hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, memiliki kekuatan yang hebat seperti sewajarnya, memasuki kabinet-kabinet buku di setiap rumah, di setiap rak kedai-kedai buku di setiap pelusuk daerah, pekan, bandaraya dan di setiap perpustakaan kecil dalam bangunan-bangunan kerajaan.



Dan yang paling penting, kita teruskan perjuangan dan tidak menyalahkan sesiapa pun, di atas kegagalan kita sendiri – jika kita gagal sebab tidak berusaha menghidupkannya.



http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2011 04:31

May 1, 2011

Cerpen; Farah

farah,  oleh kerana  saya tak jumpa di mana hilangnya thread anda yang terdahulu, maka saya buatkan anda thread baru.  untuk itu, sebelum mengepos karya anda di thread ini,  anda perlu post balik sinopsis cerpen, sbb saya dah lupa pada jalan ceritanya. dan perlu post balik butiran peribadi anda, nama penuh, usia, jantina, kerjaya/sekolah, suku kaum - simple2 je, supaya boleh ingat balik siapa itu farah.

bila buat posting,  pastikan anda copy and paste kat sini, satu ms demi satu ms,  secara berperingkat, sbb kotak komen trlalu kecil untuk mengangkat manuskrip banyak2 sekali gus.

gigih terus khttp://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 01, 2011 04:29

March 14, 2011

Amy - bimbingan cerpen

Amy, saya sudah buka thread cerpen dan pindahkan sinopsis anda ke sini.


Sila baca komen sifu...




-kak ainihttp://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2011 03:56

February 27, 2011

Sipnosis

salam semua, nanti masukkan sinopsis cerpen anda untuk dinilai di thread/ruangan ini, andai didapati sinopsis itu cukup kuat untuk dijadikan sebuah karya yang lain daripada yang lain dan bermutu tinggi,  akan kita teruskan ke kelas cerpen di thread peribadi anda sendiri yang akan diwujudkan nanti khttp://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2011 04:52

January 24, 2011

Menerap Ilmu Dlm Mikrotom

(saya paste kan sedutan cerpen bertema perubatan ini khas utk sesiapa yg ingin melihat bagaimana hendak menerap ilmu secara kreatif. Cerpen ini memenangi tempat pertama, Hadiah Sastera Maybank & Gapena dan Hadiah Sastera (S))



MIKROTOM

Dia menenjegukkan kepalanya ke luar, melihat
suasana petang di luar pejabatnya. Cuaca di luar kelihatan
cerah dan hening. Dalam meninjau-ninjau suasana di luar
itu, tiba-tiba pandangannya terhenti pada halaman
bangunan hospital terkemuka, yang terletak nun jauh di
bawah sana. Kini bayang-bayang bangunan hospital itu sudah beralih dan memanjang ke arah timur. Seterusnya
dia meleretkan matanya ke persekitarannya; pandangannya
menangkap pucuk pohon-pohon bunga yang meiambai-
lambai di udara, yang berada sayup-sayup darinya.
Ternyata tiupan angin semakin kencang, sekencang gelodak
hatinya, yang mendesis-desis lalu dihimbau lewat hem-
busan nafasnya.

Secepat itu, Lajim mengeluh resah lalu duduk di
kerusinya. Mengapa dia harus sampai jadi begini? Mengapa
mesti dia diburu semacam rasa ngeri dan ngilu, bagaikan
isi otaknya dihiris-hiris dengan sinar mikrotom, yang
memijar panas itu terus-terusan? Mengapa perlu dia
memikirkan yang bukan-bukan dan menempiaskan udara
hangat tajam yang mengalir daripada mulut Dr. Alang yang
celopar itu ke dalam benaknya? Mengapa?

Dengan tiba-tiba dia tersentak. Eh! Benarkah baru sebentar tadi
dia telah menelan dua butir pil Dexedrine? Mustahil dia
dia lupa. Mustahil. Tetapi ... ah! Kacau ini! Kacau!
Betapa dia teringin menghela nafas panjang bagi
nengizinkan suatu kelegaan, berkisar lembut ke dalam
embuluh dan langsung meresap ke dalam paru-parunya.
etapa dia teringin mengungkai gelojak perasaan yang
berantai-rantai dalam dadanya. Begitu dia teringin
memujuk hatinya; percayalah! Percayalah! Dia pasti akan berjaya
dengan amat cemerlang dan kemudiannya mengecapi suatu
macam kepuasan dan jungkir balik menyelinap ke dalam
warna-warna dirinya.

