Abdul Latip Talib's Blog, page 2
August 22, 2013
Walaupun Cuma setahun Dr Morsi menjadi Presid...

Pihak pembangkang mengadakan sebanyak 7,709 protes, 24 kali seruan untuk perhimpunan sejuta rakyat agar keluar ke jalan mendesak Mursi untuk meletakkan jawatan namun hanya seorang sahaja yang terbunuh.
Sedangkan dalam masa 50 hari kudeta memerintah Mesir, 6181 terbunuh, 25,552 tercedera dan 18,565 ditahan (Sumber : Twitter Anti-Coup Alliance).
Dalam masa setahun menjadi Presiden hampir 500,000 ibu tunggal di seluruh Mesir menerima pencen 400 pound Egypt sebulan untuk menyara keluarga mereka. Malangnya, apabila berlaku rampasan kuasa, pembiayaan tersebut dihentikan.
Kerajaan Dr Mursi juga menghapuskan hutang lapuk yang ditanggung 52,200 petani kecil agar dapat memulakan hidup baru.
Kerajaan Dr Mursi menyediakan insurans kesihatan untuk 13.2 juta kanak-kanak di seluruh Mesir berjumlah 160 juta Pound Egypt. Manakala 1.2 juta rakyat pula menikmati perkhidmatan kesihatan percuma.
Dalam tempoh setahun juga kerajaan pimpinan Dr Mursi berjaya menyediakan sebanyak 45,388 rumah mampu milik untuk rakyat Mesir yang belum memiliki rumah. Seramai 90,000 keluarga juga menikmati skim pinjaman untuk bina rumah sendiri.
Kerajaan Mursi juga telah menyediakan sebanyak 593,000 peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan belanjawan melebihi 3.5 bilion Pound Egypt, dan ini merangkumi 5,611 pekerjaan untuk graduan menganggur.
Sepanjang pemerintahan Mursi, negara Mesir telah menyaksikan peningkatan KDNK pada tahap terbaik berbanding tahun-tahun 2010-2011, iaitu purata 2.4% pada 2013 berbanding 1.8% pada 2011 dan 2012.
Malangnya semua pencapaian Dr Mursi ini disembunyikan, sebaliknya, kelemahan yang diwujudkan untuk mengaburi rakyat yang naif serta masyarakat antarabangsa agar membina persepsi bahawa Dr Mursi dan Ikhwan Muslimin gagal memerintah negara.
“Dan begitulah kami lantik dari kalangan orang-orang yang zalim memimpin golongan yang zalim disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan.” Surah al-An’aam ayat 129.
Umat Islam sekarang berada di zaman ke 4 iaitu zaman pemerintahan diktator. Pertama zaman nabi. Kedua zaman khalifah. Ketiga zaman pemerintah yang menggigit (fitnah). Keempat zaman pemerintah diktator.Kelima kembali pada zaman khalifah…
Published on August 22, 2013 17:54
August 19, 2013
Inilah permulaan bagi siri peperangan yang paling panjan...

Seruan itu bersambut, dengan Paus Urban II berucap di persidangan Clermont. Dia menyeru bagi membantu Empayar Rom Byzantine, menyeru kepada balas dendam, dan menyeru membebaskan Baitulmuqaddis.Seruan itu merebak ke seluruh Eropah. Akhirnya puluhan ribu sukarelawan sudah berkumpul di Kota Konstantinopel.
Sementara itu, jauh di Timur, kerajaan Islam Turki Seljuk, Kerajaan Fatimiyah Mesir, Bani Abbasiyah terus bertelagah kuasa.Mereka tidak sedar, satu gerombolan tentera yang tinggi semangat juangnya, yang dahsyat kemahuannya sedang menuju ke arah mereka, yang akan menghancurkan segala yang menghalang. Mereka adalah gerombolan tentera Salib.
Lalu, apa akhirnya bagi Perang Salib yang pertama?
Published on August 19, 2013 15:56
Ceritaini mengisahkan seorang warga emas bernama Pak Rahm...

Published on August 19, 2013 15:53
Cerita ini mengisahkan seorang warga emas bernama Pak Ra...

Published on August 19, 2013 15:53
Kisah Moyang Salleh dan para pengikutnya yang menuntut a...

Published on August 19, 2013 15:51
August 4, 2013
Ratu Isabella dilahirkan pada Khamis, 22 April 1451 ...

Siapa sangka Isabella semasa kecilnya seorang anak gadis yang comot pernah menderita akibat kekejaman abang tirinya Raja Enrique akhirnya muncul sebagai tokoh yang paling berjasa di Sepanyol.
Beliau dan suaminya Ferdinand berjaya menghapuskan pemerintahan Islam yang telah berkuasa di Sepanyol selama 800 tahun sehingga seolah-olah Islam tidak pernah wujud di Negara tersebut.
Zaman kemuncak pemerintahan Sepanyol apabila kekuasaannya meliputi Negara Jerman, Belanda, Belgaria, Austria, Swiss, sebagian besar Italia, sebagian Perancis, Cekoslowakia, Poland, Hunggari, Yugoslavia dan sebagian besar daerah Amerika Selatan.
Ternyata Ratu Isabella seorang wanita yang bijak, berpandangan jauh, licik dan begitu fanatik terhadap agamanya. Apabila abang tirinya Raja Enrique atau Henry 1V memaksanya berkahwin dengan Raja Portugal dengan tujuan politik bagi meluaskan pengaruhnya, Isabella memilih Ferdinand anak raja Aragon menjadi suaminya.
Raja Enrique marah lalu menamakan anak perempuannya Yuana yang masih kecil sebagai pewaris takhta. Tidak lama kemudian Raja Enrique meninggal dunia, Isabella dengan sokongan suaminya Ferdinand menuntut Kerajaan Castile. Berlaku perang saudara selama hampir dua tahun akhirnya pasukan Isabella beroleh kemenangan.
Ternyata Ratu Isabella belum berpuas hati dengan kejayaannya itu, Beliau mahu memerintah seluruh Sepanyol dan menjatuhkan pemerintahan Islam yang sudah berkluasa selama 800 tahun. Sebelum itu banyak usaha telah dilakukan bagi menjatuhkan pemerintahan Islam tapi tidak berjaya.Akhirnya Isabella dan suaminya tahu di mana kelemahan umat Islam lalu menghantar rokok, arak dan para penyanyi dan penari yang akhirnya membuat orang Islam lebih suka menyanyi dan melihat tarian serta hiburan dari membaca al Quran.
Akhirnya pada tahun 1492 Ratu Isabella dan suaminya Ferdinand berjaya menakluk Granada kubu terakhir pemerintah Islam. Bagi memastikan umat Islam tidak memberontak maka dibuat perjanjian damai, umat Islam dibenarkan beribadat menurut ajaran agama. Begitu juga orang Yahudi dibenarkan menganut agama mereka.
Kemudian Ratu Isabella dan Ferdinand mengeluarkan perintah melalui mahkamah semua orang Yahudi di Sepanyol masuk Kristien atau keluar dari Sepanyol. Ketika itu umat Islam tidak termasuk dalam perintah itu malah Ratu Isabella meminta bantuan orang Islam untuk memastikan semua orang Yahudi keluar dari Sepanyol.
