Coretan: Tuhan, Salahkah Jika Aku Bahagia?
Pernahkah pada suatu ketika, anda merasa sangat gembira dan tertawa seolah-olah anda tidak pernah mengenal duka? Namun tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja anda merasa sedih yang kadang-kadang anda sendiri tidak tahu apa puncanya. Ia seringkali berlaku pada diri anda sehinggakan kadang-kadang anda takut untuk merasa terlebih gembira dalam sesuatu perkara.Saya pernah diuji begini sampaikan saya bertanya, “Tuhan, salahkah jika aku mahu merasa bahagia?”
Senyum.
Pada setiap persoalan, pasti ada jawapannya. Adakala sebelum timbul persoalan, jawapannya sudah lama ada.
Mengingati Allah Saat Gembira, Saat Nestapa
Allah SWT menginginkan hambaNya mengingatiNya walau dalam senang, walau dalam susah. Jika ditimpa kesusahan dan kesesakan hidup, pintalah padaNya kekuatan, jika merasa gembira dengan nikmat yang Dia kurniakan, bersyukurlah dan usah melupakanNya. Ramai di antara kita saat ditimpa ujian yang menyesakkan jiwa, akan merayu-rayu di hadapan Allah SWT sehingga bercucuran linangan air mata, ketika itu terasa diri benar-benar akrab dengan Tuhan, merasa yakin bahawa Dia mendengar setiap keluhan, ketakutan, keresahan, kesedihan, kelukaan, kepedihan yang menikam lubuk hati. Namun berapa ramai di antara kita yang kekal mendampingi Allah SWT setelah Allah mencabut kedukaan itu dari dada-dada kita, meringankan ujian dan beban hidup kita dan membuatkan kita kembali tersenyum? Akuilah, sering sahaja kita lupa untuk berterima kasih padaNya malah mula jauh daripadaNya. Tidak seperti saat kita diuji dahulu.
Lalu Allah datangkan kembali secebis duka yang kadang-kadang tidak banyak pun, cuma sedikit sahaja. Itu pun sudah cukup untuk buat kita terasa sesuatu di hati. Apakah Allah tidak suka kita merasa bahagia lalu Dia datangkan kembali setitis nestapa?
Tidak sama sekali.
Allah SWT suka melihat hambaNya merasa senang, tetapi dalam keadaan senang yang bagaimana?
Dalam keadaan senang tanpa lalai dari mengingatinya.
Dalam keadaan senang tanpa melupakan bahawa rasa gembira dan bahagia itu hakikatnya datang dari Dia.
Dalam keadaan senang tanpa lupa untuk bersyukur.
Kerana apabila kita bersyukur, nescaya Allah SWT akan menambah lagi dan lagi rasa bahagia di dalam hati kita.
Cukuplah firmanNya yang Agung menjadi bukti;
“Sekiranya kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (pemberian-Ku) kepada kamu, tetapi sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih,”
-
Surah Ibrahim : 7
Allah SWT sudah nyatakan awal-awal lagi di dalam kitabNya, sekiranya kita menjadi hamba yang bersyukur pasti dia akan melipatgandakan lagi nikmatnya kepada kita. Merasa gembira dan bahagia juga adalah suatu nikmat yang tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit, ia datang dari Allah SWT, lantaran itu sekiranya kita bersyukur ketika merasai indahnya hidup ini, nescaya Allah SWT akan melebihkan lagi nikmat bahagia itu ke atas diri kita. Tetapi malangnya kita ini terlalu cepat dilalaikan dengan kegembiraan dunia sehingga kita lupa bahawa bahagia itu datang dari Allah SWT, kita juga lupa bersyukur kepadaNya, maka salah siapakah jika Allah SWT menguji kita dengan sedikit duka?
Tepuk dada, tanya iman di jiwa.
Semakin Bersyukur Semakin Bahagia
Justeru itu, setiap kali kita diuji dengan perasaan sebegini (pantang gembira terlebih sikit, esok tu mesti akan ada rasa sedih), mungkin kita perlu muhasabah kembali diri kita;
1. Apakah kita ada lakukan sesuatu yang Allah tak redha?
2. Adakah ketawa kita melebihi zikir kita kepadaNya?
3. Adakah kita terlupa untuk bersyukur dan berterima kasih kepadaNya atas rasa gembira yang Dia beri?
4. Adakah kita telah melakukan sesuatu yang menjauhkan diri kita daripada Allah?
5. Atau mungkin kita terlalu bergantung kepada manusia untuk merasa bahagia sedangkan bahagia yang sebenar datang dari Dia?’
Soal-siasat iman dan hati, percayalah jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Jika mahu kekal bahagia dan gembira, bersyukurlah. Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bersyukur dan antara tanda-tanda seorang hamba yang bersyukur ialah ia merasa cukup dengan apa yang ada, tidak melampau-lampau dalam sesuatu perkara, dan senantiasa mengingati Allah SWT baik dalam susah mahupun dalam senang. Maka inilah orang yang bahagia di sisiNya. Bukankah Allah SWT ada berfirman yang bermaksud;
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram,”
- al-Ra`d: 28
Orang yang bersyukur, akan sentiasa mengingati Allah SWT. Orang yang sentiasa mengingati Allah SWT, akan merasai ketenangan dan kedamaian di dalam hatinya. Yang dikatakan mengingati Allah SWT (zikrullah) bukanlah bermakna menyebut nama Allah SWT di dalam hati dan minda semata-mata, tetapi ia adalah sesuatu yang menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Inilah bahagia yang sebenar.
Penutup: Adakah kita orang yang bahagia di sisiNya?
Rasa gembira dan bahagia adalah nikmat yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ada manusia merasa gembira dengan keseronokan dunia, tetapi hatinya tidak merasa bahagia.
Ada manusia pula yang menyangkakan dirinya bahagia sedangkan dia tidak taat kepada Allah SWT, maka inilah manusia yang tertipu dengan bisikan iblis dan syaitan yang menyesatkan manusia.
Ada manusia yang sering merasakan dirinya tidak pernah bahagia, sering mengungkit-ungkit apa yang tiada, inilah dia manusia yang tidak bersyukur. Jika tidak bersyukur, mana mungkin bahagia kan tiba?
Dan ada manusia merasa bahagia yang sebenar, saat jiwa hampir dengan Tuhan. Segala yang ada terasa cukup, yang belum ada didapatkan dengan usaha dan pergantungan kepadaNya. Tidak mengeluh dan berkeluh kesah. Alangkah indah.
Allah SWT bukanlah tidak mahu kita merasa gembira dan bahagia. Tetapi Dia mahu kita merasa semua itu dalam keadaan ingat dan taat kepadaNya. Kerana itulah ditarik sebentar nikmat itu, supaya apabila dipulangkan semula nanti, kita menjadi lebih bersyukur dan tidak lalai lagi.
Muhasabah.
The post Coretan: Tuhan, Salahkah Jika Aku Bahagia? appeared first on Langit Ilahi.