Zoul Yazix's Blog, page 3
October 19, 2012
sedutan cerpen Cinta Ini, Kadang Kadang Tak Ada Logika untuk Agnes.
"Nantilah jumpa, sibuk sikit ni"
SMS itu aku baca dengan satu senyuman kecil. Aku yang bodoh, sebab yakin sangat yang kau - macam aku, juga akan teruja bila dapat peluang untuk berjumpa. Macam malam ini, aku dah sampai depan kediaman kau, dan cuba buat kejutan mesej tanya nak jumpa ke tak dan bila kau balas 'nak!' aku rancang mahu segera cakap 'dah ada dekat depan ni dah pun!'. Kau akan ketawa dan kita boleh makan aiskrim bersama. Tapi betul lah, tadbir mana boleh lawan takdir.
Dan laki laki tolol seperti aku, dalam banyak banyak benda nak beli untuk ceriakan malam kau, aku pilih aiskrim yang akhirnya cuma terbazir mencair dalam raga motor. Selepas ini aku mungkin patut pilih teddy bear coklat atau coklat Cadburry dengan bungkusan kalis air.
Ya, kalis air, sebab malam tadi hujan. Aku redah hujan rintik rintik itu dengan alasan cuma satu, rindu. Rindu senyuman kau yang selalu buat aku khayal dan rasa macam lelaki paling bahagia dalam dunia. Balik tadi, hujan lebat. Aku basah atas motor, redah lebuhraya dengan tubuh yang menggigil sejuk dan hati yang membeku dingin.
Tadi dengan mata yang terpejam pejam hadap lebat rahmat Tuhan itu, aku cuma fikirkan kau. Kenapa kita tak punya keterujaan yang sama? Kemudian lekas lekas aku padam persoalan itu selepas aku sedar aku masih lagi seorang laki laki yang beruntung kerana sekurang kurangnya kau masih mengaku sayangkan aku. Dan untuk itu aku tak patut persoalkan hati kau yang ada pada aku, dan yakin dengan hati aku yang ada pada kau.
Hujan yang jahat sayang, hujan jahat.
Published on October 19, 2012 04:25
October 5, 2012
Bukan paling cantik dalam dunia, tapi cantik.
Seorang kawan perempuan pernah duduk di sebelah saya dan mengadu betapa dia tidak gembira dengan dirinya sekarang. Saya yang sedang makan aiskrim tiba tiba berasa simpati lalu cepat cepat saya makan aiskrim tersebut sampai habis supaya dia tidak berasa teringin.
Katanya, kali terakhir dia berasa gembira adalah ketika dia kecil molek lagi, menyelinap masuk ke dalam bilik tidur ibunya, memakai segala jenis gincu, bedak muka dan maskara dan memperagakannya di depan meja solek. Ketika itu, dia adalah perempuan paling cantik dalam dunia. Sekarang, walau di hadapan meja solek, dengan gincu, bedak muka dan maskara yang sama perasaan perempuan paling cantik dalam dunia itu tidak pernah hadir lagi.
Saya memandang wajah muramnya, memberi sedikit senyuman agar dia tidak hanyut dalam rasa sedihnya. Jujurnya, saya tidak tahu apa yang saya harus katakan, tapi berdiam diri bukan lah satu pilihan. Lalu saya keluarkan sekeping syiling dua puluh sen dari dalam poket. Lihat syiling ini, awak tahu ketika pertama kali ia dikeluarkan, warnanya perak terang dan berkilau. Tapi sekarang, setelah beberapa tahun syiling ini jadi kusam. Pernah awak dengar orang mengadu syilingnya kusam? Tidak berkilau? Tak, kerana yang penting bukan permukaan, tapi nilainya. Begitu lah juga awak dan semua orang. Tak penting samada kita cantik atau tidak, tapi yang penting nilai kita pada orang orang sekeliling. Misalnya nilai awak pada saya, adalah sebagai seorang kawan. Cantik atau cacat, tetap nilai sebagai seorang kawan itu tidak berubah.
Dia memandang wajah saya, dan saya memandang wajah dia. Dengan mata yang berair dia mengangguk angguk, katanya saya betul kerana walaupun saya tak kacak, dia masih rasa nak berkawan dan mengadu dekat saya.