Selepas rancangan itu berjaya akhirnya tiba pula giliran umat Islam dipaksa membuat pilihan masuk Kristian atau keluar dari Sepanyol. Pada mulanya umat Islam Sepanyol menentang perintah tersebut malah mereka sanggup berjuang. Lalu dipujuk mereka boleh keluar dari Sepanyol berlindung di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniyah di Turki. Malah Ratu Isabella berjanji menyediakan kapal yang mengangkut mereka keluar dari Sepanyol dengan percuma.
Ternyata umat Islam Sepanyol termakan pujukan itu lalu bersetuju meletak senjata dan pergi ke pantai hanya dengan membawa harta tanpa senjata. Ternyata itu adalah perangkap, apabila mereka sudah menaiki kapal maka kapal itu dibakar di tengah lautan. Mereka yang menunggu giliran di pantai dibunuh tentera Ratu Isabella tanpa belas kasihan.
Mereka yang masuk Kristian pula dipastikan mereka tidak murtad. Jika didapati bersembahyang, tidak makan babi atau menyimpan al Quran dalam rumah maka seluruh keluarga habis dibunuh.
Kisah kekejaman Ratu Isabella terhadap umat Islam ini banyak diceritakan dalam buku sejarah seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal bernama Ibn Hazam mnceritakannya dalam kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.
InsyaAllah terbit pula novel bertajuk Ratu Isabella - Meratapi Islam di bumi Andalus.
Published on August 04, 2013 17:02
June 13, 2013
Napoleon Bonaparte seorang Islam? Berita ini disambut ge...

Napoleon Bonaparte seorang Islam? Berita ini disambut gembira umat Islam namun dinafikan oleh mereka yang tidak senang dengan perkara yang mengembirakan umat Islam. Tambahan pula Napoleon Bonaparte itu dimusuhi Inggeris. Tokoh yang menjadi musuh Inggeris dianggap orang jahat… Seorang penulis bernama Davis Musa Pidcock menulis sebuah buku bertajuk Satanic Voices-Ancient and modern terbit pada tahun 1992 mengatakan Napoleon Bonaparte memeluk Islam pada 02 July 1798 atau 23 tahun sebelum meninggal dunia. Surat kabar Perancis ‘Le Moniteur’, turut melaporkan berita Napoleon Bonaparte memeluk Islam pada tahun 1798. C.Cherfils Penulis buku ‘Napoleon And Islam’ (ISBN: 967-61-0898-7) turut mengakui kebenaran tersebut. Majalah Genuine Islam yang diterbitkan di Singapura edisi Oktober 1936 pernah menyiarkan kata-kata Napoleon Bonaparte seperti berikut. “Religions are always based on miracles, on such things than nobody listens to like Trinity. Yesus called himself the son of God and he was a descendant of David. I prefer the religion of Muhammad. It has less ridiculous things than ours; the turks also call us idolaters.” (“Agama-agama itu selalu dikaitkan dengan hal-hal yang ajaib, seperti halnya Trinitas yang sukar dipahami. Jesus memanggil dirinya sebagai anak Tuhan, padahal ia keturunan Daud. Saya lebih meyakini agama yang dibawa oleh Muhammad. Islam terhindar jauh dari kelucuan-kelucuan ritual seperti yang terdapat di dalam agama kita (Kristien); Bangsa Turki juga menyebut kita sebagai orang-orang penyembah berhala dan dewa.” ) Kata Napoleon Bonaparte lagi: “Surely, I have told you on different occations and I have intimated to you by various discourses that I am a Unitarian Musselman and I glorify the prophet Muhammad and that I love the Musselmans.” (Dengan penuh keyakinan saya telah mengatakan kepada anda semua pada kesempatan yang berbeda, dan saya harus memperjelas lagi kepada anda di setiap ceramah, bahwa saya adalah seorang Muslim, dan saya memuliakan nabi Muhammad serta mencintai orang-orang Islam.) Akhirnya beliau berkata : “In the name of God the Merciful, the Compassionate. There is no god but God, He has no son and He reigns without a partner.” (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada Tuhan selain Allah. Ia tidak beranak dan Ia mengatur segala makhlukNya tanpa pendamping. ) Selanjutkan Nepoleon Bonapart mengatakan “Aku telah belajar dari buku ini, dan aku merasa bahwa apabila kaum muslimin mengamalkan aturan-aturan komprehensif buku ini, maka niscaya mereka tidak akan pernah terhinakan.” Akibatnya Napoleon Bonaparte telah dimusuhi oleh Inggeris dan sekutunya yang membawa kejatuhan Jeneral Perancis yang paling digeruni itu.
Published on June 13, 2013 20:06
April 25, 2013
HADIAH UMRAH PELAJAR CEMERLANG 10 A SPM 2012 (SM AGAMA ...

HADIAH UMRAH PELAJAR CEMERLANG
10 A SPM 2012 (SM AGAMA PERSEKUTUAN LABU N.SEMBILAN)
OLEH: NUR BALQIS BINTI MOHD BADAWI
Lafaz pertama dalam wahyu Al-Quran ialah iqra’ dan sudah tentu apabila lafaznya adalah daripada Allah, pasti roh mesej yang terkandung dalamnya amat hebat sekali. Allah menyeru sekalian umat untuk membaca, sebagai wahyu yang pertama dalam kitab Allah yang agung tiada tolok bandingnya. Saya memanjatkan rasa kesyukuran, alhamdulillah kerana dalam jutaan manusia yang gemar membaca, saya dalam golongan seperti mereka. Malah, saya lebih bersyukur, kerana dalam lautan manusia di dunia, saya dipilih oleh Allah untuk membaca bahan pengasah minda yang bermanfaat untuk jiwa, minda dan rohani saya. Antara bahan yang Allah jodohkan kepada saya untuk menghayatinya ialah karya tuan Abdul Latip Talib, seorang hamba Allah yang diberi ilham menghasilkan novel-novel pencetus idea ummah pada zaman millennium ini. Justeru, izinkan saya untuk mencoret beberapa impak yang terkesan ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam, bahan bermaklumat penuh manfaat rakyat budiman hari ini. Namun, karangan saya agak panjang kerana saya berharap ini merupakan satu perkongsian buat sesiapa yang membaca. Dalam masa yang sama, saya juga berharap bait perkataan saya menjadi suatu sumbangan dakwah buat Islam, satu-satunya agama yang diredai Allah.