Dia perlu percaya pada keyakinan dirinya. Biarpun
setelah disoalsiasatkelak, sebaik-baik sahaja doktor pelatih
yang bermulut celopar itu membuat dakwaan terhadapnya,
Dia tetap akan selamat. Lagipun, siapa kata kemenangan
terletak pada pihak yang benar? Bukankah sudah banyak
bukti, kemenangan terletak pada yang kuat? Yang
berkuasa? Yang berpengaruh? Dia perlu yakin tentang ini.

Sambil mengancing gigi, dia terus mengisar punggung
kerusi empuk berwarna maroon itu. Matanya yang
berbinar-binar liar terus merenung sebatang pensel di
tangannya yang terketar-ketar. Hujung pensel itu diketukkan
permukaan meja, berulang-ulang kali. Buat beberapa
dia memejamkan matanya rapat-rapat, cuba mengawal-
perasaan yang membuak ganas dalam dadanya yang
membuak ganas dalam dadanya yang bidang.

Dengan kesabaran yang sudah lenyap entah ke
mana, dia menghumbankan pensel itu sehingga patah dua.
Seperti dia ingin mematahkan tengkuk, lalu memisahkan
daripada jasad doktor pelatih itu, daripada
terus-menerus mencengkam pernafasannya.

Angin yang berhembus dari alat hawa dingin, berkisar
di ruang pejabatnya yang dilengkapi dengan pelbagai
perabot mewah. (Udara dingin bagaikan cuba membelai
bahagian atas kepalanya yang tidak berambut itu, terasa
seperti meruap panas dan membakar seluruh urat sarafnya.
Aneh. Amat aneh. Dia seperti dapat melihat sesusuk
tubuh lelaki muda yang berjubah putih, layak dengan
statusnya sebagai seorang doktor muda, berdiri antara ahli
keluarga atau waris bekas para pesakit yang pernah
menjalani pembedahan di bawah tangannya yang sentiasa
menggeletar itu. Dia dapat mengenali lelaki muda yang
menonjolkan rasa simpati luar biasa ketika melayan ahli
keluarga atau waris bekas pesakit-pesakitnya.
Huh! Serta-merta hati Lajim membara. Pengkhianat!
Tidak mampu melaksanakan ethical dufynya dengan baik!
Pada ketika-ketikanya, dia ingin sekali melihat doktor
pelatih bermulut celopar itu menghormatinya, mengagumi-
nya, mempercayainya dan sebagainya. Tetapi, pada saat
ini, dia ingin sekali melakukan pembedahan ke atas doktor
pelatih itu, dan kemudiannya menghiris-hiris otaknya
dengan sinar mikrotom. Baru puas hatinya. Baru padan!

Sejurus, dia cuba memujuk hatinya. Bertenang. Ber-
tenang...! Huh! Statistik konon! Mentang-mentanglah aku
lebih berjaya daripada mereka di hospital terkemuka ini,
tergamak mereka menuduhku semakin cuai dalam me-
laksanakan kerja-kerja pembedahan itu.

Aneh. Lucu. Malah amat menjelikkan. Hisy! Takkanlah
bencana yang berlaku10 tahun yang lalu, di sebuah
hospital lain di bandar raya lain itu, akan berulang pula
di hospital terkemuka inikepadaku? Ah! Biar apa pun,
biar di mana pun, mereka tidak sepatutnya melakukannya
sekali lagi kepadaku. Tidak patut! Bahkan tidak wajar dibiarkan berlaku sama sekali!

-----

selebihnya anda boleh baca dari antologi persendirian Titian Gelora k :

http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2011 07:24

January 18, 2011

Tunjuk - Bukan Beritahu

Kata orang, seorang guru (sifu?) yg baik, bukan mengajar apa yg dia tau. Tapi menunjukkan cara bagaimana dia memperoleh ilmu itu, supaya pelajar dia boleh memperolehi ilmu itu sendiri - mungkin dgn lebih baik lagi. Betulkah? Wallahualam. Tapi, yang pasti, sebuah karya yg baik, bukan memberitahu maklumat/informasi secara melulu begitu saja, sebaliknya dia akan menunjuk/gambarkan maklumat/informasi itu supaya boleh `hidup' di dalam minda pembaca. Jom bezakan antara ayat `tunjuk' dgn ayat `beritahu' dan cuba teka yg mana satu yg hidup, yg mana satu mati.



Anda rasa karya anda harus lahir dlm bentuk yg bagaimana, antara dua di bawah ni?





