Shima Rostam's Blog, page 41

October 30, 2013

Mini Novela : Aku bukan Penggoda- 3


3
“Kalau aku, terus bagi sedas di situ jugak. Biar dia tahu tinggi rendahnya langit!”
“Tak sangka Rizal tu jenis perasan!” Getus Zafira geram. Penuh emosi.
Baizura menggigit bibir. Terluah pada Zafira, membuatkan hatinya lega sedikit. Tapi terasa bersalah pulak. Seolah-olah dia pula termengumpat Rizal tu. 
Okey, panggilan encik dihadapan telah dibuang, tandanya dia sudah hilang hormat pada mamat tu. Semalam tak dapat tidur. Whatapps dia pun tak dibalas. Nanti kang tertunjuk emosinya lagi parah. Si dia pulak sensitif sikit, pantang sungguh jika balasannya berbau luahan perasaan sikit, pasti akan terus telefon untuk menyelidik. Jadi, tak nak cari pasal, okey.
“Siap dia kalau jumpa nanti. Tahulah aku ajar orang sebegitu.”
“Kau nak buat apa? Berperang mulut dengan dia? Hello, dia tu peguam. Kau takkan menanglah!” 
“At least biar dia tahu kau bukan nak goda dia. Kau bukan penggoda. Dia tu yang perasan!”
“Harap muka je hensem tapi attitude hancur!”
Baizura terdiam. Meruap sungguh kemarahan Zafira kala ini. Macamlah dia pula yang terkena. Baizura tunduk sambil menggenggam tangan. Dia tak pandai hendak mempertahankan diri, apatah lagi membalas setiap kata orang yang mengata. Dari dulu, dia lebih suka menjauhkan diri dari orang yang dia tak suka atau orang yang suka sangat ambil tahu halnya. Dia bukanlah alim atau baik sangat. Tapi dia tidak diajar untuk membalas setiap kutukan dan cacian orang. 
Ibu sentiasa berpesan. Jangan balas apa orang kata. Marah atau terasa sangat pun jangan sesekali melawan mulut tapi melawanlah dengan hati. Berdoalah pada Allah s.w.t. Biar DIA yang membalas setiap perbuatan orang terhadap kita. Jangan sesekali biarkan emosi menguasai diri sehingga bermusuhan. Diam itu lebih baik. Dosa mereka dapat, biar pahala yang kita kutip. Dan dia sentiasa ingat apa yang ibu pesan. Jadi sebab itulah dia lebih senang berdiam diri. Tapi hari ini terluah pula pada Zafira. Itu pun setelah minah ni asyik mendesak dan bertanya kenapa nampak tak semangat dan terlalu emosional. Sampaikan budak praktikal pun terkena tempiasnya. 
Maka, terjadilah sesi luah perasaan ini.
“Yang kau lembap sangat ni, apahal. Lainkali jangan teragak-agak pertahankan diri sendiri,” leter Zafira lagi. Dia benar-benar tidak puas hati, terasa seolah-olah dia yang terkena.
Baizura mengeluh. Ada empat orang lelaki sedang berbual semalam termasuk Rizal. Jika dia tiba-tiba main terjah dan mempertahankan dirinya dari terus dikata, bukan ke sengaja cari nahas memalukan diri sendiri? Lagipun dia bukannya berani dan petah berbicara. Apatah lagi bila berdepan dengan empat orang lelaki. Rasanya saat itu juga, lidahnya kelu dan tak pasal-pasal dia jadi patung cendana. Haaa... lagi rancaklah si Rizal mengata!
“Kau ni kan, aku cuma luahkan perasaan je, bukannya nak dengar kau berleter.” Muncung mulut Baizura, tidak puas hati dengan sikap keterlaluan yang ditunjukkan oleh Zafira.
Zafira mendengus kuat. Ditepuk lengan Baizura sekuatnya.
“Geram aku dengan sikap kau ni!” 
“Sakitlah!” berkerut muka Baizura menahan sakit. Tempat terkena tamparan tadi digosok-gosok. Zafira mendengus, wajahnya merah menahan geram. 
“Hehehe... jangan laa marah. Tak cantik pulalah kau hari ni. Aku dah okey ni!” Pujuk Baizura. 
“Lega bila luahkan pada kau. Kau pulak janganlah emosi sangat. Biar Allah yang balas perbuatan Si Rizal tu.”
Zafira menjeling. Masih lagi tidak puas hati dengan kata-kata Baizura itu.
“Jika aku balas apa yang dia buat kat aku, aku dan dia lebih kurang samalah. Dari aku dapat pahala, dapat pulak dosa. Buat rugi je.”
Zafira terdiam. Masuk akal juga apa yang dikatakannya. 
“Tapi... Rizal tu tak boleh dibiarkan. Buatnya dia sebar fitnah tu pada orang lain. Kau jugak yang malu nanti,” Zafira masih lagi berkeras. 
Hurmmm... takut juga Baizura memikirkannya. Yelaa mulut orang ni suka sangat menjaja cerita tak kiralah betul ke tak betul. Bagaimana nanti perkara ini sampai ke telinga bos atau client lain. Tak ke maruahnya tercalar? Gerun dia memikirkannya. Dia bukan seperti yang disangka, buat apa nak kesahkan? Tapi... buruklah namanya. Nanti ada pula client mengambil kesempatan. Bukan ke itu lagi menakutkan!