Sebelum saya mengulas impak-impak membaca novel Islam pada diri saya dengan lebih lanjut, sudilah kiranya saya kongsikan rentetan kisah saya terlebih dahulu. Semenjak usia saya menginjak 6 tahun, minat membaca mula mendapat tempat untuk mengisi kekosongan masa saya di alam kanak-kanak. Pada mulanya, komik-komik seperti Doraemon, Shin Chan, Dorabase, Anak Satria, Yugi-Oh, Yaiba dan komik kegemaran saya, Conan berjaya merebut perhatian saya. Lebih-lebih lagi, pada awal usia kanak-kanak, saya lebih suka akan hiburan santai yang menyeronokkan dalam bentuk kartun. Minat dan perbuatan saya ini disedari oleh ibu kesayangan saya. Malah, setiap kali beliau melihat saya yang begitu leka membaca komik, beliau akan bertanya, “Balqis, bila Balqis nak ‘graduate’ daripada membaca komik ni?”. Saya pasti akan tersenyum setiap kali mendengar soalan itu diutarakan dan meneruskan bacaan saya walaupun boleh dikatakan setiap komik yang saya dan adik-beradik saya beli pasti dibaca berulang-kali sehingga buku tersebut lunyai.
Setelah keputusan UPSR keluar, ibu bapa saya bersungguh-sungguh memujuk saya untuk masuk ke sekolah berasrama penuh apabila surat tawaran ke SBP datang pada penghujung bulan Disember 2007. Saya agak keberatan memandangkan banyak perkara yang berlegar-legar dalam kotak pemikiran saya. Rindu pada ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan dan banyak lagi yang bercampur-aduk dalam benak hati saya di awal usia remaja. “Tak dapat lagi baca komik,” rintih saya dalam hati. Namun, terngiang-ngiang pada pendengaran saya pesan seorang murobbi yang saya hormati, “Bersyukurlah kerana masih mempunyai ibu bapa. Lihat sahaja sirah Nabi Muhammad SAW, semenjak kecil kehilangan kedua-dua orang tua. Berbaktilah kepada mereka selagi mereka bernafas.” Langkah diayunkan dan semangat dihidupkan. Pada Allah sahaja yang tahu apa yang tersimpul di dalam atma kecil ini.
“Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Pantun dua kerat ini sering saya ingatkan pada diri saya apabila melihat banyak kerenah rakan-rakan dan senior di asrama dan sekolah. Namun, satu perkara yang saya suka akan sekolah saya ialah budaya yang mereka semarakkan tanpa mereka sedari, iaitu budaya membaca yang menebal dalam kalangan pelajar mahupun guru termasuklah staf sokongan yang bekerja di pejabat mahupun makmal. Lima tahun saya hidup dalam budaya itu, dari seorang junior yang suka menangis hinggalah kelak membesar menjadi senior yang memikul banyak tanggungjawab. Apabila saya berada di tingkatan 5, saya diamanahkan pula menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi pusat sumber meskipun saya seorang perempuan. Saya berazam untuk sama-sama membawa perubahan dari tahap yang baik kepada yang lebih baik dengan bantuan dan sokongan guru pusat sumber saya, dua orang staf sokongan tulang belakang perpustakaan dan pengawas-pengawas pusat sumber berdedikasi yang lain. Bukankah bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca?
Titik tolak saya mula berkenalan dengan novel-novel Islam ialah apabila seorang pelajar junior datang bertanya kepada saya, “Kak, di perpustakaan ni tak ada ke buku Abu Bakar Sahabat Sejati?”. Pada ketika itu, saya menyoal kembali pada diri saya, buku apa yang dimaksudkan pelajar tersebut. Lalu, saya mencarinya melalui sistem carian buku dalam komputer. Gelengan kepala saya mengecewakan adik tersebut. Saat itu, sebagai pengerusi pusat sumber, satu kegagalan mula mencalar amanah yang saya pikul. Saya berazam mencari buku tersebut. Setiap tahun, pada kelazimannya, ibu kesayangan saya akan membelanjakan apa-apa sahaja buku pada bulan Julai dan Disember, sebagai satu galakan untuk saya dan adik-beradik yang lain ‘graduate’ daripada membaca komik-komik. Lalu, kesempatan itu saya ambil untuk mencari buku yang dimaksudkan pelajar tersebut. Natijahnya, banyak pula buku novel Islam yang saya temui. Saya pun membeli buku-buku tersebut dan membacanya terlebih dahulu sebelum diletakkan di perpustakaan. Ya, seharusnya di mana-mana perpustakaan baik di sekolah mahupun di bandar dan di desa memiliki koleksi novel-novel Islam mahupun novel fiksyen Islam supaya masyarakat segera celik dengan kehebatan generasi 1400 tahun yang lalu. Sebagai mantan pengerusi pusat sumber sekolah, saya berani menjamin buku ini pasti mendapat antara sambutan buku yang popular dipinjam kerana masyarakat hari ini terutamanya sasarannya kepada kumpulan pelajar dahagakan ilmu dan kisah tokoh-tokoh pejuang Islam.
Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Hebat. Sebuah buku berjaya mengubah tahap pemikiran saya dan pandangan saya terhadap banyak aspek kehidupan dalam erti kata kesan-kesannya yang amat banyak. Impak-impak untuk diambil ibrah oleh mereka yang melihatnya dengan mata hati yang hidup. Alhamdulillah, Allah memilih saya dalam kalangan hamba-hambaNya untuk mengutip mutiara hikmah yang tersembunyi dalam buku-buku yang diilhamkan kepada para penulis.
Kesan perdana setelah saya membaca novel Islam ialah saya dapat mengenal pencipta saya yang Maha Agung iaitu Allah, dengan lebih dekat. Dalam status bergelar ‘pelajar lepasan SPM’ ini, nikmat yang sering manusia lupakan iaitu nikmat masa cuba saya penuhi dengan membaca. Guru mata pelajaran bahasa Melayu saya pernah berpesan, “Membaca dapat meluaskan horizon pemikiran, mengasah minda, dan mempertajam idea. Membacalah kerana ada ilmu dalamnya. Dan ilmu yang sahih ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, mengenal Allah iaitu makrifatullah”. Guru kelahiran Kemboja ini juga merupakan guru debat sekolah saya. Beliau juga seorang guru yang berjiwa Islam pada pandangan saya sebagai anak muridnya. Dalam saya membaca novel-novel Islam ini, saya amat tertarik dengan kisah tokoh-tokoh Islam yang sibuk dengan urusan dakwah, namun masih bertenaga dan berupaya menghidupkan sepertiga malamnya kepada Allah. Walaupun dijamin oleh kekasih Allah bahawa mereka mendapat tiket ke syurga, mereka masih kuat dalam beribadah seharian.
Justeru, saya agak tersentap apabila ada bisikan dalam sanubari saya bertanya, “Kau ni banyak membaca. Ini dan itu. Memang bagus baca novel-novel Islam ni. Ambil ibrah. Tapi khatam Al-Quran dah berapa kali? Al-Quran itu ‘suara’ Allah tahu?”. Allahu Rabbi. Bisikan yang menjalar ketika saya sedang ralit menghabiskan bacaan novel Islam, Saad bin Abu Waqas. Kesan membaca kisah tokoh-tokoh Islam yang hebat ini mengingatkan saya bahawa membaca itu bagus, namun membaca Al-Quran perlu lebih diutamakan sebagaimana yang dikisahkan dalam novel-novel Islam. Sebagai contoh mudah, berapa kali Imam As-Shafie khatam sepanjang hayatnya? Alhamdulillah, setelah kesedaran itu datang, saya mula berjinak-jinak dengan Al-Quran semula setelah Allah mengurniakan hidayah tersebut. Alhamdulillah sebagai satu lafaz syukur yang sangat mulia kerana dalam masa lebih kurang dua bulan saya berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzuk. Masa terluang saya banyak sama seperti rakan-rakan saya. Oleh itu, saya juga ingin menyeru sahabat-sahabat lepasan SPM di luar sana, sebelum kita kembali sibuk dengan mengejar cita-cita dan bercinta dengan buku pelajaran, ayuh kita tanamkan cinta pada Al-Quran, supaya kelak rindu pada ‘suara-suara’ Allah itu sering bertamu dalam taman hati yang punyai iman. Semoga kita istiqamah dalam beribadah kepada Allah dan lebih taqarrub kepada Al-Khaliq kita. Jika saya yang biasa-biasa dapat melakukan, apatah lagi sahabat-sahabat yang jauh lebih hebat di luar sana.