Ok, contoh ayat `beritahu';





Suli yg berada di Kuala Tempasuk itu, sangat sedih. Dia selalu teringatkan kebakaran yg di kampungnya dulu. Dia selalu terbayang-bayangkan orang2 kampung yang menangis semasa kebakaran itu berlaku. Dia sentiasa berdendam dengan orang yg menyebabkan kebakaran rumah2 kampungnya. Dia berjanji pada diri dia sendiri, dia akan menuntut bela. Dia lalu berlari pantas ke arah kudanya yg sedia menanti. Dalam senja itu, dia nampak bulan sabit.




Contoh ayat `tunjuk';



"Suliii...!"



Dengan himpunan segala kekuatan, dlm kengiluan apabila terdengar ratapan dan raungan yang ngeri, dalam suasana langit yang terserlah cahaya cerlang pada kesuraman senja, disertai kepulan asap hitam campur merah yg bergawang-gawangan mengintari alam, dia berkejar pantas ke arah tempat kuda terunanya tertambat. Cuping telinganya sempat menangkap bunyi daun-daun pohon pari-pari mempari yg menjulang tinggi itu, bergeseran dipuput bayu dalam cuaca yang kering-garing, seperti mencuba membelai hatinya yang kering-garing dibakar bara dendam yang lama terpendam.



Gerak langkahnya dipercepat, biarpun terasa daun kering pohon pari-pari mempari dan bunganya yang berjambak-jambak, berguguran dan ada yang melayah turun, menyentuh kepalanya, seperti mencuba menyentuh alam kesedaran yang dipacu sejuta nafas tersepit. Begitu dia meneruskan lariannya, menyusuri pinggiran pantai Kuala Tempasuk, di daerah Kota Belud itu, dia membulat tekadnya. Biarlah bulan sabit yang tinggi melewati puncak Kinabalu dengan cahaya cerah menerangi jagat raya itu, menjadi saksinya. Dia pasti akan menunaikan suatu pengharapn, suatu keinginan yang bangkit menatang keharuan, suatu janji pada diri sendiri yang bertolak dari titik-titik derita.



"Pastiii...!






(ayat-ayat di atas tu, adalah petikan drpd novel Dari Dalam Cermin yg memenangi tiga hadiah berturut2. 1) Pemenang Hadiah Pertama Peraduan Menulis Novel, Kerajaan Negeri Sabah & DBP, Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Malaysia)





Menggambarkan Secara Kreatif;



Apabila diminta menggambarkan suasana, peristiwa, perasaan dan sebagainya, anda sebenarnya bukan saja diminta utk mengait-sulatkan bait-baik indah ke dalam karya anda, setiap perkataan itu seharusnya tepat dan mempunyai kaitan dan makna yg mendalam. Juga, pelbagaikan.





Penggunaan Ayat Yg Pelbagai


Untuk mempastikan supaya pembaca dapat mengalami sepenuh ttg apa yg anda tulis, mereka seharunya mampu melihat, mendengar, merasa, menghidu, menyentuh dunia di sekeliling mereka. Cuba gunakan bahasa2 yg pelbagai dan indah, untuk membangkitkan pelbagai `rasa' - bukan hanya pemandangan - dalam karya anda.



Bagaimanapun, dalam membuat gambaran dlm karya anda, jgn sekali2 menggunakan bahasa2 yg bombastik k. Nanti, pembaca2 akan termuntah2 pula bila membacanya!



Bagi penulis yg baru berjinak2 dlm dunia penulisan kreatif, mungkin akan rasa keliru juga dgn perkataan seperti `tunjuk, bukan beritahu' atau, bagaimana mahu menulis supaya karya anda hidup dan sebagainya. Mungkin saja, ada antara anda yg tidak faham pun apa maksudnya `tunjuk, bukan beritahu' dlm dunia penulisan itu. Ataupun mungkin adan percaya, bahawa sebenarnya, selama ini anda sudah pun `tunjuk' dlm karya anda, tp sebenarnya andanya memberitahu. Mungkin sajalah, tapi mungkin juga tidak.



Walaupun `memberitahu' itu, pada ketika2nya penting juga, tapi tidak semua orang menyedari bahawa dgn `tunjuk', sesebuah cerita mahupun essei, atau blog post, karya anda akan menjadi lebih berkesan. `Tunjuk' sebenarnya, mengizinkan pembaca `mengikuti' pengarang pada detik penting itu, untuk melihat dan merasa apa yang dialami oleh pengarang. Menggunakan `tunjuk dan beritahu' secara seimbang dan betul, boleh membuatkan karya anda lebih menarik dan hidup.



