Menghargai Hidayah Allah
Ramai orang ketikamana dia ingin melakukan suatu dosa atau kezaliman, kadangkala Allah menghantar pelbagai halangan dan hadangan agar dirinya tidak berjaya melakukan apa yang dia inginkan itu.
Kadangkala, halangan itu boleh jadi dalam bentuk kita didatangkan dengan kemalangan kecil yang akhirnya menghalang perjalanan kita sampai kepada destinasi maksiat kita.
Kadangkala, halangan itu boleh jadi dalam bentuk kita kehilangan wang atau harta kita dirompak yang pada asalnya kalau harta itu ada dengan kita, kita mahu gunakannya untuk tujuan maksiat.
Kadangkala, halangan itu boleh jadi dalam bentuk gajet kita rosak, akhirnya tujuan maksiat tidak berjaya dilakukan.
Bermacam-macam halangan Allah boleh jadikan. Antara kita membuka mata hati kita memerhatikannya dengan teliti atau tidak.
Ya, barangkali semua itu kalau kita lihat, nampak seakan-akan sebab zahir semata-mata, tetapi pastilah takdir Allah yang mengizinkan hal itu berlaku dan pastilah ada hikmahnya.
Apakah Kita Mempelajari Hikmahnya?
Pastilah semua sebab itu tidak terjadi dengan sengaja. Kemalangan, kehilangan harta dan sebagainya itu adalah supaya kita belajar menghargai hidayah Allah yang sedang berada bersama kita.
Sebagai tanda Allah sayangkan kita, maka Dia berikan penghalang-penghalang ini dalam bentuk ujian agar kita terhindar daripada melakukan sesuatu yang menjauhkan kita dari hidayah-Nya.
“Barangsiapa yang Allah kehendaki pada dirinya kebaikan, maka diuji dia itu.” [HR Bukhari, no. 5645]
Tetapi apakah kita menghargai dan mempelajari hikmahnya?
Apakah kita mahu duduk seketika meneliti dan mencari pengajarannya, kenapa setiap kali kita ada hajat sikit kepada maksiat, maka Allah cepat-cepat datangkan sesuatu sebagai ujian menjauhkan kita langsung dari mendekati maksiat itu.
Tidakkah kita merasai bahawa Allah sangat prihatin dan sayang kepada kita sehingga ke tahap itu Dia memelihara dan menjaga kita?
Kata Ibn Atho’illah :
“Sekiranya kamu mahu mengetahui nilai kamu di sisi-Nya, lihatlah di mana Dia lorongkan kamu.” [Al-Hikam Al-Atho’iah]
Memelihara Sensitiviti Ini Dalam Hati
Siapa yang memandang dengan bashirah, dengan mata hatinya, akan melihat bahawa Allah bukan sedang menyusahkan dirinya dengan semua penghalang-penghalang itu yang menyebabkan dirinya tidak dapat meneruskan hajat maksiatnya itu.
Tetapi itulah tanda betapa besarnya kasih Allah terhadap dirinya, memberikan jagaan yang baik kepada dirinya dari terjebak dalam dosa maksiat.
Maka, marilah kembali membersihkan hati kita, beristighfar setiap kali ada keinginan maksiat, dan pada setiap kali itu pula Allah iringkan kita dengan halangan-halangan sebegini yang bertujuan mengingatkan kita dan mengembalikan sensitiviti iman dalam diri kita.
Bersyukurlah kita kerana Allah masih memelihara diri kita di kala kita ada niat mahu berlari menjauhi-Nya, memberikan perhatian-Nya yang besar kepada kita ketika kita ada mahu lalai seketika.
Jagalah sensitiviti terhadap dosa. Sensitif terhadap maksiat.
Sensitif untuk sentiasa merebut peluang kebaikan dan pahala, menjauhi amal-amal kemungkaran.
Hidupkanlah sensitiviti ini dalam diri kita dengan kembali merapat kepada-Nya, melakukan apa yang disuruh dan dicintai-Nya, menjauhi larangan dan kebencian-Nya.
Tuhanku, Tetapkanlah Hatiku
Di dalam Al-Quran, Allah sering mengulang-ulang doa yang mengajar kita untuk sentiasa menetapkan hati kita di atas jalan iman, jalan hidayah-Nya.
“Wahai Tuhan kami ! Janganlah engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami. Dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” [Al-Imran : 8]
Nabi juga mengajarkan kita doa dalam sebuah hadis:
“Wahai yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas deen-Mu.” [HR Tirmizi]
Berdoalah juga sebagaimana diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada Muaz agar tidak meninggalkannya setiap kali selepas solat, iaitulah kita sentiasa meminta Allah membantu kita dalam mentaati dan menyembah-Nya.
“Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati menyebut-nyebut nama-Mu, mensyukuri-Mu dan menyembah-Mu dengan sebaik-baiknya.” [HR Abu Dawud, no. 1522]
Penutup : Hargailah Hidayah-Nya
“…Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya…”[Yunus : 25]
Hidayah Allah sesuatu yang mahal. Sesiapa yang benar-benar berkehendak kepada-Nya, mencari-Nya, jujur pada-Nya, maka diberikan padanya.
Tetapi, jangan lupa, itu adalah milik Allah. Jangan bongkak dengan hidayah, jangan rasa besar diri menjadi muslim kerana hidayah Allah, bila-bila saja Allah boleh tarik daripada diri kita.
Kalau kita menolak, mengingkari dan cuba melanggar batasan Allah yang telah Allah tetapkan pada diri kita, cuba keluar dari pemeliharaan Allah terhadap diri kita, maka itu tanda kita tidak menghargai hidayah Allah pada diri kita.
Perbaikilah makna menjadi hamba Allah dalam diri kita. Hargai, syukuri dan telitilah hikmah di sebalik setiap ketetapan Allah dalam hidup kita. Pasti ada sebabnya, bukan kebetulan, bukan sia-sia.
The post Menghargai Hidayah Allah appeared first on Langit Ilahi.