Selain itu, implikasi hebat ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam ialah saya dapat memantapkan cara pemikiran saya. Kalau dahulu, saya lebih cenderung untuk menggunakan kaedah barat dalam memberi pendapat kepada orang lain. Sebagai tamsilan, “Sekiranya ingin dihormati, hormatilah orang lain”. Namun, apabila saya membaca kisah panglima tentera yang masyhur dalam Islam, iaitu Tariq bin Ziyad, saya dapati, “Sekiranya ingin dihormati, hormatilah Allah terlebih dahulu.” Hal ini boleh dirujuk dalam buku tokoh tersebut nukilan tuan Abdul Latip Talib, apabila dikisahkan seorang wanita dihantar oleh pihak musuh untuk menjatuhkan maruah Tariq bin Ziyad yang berada di dalam khemah bersama sahabat-sahabat beliau. Wanita tersebut mengajak beliau berjumpa secara berdua-duaan. Namun, Tariq patuh pada perintah Allah dan menghormati Allah SWT sebagai yang utama. Justeru, rancangan pihak musuh gagal malah peristiwa ini menyumbang kepada kemenangan Islam apabila wanita tersebut memberikan maklumat tentang musuh Islam pada waktu itu. Semua ini kerana hamba Allah yang menghormati Allah, akan dihormati manusia sebagaimana Tariq menghormati Allah, maka wanita tersebut menghormati pendirian beliau yang kuat berpegang pada pucuk akar agama Islam. Sesungguhnya, terdapat banyak lagi kisah yang tidak dapat saya tuliskan kesannya di ruang kecil ini setelah membaca novel-novel Islam ini. Bahan bacaan ini wajar kita renungi dan hayati dengan mata hati, dan bukan sekadar membaca bagi mengisi masa lapang.
Di samping itu, impak ke atas diri saya setelah membaca novel-novel Islam ialah saya dapat mengasah dan memantapkan daya kepimpinan saya. Ketika saya berada di bangku sekolah menengah, tanggungjawab sudah amat sinonim bagi setiap senior di tingkatan 5. Mustahil sekali sesiapa yang berada di tahun akhir sekolah tidak diberi tanggungjawab dalam kepimpinan. Justeru, ketika saya bertungkus-lumus mempersiap diri menelaah mata pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM, saya juga giat mencari kisah-kisah mahupun kata-kata tokoh yang memberi inspirasi dan dorongan dalam kepimpinan yang diamanahkan pada saya iaitu sebagai ketua ‘batch’ puteri tingkatan 5. Sebagai contoh, apabila Saad bin Abu Waqas dituduh oleh pihak musyrikin di Kufah iaitu Usamah bin Qatadah bahawa beliau hidup kaya-raya hasil cukai yang dikutip. Lantas, Khalifah Umar bin Al-Khattab menyiasat laporan tersebut dan mendapati itu semuanya hanyalah fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang mempunyai penyakit hati yang tiada akhirnya.
Lantas, Saad bin Abu Waqas akhirnya ditawarkan untuk menjadi ahli majlis syura di Madinah dan menyerahkan amanahnya kepada Abdullah bin Utbah, iaitu orang yang dipercayai boleh menjadi gabenor Kufah yang baik. Sungguhpun Saad bin Abu Waqas diturunkan daripada menjadi gabenor, itu tidak menjadi masalah baginya kerana niatnya berkhidmat kepada khalifah adalah kerana Allah semata-mata. Di situ, saya dapat mencontohi 3 aspek kepimpinan dalam diri para pemimpin yang berjiwa sahabat iaitu kematangan dalam memikul amanah, teliti dan ikhlas. Yang pertama, sebagai pemimpin, apabila ada dalam kalangan sahabat yang dituduh melakukan kesalahan, kita hendaklah bersikap rasional dalam menangani situasi tersebut. Sikap berbaik sangka juga harus dimasukkan bersama. Namun, pemimpin sendiri hendaklah menjalan siasatan dengan terperinci supaya neraca keadilan itu saksama. Dalam pada masa yang sama, sikap Saad bin Abu Waqas yang tidak terkesan apabila jawatannya beralih tangan jelas membuktikan keikhlasan beliau sebagai pemimpin yang juga merupakan hamba Allah serta kepatuhan pada khalifah yang berkuasa pada waktu itu. Justeru, saya amat terkesan apabila membaca novel Islam yang memerihalkan tokoh-tokoh Islam yang amat hebat dan wajar dikagumi. Dalam kalangan sahabat-handai, kami dapat aplikasikan sifat-sifat mahmudah ini dalam kalangan rakan sebaya mahupun adik-adik di bawah kami. Kata-kata mereka kami gunakan ketika berucap dan memberi semangat antara satu sama lain. Kami pasti berasa lebih tenang kerana pelaksanaan yang dilakukan mengikut kaedah Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu berpandu ilmu wahyu dari Allah SWT. Bukannya taklid tanpa ilmu. Jauh di dasar hati saya, jika para sahabat sudah sehebat begini, banyak lagi yang perlu saya baca dan kaji tentang ketokohan Rasulullah SAW kerana baginda ialah insan kamil yang selayaknya dijadikan idola segenap lapisan masyarakat hari ini. Satu persoalan yang cukup mudah, wujudkah insan kamil selepas Rasulullah SAW?
Ibarat sambil menyelam minum air, sambil membaca novel-novel Islam yang amat mudah difahami, pada masa yang sama menyemarakkan rasa cinta yang sebenar dan suci kepada junjungan besar serta para sahabat. Justeru, sedikit demi sedikit kita dapat merasai kemanisan iman kerana hadis daripada Anas riwayat Imam Bukhari ada menyebut, “Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman. Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya. Hendaklah dia mencintai seseorang kerana Allah. Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka”. Satu persoalan yang acap kali berlegar-legar di ruang minda saya iaitu bagaimana hendak saya tanamkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW jika saya tidak pernah sekalipun bermimpi tentang baginda jauh sekali hendak bersua muka dengan wajah agung itu. Rasa cinta itu mula dibajai apabila menyingkap satu persatu kisah baginda bersama para sahabat. Sikap baginda bersama ibu-ibu orang mukmin. Sikap baginda terhadap musuh. Sesiapa yang membaca kisah-kisah ini pasti bersetuju bersama saya bahawa benarlah apa yang diriwayatkan oleh Saiditina Aisyah bahawa sesungguhnya akhlak baginda seperti Al-Quran. Melalui pembacaan dalam novel-novel Islam, saya dapat lihat bagaimana yang dikatakan hebatnya cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW. Lelaki mulia yang digelar Al-Faruq telah menginfakkan separuh daripada hartanya dan meninggalkan yang separuh lagi buat keluarganya yang tercinta. Sumbangan beliau pada Islam amat dahsyat kerana cintanya tiada tara pada Allah dan rasulNya. Saidina Abu Bakar pula telah menginfakkan segalanya dan menggetarkan atma kecil sesiapa yang membaca kata-kata beliau yang penuh ikhlas dan mulia. Terasa menusuk kalbu dan menggoncang iman dalam dada.