Selain daripada contoh di atas, saya boleh beri beberapa tip lagi utk `tunjuk' dlm penulisan anda.



1. Gunakan Dialog Hidup.



Seorang peserta bengkel online kita ini, pernah bertanya, "Apa itu dialog hidup?" Dialog Hidup, bermakna, bukan ayat skema yg digunakan dialog. Ia membenarkan pembaca mengalami suasana atau episod dlm cerita itu, seperti yg sepatutnya, seperti di alam nyata. Daripada buat ayat seperti, `Dia sedang marah.', anda harus buat pembaca `dengar' sendiri akan kemarahan watak itu:



“Awang!” Ibu membentak," Baik kau datang sini sekarang juga, cepat!"



Dialog sebenarnya, dapat membuatkan pembaca mengenali watak dlm cerita anda dengan lebih dekat, dari segi perwatakannya, emosi dan moodnya.



2. Biar Penat Sedikit Buat Pengisian Yg Tepat, Daripada Bukan Kabur



Tentu anda pernah jumpa dialog yg sebegini kan?;



"Saya tak pernah merasa sehebat ini seumur hidup saya, sebelum berjumpa si Bunga!"





Lelaki itu tersenyum lebar. Arrh, Bunga yang baru dikenalinya itu, mampu menerbitkan dan menciptakan suatu pijaran cahaya dalam dirinya. Cahaya itu menyatu sukma - pada pagi pagi hari ketika matahari menguak dan menyerap ke seluruh nadinya. Terasa begitu indah segala-galanya, bagaikan dia berada dalam lingkaran jutaan bunga dari syurga.




(ayat kat atas tu, adalah sedutan daripada Dari Dalam Cermin juga)



http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2011 03:53

January 4, 2011

Kenapa Perlu Baca Karya Sastera

(terbit do Majalah WADAH, Disember 2010, DBP Sabah)
Oleh Azmah Nordin


Mengapa sebenarnya seseorang itu perlu membaca karya sastera? Mengapa di sepanjang sejarah kehidupan manusia, di seluruh pelusuk dunia masyarakat daripada pelbagai tradisi suku bangsa dan budaya, berusaha menghasilkan karya sastera terbaik dan mengongsikannya sesame mereka? Apa sebenarnya makna sastera kepada manusia sejagat? Apa sebenarnya sumbangan sastera terhadap manusia dan kemanusiaan?



Sementara memikirkan jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas, saya rasa ada eloknya dimulakan dengan penyelongkaran yang paling dasar sekali iaitu Sastera. Apa sebenarnya sastera itu?

Lazimnya, terdapat pelbagai sudut pandangan dan definisi tentang pengertian karya sastera, yang satu pun sebenarnya tidak pernah memuaskan semua pihak. Ini mungkin kerana pada dasarnya, sastera bukanlah sekadar ilmu, sebaliknya ianya terbit dari salah satu daripada cabang seni dan sebagai seni, tentulah ia amat bergantung kepada faktor manusia dan penafsiran individu. Terutama sekali yang berkaitan dengan semangat dan kepercayaan.

Nah! Ternyata, amat sukar untuk membuat definisinya bukan? Lebih2 lagi apabila penafsiran dibuat dengan menggunakan kaedah ilmiah.

Jelasnya, karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat dan kuat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.

Sastera pada asasnya merangkumi 3 perkara di bawah:

1. Sifat khayali atau imaginasi.
3.. Adanya nilai-nilai seni/estetika
3. Penggunaan bahasa yang khas

Ianya juga boleh diperluaskan lagi melalui pemahaman berikut:

1. Sastera adalah seni berbahasa. Ia tidak disusun dengan sebegitu rupa, tanpa tujuan dan sentiasa memiliki keterbukaan panafsiran.
2. Sastera adalah ungkapan spontan dari lubuk perasaan yang mendalam atau dari dalam jiwa.
3. Sastera adalah luahan fikiran yang berbentuk pandangan, buah fikiran, idea, perasaan, pemikiran – dengan menggunakan bahasa sebagai sarana.
4. Sastera adalah bisikan hati ataupun ilham tentang kehidupan yang diwujudkan dalam sebuah bentuk keindahan. Juga tentang ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, idea, semangat juang dalam satu gambaran yang diolah dengan begitu kuat, padat, bulat, hidup, dan mempesonakan.
5.. Sastera adalah lembaran demi lembaran halaman yang memuat perasaan kemanusiaan yang mendalam dan kebenaran moral dengan sentuhan kesucian, keluasan pandangan, dalam bentuk yang istimewa dan sekali lagi dengan menggunakan susunan bahasa sebagai satu sarana.