“Apa kata kau tanya pendapat dia? Bagaimana nak saman orang yang sebar fitnah ni? Apa hukumannya?”
“Kau ni... aku bukan artis atau somebody lah nak saman menyaman ni. Tak ada masa dia nak layan perkara remeh macam ni!” naik senoktaf nada suara Baizura. Cari pasal.
“Kau ni belum tanya belum tahukan? Bukannya aku tak tahu, Si Dia kau tu sangat-sangatlah ambil berat pasal kau. Tak adanya dia anggap benda ni remeh temeh. Setiap apa yang berlaku ke atas kau, semuanya kes berat.”
Baizura mencebik. Lagilah dia tak ingin Si Dia tahu. Silap hari bulan kena paksa rela menurut segala cakapnya. Silap haribulan lagi, berperang besar pulak dengan si Dia tu. Lagipun Si Dia bukannya boleh jangka apa tindakan yang akan diambilnya.
“Tak nak aku cari pasal!”
Zafira gigit bibir. Si Zura ni memang tak pandai ambil kesempatanlah. Masa orang tengah sayanglah, kena minta apa saja. Mesti dia sukarela buat.
“Entah-entah Si Dia yang selalu kau cerita tu, hanya rekaan kau. Dia tak wujud pun,” provok Zafira. 
Dia tak pernah jumpa dengan Si Dia yang selalu Baizura cerita. Tak banyak yang diceritakannya, tapi dia dapat rasa Si Dia tu orang yang bertakhta dalam hati Baizura walaupun Baizura selalu menafikannya. Dia hanya mendengar Baizura bercerita dan kadangkala melihat Baizura ralit melayan telefonnya. 
Bulat mata Baizura mendengarnya. Zafira sengih. Suis Baizura baru menyala okey.
“Habis tu kek, bunga yang aku selalu dapat tu dari siapa?” Bengang juga dia apabila dipersoalkan tentang kewujudan dia.
“Client bagi. Yelaa macam Si Rizal kata tu, kau kan penggoda... Hahaha” Zafira ketawa.
Aauw...
“Sakitlah weh!”
“Padan muka. Mengata aku lagi, ini habuannya.”
“Habis tu yang kau susah sangat nak mengadu kat dia apa hal?”
“Bagitahu dia, biar dia tahu ada orang sebar fitnah pasal kau. Atau...” Zafira terhenti sejenak, baru dia terfikir.
“Atau... kau takut Si Dia percaya fitnah yang Rizal sebarkan. Sebab itulah kau tak nak bagitahu dia?” 
Baizura geleng kepala. Zafira ni, fikir macam-macamlah. 
Dia angkat bahu. Malas dah hendak bersoal jawab dengan Zafira ni. Makin melalut pulak dia. Ingat aku kenal Si dia ni, sebulan dua ke? Sudah lebih tujuh tahun mereka berkenalan. Semasa aku lepas SPM okey. Jadinya dia memang dah tahu perangai aku macam mana. Tak adanya dia nak percaya fitnah tak masuk akal Rizal tu. Cakap dengan Zafira pun bukan dia faham. Nanti pelbagai teori pulak yang keluar.
Sony Xperia nya bergetar. 
Panjang umur Si dia. Pasti Si dia mencarinya setelah semalaman aku mendiamkan diri, bisik hati kecil Baizura.
“Panjang umur Si dia. Kita dok sebut-sebut, dia dah call aku.”
Zafira cebik bibir. 
“Itulah yang dinamakan chemistry. Dia dapat rasa hati dan mulut kau sedang sebut-sebut pasal dia tadi.”
“Mengarutlah! Dia call sebab whatapps dan panggilan dia, aku tak jawab semalam.” Sengih Baizura. 
“Giler teruk kau ni! Mesti Si dia tengah risaukan kau!”
“Lagi giler kalau aku balas dan jawab whatapps semalam. Entah-entah Si Dia tiba-tiba muncul pejabat pagi ni.” 
“Eloklah. Boleh aku berkenalan dengan dia.”
“Lepas aku kahwin dengan dia, kau boleh kenal.” Haa hati kata tak mahu, elok-elok mulut tersebut kahwin. Tak ngam sungguh hati dan mulut ni.
“Mengaku jugak, kau suka kat dia.”
“Takutlah tu, aku sambar dia.”
“Tak ada maknanya.”
Panggilan pertama tidak jawab. Lagu Hafiz Af kedengaran lagi buat kali ke dua. Zafira bangun dan beredar untuk memberi ruang kepadanya menjawab telefon.
Salam dijawab perlahan. 
“Okey hari ni? Kenapa tak balas semalam.” Si Dia mula menyoal.
“Tertidur awal, penat. Sorry...”
“Hurmm... ada apa-apa perkara yang Zura nak kongsi dengan saya?”
Macam tahu-tahu je Si Dia ni, aku tengah susah hati.
“Tak ada. Saya okey je kat sini.”
Si dia di talian terdiam.
“Zura... jika ada masalah jangan rahsiakan dari saya. Saya sentiasa ada untuk Zura. Jangan pendam sorang-sorang.”
“Laa... betullah tak ada. Saya baik-baik je. Awak dengar suara sayakan? Suara orang ada masalah ke?” Berdebar juga hatinya. Manalah tahu fitnah tersebut telah tersebar jauh sampai ke Kuala Lumpur. 
“Hurmm kalau begitu, okey then.”
“Okey.”
Salam dijawab. Talian diputuskan. 
Baizura termenung seketika. 
Ada teka teki bermain difikirannya. 