"Aku tinggalkan Allah dan RasulNya buat mereka (keluarga beliau)". Kata-kata seorang lelaki luar biasa imannya. Berat imannya tidak dapat ditandingi sekalian umat sekalipun ditambahkan kesemua sekali. Allahu Rabbi. Di samping itu, menjelangnya hari kewafatan insan mulia itu, cinta itu dizahirkan apabila Amirul Mukminin meraung tidak dapat menerima hakikat kewafatan baginda, apabila Bilal bin Rabah terkelu lidah dan ada kalanya pengsan ketika hendak melaungkan azan pada lafaz “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”, dan ketika rindu Fatimah anakanda Rasulullah yang begitu menyentuh sehingga beliau dijemput menghadap Illahi beberapa bulan selepas kewafatan insan agung yang dikasihi seluruh penduduk langit dan bumi. Maka, benarlah juga kajian yang dilakukan oleh seorang tokoh barat iaitu Michael H. Hart dalam bukunya berjudul 100 Manusia Yang Paling Berpengaruh di Dalam Sejarah, iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan tokoh yang paling berpengaruh di atas muka bumi ini dan tiada tolok bandingnya.
Akhir sekali, impak besar apabila saya membaca novel-novel Islam ialah saya dapat menguatkan semangat juang untuk menyebarkan ilmu, risalah serta sirah Rasulullah dan kisah para sahabat kepada orang ramai. Saya ingin kongsikan apa yang saya rasa, apa yang saya dapat, apa yang menyentuh hati kecil ini dan macam-macam lagi perasaan yang bercampur apabila membaca novel-novel Islam yang dinukilkan. Alhamdulillah, Allah berikan satu medan untuk saya sebarkan ilmu mulia ini kepada anak-anak generasi harapan masa depan apabila saya lulus dalam temu duga untuk menjadi guru sementara di KAFA tempat saya menuntut ilmu selama lima tahun sebelum ini iaitu tempat saya membina serta mengukuhkan pemahaman asas-asas fardhu ain sebagai seorang muslim. Di sini, saya diberi kelas tahap dua iaitu tahun 4,5 dan 6 untuk mengajar subjek Sirah dan Feqah. Saya agak buntu apabila mengajar namun saya yakin apabila kita membaca dan memahaminya kita mudah pula untuk menyebarkannya. Saya harus akui walaupun hanya 5 tahun saya meninggalkan sekolah tersebut namun generasinya sudah berubah gaya dan pemikiran. Pada hemat saya, mungkin kesan lambakan teknologi dan kemudahan yang mereka dapati sangat hampir dengan mereka. Teknologi yang diibaratkan seperti pisau. Jika baik cara penggunaannya maka bolehlah digunakan untuk memotong sayur-sayuran dan bahan masakan. Namun sekiranya tidak, pisau yang tajam itu akan menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa di muka bumi ini. Berbalik pada murid-murid perintis revolusi masa depan ini, ada kalanya mereka hanya memandang sepi subjek yang diajar terutamanya Sirah. Namun, apabila saya menceritakan kisah-kisah baru para sahabat yang tidak pernah kedengaran pada sepasang cuping telinga mereka, mereka pasti bersemangat malah sanggup duduk di atas lantai di hadapan saya untuk mendengar cerita yang ingin disampaikan. Perasaan teruja bercampur gembira bersinar pada anak mata para intelek penyambung visi kudsi Wawasan 2020 ini, menunjukkan semangat roh mereka yang hidup dan ruang dan peluang yang besar untuk dididik dan ditarbiyyah. Ilmu itu bukan diguna untuk mempertajam minda sahaja malah amat bermanfaat untuk membentuk akhlak dan sahsiah yang terpuji seperti orang-orang terdahulu yang Allah muliakan. Peluang keemasan ini tidak saya siakan memandangkan bahan bacaan iaitu novel-novel Islam semakin saya teliti hari demi hari agar anak-anak murid yang dikasihi berasa puas dan ingin mendengar lagi pada kelas akan datang. Teringat kisah apabila saya menceritakan bagaimana Ubay bin Khalaf dibunuh oleh Rasulullah SAW dalam perang Uhud di dalam kelas. Saya mengambil sebatang pembaris sebagai contoh Rasulullah SAW hendak membaling tombak pada tangannya, lantas ada murid lelaki menjerit, “Ustazah, demolah. Kami nak tengok macam mana gaya Rasulullah SAW bunuh lelaki tu”. Suasana kelas menjadi gamat kerana terhibur. Alhamdulillah, kelas yang seramai 30 pelajar itu dapat dikawal kerana masing-masing begitu tekun mendengar kisah yang disampaikan. Ada juga murid yang datang bertanya kepada saya dan sendiri menjawab soalannya berkaitan Sirah, tentang “Ikramah bin Abu Jahal” serta penentangan mereka pada zaman jahiliyyah. Jawapan dan penerangan pelajar tu mempesonakan saya. Setelah saya bertanya kembali, saya amat berbangga kerana pada awal usia mudanya, dia telah pun menghabiskan bacaan Ikramah Abu Jahal , karya tuan Abdul Latip Talib. Alhamdulillah, Allah memilih pelajar tersebut membaca kisah-kisah sebegitu pada usia 10 tahun berbanding saya yang baru mula bertatih membacanya pada usia 17 tahun. Pasti dalam usia 7 tahun perbezaan itu, dia akan mendapat kesan-kesan yang jauh lebih banyak dan hebat berbanding saya yang sudah lewat berbanding usia anak harapan ummah itu. Masa depan mereka cerah. Sesungguhnya, benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Secara total, sememangnya banyak kesan ke atas diri saya sebagai pembaca setelah menelaah novel-novel Islam. Novel-novel yang ditulis sarat dengan fakta namun disampaikan secara santai dan berjaya menggabungjalinkan elemen ilmu dan cinta. Ilmu tentang kisah-kisah yang pelbagai dan penuh informasi serta rasa cinta pada Allah dan rasulNya. Tidak lupa juga cinta kepada mereka yang berjuang memartabatkan kalimah agung di muka bumi ini seperti para sahabat, para tabi’ dan tabi’ tabi’in yang dirahmati Allah. Novel-novel Islam ini menjadi motivasi dan pendorong yang kuat kepada saya bukan sahaja kerana isi kandungan novelnya yang amat baik malah penulisnya berjaya menzahirkan sikap gigih dan bersungguh-sungguh dalam mengarang. Saya sempat bersua dengan tuan Ikram Wazir, pengurus besar penerbitan PTS, dalam satu seminar penulisan di UIA Gombak baru-baru ini. Beliau ada menceritakan bagaimana hebatnya usaha tuan Abdul Latip Talib menulis novel-novel Islam sebegini kerana kajiannya perlu teliti dan mendalam. Kadang-kala ada sahaja yang memberi