Saya senyum, dan beberapa saat selepas itu kawan perempuan saya mati tersedak syiling dua puluh sen. Arwah selamat dikebumikan di Kuala Kangsar.
Published on October 05, 2012 00:06
October 4, 2012
Siapa tak beli, ketiak dia hitam.
1. Binatang apa ini bang?
Ini zine ZY. Isi zine ini adalah koleksi tulisan cerita cerita yang telah aku tulis samada yang telah dimuatkan dalam blog ini, blog yang satu lagi ataupun ada yang tak terdapat di mana mana blog. Kebanyakan ceritanya adalah mengenai aku yang patah hati, luruh jantung dan tiba tiba jadi pakar motivasi kepada diri sendiri.
Reviu pendek teman teman,
"Aku ketawa baca cerita cerita dalam ni, walaupun ianya cerita patah hati. Aku peduli apa, aku pun ada juga patah hati tapi tabah je pergi kerja hari hari" -Mar.
"Aku keghiau baca ni. Bukan sebab cerita dia sedih tapi dah memang aku suka keghiau" - Qiez.
"Aku beli zine ni walaupun sebenarnya aku tak berapa gemar sangat membaca. Untuk support member kita tak perlu baca, tapi kita wajib beli" -Syaee Sadhana
2. Kenapa saya harus beli zine ini?
Sebab dalam zine ini mungkin ada cerita yang boleh jentik telinga anda, ada cerita yang mungkin buat anda ketawa kecil dan kelihatan comel dalam kalangan rakan sekelas malah ada cerita yang mungkin boleh buatkan kita saling jatuh cinta - till jannah.
Tebal tak bang? Ada berapa cerita?
Tak tebal sangat, standard zine 40 ++ muka surat. Tak pasti ada berapa cerita, kebanyakan kispen ambil ruang satu mukasurat, tapi ada mukasurat yang diisi dua anekdot, jadi kalau nak suruh aku teka mungkin ada 30 ++ cerita.
3. Berapa harganya?
RM5 sahaja. Kalau beli online, boleh masukkan RM10 dalam akaun. Kalau bertuah mungkin aku akan letak gula gula atau sedikit debu magis pengubat duka dalam sampul pos.
oh ini nombor akaun - 09 010 020 538 394 ( Bank Islam ). Ya, ana muslem, tak ada akaun Maybank, CIMB atau Swiss. Nama ana Zulhilmi.
4. Ini zine pertama abang ke?
Eh tak, ini zine kedua. Zine pertama adalah Maisarah, sebuah zine yang berkisarkan kehidupan seorang kanak kanak bernama Maisarah, pelajar tahun dua Marveles, Sekolah Rendah Kebangsaan Marco Pollo yang menggemari kucing dan penguin. Zine ini adalah dikatakan sebagai satu bacaan ringan yang mampu membuatkan anda tersengih seorang diri seperti kerang yang direbus oleh seorang makwe cantik berkulit putih gebu. Tak percaya? Ini buktinya.
Ha Yana Samsuddin pun ada, engkorang tak nak ke?Zine ini juga masih ada, dengan harga yang sama. Kalau beli dua, kos postej sama juga jangan risau.5. Abang buat zine je ke? Buku tak ada?
5. 1.Ada, ini buku Kontrol Histeria terbitan Lejen Press. Sekarang ini Lejen Press tengah usung buku ini di Jelajah Lejen Fixi di seluruh dunia. Buku ini bergenrekan saikopat dalam bentuk kispen mahu pun bersiri di mana garapan penulis menyentuh isu pecahan personaliti, nekrofilia, pedofilia, seks rambang, pembunuhan, keganasan dan skizofrenia dalam abnormaliti imaginasi masing-masing.
Harganya RM18, jadikan RM20 dan kalian boleh pilih mana mana zine di atas untuk dihantar sekali. Kos postej masih RM5. Kalau tak yakin nak beli buku ini boleh baca reviu oleh Cikgu Zara atau Lord Zara di DSZ - http://shafaza-zara.blogspot.com/2012/03/ulasan-kontrol-histeria-lejen-press.html
5. 2.
