Zoul Yazix's Blog, page 5

March 15, 2012

Dewa cinta berkain pelikat, bagi waranti 5 tahun tapi tak ingat.


Sinki penuh pinggan di dapur rumah sewa tiba tiba bercahaya. Tertarik sebilah pisau tumpul tapi masih gagah untuk digunakan sekurang kurangnya memotong bawang atau kunyit. Malam ini, ada darah dewa yang akan aku tumpahkan.
Waktu menunjukkan jam 7 petang, saat pintu pintu masjid terbuka dan pintu pintu rumah pula ditutup - kononnya mahu elak setan. Aku buka tingkap dan sliding door biar ternganga luas luas, agar angin senja masuk, biar sang setan merasuk. Meraba segala kemungkinan, memergoki peristiwa peristiwa lampau saat ketawa gadis cantik bermuka baik itu dia tumpahkan di tengah tengah jalan pandangan aku. Bangsat, sekarang juga aku pergi rumah kau.
Pintu rumah flat itu aku ketuk bertalu talu, ada beberapa ekor anai anai jatuh ke lantai sebelum aku pijak pijak dan tonyoh sampai mampus. Seorang dewa berkain pelikat membuka pintu, tersenyum dan mengucapkan selamat petang cinta. Menjemputku masuk tanpa sedikit pun ragu ragu akan niat ku ke situ. Bersila atas lantai, aku katakan padanya hati aku terpatah dua, aku tuntut waranti 5 tahun yang dia berikan pada aku dulu.
Senyum lagi, dia tanya, engkau selingkuh? aku geleng. Engkau berubah hati? aku angkat bahu. Masih sayang dia? Aku angguk laju laju. Babi, banyak tanya. Aku genggam kolar baju polo merah jambu dewa berkain pelikat, aku tanya lagi sekali, waranti 5 tahun aku mana? Dia tergagap gagap, ma ma maa naa aad adda. Mana ada apa? aku tanya lagi, herdik sampai bersembur air liur dekat muka dia. Mana ada waranti dalam bercinta! kali ini lancar pula dia cakap. Rupa rupanya dalam diam tangannya sudah memegang punat telefon, 991, sambung ke talian khas masalah dewa dewa. 
Tak tunggu lama, aku pergi cari busur cinta dia simpan belakang almari televisyen, aku panah kepala dengan rambut samar samar dia guna pisau ajaib aku jumpa dalam sinki senja tadi. 
Maghrib tadi, aku lakukan dua dosa, pertama aku bunuh Q-pid sang dewa cinta. Kedua, aku dah tak percaya cinta. hey hey hey aku tak percaya cintaaaa... aku tak percaya cintaaaaa... Aku tak percaya
C.
I.
N.
T.
A!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2012 03:50

March 13, 2012

Cerita hantu bertajuk Jin Mekdi


Bosan, entah macam mana tiba tiba saja keluar cerita hantu dalam kereta waktu atas highway PLUS nak balik PJ. Mungkin sebab di luar gelap, hujan pula renyai renyai, maka mood seram secara semulajadi tiba tiba datang. Habis semua cerita aku keluarkan daripada poket pengalaman kiri dan kanan. Daripada cerita pocong pakai skirt di bilik guru, sampai lah cerita seorang makwe tanpa tangan yang membuka pintu jamban guna kepala. Tak lupa juga, cerita pasal pengetua MRSM yang bela hantu kopek dalam poket baju melayu. Malangnya semua orang cool, tak ada tunjuk sikit pun tanda tanda sedang takut. Sampai lah bila aku cerita pasal orang kena rasuk dengan jin Mekdi. 
Pada suatu hari, ada seorang lelaki/perempuan yang sedang membaca blog. Tiba tiba mereka terbaca satu cerita mengenai seekor jin Mekdi yang meniup bau bau makanan segera Mekdi ke hidung manusia. Antara bau yang ditiupkan jin Mekdi itu adalah bau Double Cheeseburger yang mempunyai dua keping daging empuk, malah dihimpit pula dengan beberapa lapisan keju kuning yang sedikit cair apabila terkena kepingan daging panas tadi. Tidak ketinggalan, bau fries Mekdi dengan taburan garam secukup rasa di atasnya sebelum dikunyah dan melimpahkan rasa kentang goreng ke dalam mulut. Tanpa disedari, jin Mekdi yang diceritakan dalam cerita tersebut sedang berada di belakang telinga lelaki/perempuan itu. Membisikkan kata kata manis tentang harga makanan segera Mekdi yang sebenarnya tidak lah mahal mana jika mahu dibandingkan dengan sepinggan nasi kandar bersama sama segelas milo ais di restoran mamak 24 jam. Akhirnya, lelaki/perempuan itu tutup blog terus keluar mendapatkan bayangan bayangan makanan segera yang dilayangkan jin Mekdi itu tadi, sebiji Big Mac, French Fries dan aiskrim coklat sundae yang sejuk. 
Habis sahaja cerita aku itu, semua orang terdiam. Semua orang tengok perut. Brader yang bawa kereta ni terus belok masuk persimpangan Ipoh Utara. Makwe yang duduk seat depan tanya aku sambil tangan sibuk gores skrin telefon cari gps,
Mekdi paling dekat sekali dalam Ipoh ni dekat mana? 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 13, 2012 05:47