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 30, 2013 09:00

October 29, 2013

Mencari keberkatan rezeki bahagian 2

Tazkirah20Zulqaedah 1434@26/9/2013


...sambungan
Rezeki
Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?. 
Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat. 
Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :- 
هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل. 
Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla. Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi. 
Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'
Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :- 
InsyaAllah bersambung...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 29, 2013 15:30

October 28, 2013

Bajet 2014 dan kita.

Salam....

Bajet 2014 telah pun dibentangkan di parlimen.

Ooo saya tak tahu apa kandungan bajet sebab saya tak ikut langsung (patutnya orang yang kerja macam sayalah patut ambil tahu sangat).

Tapi yang saya tahu orang tengah heboh, subsidi gula akan ditarik balikkan? Ramai dah mengeluh. Sudah tentu teh O akan naik harga lain. Entah sampai rm2.00 segelas...Semua makanan termasuk minuman akan mengalami kenaikan harga. Belum naik pun orang dah mengeluh kan?



Saya? Seperti orang lain jugak. tapi saya berpegang satu je... REZEKI itu datang dari Allah s.w.t. Bukan dari manusia. buatlah bajet apa pun. Buatlah sekatan apapun dan buatlah kenaikan harga apa pun. Semuanya takkan membuatkan kita susah hati jika...

1- Kita selalu berdoa, minta dari-NYA dimurahkan rezeki.
2- selalu solat Dhuha.
3- Selalu beristiqfar
4- Yakin dan bergantung pada-NYA. Dia akan memberikan segala yang kita minta
5- Usaha kita mencari rezeki itu, ikhlas dan kerana Allah s.w.t

Jangan kita terlalu bergantung pada peraturan manusia. Apa yang dibuat oleh manusia. Sebab sebagai manusia, kita serba kekurangan. Dan orang yang buat peraturan dan luluskan peraturan pun manusia biasa juga. Sama macam kita. Jadi berharap dan bergantunglah pada-NYA.

Percayalah sumber rezeki Halal mencukupi segala keperluan hidup kita.

Saya ada share tazkirah mengenai KEBERKATAN REZEKI.

Semoga kita akan dapat manfaat tazkirah tersebut.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 28, 2013 18:30

October 27, 2013

Mencari Keberkatan Rezeki - 1

Tazkirah
18Zulqaedah 1434@24/9/2013


Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk bebas daripada belenggu kemiskinan.Peringatan itu maha penting kerana kemiskinan sebenarnya boleh menggelincirkan iman seseorang.
Ini kerana bagi seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan akidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebeswaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.
Manusia digalakkan mencari kerja yang halal, yang sekaligus akan menjadi ibadat selagi dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya. Apatah lagi jika tubuh badan masih kuat dan sihat, perbuatan meminta-minta sebegitu amat dilarang keras oileh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghina Islam itu sendiri.
Malah Rasulullah SAW sendiri memberikan peringatan mengenai perbuatan ini melalui sabdanya, “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mensyukuri rezeki menambahkan berkat
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan‘alhamdulillah’ di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya,“Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim)
Bila Allah Taala cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. ...

Wassalam
bersambung...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 27, 2013 15:30