Ini pula buku kedua aku, Batu Ketiga Dari Matahari. Buku untuk homosapiens yang patah hati, stress berkerja dan mabuk dengan dunia sendiri. Buku ini ditulis oleh 8 orang penulis termasuk aku bergenrekan ketuhanan, cinta dan kemanusiaan. Setiap seorang penulis ada 6 cerpen sendiri.
Reviu: Utusan Malaysia 1 SeptemberUntuk baca reviu pembaca lain boleh klik sini - Goodreads. Harganya RM20 sahaja, kos postej RM5. Aku sangat syorkan kalian beli buku ini, banyak mendapat respon positif daripada pembaca. * Aku ada sekeping buku ini, yang muka belakang sedikit kotor. Sikit saja, jadi aku akan jual pada harga RM15. Jadi anda cuma perlu bank-in RM20 untuk yang ini. Sekeping saja, siapa cepat dia dapat!
6. Ok abang, saya nak beli. Apa harus saya buat?
Ok mula mula sekali masukkan wang secukup rasa ke dalam mesin deposit tunai di Bank Islam berdekatan anda, kemudian ambil resit. Sampai di rumah, ambil gambar resit dan emailkan ke
zoul.imme@gmail.com
bersama sama butiran zine/buku apa yang kalian mahu, alamat dan nombor telefon.
7. Ada apa apa yang lain boleh saya bantu?
Ya! Tolong sebarkan entry ini ke pelusuk alam! Kumpulkan kesemuanya dan jadilah pria dan wanita yang paling cool di alam semesta!
Published on October 04, 2012 08:33
Email daripada seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar.
Tolong jangan abaikan email ini, setidaknya baca lah dahulu sampai selesai. Aku tidak meminta sesuatu yang berat sampai mendatangkan mudarat. Baca lah.
Pernah suatu masa dahulu pekerjaan aku adalah sebagai seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar.
Setiap hati sunyi yang lalu akan ku tegur dengan senyuman mesra dan bertanya, hai, mahu beli mimpi indah? Kebanyakan mereka berlalu pergi tanpa sebarang reaksi atau ketawa kecil melihat aku dengan tubuh gempal memegang tali tali yang mengikat belon belon kuning. Tapi bagi yang berhenti, akan aku ikatkan tali belon kuning di pergelangan tangannya dan mengucapkan terima kasih. Mereka akan bertanya bayarannya berapa dan aku akan menjawab, tiada cuma cuma anda harus percaya.
Bagi yang memilikinya pasti akan kembali dengan wajah ceria diiringi dengan seketul hati yang melompat kegirangan. Kata mereka, malam tadi adalah malam paling indah! Aku tersenyum, tumpang bahagia. Mereka gembira, aku turut serta merasainya.
Sampai lah pada hari ini, aku kehabisan belon belon kuning. Yang tinggal cumalah belon kelabu dan hitam dalam stor. Tapi belon belon itu tidak aku jual, ianya milik aku yang selama ini aku sorokkan di belakang rumah. Keresahan yang selama ini dibawah kaki mula memeluk hati yang cungap.
Jadi aku ingin meminta belas kalian yang pernah aku berikan ataupun ada memiliki mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar, pinjamkan lah cebisan keindahan itu pada aku, sekurang kurangnya sampai aku menemui belon belon kuning yang baru?
Published on October 04, 2012 00:18
October 2, 2012
Kawan tapi stranger.
Aku sebenarnya gemar berbual dengan orang yang tidak dikenali di hentian bas, dalam LRT atau di laman sosial seperti twitter atau facebook.
Sampai lah pada suatu hari ada seorang perempuan berambut panjang dengan t-shirt biru dengan seluar jeans duduk di sebelah menegur aku dalam LRT. Dia tanya mahu ke mana? Aku memberi jawapan beserta senyuman, Shah Alam, jumpa kawan. Untuk tidak mematikan perbualan aku bertanya, selalu ke sembang dengan stranger dalam komuter? Dia ketawa, hei mungkin sebenarnya kita sebelum ini pernah berkawan, siapa tahu? Aku ikut ketawa, tanpa sebab yang jelas. Kalau sudah berkawan bagaimana boleh jadi stranger? tanya aku.