Karya sastera terbahagi kepada dua kelompok iaitu;

1. Ciri-ciri sastera imaginatif seperti puisi, cerpen, novel, drama ; kandungannya bersifat khayali, menggunakan bahasa konotatif, memenuhi syarat-syarat estitika seni.

2. Ciri-ciri sastera non-kreatif seperti esei, kritikan, biografi, autobiografi; sejarah, memoir, catatan harian; kandungannya menekankan unsur fakta, menggunakan bahasa yang denotatif, namun tetap memenuhi unsur-unsur estetika seni.


Jelas kelihatan perbezaan antara sastera imaginatif dan non-imaginatif adalah masalah estetika seni. Bagaimanapun, unsur estetika seni yang meliputi kekuatan, keselarasan atau keharmonian, keseimbangan, tumpuan/pusat penekanan suatu unsur, tetap sama; estetika seninya tetap diperjuangkan.

Sekarang, kita kembali kepada soalan pertama tadi; Mengapa kita perlu membaca karya sastera? Penting sangatkah kita baca karya sastera?

Terbukti lama sudah bukan? Karya sastera mewakili bahasa dan bangsanya; budaya dan tradisinya. Ianya lebih penting daripada sekadar sebuah peninggalan sejarah atau artifak budaya yang memperkenalkan kita pada pengalaman dan dunia luar. Kita belajar tentang sastera dari merata sumber; kita terhibur dengan kelucuan, kita tersentuh dengan kepahitan hidup, yang tergambar dalam puisi, cerpen, novel dan drama; dan minda kita pun lalu berkembang di sepanjang penggembaraan lewat karya-karya sastera tersebut.

Akhirnya, dengan `melihat’ apa yang diungkapkan oleh pengarangnya dan bagaimana dia mengungkapkannya, kita akan ketemukan makna di sebalik apa itu karya sastera. Kita akan dapat menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Jika dalam lingkungan akademik, wujud pula penggunaan kaedah-kaedah teori tertentu untuk mendekati karya sastera dengan lebih mendalam, seperti; mithologi, sosiologi, psikologi, sejarah, dan beberapa pendekatan lain.

Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.

Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan etnik dan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.

Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat.

Ikatan yang begitu mantap antara sastera dan manusia (pembaca), menarik mereka untuk turut menyumbangkan suara. Ikatan itu juga mungkin dapat membuatkan mereka berasa akan kesamaan gelojak perasaan dan cenderung membangkitkan semangat juang yang sama tanpa mengira batasan geografi, bangsa, fahaman agama ataupun ideologi politik. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Perasaan menjadi sebagai sebahagian daripada pengalaman masyarakat dalam ruang dan `buku besar’. Ia adalah suatu kejayaan budaya dan tiada satupun yang dapat menyumbang lebih daripada itu, selain daripada karya sastera. Jelasnya, ia adalah amat penting untuk kita pelajari dari masa silam, untuk kita memperbaiki masa hadapan.

Pendek kata, tanpa membaca karya sastera atau tidak pernah disentuhi sastera, samalah seperti kita berada di dalam lingkungan masyarakat yang emosi dan jiwanya terperangkap, kerana kelukaan dalam hati atau gelojak dalam diri tidak mampu dan dapat diluahkan dengan cara yang halus dan lembut.

Yang pasti, buku-buku sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri. Bebas untuk menerokai pengaliran idea, imaginasi, misteri, penerokaan dan sebagainya. Tanpa buku sastera, apa saja yang mengalir dalam diri kita?



Andainya semua yang sebut di atas masih belum meyakinkan anda untuk mendekati karya sastera, bagaimana dengan informasi ini;

Nabi Muhammad (s.a.w.) menggunakan puisi sebagai alat atau wasilah dalam mendakwah ajaran agama yang diturunkan kepadanya. Baginda sangat menghargai keupayaan para sahabat menggambarkan perasaan dan isi hati mereka dalam bentuk sastera tentang hubungan antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan alam. Selagi keupayaan bersastera itu tidak merugikan kepentingan umum dan berada di dalam kerangka nafas ajaran keagamaan, selagi itulah tiada sebab untuk kita menolaknya. Bukan?


http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 04, 2011 02:32

January 2, 2011

Gagasan Satu Malaysia dlm Karya Sastera

(artikel terbaru saya ini telah terbit dlm bulan Mac, WADAH, DBP)


Bak kata sebuah pepatah: `Bahasa Menunjukkan Bangsa’, dan untuk sekian lama memang sudah terbukti bahawa pepatah ini adalah tepat sebagai kewujudan identiti dan warisan budaya sebuah bangsa di dunia. Bagaimana jika kita tambah pepatahnya; Sastera Menunjukkan Bangsa’ pula?