October 26, 2013

Mini Novela : Aku bukan Penggoda - 2

          2

Penat!
Malas masak. Bungkus sajalah dari kedai mamak Ali depan tu. Balik boleh terus makan, mandi dan bermalas-malasan depan tv. Lepas isya’ sambung buat kerja kejap dan tidur, Baizura merancang-rancang dalam hati sambil kakinya terus melangkah menuju ke kaunter untuk memesan mee goreng mamak. Semenjak tinggal di Kuantan ini, lidahnya telah mula menyesuaikan diri dengan masakan mamak. Mana tidaknya, banyak kedai mamak berhampiran dengan kawasan pejabatnya. Jika terasa hendak makan masakan orang melayu indon, kena menapak jauh sikit. Dia pula jenis malas berjalan. Apa lagi pilihan yang ada selain kedai mamak. Bantai jelah, asalkan perut kenyang.
Alahai... Teringat pula pesanan penaja dia,
‘Jangan banyak sangat makan, makanan bergoreng dan berminyak. Jaga diri, jaga kesihatan. Zura muda lagi. Saya pun belum ‘rasa’ lagi. Jadi jaga diri, biar sihat dan cantik!”
Bila dengar pesanan penaja dia, terus Baizura buat muka. Jelir lidah, senget mulut untuk menutup wajah yang entah apa warnanya. ‘Saya belum ‘rasa’, memang buatnya malu. Dia pula selamba, siap ketawa lagi. Grrr.... jegil mata pun, ada dia kesah? Dia tak makan saman. Buat apa saja, lepas laku ke, tak jaga adap makan ke, dia tetap kata segalanya tentang awak sentiasa cantik dan elok di mata saya. Jadi buang masa buat dia marah. Sebab dia tak pernah marah. Habis cekak pun, dia diam. Dua tiga hari kemudian, dia akan bagi kata-kata hikmahnya yang membuatkan Baizura terdiam.  
Susah betullah bila ada orang terlebih sayang ni. Tak minta pun, tak hingin pun. Tapi nak juga sayangkan dirinya walaupun selama ini dilayan acuh tak acuh saja! Tersentuh juga hatinya, namun dia masih belum bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
“Tolak tuah! Jika aku sudah lama aku jadi mem besar dia. tak payah susah-susah kerja lagi.” Itulah yang selalu dibebelkan oleh Zafira.
Ahh... Sudahlah Zura. Jangan ingat sangat! Bukankah kau juga yang sengaja menjauhkan diri dari diakan?
Yup, jauh teringat- ingat, terindu-rindu. Bila dekat, aku juga yang cari pelbagai alasan mahu lari... Hahaha. Nasiblahkan? Siapa suruh sayang!
Huh, sempat lagi berangan. Anil depannya  dah senyum-senyum.
“Mee goreng mamak satu, anil. Bungkus.”
“Okeh, adik manis.”
Selepas pesanan dibuat, dia tempat kosong berhampiran dengan sekumpulan lelaki yang sedang rancak berbual. Tempat tersebut juga berhampiran dengan TV yang sedang menyiarkan berita ringkas. Dijeling sekali lalu kumpulan tersebut. Buat apa nak kisahkan mereka tu. Sambil tunggu mee goreng mamaknya siap, dapatlah diisi masa dengan bermanfaat sikit. Hendak layan tv di rumah, memang taklah. Penat mata. Baik layan mimpi.
Sesekali matanya gatal memandang kumpulan lelaki tersebut. Dari pakaian yang dipakai, mereka ini tentunya baru keluar pejabat. Sebelum pulang ke rumah melepak dulu di kedai mamak. Orang bujang kot. Jika orang dah kahwin, manalah ada masa melepak di sini. Baik melepak dengan anak bini di rumah.
“Eh aku dengar kau tukar juruaudit, kenapa?”
Dan telinganya terus terpasang dengar apabila perkataan juruaudit keluar dari lelaki yang duduk mengadapnya. Mata mereka bertentangan seketika sebelum Baizura mengalih pandangan melihat semula tv.
“A’aah. Pakai tudung tapi miang. Cara dia, nampak macam lebih hendak menggoda aku. Bukannya nak buat kerja.”
Baizura semakin tertarik untuk mendengar lebih lanjut. Amboi mulut tak ada insurans. Suka mak nenek dia hendak mengata orang. Perasan! Kutuk hati Baizura.
“Eh betul ke? Takkanlah. Kau tu yang perasan!.”
“Bukan perasan tapi kenyataan. Bercakap dengan aku bukan main liuk lentuknya. Suara pulak manja sampai berdiri bulu roma aku ni. Tapi bukan taste akulah minah tu. Tunang aku sepuluh kali lebih lawa dari dia.”
“Habis tu, jika bukan taste kau, bolayanlah. Biar dia siapkan kerja dia. Habis cerita!”
“Tapi aku gelilah. Lebih baik aku halau dia awal-awal. Manalah tahu silap haribulan dicalitnya minyak pengasih kat aku.” Bersungguh lelaki itu bercerita.
Berdekah-dekah kawannya ketawa. Mungkin kerana mimik muka dan kesungguhannya bercerita. Baizura mengucap dalam hati. Teruk sangat ke juruaudit tu? Nauzubillah... minta-mintalah aku dijauhkan dari diumpat seperti ini. Dia mula menilai diri sendiri, tak pernah lagi dia terlebih mesra rasanya. Lagipun bercakap kerjanya banyak berhubung dengan kakitangan yang menguruskan bahagian akaun dan pentadbiran saja. Bos-bos ni jarang sangat.
“ Masa pertama kali dia datang pejabat, okeylah aku belanja sebab orang datang buat kerjakan, kenalah layan baik-baik. Seminggu dia di pejabat aku, bukan main lagi melirik manja, nak goda aku. Buat kerjanya tak, asisstantdia yang sibuk checking fail-fail semua. Dari situ aku dapat rasa, dia ni bukan datang buat kerja. Tapi datang menggoda!”
“Maaflah... setakat muka dia tu petik jari aku boleh dapat.”
“Tunang aku lagi cantik dan seksi.”
Tak habis-habis lagi lelaki itu mengutuk. Kawannya pula bukan main lagi layan. Agaknya lelaki pun sama macam perempuan jugak, bila berkumpul mengutuk dan mengumpat orang. Tak ada kerja lain.
“Agaknya dia kerja juruaudit ni sebab nak goda orang berduit kot. Banyak peluang berurusan dengan pemilik syarikat, mana tahu sangkut. Lepas tu, kahwin kerja goyang kaki di rumah.”
Kata-kata tersebut disambut ketawa rakan-rakannya. Tersirap darah Baizura mendengar. Dia semakin ingin melihat siapa lelaki yang perasaan bagus tu. Kacak sangat ke sehingga sesuka hati menuduh orang cuba menggodanya. Dia pun juruaudit dan sentiasa bersikap profesional ketika melaksanakan tugasnya. Dan setiap juruaudit sentiasa profesional melaksanakan tugas mereka.
Lambat lagi ke mee goreng mamak aku ni nak siap. Kawan si pengumpat pula merenyam semacam. Senyum-senyum. Tak inginlah aku balas senyum tu. Kaki mengumpat! Kutuknya dalam hati.