komentar, kritikan dan pandangan tentang karya penulis. Dari sudut ketepatan fakta, sumber, teknik penceritaan dan pengolahan serta pelbagai aspek lagi perlu diberi perhatian khususnya apabila melibatkan junjungan agung yang ingin kita dapatkan syafaat baginda di akhirat kelak. Sumber yang sahih perlu dirujuk seperti hadis yang diambil kisah dalamnya dan buku-buku yang dijadikan sumber penulisan. Pada pandangan saya., begitulah asam garam kehidupan seorang penulis. Pihak yang meberikan kritikan mahupun pandangan pastinya menginginkan yang terbaik buat penulis dan karyanya, tidak lupa juga pembaca yang terdiri daripada lapisan umur, bukan di bumi Malaysia malah di seantero dunia. Rupa-rupanya bukan mudah menjadi penulis namun melihat kejayaan tuan Abdul Latip hari ini sememangnya menyuntik semangat saya untuk meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang penulis. Hal ini demikian kerana kita pasti berasa amat seronok sekali apabila ada yang bahagia membaca hasil karya kita. Seperti yang tuan Abdul Latip pernah sebutkan dahulu di laman sosial Facebook pada 3 Januari 2013 yang lalu, “Rasa bahagia seorang penulis novel sejarah apabila ada pelajar yang mengatakan buku itu membantu mereka memahami sirah atau sejarah Islam sehingga dapat menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Rasa bahagia apabila ada pembaca mengatakan setelah membaca novel sejarah Islam bertambah rasa cinta terhadap Islam serta menghargai tokoh-tokoh Islam yang terbilang. Sehingga mereka mengatakan apabila menjadi pemimpin nanti mahu mencontohi khalifah Umar Abdul Aziz dan jika menjadi tentera mahu mencontohi Khalid al Walid. Rasa bahagia apabila ada ibu menghantar surat mengatakan anaknya menjadi anak yang baik, rajin sembahyang dan rajin membaca buku setelah membaca novel sejarah Islam. Rasa bahagia apabila dapat membantu pelajar universiti yang membuat tesis mengenai penulisan novel sejarah Islam sehingga beroleh kejayaan. Dan banyak lagi rasa bahagia yang dikurniakan Tuhan. Semoga rasa bahagia ini berterusan di dunia dan akhirat”. Saya terinspirasi dengan kata tuan Abdul Latip dan juga kata-kata seorang sahabat dan menantu kesayangan Rasulullah SAW, khalifah keempat dalam Islam dan kanak-kanak pertama yang menyatakan keislamannya iaitu Saidina Ali. Kata beliau, “Semua penulis akan mati. Hanya karyanya yang akan terus abadi. Maka, tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti”. Justeru, ayuh, berbahagialah menjadi penulis! Saya juga memohon pembaca budiman yang sudi membaca karangan saya ini agar sama-sama mendoakan buat semua bakal penulis, penulis dan termasuk diri saya agar diberikan kesihatan, hidayah dan ilham yang baik lagi sahih serta bermanfaat untuk menghasilkan karya-karya yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Islam terutamanya. Penulis bukan setakat pengarang namun mereka jugalah pendakwah dalam diam yang tidak ramai menyedarinya. Ayuhlah, kita cemerlang untuk ummah! Pada kesempatan ini, sekiranya ibu kesayangan saya membaca karangan saya ini, ingin sekali saya beritahu ibu saya yang tercinta, “Mama, alhamdulillah, Balqis dah ‘graduate’ daripada baca komik-komik kerana Balqis dah jumpa bahan-bahan bacaan yang lebih bermanfaat seperti novel-novel Islam”. Semoga Allah reda akan karangan ini.
Published on April 25, 2013 16:32
PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH PERKONGSIAN PENGALAMAN DENGA...

PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
PERKONGSIAN PENGALAMAN DENGAN SEORANG PENSYARAH...
Assalammualaikum warahmatullah hiwabarokatuh
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Alhamdulillah terima kasih pada Allah di atas kehendakNya melahirkan seorang penulis yang hebat masa kini. Hebatnya Pak Latip kerana menulis dengan penuh kejiwaan hingga setiap penulisan beliau masuk ke dalam jiwa sesiapa yang membaca.
Membaca novel Pak Latip membuatkan diri saya berasa turut berada di zaman Rasululullah dan para sahabat. Rasanya sangat jelas dan nyata sehingga ia memberikan semangat yang membara dalam meneruskan dakwah Islam ini agar diri sendiri dan sahabat yang lain tidak sekadar menjadi umat Islam tetapi menjadi umat Islam yang Mukmin. Yang setiap saat menyedari Allah. Yang redha pada Allah dan Allah redha pada kita semua.
Saya sangat mudah mengingati nama Pak Latip, penulis novel Islam terbaik abad ini kerana nama beliau sama dengan nama ayah saya Abdul Latip. Ketika nama Abdul Latip sering diguna orang dengan akhiran 'F' tetapi nama Pak Latip dan arwah ayah saya menggunakan akhiran 'P'. Kerana itu nama ini sentiasa terpahat di ingatan saya.
Novel-novel Pak Latip sangat memberi kesan kepada diri saya. Ketika kita disarankan agar menyayangi Rasulullah dan sahabat serta alim ulamak, saya tercari-cari cara yang terbaik untuk memiliki rasa cinta dan sayang ini.
Cinta dan sayang kepada Rasululullah dan yang lain bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka. Ketika kita mereka-reka, cinta dan sayang itu adalah palsu. Lalu setiap hari saya cuba mendapatkan cara terbaik untuk memiliki rasa cinta, kasih dan sayang pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Sentiasa memohon kepada Allah tanpa putus.
Ketika PTS menerbitkan novel Pak Latip tentang Khulafa al-Rasyidin, saya sangka ia sama seperti novel-novel biasa. Sekadar fakta dan penjelasan. Namun ketika sekilas membaca di kedai buku, ia sangat berbeza dan menarik hati saya lalu saya membelinya.
Membaca novel yang digarap baik oleh Pak Latip, diri seakan-akan turut bersama di dalam perjuangan Islam. Terasa semangat diri ini berkobar-kobar. Segala rasa yang ada pada para sahabat turut terasa sama dengan sangat jelas pada saya.
Saya yakin penulis (Pak Latip) juga berasa sedemikian ketika menulis. Kerana itu hasil penulisan Pak Latip sangat baik disamping semangat yang lahir itu terus mengalir untuk menyiapkan novel demi novel sebagai wadah terbaik berdakwah dari Pak Latip untuk umat hari ini.