Dia membalas, jadi kawan tidak ada waranti, tidak ada jaminan selamanya kawan. Mungkin hari ini kita berkawan, tapi di lain hari kita jadi asing seolah olah tidak pernah saling mengenali. Lain lah kalau jadi sahabat. Walaupun secara literalnya maksudnya sama, tapi kita jarang jarang memakai terma sahabat sebagai gelaran kepada kawan kawan atau teman. Mungkin juga sebab janggal, tapi bagi saya gelaran itu istimewa.
Aku ikut mengangguk, gembira. LRT sudah hampir sampai ke KL Sentral, dan aku perlu turun untuk menaiki komuter ke Shah Alam. Aku berdiri dan bergerak ke pintu sebelum berpaling, hei, saya tarik balik jawapan tadi. Saya ke Shah Alam jumpa sahabat, bukan kawan. Dia cuma tersenyum dan membalas, harap mereka pun anggap awak sahabat, bukan kawan!
Pintu terbuka dan aku melangkah keluar sebelum tiba tiba terhenti dan menung sendiri di bawah kipas statik memikirkan kata kata terakhir gadis tadi. Sampai sekarang aku fikir lagi.
Published on October 02, 2012 01:45
September 27, 2012
Secangkir kopi memori yang telah sejuk.
Dia pernah menangis di bahu aku dan aku sentiasa ada di situ untuknya. Kami sering melengkapkan ayat satu sama lain, berkongsi masalah, berbual mengenai perihal universiti, ketawa bersama membaca lawak bodoh dalam ruang borak facebook dan berkongsi minuman kegemaran kami, kopi.
Sampailah pada suatu pagi aku terjaga seperti biasa, dalam sebuah bilik bujang kosong dengan kipas siling berkelajuan sederhana, sisa sisa kuaci yang bertaburan di tepi tilam dan segelas kopi semalam yang telah sejuk. Manakala dia bangun dalam sebuah apartmen atas bar di negeri asing, dipeluk erat comforter putih tebal dan bersama samanya juga adalah segelas kopi semalam yang telah sejuk. Aku minum kopi tersebut, tapi dia, menuangkan kopinya ke dalam sinki.
Bingkai gambar kecil kami berdua di tepi tilam aku renung lama, lantas menarik aku ke dalam sebuah cebisan memori mengimbas saat kami berkongsi secangkir kopi panas di cafe universiti. Aku bertanya padanya, apakah kopi ini masih layak diminum jika ianya telah sejuk? Kau ketawa, menampakkan baris gigi putih dan sepasang lesung pipit yang memasung pandangan mata. Kata kau, kopi ini kan pernah hangat dan memberi nikmat pada kita, dengan aroma yang menusuk hidung dan rasa panas yang mengusap lidah, tidakkah meninggalkannya terus atas alasan ianya telah sejuk adalah pembaziran yang tidak wajar? Saat itu aku hanya mengangguk gembira sambil memerhatikan senyumannya.
Sekarang, bersama kopi sejuk ini aku hanya mampu berdoa satu hari nanti Tuhan akan temukannya dengan Khalil Gibran, yang akan mengingatkannya untuk memeriksa buku kenangannya kelmarin dan dia akan tahu bahawa dia masih berhutang kepada manusia dan kehidupan.
Published on September 27, 2012 07:41
September 5, 2012
Siri bercakap dengan maggi.
Tadi sempat berbual bual dengan maggi panas dalam mangkuk. Aku tanya dia, kenapa hidup aku mesti serabut dengan segala macam masalah. Maggi tersebut hanya tersenyum simpul. Aku tanya lagi kenapa hidup aku dipenuhi tekanan daripada segenap arah, sampai kadang kadang nak bernafas pun payah. Sekali lagi maggi hanya tersenyum simpul.
Aku angkat garpu tinggi dan lekas lekas dia membalas, kehidupan ini sebenarnya macam semangkuk aku juga. Serabut dengan kerinting kerinting kecil macam aku. Tapi kerinting itu lah yang akan kenyangkan kau nanti, keserabutan itu lah yang akan selamatkan kau daripada serabut serabut yang lebih besar di masa depan. Keserabutan beri kau pengalaman, satu pertahanan dalam semua ujian ujian Tuhan.