Akhirnya dua puluh minit kemudian, mee gorengnya siap. Tanpa bertangguh dia melangkah keluar dari restoran tersebut. Sengaja dia berjalan melintasi meja yang diduduki oleh sekumpulan lelaki itu. Hatinya ingin tahu sangat bagaimana rupa lelaki yang melabel juruauditnya penggoda. Hebat sangatkah dia sehingga menjadi begitu perasan orang hendak menggodanya. Kaya sangatkah dia sehingga melemparkan tuduhan tanpa asas itu. Sedangkan setiap juruaudit dilatih agar sentiasa berkomunikasi dengan Client dan membantu Client memperbaiki kelemahan sistem pengurusan kewangan mereka.
Melihat wajah itu, dia betul-betul terkejut. Jadinya kata-kata tadi ditujukan khas untuknya? Wajahnya merah. Dadanya turun naik dengan cepat. Tangan kanan yang memegang plastik berisi mee goreng digenggamnya kuat. Cepat-cepat dia memandang ke depan. Langkahnya dipercepatkan agar dia segera berlalu dari situ.
Kurang asam punya lelaki! Bajet dia tu hensem sangat sampai aku nak goda? Perasan bagus. Maaflah, kau bukan taste aku! Masa mula-mula jumpa sebab kerja, adalah rasa suka sikit. Bangga dengan kejayaan kau tu. Masih muda tapi telah berjaya membuka firma sendiri. Menjadi kebanggaan orang melayu. Berasal dari negeri yang sama, lagi bertambah-tambah bangganya walaupun baru kali pertama berjumpa.
Tapi.... perasaan bangga apatah lagi suka, telah hanyut ke laut. Sekarang ni rasa menyampah, benci lebih membara. Menjulang tinggi di dalam hati. Ingin diluahkan tapi tak terluah. Hendak menangis, terasa bodoh pula. Melayan perasaan sangat, apasal? Lagipun lepas ni, bukannya jumpa dah!
“Lepas ni jangan bagi aku tengok muka kau lagi. Ingat aku heran sangat wajah kacak kau tu. Tak heran pun. Dia lagi kacak dari kau. Tak ada pulak perasan!” bebel Baizura di dalam hati. Langkahnya semakin laju. Dia mahu cepat sampai ke rumah. Mandi lama-lama, biar semua rasa marah dan geram dalam hatinya padam. Dan buat solat hajat agar Allah s.w.t berikan balasan secara tunai kepada mamat perasan tu agar dia tahu tinggi rendahnya langit. Agar dia sedar diri, orang yang perasan dan selalu rasa dirinya bagus sangat, bila-bila masa sahaja Allah s.w.t boleh jatuhkannya.
Rizal tersenyum sinis. Tak sangka orang yang diumpat ada di sini. Entah mengapa dia menyampah tengok muka perempuan itu. Ada hati hendak memikatnya. Muka  melayu asli jangan harap dapat memikat hati kacukan arab sepertinya. Cemuhnya dalam hati setelah menyedari orang yang dikata tadi berada di sini juga. Nasib baik dia dah berlalu, kalau tak tadahlah telinga lagi dengar kata-katanya yang lagi power.
“Korang nak kenal siapa juruaudit aku tu? Tu haa... orangnya.”
Hampir tersembur air dari mulut Azman yang mengadapnya. Dia kenal gadis tadi. Pernah terjumpa dia dengan Zamri dan Aizat, partner si Rizal ni.
“Kau biar betul bro?”
“Dia tu kan.....” kata-katanya terhenti. Teringat pesanan dari seniornya. Jangan dihebahkan pada sesiapa tentang pertemuan tersebut.
“Dia apa? Kau kenal dia ke?”
Pantas Azman geleng kepala.
“Tak. Hari ni baru aku tengok dia. Tadi dia duduk belakang kau. Aku rasa dia dengar segala yang kau cakap.”
“Lagi bagus. Biar dia balik cermin diri tu! Jangan jadikan kerja sebagai batu loncatan untuk pikat lelaki kacak dan kaya macam aku ni!”
Azman sesal. Dia sedar, Rizal ni orangnya meninggi diri sikit tetapi tak sangka seteruk ini. Mengata orang dan terlebih perasan.
“Jangan kau jilat ludah balik selepas ini, sudahlah.”
Kawan-kawan mereka yang lain tidak masuk campur. Mereka lebih suka mendengar. Lagipun mereka kenal sangat dengan Rizal ni. Tapi hati mereka terjentik rasa hairan, kenapa Azman tidak menjadi tukang perangat Rizal pada kali ini?
Airmata yang hampir gugur ditahan sekuat hatinya. Bibir digigit kuat. Hatinya digesa berzikir dan beristiqfar.
‘Apa salahku? Teruk sangat ke sikap aku apabila berhubung dengan Encik Nik Rizal tu? Rasanya seperti biasa. Sama seperti berkomunikasi dengan client lain.’
‘Aku tak pernah cari musuh, apatah lagi hendak memikat anak teruna orang. Ya, aku akui ada sedikit suka melihat encik Rizal tu. Kacak dan berkarisma pula. Aku angkat tinggi dirinya. Jadi idola. Bukan suka hendak menggoda ke apa. Ingatkan dia jenis mesra dan tak kisah berkawan dengan juruaudit cabuk macam aku ni. Rupanya lain olahnya. Aku pula dikatakan cuba menggodanya. Tang mana aku hendak goda. Nak pandang muka dia lama-lama pun segan. Hari tu pun bila dia ajak minum aku okey je sebab ada Shah budak praktikal tu temankan. Jika tidak jangan harap aku akan duduk semeja dengan lelaki, berdua!’
‘Elok sangatlah bos tukar. Jika aku tahu jadi macam ni, awal-awal lagi aku dah tolak kes dia. Biar orang lain buat. Lagipun akaun untuk firma guaman tak diwajibkan audit pun. Ni kes bos nak tolong kawan-kawanlah ni. Yang jadi mangsa sekarang aku.’
Harap muka je elok. Mulut cabul. Perasan pulak tu. Boleh belah.. Aku pun tak ingin nak tengok muka kau lagi,’ berbakul-bakul Baizura membebel di dalam hatinya.
Baizura tidak pernah sesekalipun memandang serong terhadap orang lain. Apatah lagi Client syarikat. Memikat atau menggoda orang berpoket tebal jauh sekali. Biasanya apabila dia berurusan dengan pengarah syarikat, bos akan ada sekali. Bos yang akan terangkan dan jika perlukan perjelasan terperinci barulah dia bersuara. Dan bukan seperti yang dikatakan oleh Encik Rizal perasan itu.
“Ya Allah... kau jauhkanlah dia dari penglihatanku. Aku tidak ingin membenci hamba-Mu yang lain tapi hati ini sakit apabila dituduh cuba menggoda sedangkan aku tiada niat demikian. Maka Ya Allah... kau jauhkanlah aku dari umpat keji orang jahil itu. Tunjukkanlah kebenaran kepadanya.”
Berkali-kali Baizura menenangkan hatinya sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya.