Ketika para Rasulullah dan para sahabat berada di medan perang, saya sangat jelas terasa debarannya. Diri berasa berada di medan peperangan itu. Malah saya sendiri berpeluh-peluh ketika membaca novel karya Pak Latip. Tidak pernah berlaku seumur hidup saya membaca novel hingga jadi seperti ini. Saya juga turut berasa bersama-sama Rasulullah dan para sahabat dalam petempuran peperangan itu untuk memperjuangkan Islam.
Diri berasa juga dengan jelas berserahnya pada Allah ketika di dalam peperangan. Allahurabbi. Novel karya Pak Latip benar-benar membuatkan saya menyelami setiap peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah dan para sahabat. Hati bagaikan merasai apa yang Rasulullah dan para sahabat rasa. Ia sangat menusuk jiwa.
Kekadang bahagia. Kekadang sedih. Kekadang berdebar. Kekadang sangat bersemangat. Kekadang rindu. Kekadang cinta. Kekadang kasih.
Di saat Rasulullah dan sahabat bahagia, bahagia itu sangat terasa. Di saat Rasulullah dan sahabat bersedih, diri saya juga sangat sedih hingga menangis. Banyak kali isteri menegur ketika saya menangis membaca novel Pak Latip. Isteri berasa hairan mengapa hingga menangis membaca novel Islam ini. Hinggalah beliau membaca sendiri novel-novel Pak Latip dan juga menangis, barulah beliau memahami mengapa saya menangis. Allahuakbar.
Ketika diri berasa bersama dalam setiap peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah, sahabat dan alim ulamak yang lain yang diceritakan dengan baik dalam bentuk realiti berdialog, saya sangat rasakan kecintaan, kerinduan dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama. Hinggakan saya selalu berfikir, "Andai aku turut sama dalam perjuangan ini... Allahuakbar, indahnya".
Namun hari ini juga saya tetap ada peluang untuk berjuang. Kerana itu semangat yang ada dalam novel-novel Pak Latip sentiasa mengalir dalam diri ini untuk terus memperjuangkan Islam dengan berdakwah lebih giat lagi. Yang termampu hari ini sekadar menulis di blog dan facebook. Belum sehebat Pak Latip malah sangat jauh dan jauh berbanding beliau.
Dengan membaca novel-novel Pak Latip, ia memberikan saya satu cara yang terbaik untuk saya memiliki rasa cinta, rindu dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulamak yang lain. Rasa cinta, kasih dan rindu itu bukan rekaan di fikiran. Ia benar-benar muncul dari dalam hati. Dari dalam pelusuk jiwa ini yang diilhamkan Allah SWT.
Lalu saya sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain cara terbaik dan sangat praktikal malah mudah untuk dilakukan untuk memiliki rasa cinta, kasih dan rindu pada Rasulullah, sahabat dan alim ulamak. Iaitu dengan membaca novel hasil karya Abdul Latip Talib atau Pak Latip.
Inilah kesan terbesar buat diri saya hasil membaca novel-novel Pak Latip. Ketika cinta, rindu dan kasih pada Rasulullah, sahabat dan alim ulama berkurang atau bersedih ketika berdakwah, novel-novel Pak Latip menjadi tatapan. Walaupun dibaca berulang kali namun ia tetap terus mampu memberikan semangat yang baru malah semangat yang lebih dari sebelumnya. Rasa-rasa ini datang serta merta sebaik sahaja membaca novel-novel tersebut.
Saya ucapkan jutaan pada Pak Latip. Ilham yang dianugerahkan oleh Allah kepada Pak Latip tidak disia-siakan. Semoga perjuangan murni ini mendapat anugerah terbesar dan anugerah terbesar adalah datangnya dari Allah SWT.
[note]: saya memberikan nama ada kedua saya Muhammad Nuqman Afeef. Nama Nuqman adalah nama pahlawan Islam zaman Umar Al-khattab. Saya mendapat nama tersebut hasil membaca novel Umar Al-Khattab karya Pak Latip.
MOHD FUAD BIN ABDUL LATIP (Fuad Latip)
Published on April 25, 2013 16:30
PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH Assalamualaikum wbt... Pada...

PEMENANG UTAMA HADIAH UMRAH
Assalamualaikum wbt...
Pada tanggal 28 Ogos tahun 2000, saya dilahirkan. Ayah menamakan saya dengan nama yang cukup indah. A’ina Salsabiila. Kalimah Salsabiila tercatit dalam lembaran al-Quran pada ayat 18 surah al-Insaan. Sewaktu umur masih setahun jagung, ayat tersebut selalu diulang-ulang setiap hari oleh ‘walid’ kesayangan. Dalam solat. Ketika di rumah. Sewaktu memandu. Setiap kali ayat tersebut dialunkan, hati saya berbunga-bunga. Perasaan gembira yang saya rasakan sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Di situlah saya merasakan keistimewaan nama Salsabiila.
Kini, umur saya telahpun mencecah 13 tahun. Berbekalkan tarbiyyah yang diberikan, saya disekolahkan oleh kedua ibu bapa saya yang tercinta di sebuah sekolah kampung berhampiran dengan kediaman kami. Saya hanya pelajar biasa. Saya belajar di sebuah sekolah biasa. Karakter saya juga biasa-biasa sahaja. Biarpun begitu, saya mempunyai cita-cita yang tinggi walaupun jika hendak dibandingkan dengan teman-teman yang lain, saya tidak mempunyai bakat yang begitu istimewa untuk ditonjolkan. Sejak awallagi, saya mempunyai minat membaca yang sangat mendalam. Seolah-olah buku dan saya sukar untuk dipisahkan.
Saya mengambil pelbagai jenis bahan bacaan untuk mengisi masa yang terluang. Namun, cerita saya bermula sejak usia saya mencecah 9 tahun apabila abang sulung saya membawa pulang sebuah novel karya Abdul Latip Talib yang berjudul ‘Abu Bakar Sahabat Sejati’. Indah sekali peribadi manusia bernama Abu Bakar As-Siddiq. Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan tokoh hebat ini. Saya begitu teruja dengan kezuhudan lelaki yang bukan sahaja merupakan sahabat nabi, tetapi juga merangkap ayah mertua Rasulullah SAW sendiri. Bermula dari sebuah buku, timbul minat yang cukup mendalam dalam diri saya untuk menyelami kisah tokoh-tokoh Islam yang lain. Pasti tidak kurang hebatnya! Lalu saya meminta dan memujuk ‘walid’ dan ‘ummi’ saya untuk membelikan novel siri tersebut satu demi satu. Terima kasih, ‘walid’ dan ‘ummi’! Kini, saya berjaya menghabiskan hampir 20 buah novel sejarah Islam. Alhamdulillah!