Penulis percaya, semenjak zaman berzaman lagi, semua orang tahu bahawa `Bahasa’ merujuk kepada lambang budaya dan fungsi atau peranan bahasa sebagai sistem perhubungan sosial dalam masyarakat. Melalui peribahasa ini, kita dapat mempelajari dua aspek penting tentang hubungan antara bahasa dengan orang atau bangsa yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa asalnya. Pertama, cara kita menggunakan bahasa Melayu atau ragam tertentu bahasa Melayu menunjukkan kelakuan budaya, sosial atau taraf sosial kita dalam masyarakat. Orang Melayu melihat bahasa sebagai sistem budaya. Bahasa yang baik atau betul tidak hanya bererti baik atau betul dari segi peraturan tatabahasanya tetapi lebih penting lagi adalah dari segi peraturan sosial, budaya atau adatnya. Ungkapan “tahu bahasa” bererti “tahu adat”, dan ungkapan “tak tahu bahasa” bererti “tak tahu adat.”


Yang pasti, tiada siapa yang mahu dianggap sebagai `tidak tahu bahasa’, atau `tidak tahu adat’ bukan? Lagipun, siapa lagi yang harus berbahasa Melayu/Malaysia, jika bukan kita sendiri. Jika bukan kita yang mempertahankan Bahasa sebagai warisan budaya yang terus berkembang dengan kosakata-kosakata (bahasa etnik) yang murni ciptaan orang tempatan, siapa lagi? Terbukti sudah bukan? Terpenting, peranan bahasa dalam perkembangan intelektual, sosial, dan emosional, membantu kita mengenal diri, budaya, dan budaya orang lain, serta membolehkan mengemukakan gagasan dan perasaan, memudahkan kita bergabung dalam masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut, dan menemu- gunakan keupayaan menganalisa dan ber analitis dan imajinatif yang ada dalam diri kita.


Jadi, apa kaitan semuanya dengan Sastera? Itu satu soalan yang menarik, tapi boleh dijawab . Jelasnya, sastera juga sebenarnya, mempunyai fungsi yang lebih kurang sama? Sastera adalah kewujudan buah fikiran dalam bentuk tulisan. Tulisan adalah media pemikiran yg dituangkan melalui bahasa, dan bahasa boleh saja diwakilkan dalam bentuk tulisan, bahkan lewat media lain juga boleh, misalnya dalam bentuk gambar, muzik, lukisan ataupun karya seni yang lain, misalnya senibina. Sastera sewajarnyalah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia. Sastera memuatkan bahan-bahan cerita bernilai murni, bermutu tinggi dan dipelihara dengan sebegitu rupa oleh para pujangga, turun-temurun, sama ada secara lisan mahupun secara tulisan. Sama seperti Bahasa, Sastera juga mempertahankan identiti, warisan budaya yang terus berkembang dari masa ke semasa. Melalui puisi, cerpen, novel, prosa atau bentuk tlisan lain yang merupakan karya sastera, kita sepatutnya berupaya mengungkap pengalaman hidup sehari-hari sendiri atau pengalaman orang lain, dipadu dengan daya khayal (imaginasi) lalu dikemaskan dengan susunan kata dan gaya bahasa yang indah. Puisi adalah antara contoh terbaik untuk menyaksikan media pelahiran maksud dengan kata-kata (gerak-geri) yang begitu hampir dengan kita, kerana saban hari pun kita akan bersua dengan pelbagai macam peristiwa yang sekali gus menciptakan pengalaman peribadi tersendiri, sama ada yang menyayat-robekkan hati, yang pahit getirkan, yang membuai-bahagiakan mahupun yang yang menduka-larakan.