*****

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 26, 2013 17:00

October 23, 2013

Mini novela : Aku bukan Penggoda! - 1

Sekian lama tak ada cerita baru kan? Seperti yang dijanjikan dalam pages FB semalam....Jom baca.....

Pang!
Fail setebal setengah inci dihempaskan kuat. Hatinya panas. Kewibawaanya melaksanakan tugas terasa dipertikaikan. Tanpa sebarang alasan kukuh, kes yang hampir selesai terpaksa diserahkan kepada rakan setugas untuk dikendalikan. Bukankah buang masa dan tenaga sahaja? Kenapa tidak biarkan dia menguruskannya sehingga semuanya selesai. Bos ni ikut sangat telunjuk tak matang Client tersebut. Apa salahnya? Kerjanya tak bagus ke sehingga dia perlu ditukarkan?
‘Aku rasa aku telah lakukan yang terbaik. Lagipun kes ni Firma guaman je, bukannya sulit sangat akaun dia, cuma hendak memastikan deposit wang masuk dan keluar direkodkan dengan betul dalam akaun yang betul saja. Lagipun aku telah menyemak semua rekod yang ada, tak ada masalah pun. Hailah... peninglah dapat Client macam ni, suka hati dia nak buat apa. Bila lihat inbois, pandai pulak minta diskaun. Ingat setiap kerja yang dilakukan percuma ke? Bebelnya dalam hati.
Beberapa orang budak praktikal hanya memandangnya tanpa ingin bertanya. Gerun. Tidak ada siapa yang ingin cari pasal semasa angin puting beliungnya datang. Dia menghela nafas. Cuba meraih kesabaran dalam hati. Sepatutnya dia tidak boleh naik angin begini. Bukankah telah berkali-kali disogok dengan slogan ‘Client adalah raja dan kata-kata mereka semuanya betul.” Tanpa sedar Baizura mengeluh.
Sikit lagi nak siap kes tersebut. Hanya beberapa working paper saja perlu dikemaskini. Dia paling anti buat kerja separuh jalan. Susah atau serabut mana pun kes yang dikendalikannya, dia akan pastikannya siap di tangannya. Jadi takkanlah kes ini separuh jalan! Pertama kali prinsip kerjanya terpaksa dilanggar.
Geram, menyampah dengan Encik Nik Rizal ni!
Grrr...Encik Nik Rizal ni satu hal, apa masalah dia sebenarnya? Sanggup di saat-saat akhir tukar orang. Selama aku buat kerja tak nampak pulak masalahnya. Dah nak siap baru cakap? Hari tu beriya-iya minta siapkan cepat. Hari ini lain pula ceritanya. Bikin hati aku ni ketat semacam je!
Terlintas di hatinya untuk menghubungi seseorang yang dirasakan amat membantu ketika ini. Tapi.... Kau jangan Zura.. Jangan cari pasal okey. Takkanlah kena uji sikit nak telefon minta tolong dia. Jangan mengada ya! Ingat sikit dia di mana, kau di mana?
Jangan pulak semata-mata panggilan kau, dia turun ke mari! Hatinya membantah keras. Betul tu.. tak boleh cakap kat dia! Selesaikan sendiri. Lagipun kes ni patutnya kerja budak praktikal je, tak mencabar langsung!
Baizura menekur meja.
Dia teringatkan saat dipanggil masuk ke bilik bos tadi. Tak sempat hendak duduk, bos telah keluarkan arahan. Tercegat di hadapan bos. Kelu sekejap lidahnya mendengar arahan yang keluar daripada mulut bos itu.
 “Zura, lepas ni serahkan kes Encik Nik Rizal tu kepada Johan.”
“Tapi Encik Asri, kes tersebut sikit lagi nak siap. Datelinedia jumaat ni,” Jelas Baizura.
“Saya tahu. Tapi ini permintaan dari Encik Rizal sendiri. Terlepas dateline pun tak apa, katanya.”
“Tapi kenapa Encik Asri. Dia tak puas hati dengan kerja saya ke?” Soal Baizura ingin tahu. Pertama kali terkena, tentulah dia mahu tahu sebab konkritnya.
“Bukan... Kerja awak bagus. Saya pun tahu tahap mana kecekapan awak menjalankan kerja. Tapi macam mana saya hendak terangkan ya!” Encik Asri terhenti seketika.
Baizura terus menunggu penjelasannya.
“Dia sebenarnya kurang selesa berurusan dengan perempuan. Lebih-lebih lagi apabila awak menasihatinya cara-cara menguruskan pentadbiran dan kewangan firmanya.” Jelas Encik Asri. Bulat terus mata Baizura mendengarnya.