Ternyata, tindakan mereka membelikan novel-novel tersebut bukanlah satu usaha yang sia-sia. Setelah membaca kisah keempat-empat orang khulafa’ ar-Rasyidin, keempat-empat imam mazhab yang terkenal, kisah peperangan, penghijrahan dan kisah-kisah sahabat nabi yang lain serta tokoh Islam yang terkemudian, saya dapat merasakan kesan yang cukup berbeza dalam diri saya. Air mata yang dulunya cukup ego, kini terasa begitu mudah mengalir terutama sekali semasa saya membaca kisah tokoh-tokoh tersebut, sedangkan sebelum ini, saya bukanlah seorang yang sebegitu. Mungkin kerana isi bacaan saya tidak sama dengan yang dulu lagi. Apa yang cukup terkesan dalam diri saya adalah ketabahan tiap-tiap seorang tokoh ini untuk menegakkan syiar Islam di bumi masing-masing serta kesungguhan mereka menyambung tugas nabi iaitu menyebarkan keindahan Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Sebagai seorang pelajar biasa, saya juga tidak pernah berjaya mendapatkan markah melebihi 80 peratus dalam subjek Sirah. Tetapi, alangkah gembira dan sukanya saya apabila suatu hari, saya mendapati markah saya bahkan melebihi angka 90! Ketika itu, saya sedar bahawa inilah hikmahnya saya banyak membaca kisah tokoh-tokoh hebat Islam. Tanpa saya sedari, pengetahuan sirah sayajuga semakin bertambah. Apa yang saya pelajari di bilik darjah, diulas dengan cukup menarik dengan gaya tersendiri dalam novel-novel sejarah Islam yang saya baca sebelum ini, bahkan lebih mendalam lagi. Masya-Allah!
Untuk menambahkan kebolehan saya dalam bersosial serta meningkatkan keyakinan dalam diri saya sebagai seorang pelajar, saya telah dihantar oleh kedua ibu bapa saya untuk menyertai sebuah perkhemahanyang dijalankan di Hulu Langat bersama kakak tercinta. Saya masih ingat lagi saat di mana terdapat seorang motivator, beliau telah menceritakan kepada kami kisah para sahabat lalu pada hujung slotnya, beliau menguji kami dengan satu soalan. Siapakah sahabat yang telah membeli perigi daripada seorang Yahudi di Madinah? Untuk menjawab soalannya, tiada seorang pun yang tampil. Lalu, saya memberanikan diri untuk menjawabnya setelah tiada siapa bangun mahupun mengangkat tangan beberapa lama selepas soalan diutarakan. Lelaki itu ialah Saidina Uthman bin Affan!Jawab saya penuh yakin.
Saya sangat gembira kerana jawapan saya tepat sekali. Motivator tersebut memuji dan menghadiahisaya RM 10.00 kerana berjaya memberikan jawapan yang tepat kepada soalan beliau. Terima kasih kepada Abdul Latip Talib kerana telah memberitahu saya tentang kemurahan hati Uthman yang merupakan salah seorang sahabat yang cukup kaya pada zaman itu, melalui karya beliau, ‘Uthman Affan Pengumpul al-Quran’.
Saya teringat pada suatu hari di mana ketika itu saya telahpun menamatkan bacaan novel ‘Imam Hanafi Pendebat Kebenaran’. Saya bergaduh dengan adik lelaki saya yang pada akhirnya, dia telah memburuk-burukkan saya akibat terlalu marah. Sejujurnya, saya juga sangat marah apabila dihina oleh adik saya sendiri. Namun, kisah seorang imam besar, Imam Abu Hanifah yang menghulurkan 1000 dirham kepada Jabar yang telah mengumpatnya bermain di ingatan saya selepas itu. Jadi, saya juga ingin meniru perbuatan beliau yang bagi saya cukup berhikmah serta meyakinkan. Saya yakin bahawa balasan pahala akan disediakan jika saya diumpat, kemudian sabar. Jadi, untuk apa saya marah sedangkan hati saya cukup yakin dengan ganjaran yang cukup besar itu. Ya! Saya pun menghulurkan RM 1 kepada adik saya tadi. Walaupun terpinga-pinga, dia terus mengambilnya. Itulah kelainan antara manusia biasa dengan mereka yang yakin dengan janji Allah SWT. Di saat orang lain membalas umpatan dengan kata-kata hinaan, Imam Abu Hanifah membalasnya dengan huluran wang. Begitulah antara kesan yang cukup mendalam yang dapat saya rasakan mengenai beliau. Sedikit sebanyak, saya cuba untuk menghayati dan meneladani sikap mulia beliau, walaupun ia bukanlah suatu yang mudah untuk dipraktikkan pada hakikatnya.
Jika di rumah saya banyak menghabiskan masa untuk membaca hasil-hasil karya Abdul Latip Talib, di laman facebook pula saya banyak mengikuti perkembangan penulis berbakat yang cukup saya hormati ini sehinggakan beliau menerima saya sebagai rakan di laman sosial itu. Saya gembira kerana bukan sahaja saya dapat membaca hasil tulisan beliau, malah saya juga dapat berhubung dengan beliau sebagaimana peminat-peminat beliau yang lain. Saya sedar bahawa inilah hikmah besar di sebalik sebuah buku yang dibawa pulang oleh abang saya ke rumah. Kini, Allah memperkenalkan saya dengan penulis yang telah banyak memikat hati anak bangsa dengan kisah tokoh-tokoh pejuang Islam melalui karya-karya beliau. Itulah dakwah beliau! Saya pula bagaimana?Esok, saya bakal melangkah ke dunia ‘sekolah menengah’ saya.
Jika mahu dibandingkan dengan sekolah saya ‘semalam’, tentusekali di tempat baru ini suasananya lebih meriah dengan hati-hati yang terisi dengan hafalan ayat-ayat suci al-Quran. Tetapi, mengenangkan peribadi sahabat-sahabat Rasulullah SAW, imam-imam besar dan penakluk-penakluk kota yang begitu teguh iman di hati mereka, saya sedar akan sesuatu. Apalah ertinya hafalan tanpa penghayatan. Ayat-ayat Allah yang bakal saya hafali, mesti dihayati sepenuh hati. Sempurna di mata manusia, tak semestinya cantik pada pandangan Tuhan.
Kini, saya tahu apa yang saya perlu lakukan demi kebaikan diri saya dan insan-insan di sekeliling saya. Bermula sejak setahun yang lalu, saya mula memperkenalkan novel-novel ini kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga saya yang cukup saya sayangi. Tidak lama kemudian, saya seronok melihat mereka yang mula menunjukkan minat untuk mengenali tokoh-tokoh Islam yang lain secara lebih mendalam melalui novel-novel karya Abdul Latip Talib.Itulah dakwah seusia 12 tahun yang mampu saya lakukan, setakat ini. Saya berharap agar di dunia ‘sekolah menengah’ esok, saya mampu melakukan lebih lagi. Itu semua demi menyebarkan keindahan cerita tiap-tiap manusia yang berpegang teguh dengan janji-janji Allah. Ketika itu saya terfikir. Mungkinkah mereka juga bakal jatuh cinta dengan karya-karyaAbdul Latip Talib sebagaimana saya pada tiga tahun yang lalu? Ameen ya Rabb!
A’INA SALSABIILA BINTI DZULKEFLI
Published on April 25, 2013 16:28
Abdul Latip Talib's Blog
- Abdul Latip Talib's profile
- 283 followers
Abdul Latip Talib isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