March 8, 2012

Beruang tedi Maisarah

Maisarah masih belum mampu melelapkan matanya, berbaring memandang syiling seolah olah telah berjaya menembusi atap rumah melihat bintang bintang yang bertaburan di langit. Sampai bila Maisarah harus menunggu? bisiknya perlahan. Tunggu siapa? tanya satu suara kecil. Maisarah bingkas memandang sekeliling, cuba mencari pemilik pertanyaan tadi. Di tepi katil, ada satu beruang tedi berwarna coklat dengan mata hitam bulat yang bersinar dibias cahaya lampu meja sedang berdiri, tersenyum memandang Maisarah. 
Oh beruang tedi, Maisarah ingatkan siapa tadi, kata Maisarah sambil tersenyum. Diambilnya beruang tedi itu dan diletakkan ke sebelah. Maisarah tunggu siapa? beruang tedi itu mengulang kembali soalannya tadi. Maisarah tengah tunggu orang yang Maisarah sayang, kata Maisarah sambil melepaskan satu keluhan perlahan, seolah olah sudah penat menunggu. Harap harap orang yang Maisarah tunggu itu berbaloi lah untuk ditunggu ya Maisarah, balas beruang tedi itu. Maisarah tidak menjawab, sekadar tersenyum mendoakan kata kata beruang tedi itu . Lama terdiam, masing masing menunggu jika ada di antara mereka yang mahu menyambung perbualan. 
Sampai bila harus menunggu? tanya beruang tedi. Maisarah melontarkan pandangan kosong sebelum mengangkat kedua dua bahunya ke atas. Maisarah, kata beruang tedi perlahan. Penantian itu sebenarnya adalah satu bentuk penyiksaan yang halimunan. Kita mungkin rasa bahagia menanti, apatah lagi apabila sekali sekala kita terlihat sinar harapan dalam penantian itu. Tapi apa yang kita tidak sedar adalah rasa bahagia itu cuma sementara dan selebihnya adalah derita. Akan sampai satu peringkat yang kita sepatutnya sudah terlalu penat untuk menunggu tapi seringkali, rasa lelah itu kita sendiri kaburkan dengan senyum tawa yang dibuat dibuat. Hakikatnya, sama macam beruang tedi, kita cuma sentiasa tersenyum untuk menceriakan hati orang orang sekeliling dan dalam masa yang sama cuba menipu hati kita sendiri. Konon kononya kita benar benar gembira. Sudah lah, tamatkan penantian itu segera, agar kita boleh lekas bahagia. 
Bagaimana? Setelah lama menunggu tiba tiba mahu lupakan macam tu saja? Tak semudah itu. Maisarah mulai sebak. Beruang tedi itu menggosok gosok tangan Maisarah, cuba menenangkan hati gadis itu. Maisarah, bukan lupakan, tapi selesaikan. Letakkan satu garis penghujung kepada penantian itu, berdiri atas garisan itu dan lihat samada yang ditunggu ada disitu atau tidak. Kalau tidak ada, teruskan kehidupan, mulakan perjalanan baru. Hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan dengan menanti sesuatu yang tidak pasti. 
Terus Maisarah peluk beruang tedi erat erat dengan air mata yang berlinangan, membawa mereka ke dalam satu kenangan di sebuah bilik merah jambu sepuluh tahun yang lepas, iaitu pada saat kali terakhir beruang tedi itu dipeluk Maisarah yang berusia 12 tahun yang sedang menangis teresak esak.

"Beruang tedi, Maisarah janji, cuti nanti Maisarah balik dari asrama Maisarah peluk beruang tedi lagi. Tunggu Maisarah tau!"

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2012 01:35

January 29, 2012

Sebatang lolipop berwarna warni dan sekeping surat dilipat kemas.

Suasana dalam bilik bacaan itu suram, ditambah dengan wajah wajah muram si ibu dan si anak yang tenang mendengar bicara peguam tentang wasiat si ayah yang baru sahaja meninggal dunia akibat penyakit kanser. Peguam itu mengeluarkan sampul besar bersaiz A4 daripada beg hitamnya yang berisi sebatang lolipop berwarna warni dan sekeping surat dilipat kemas. Kata peguam, peninggalan si ayah untuk si ibu cuma lah sebatang lolipop berwarna warni, manakala si anak tidak akan mewarisi apa apa pun melainkan sekeping surat yang ditulis sendiri oleh si ayah. Si anak tadi bingkas bangun daripada tempat duduknya, tidak berpuas hati dengan kata kata peguam itu, lalu merampas surat peninggalan si ayah tersebut. 
"Wahai anak ku,

Sebenarnya 10 tahun lepas aku pernah memberikan ibu kau satu lolipop beracun ketika sedang makan dalam sebuah restoran untuk menamatkan riwayatnya agar aku boleh berbahagia dengan calon pilihan aku sendiri. Cuma aku tak sangka ibu kau begitu bermurah hati mendermakan lolipop itu pada seorang kanak kanak berbaju lusuh yang bertandang dari meja ke meja menjual tisu. Lalu aku rampas kembali lolipop itu daripada tangan kanak kanak itu sebelum semua orang dalam restoran memandang aku dengan tajam. Seorang lelaki hampir hampir bangun dan menghempuk kepala aku dengan sebuah kerusi besi tapi sempat dihalang teman wanitanya yang awal awal lagi telah pun membaling tulang ayam kepada aku sebagai tanda protes. Demi menyelamatkan nyawa aku, kanak kanak itu aku peluk lalu aku umumkan pada khalayak yang mulai hari tu kanak kanak itu akan aku bela nasibnya. 

Dan begitulah ceritanya bagaimana aku terpaksa menjadikan kau anak angkat ku dan menyebabkan kau tidak layak untuk menerima walau satu sen pun harta hartaku. Sekian ayah akhiri surat ini dengan sedikit ketawa ringkas, kah kah kah!
 fakyu, ayah angkatmu"
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2012 04:12