Apa? Kurang selesa? Poyolah... Omel hatinya. Alasan tak munasabah langsung.
Tapi tak kisahlahkan. Clientkan raja! Ikut je kehendak mereka, asalkan kerja siap. Bayaran pula diterima on time!
Hatinya mengeluh. Walaupun dia cuba sebaik mungkin menjalin hubungan baik dengan Client, namun hati orang ni susah hendak diduga. Cara komunikasinya tentu sekali tidak ada masalah. Kerjanya pula tidak pernah melanggar batas hak peribadi Client. Teratur pula tu. Jadi apa masalahnya? Tentu sekali Encik Nik Rizal tu yang sengaja cari masalah. Cari pasal.
‘Kerja yang aku buat semuanya ikut prosedur. Tidak pula melanggar hak peribadi Client.’
Bila difikirkan semula, hatinya sebal. Geram teramat. Sejak mula bekerja, tidak pernah lagi dialami, keadaan di mana Client tiba-tiba minta ditukarkan ‘person in charge’ kes mereka. Walaupun ini bukan kali pertama terjadi dalam firma audit ini, tetapi ini kali pertama dia terkena. Memang kacau mood dan semangat kerjanya. Perkara ini sebenarnya boleh dibawa berbincang. Patutnya jika Encik Nik Rizal ada rasa tidak puas hati dengan stail kerjanya, bersemuka terus dengannya bukannya mengadu dengan bos.  Apa yang salah akan diperbaiki. Jika tak puashati lagi, dia boleh minta bos tukarkannya dengan orang lain.
Terasa sangat bila kerjanya dipertikaikan.
 “Tapi, selama saya berurusan dengan dia, tak ada pula nampak dia tak selesa,” Baizura masih lagi tidak puas hati.
Encik Asri memandangnya sambil bersandar ke belakang kerusinya. Wajahnya pula, tenang seperti biasa. Dirinya yang berdiri di perhatikan. Tidak pula dipelawa duduk. Dia pun tak ingin berlama di dalam bilik ini. Banya kerja lagi perlu disiapkan. Jarang sangat sebenarnya dia masuk ke bilik ini, sebab kerjanya tidak pernah mengecewakan Encik Asri. Jadi tidak ada sebab Encik Asri memanggilnya mengadap.
“Awak kena ingat, Client adalah raja. Apa sahaja yang mereka kehendaki mesti dipenuhi. Jadi saya rasa tidak ada masalah pun jika Johan ambil alih kes Encik Rizal tu. Lagipun awak boleh tumpukan kerja-kerja pengauditan kes lain.” Bicara Encik Asri lagi.
Iya apa yang bos cakap tu memang betul pun. Tapi diri dia ni haa... tak puas hati!
Hendak tak hendak dia terpaksa akur. Lagipun ini kehendak Encik Rizal sendirikan? Lagipun molek sangatlah, ringan sikit bebannya. Banyak kes lain lagi yang perlu dibereskan.
“Kau kenapa?” Soal Zafira, berbisik.
Baizura geleng kepala.
“Bos suruh serahkan fail kes firma guaman tu kepada Johan. Tiba-tiba nak tukar orang. Pelik aku. Kerja aku tak bagus ke?”
“Firma guaman? Encik Nik Rizal yang hensem tu ke?” Soal Zafira lagi inginkan kepastian.
Baizura angguk. Dalam  masa yang sama Johan menghampiri meja Baizura.
“Minta fail firma guaman tu?” Datar suara Johan. Baizura tahu Johan tidak puas hati. Pastinya sudah sebakul sumpah seranah yang keluar sepanjang dia berjalan menuju ke tempatnya.
“Kau jangan nak tunjuk muka tenuk kat sini. Bukan aku yang minta tukar ya. Client yang minta. Nak marah pun kau pergi marah dia.” Baizura memberi amaran sambil menyerahkan fail tersebut.
“Aku tak marah kau lah. Aku tahu kau kerja macam mana. Aku tak puas hati dengan bos. Yang pergi layan permintaan tak masuk akal Encik Rizal tu apahal. Kes dia dah hampir siap pun. Pass pula pada aku, satu hal pula aku kena stadi balik dari awal.” Rungut Johan.
Baizura angkat bahu. Tangannya rasa ringan je ingin mengangkat ganggang dan telefon Encik Rizal. Tapi terbantut apabila teringat kata-kata bos, Encik Rizal tidak selesa berurusan dengan perempuan. Jadi sebab itulah dia minta tukar. Nah itu kan alasan kukuhnya. Buat apa tebalkan muka bertanya lagi.Dan hatinya semakin teringatkan Dia.
Agak-agak dia tahu tak tentang perkara ni? Dia kan Partnerdi situ?
Hurmm Partner pun, dia bukannya jaga cawangan Kuantan ni! Dia ada di Kuala Lumpurlah, cik mek wei!