Sambung maggi lagi, tekanan itu pun macam semangkuk aku, panas. Tapi tekanan adalah benda yang kau mesti lalui dalam hidup, macam panas aku. Tak panas macam mana aku nak masak? Tekanan ini lah yang akan matangkan kau, yang akan jadikan kau seorang dewasa bila kau dah boleh fikir secara rasional tentang semua perkara yang berlaku di sekeliling kau.
Kau tengok aku, serabut dan panas. Tapi kau nak makan juga sampai habis walau perit panas walau susah serabut sebab kau sendiri tahu di penghujungnya nanti kawan, ada nikmat!
Published on September 05, 2012 11:08
August 3, 2012
Tak boleh senyum tanpa kau.
Kau tahu pagi tadi aku bangun bangun saja dah ada Barry Manilow duduk bersila dekat sebelah. Aku sendiri tak pasti samada dia betul betul ada atau cuma susuk imaginasi yang lahir dari dalam kepala, tapi yang aku pasti dia tengah gumam lagu Can't Smile Without You. Aku pegang bahunya, cakap Abang, boleh tak abang pergi nyanyi jauh jauh. Suara abang, lagu abang, buat segalanya rasa mellow.
Kau tahu, waktu waktu serius begitu, Barry buat kelakar yang tak patut, dia kata Hei, its funny because mellow rhymes with Manilow. Tapi aku tak ambil hati sangat, sebab aku tahu dia hadir pagi ini sebab kau. Kebiasaannya pagi pagi seperti ini aku akan hantar mesej Good Morning pada kau, dan kau akan balas selepas jam 12, good morning love!
Aku akan balas, hei good morning apa nya, dah pukul 12 lah anak dara, good mornoon!
Selepas itu bunyi ringtone mesej aku, hachum! dan mesej kau masuk; Shut up la, suka hati orang lah nak bangun pukul berapa.
Dan macam biasa juga aku akan balas; :(
Pagi ini aku tak tahu nak hantar mesej pada siapa, mahu ucap selamat pagi pada siapa dan nak buat lawak bodoh dengan siapa, yang ada cuma aku, bantal putih yang lunyai, tingkap terbuka dengan pemandangan pekan Ipoh yang antik, dan seorang Barry Manilow yang sedang menyanyi,
You came along just like a songAnd brighten my dayWho would have believed that you where part of a dreamNow it all seems light years away...
Published on August 03, 2012 01:12
July 18, 2012
Sepotong pelangi untuk kau.
Sewaktu sedang enak makan burger keju di sebuah gerai kecil dalam renyai hujan semalam, aku terlihat sebaris lengkung pelangi di balik awan. Terus dalam fikiran aku, momen cantik ini aku mesti kongsikan dengan kau.
Aku bangun tinggalkan burger keju di atas meja. Kau tahu kan betapa sukanya aku dengan burger keju, tapi tetap aku biarkannya di situ demi berkongsi pelangi dengan kau, 'burger keju' hati aku. Lalu aku capai tangga dan panjat, potong sebaris lengkung pelangi itu sebelum aku masukkannya ke dalam poket.
Aku turun sahaja di bawah sudah ada beberapa pasangan bercinta merungut marah. Kembalikan pelangi kami! Kata mereka sambil menyumpah seranah aku dengan tangan sedang menggenggam kemas sepotong pelangi dalam poket kiri. Aku tidak mempedulikan mereka, berjalan laju dan melanggar bahu bahu orang orang itu. Tak bolehkah mereka bersabar dan tunggu hujan turun semula lalu minta matahari pinjamkan sedikit cahayanya untuk hasilkan sebaris pelangi baru?
Aku capai telefon bimbit di poket kanan dan hantar satu pesanan ringkas buat kau yang berada di hujung sana, daripada aku di hujung sini,
"jumpa di KL Sentral"
Dengan sepotong pelangi dalam poket kiri, aku bergerak ke sana bersama sekeping wajah berseri seri. Kau pasti akan sukakannya, bisik hati aku. Dan kita pun berjumpa, kau dan aku bertukar senyuman dan sepotong pelangi dalam poket kiri pun bertukar tangan. Kita berpisah, aku dengan rasa bahagia aku, dan kau dengan entah-apa-yang-kau- rasa.