Yang pasti, kita tidak boleh menjernihkan sesuatu kemelut berakibat dari peristiwa yang dialami itu, jika hanya dalam fikiran cuma. Kita perlu berfikir bersesuaian sebagai seorang penulis dan yakin bahawa pada kekuatan menyusun kata-kata sahaja, seorang penulis sudah mampu menyampaikan gagasan melalui tulisan. Dengan bahasa tulisannya, khalayak pembaca akan mengerti apa yang menjadi idea fikirannya. Khalayak pembaca dapat pula dibawa menelusuri ke alam fiikiran kita dengan kata-kata yang disusun-rangkainkan dengan sebegitu rupa. Namun, apakah anda masih mengalami kesukaran untuk menerap-adun-terjemahkan gagasan dalam bentuk tulisan? Mungkin, bukan satu masalah bagi penulis handalan/mampan untuk menerap-adunkan gagasan dalam bentuk karya kreatif. Bagaimanapun, andainya masalah ia dialami oleh penulis muda, maka masalah itu harus diungkaikan. Ini termasuk dengan masalah dalam pemilihan kata-kata untuk menyusun-rangkaikannya dalam bentuk ayat yang bersesuaian, supaya gagasan yang cuba diutara-terjemahkan itu, sampai kepada pembaca. Jika penulis dapat mengatasi dan menguasai semua teknik penulisannya, penulis akan dapat menghasilkan tulisan bertema apa saja.

Jadi, bagaimana hendak diterap-adun-terjemahkan Gagasan Satu Malaysia itu di dalam karya sastera? Seperti semua orang tahu, `gagasan ‘ itu bererti hasil pemikiran. Sebabnya, sebuah tulisan bukanlah hasil angan-angan semata-mata, biarpun seorang penulis juga tidak terlepas dari berangan, berdaya khayal, atau berimajinasi. Imajinasi di sini merupakan imajinasi yang ditempa dalam fikiran, dicerna dalam otak, dan diterus terjemahkan dalam bentuk tulisan. Tulisan yang dimaksud adalah tulisan yang ditulis dengan perancangan yang teliti, dengan pemikiran yang dalam, dan dengan peraturan yang dipatuhi, dengan ilmu bantu bersesuaian dengan tema karya yang diselidiki, tidak sebatas angan-angan kosong saja.


Jadi, apa itu Gagasan Satu Malaysia? Tentu ada yang akan menanyakan begitu, bukan? Setiap hari, ketika melakukan pelbagai aktiviti harian, kita akan mendengar pelbagai tafsiran berbeza mengenaik gagasan Satu Malaysia. Mulai bangun tidur sampai tidur kembali pada sebelah malamnya, kita akan tertanya-tanya pada diri sendiri; bagaimana mahu ditafsirkan gagasan Satu Malaysia dalam karya sastera? Kemudian kita mengangguk. Hmm... Bukankah matlamat sebenar gagasan Satu Malaysia itu adalah demi kepentingan semua rakyat negara ini? Yakni, dengan mengambil kira kesejahteraan setiap etnik? Kemudiannya, saat matahari mulai terbenam dan bintang-bintang bergemerlapan mengitari bulan yang memantulkan cahaya di permukaan laut, sungai, sawah bendang, dan menyinari setiap makhluk Tuhan Yang Maha Kuasa di sekitar kita, hati kita berbunga indah kerana menyedari i bahawa kita sudah lama terdidik untuk menghormati identiti etnik, peruntukan teras perlembagaan dan sikap penerimaan kaum, sebelum gagasan Satu Malaysia dilaungkan lagi pun.


Apabila fajar merendah sayap dan kabus tipis di depan rumah berombak-ombak di udara ketika menyaksikan kupu-kupu beraneka warna hinggap dan menikmati manisan dari bunga ke bunga lainnya, disertai ciapan keriangan beburung bersahutan menyambut kehadiran pagi dari pepohon di sekitar rumah; kita terkedip-kedip mata, mengingati artikel-artikel perkembangan isu semasa yang sempat dibaca; Tentang bagaimana gagasan 1 Malaysia menganjurkan nilai-nilai yg mampu membantu mengukuhkan perpaduan nasional, supaya dapat membina sebuah negara Malaysia yang hakiki. Tentang bagaimana gagasan 1 Malaysia menganjurkan budaya hidup bahawa walaupun agama, budaya hidup dan keutamaan pelbagai kaum di Malaysia berbeza-beza, mereka perlu mendekati sesuatu isu daripada perspektif `Malaysian’. Tentang bagaimana setiap kaum dan golongan harus mendapatkan bantuan agar tiada sapa pun merasa bahawa mereka tidak dipingir dalam arus perdana pembangunan Negara. Tentang bagaimana menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk membawa usaha meningkatkan perpaduan malah menyuburkan cara hidup harmonis antara kaum, sekali gus menganggap dirinya sebagai seorang ahli dalam satu keluarga besar, yakni `Keluarga Malaysia’ . Tentang bagaimana perpaduan seperti itulah yang diharapkan dapat menentukan kelangsungan tamadun Malaysia yang bakal diwarisi kepada genarasi akan datang. Dan sebagainya.