*****
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 23, 2013 07:11

October 19, 2013

Simple & Senang : Bihun goreng putih

Bihun goreng putih.
(Patutnya untuk hiasan kena letak lagi daun bawang dihiris halus, bawang goreng- ni kes terlupa lak)


Read more »
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 19, 2013 18:30

Mee Maggi dan jus tomato avokado

Makan malam saya malam ni...
Mee Maggi kari ikan dan jus avokado.
Oppss tak tahulah ini dikatakan menu orang diet atau tidak. Sebenarnya tak tahu nak makan apa malam-malam ni. Tak nak makan berat. Biskut tak nak makan. Buah dah banyak makan siang tadi.Jadi saya reka resepi sendiri. Nak rasa jugak, boleh cuba menu saya ni ya...
(gelas besar tau)
Jus tomato dan avokado.

2 biji buah tomato segar.Setengah biji buah avokado2 sudu besar madu.2 gelas air.Blender semua dan hidang. Nak lagi best sejukkan dulu atau tambah ais. Psst... saya selalu kena bebel dengan mr hubby coz suka minum ais, jadi saya tak letak aislah...



Mee Maggi kari ikan 1 bungkus maggi kari.3 biji lada burung1 sudu besar bawang merah kisar1 sudu kecil bawang putih kisar.( bawang ni saya dah kisar siap2,letak dalam peti ais, nak masak ambil je, senang kerja)Sedikit kubis, carrotSepotong ikan tongkol dibuang tulang dan dipotong dadu. ( ikan dan sayur nak letak banyak mana ikut suka ya)Sedikit kicap.
Cara masakTumis bawang, bila naik bau masukkan ikan. Biarkan dalam 2 minit. Kemudian masukkan carrot n cili yg dipotong. Biarkan seketika n masukkan 1 gelas setengah air. Kacau n masukkan perencah kari maggi. Biarkan mendidih.Kemudian barulah masukkan maggi dan sayur.Biarkan dlm 2 minit. Masukkan kicapDan sedia untuk dihidangkan.
Sesiapa yang nak cuba, selamat mencuba ya!
tengahmalam baru nak post... hehehe.... boleh try esok malam ya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 19, 2013 08:34

October 17, 2013

Corat coret aidiladha

Aidiladha telah pun berlalu... Alhamdulillah tahun ni kami sekeluarga dapat berkumpul bersama. Penat dan seronok. Buat makan-makan sempena akikah dua orang anak buah saya...Oppss maaf ya, tak banyak gambar yang sempat diambil. Saya sibuk di dapur. Tab ni pun entah ke mana letaknya....Tapi sempat lagi ambil gambar lembu yang dikorbankan...
Dan dua tiga keping gambar...
Nama saya Rafiq Danish bin Muhammad Redzuan. Saya tak berapa sihat sebab selesema dan batuk. Dua kali saya kenakan cik long saya. Mula-mula saya berak dan kali ke dua pula saya muntah atas cik long saya. Sian cik longkan? Hahaha.... Lepas ni mesti cik long serik nak gomol saya lagi... Muaaahahaha...
Nama Saya pula Isma Irdina binti Ismail. Saya baru nak masuk 7 bulan tapi suara saya sangat kuat. Lebih kuat dari suara Cik Long yang suka membebel dan cubit-cubit pipi tembam saya ni. 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 17, 2013 23:34

October 16, 2013

30 orang pertama dalam islam yang WAJIB kita tahu!!

org pertama cipta telefon ? alexander graham bell ..
org pertama tulis bismillah ? ????? anak kalau tanya mampus nak jawab..so simpan nota nih....
30 ORANG YANG PERTAMA DALAM ISLAM
------------------------------
1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.
2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.
3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS.
4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.
5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.
6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS).
7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.
8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.
9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA.
10. Orang yang pertama meletakkan jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.
11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA.
12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA.
13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA.
14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA.
15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA.
16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah RA.
17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA.
18. Orang yang pertama membuat mimbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA.
19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA.
20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA.
21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA.
22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.
23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA.
24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawiyah bin Abi Sufyan RA.
25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH.
26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA.
27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.
28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH.
29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA.
30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW.

Wallahualam
Pstt. jika tak ada senarai ni, saya pun tak tahu... Patutnya kita lebih mengagungkan ilmuwan islam kan dari bukan islam. Sebab sejarah gemilang dulu-dulu adalah ISLAM. Yang menjadi pencetus ilmu pengetahuan sekarang ni adalah dari kalangan cerdik pandai Islam. 
Semoga perkongsian ini memberi MANFAAT kepada kita semua.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 16, 2013 16:00