Kemudian kau hilang. Kelam bersama sama dengan sepotong pelangi yang asalnya daripada langit atas sebuah gerai kecil dalam renyai hujan yang kemudiannya aku ambil masukkan dalam poket kiri untuk kau pasangkan dalam hati. Sampai lah pagi ini tiba tiba kau hantarkan satu pesanan ringkas mengenai kekurangan diri aku di mata kau. Dan ianya cuma berlaku selepas aku potongkan sebaris lengkung pelangi untuk kau, burger keju hati aku.
Petang ini sekali lagi aku duduk di gerai kecil memesan burger keju kesukaan aku, mengenangkan kau sambil merenung langit mendung yang rompong.
Published on July 18, 2012 03:33
May 29, 2012
Bunohan: Anok Pok Mat ujong kampong mapuh keno tikam.
Petang itu angin bertiup sayu seiring dengan matahari senja yang berlalu. Berita pembunuhan seorang pemuda yang ditikam berkali kali dengan kejam sudah sampai ke telinga hampir setiap penduduk kampung. Semua kanak kanak dipanggil pulang ke rumah, pintu dan tingkap ditutup rapat malah ada yang sengaja memutuskan bekalan elektrik supaya lampu jalan tidak menyala untuk menyembunyikan kedudukan rumah rumah mereka malam nanti.
Seorang lelaki tua berserban putih berkain pelikat dilihat sedang berjalan perlahan menuju ke sebuah bot tinggal berhampiran pantai. Sebelum memberikan salam, lelaki tua itu sempat melafazkan kalimah syahadah dalam hati, bimbang jika kedatangannya yang berjalan kaki itu berakhir dengan pulangnya dia dalam sebuah van putih bertulisan arab. Setelah salamnya dijawab dia melangkah masuk, melihat seorang lelaki kurus berbaju lusuh sedang berdiri menghadap laut.
Mengambil nafas dalam dalam, lelaki tua berserban putih itu memberanikan diri bersuara "Mu ado bunying kaba anok Pok Mat ujong kapong tu keno bunuh Ilhe?"
Lelaki bernama Ilham itu tidak memberikan sebarang respon kecuali satu keluhan perlahan. Tepat lah telahan lelaki tua berserban putih itu mengenai siapa yang bertanggungjawab untuk pembunuhan di hujung kampung mereka. Sekali lagi dia mengumpulkan keberanian membuka mulut untuk bertanya,
"Ilhe, Tok Imey maghi ni nok tanyo, bakpo mu bunuh anok Pok Mat tu Ilhe?" Pertanyaan itu hanya dijawab oleh desiran ombak yang menghempas pantai. Selepas beberapa ketika, Ilham melepaskan pandangannya daripada laut, menuju ke arah meja buruk dengan sebuah laptop di atasnya sebelum memusingkan skrin laptop itu ke arah Tok Imam dan berkata,
"Bakpo Tok Imey tanyo? Ni, tengok ni. Ado ko patut dio atar rekueh suh ambo klik aplikeseng timeline remover hok ngarut te."
Tok Imam tersebut menggeleng gelengkan kepalanya. Serbannya dirungkaikan daripada kepala lalu menampakkan kewujudan sekotak rokok Surya di atas rambutnya. Dinyalakannya sebatang dan diletakkan ke bibir, satu hembusan penuh rasa kesal dimuntahkan bibirnya bersama kepulan asap putih.
"Sungguh ko? Owoh, nate beghuk sungguh lo budok te" kata lelaki tua berkain pelikat dengan serban tersangkut di bahu itu. Dalam diam, Ilham sudah mencapai sebatang rokok Surya milik Tok Imam dengan niat untuk menyertai upacara pembakaran rasa kesal akan ketidakcerdikan arwah pemuda tersebut dalam berfesbuk.
[image error]
Published on May 29, 2012 09:08