Wah, segala-galanya kedengaran begitu `dingin‘ dan kaku sekali! Jadi, bagaimana hendak menerap-adun-terjemah-hidupkan sesuatu yang sedingin dan kaku itu, ke dalam karya sastera kita? Sambil-sambil berfikir tentang perkara itu, cuba pandang keindahan alam, pada laut yang terbentang luas, pada air sungai yang mengalir jernih, pada bukit yang hijau kebiru-biruan, dan soal pada diri sendiri; apakah yang kiat mahu buat dengan panorama alam mempesona di sekitar kita yang Tuhan Maha Kuasa Anugerahi pada sekelian umatNya ini? Kemudian kita pandang pada jiran-jiran kita yang berbilang kaum dan berbilang agama pula, tapi dapat hidup dan berinteraksi dalam suasana yang harmonis dan saling mengambil berat. Mahu biarkan sahaja segalanya berlalu begitu saja, atau mendokumentasikan seluruh kehidupan di negera kita dengan karya sastera? Bagaimana caranya?


Mudah saja jawapannya;


1. Tumpukan perhatian kepada manusia berbilang kaum di sekeliling kita itu semula. Tumpukan seluruh jiwa dan raga kita pada kisah manusia di dalam sesebuah peristiwa, atau cerita seseorang di sebalik peristiwa merupakan sebuah kes /isu/masalah menarik untuk diangkat, dan diperjuangkan. Rasa simpati dan empati kita sebagai penulis terhadap nasib salah seorang mangsa kebakaran, misalnya, akan menggugah para penyiasan atau mereka yang berkenaan untuk mencari punca kebakaran dan membela nasib mereka yang teraniaya. Cerita mengenai manusia berbilang kaum di sebalik berita akan memberikan penekanan pada laporan utama, akan mewarnai dan lebih memperkayakan hidup ini; kaya perasaan, kaya fikiran, kaya pengalaman, kaya wawasan, kaya jiwa; kekayaan yang lebih bermakna, biarpun kehidupan fizikal sederhana cuma.

2. Adun dan terjemahkan semua pengalaman batin dan peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada makhluk Tuhan Yang Maha Esa dengan sejujur-jujurnya, dalam bentuk tulisan yang logik lagi menyentuh perasaan, penuh dengan gambaran pergolakan jiwa dalam inti kehidupan manusia, tentang cinta dan pengkhianatan, tentang kasih sayang dan pengorbanan, tentang perjuangan dan cabaran, dan sebagainya. Dengan menggunakan teknik penulisan yang terkini, mampu membantu anda mengolah karya dengan lancar dan menarik. Diperhalusi dengan menggunakan bahasa sastera yang indah dan tidak menjurus kepada karya picisan.

3. Apabila mengangkat watak antagonis dalam karya, elakkan sepenuhnya daripada menggambarkan seolah-olah watak antagonis itu mewakili kaumnya, sebaliknya, gambarkanlah perbuatannya itu bersifat individu semata-mata. Terutama sekali, perlu disedari bahawa dalam setiap kaum, pasti ada antagonisnya.

4. Penamat yang kuat dan menarik. Wujudkan unsur-unsur suspen di sepanjang karya dan hanya diungkaikan setelah sampai ke paragraph akhirya, ini untuk mendorong naluri ingin tahu pembaca untuk membaca terus hingga ke paragraph akhir. Penamat cerita tidak semestinya memenangkan watak utama (yang mungkin saja antagonis), tapi kemenangan haruslah kepada yg benar, buat ditatap dan difikirkan bersama oleh pembaca yang diharapkan menjadi orang yang lebih arif dan bijaksana daripada sebelumnya.

5.

Untuk menjadi seorang penulis karya sastera juga tidak sesukar mana, sebenarnya. Kita hanya perlu 1 peratus bakat dan 99 peratus kegigihan dan dedikasi. Dan setiap kali mahu memulakan berkarya, berkaryalah dengan nawaitu yang betul, sebagai mensyukuri segala nikmat dan bakat yang dianugerahi dan dirahmati Tuhan kepada kita semua.


Salam Gagasan Satu Malaysia :)

http://feeds.feedburner.com/sastera
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 02, 2011 07:27

Azmah Nordin's Blog

Azmah Nordin
Azmah Nordin isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Azmah Nordin's blog with rss.