Hati Yang Bebas Menuju Syurga
Pada manusia itu dikurniakan sekeping hati. Hati yang menyimpan seribu satu perasaan. Ada perasaan yang baik, ada juga perasaan yang tidak baik. Hati juga punya bermacam sifat. Ada hati yang keras, ada hati yang lembut. Ada hati yang celik, ada hati yang buta. Ia pusat segala tindakan, ia mengawal akal yang berfikir dan memahami sesuatu perkara. Sifat-sifat hati yang baik akan memberi cahaya kepada kehidupan. Namun sifat-sifat yang tidak baik, akan membuatkan kehidupan gelap-gelita meskipun di bawah terik cahaya.
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
- al-Baqarah: 10
Ada orang yang buta matanya, namun celik mata hatinya. Dia bersikap baik pada manusia lain, tidak menzalimi dan tidak berbuat jahat kepada sesiapa. Matanya cuma buta daripada melihat maksiat, di mana maksiat itu jatuh ke hati mereka yang celik lantas menjadi racun yang membinasakan. Jiwanya taat kepada Pencipta tidak pernah berbantah, dia melihat kebenaran saat ramai sang celik yang masih dibutakan dunia.
Ada orang yang pekak telinganya. Namun hatinya tidak pekak daripada mendengar jiwanya membesarkan Allah SWT, lisannya tidak tuli dari menuturkan zikrullah. Dia cuma pekak dari mendengar perkataan-perkataan keji yang keluar dari mulut manusia, bunyi-bunyi yang melalaikan yang membawa manusia jauh dari Tuhan.
Hati Sebagai Kunci Syurga
Syurga adalah puncak segala nikmat. Walau seindah mana pun al-Quran menterjemahkan nikmat dan kelazatan syurga itu, namun apa yang terbayang mata takkan sama dengan syurga yang sebenar-benarnya. Tak tercapai akal kita untuk menyamakannya dengan mana-mana nikmat di dunia. Ia terlalu hebat. Rata-rata semua manusia mahukan syurga itu. Baik yang taat, mahupun yang berbuat maksiat.
Tanyalah pada pak ustaz yang saban hari berkhidmat di musolla, adakah ustaz mahukan syurga? Sudah pasti jawapannya YA.
Tanyalah pada gadis-gadis seksi yang bebas menayang aurat, adakah kalian mahukan syurga? Tentu jawapannya YA.
Tanyalah pada anak-anak kita yang berada di sekolah dan tadika, adakah kamu semua mahukan syurga? Jawapannya YA.
Mahukan syurga, siapkanlah kuncinya. Kunci syurga itu terletak pada hati yang baik. Hal ini kerana segala amalan yang soleh tidak akan sekali-kali dapat tumbuh dan berkembang dengan subur seandainya tidak ada sedikit pun sifat mahmudah di dalam hati seseorang hamba. Malah sifat-sifat hati yang tidak baik adalah racun yang memusnahkan akar umbi kebaikan dalam jiwa manusia. Membinasakan kehidupan manusia bukan sahaja di dunia, malah menimbulkan penyesalan yang sangat nyata di akhirat sana.
Allah SWT menilai amalan seseorang hamba itu berdasarkan apa yang mengisi hatinya. Boleh jadi seorang hamba itu tersangatlah banyak amal kebaikannya di mata manusia, tetapi hatinya tidak ikhlas, riyak, berbangga diri, punya hasad dengki yang menebal, suka memburukkan orang lain, suka bersangka-sangka dan menimbulkan perbalahan. Adakah mungkin amalannya akan diterima Allah SWT? Semuanya kembali kepada hati masing-masing.
Sifat hati yang baik, akan melahirkan akhlak yang Allah cinta serta amal yang baik yang Allah sukai dan redha. Jika Allah mencintai, menyukai dan meredhai seseorang hamba itu, maka adakah ganjaran lain yang lebih hebat melainkan syurgaNya?
Sememangnya amalan bukanlah jaminan manusia ke syurga tetapi rahmat Allah yang menentukannya. Namun begitu, amalan ketakwaan adalah bekalan dan bukti bahawasanya kita berusaha untuk taat padaNya. Allah memandang usaha-usaha kita dan menilainya satu persatu dengan syarat, ia datang dari hati yang baik. Manusia yang hanya beramal melalui hati semata-mata tanpa menzahirkannya dengan perbuatan ibarat pekerja yang mengharapkan gaji dan kenaikan pangkat tetapi hanya duduk bergoyang kaki. Antara pekerja yang rajin bekerja dan terserlah usahanya dengan pekerja yang duduk sahaja tidak berbuat apa-apa, agaknya mana satu yang akan disayangi majikannya? Kita sendiri boleh fikir jawapannya. Kebanyakan manusia pada hari ini malas melakukan amal kebaikan dan hanya berharap agar Allah menilai kebaikan yang ada pada hati mereka tetapi tidak berusaha untuk memiliki akhlak yang baik dan tidak berusaha untuk menggiatkan diri dalam amal kebaikan. Sungguh, Allah sangat tidak menyukai hambaNya yang malas dan tidak berlumba-lumba melakukan ketaatan dan kebaikan keranaNya.
Maka hati inilah kunci kita.
Hati yang baik – amal yang baik - kunci syurga.
Hati yang tidak baik - amal yang tidak baik – kunci neraka.
Membebaskan Hati Menuju Syurga
Lantaran itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membebaskan hati yang berada dalam jasad kita pada hari ini dari segala kongkongan sifat buruk yang selama ini menjadi penghalang kepada kita untuk melakukan perkara-perkara yang Allah redha dan meninggalkan perkara-perkara yang Allah murkai.
Bebaskan dari perasaan dendam dan dengki, tidak suka melihat kesenangan orang lain, perasaan riyak dan takabbur, merasa diri lebih baik dari orang di sekeliling, perasaan berbangga-bangga dengan kelebihan yang ada, kedekut, tidak suka memberi, suka mencari-cari kesalahan manusia dan menyebarkan aib mereka, sikap suka berbohong dan berbuat fitnah, bersangka buruk, mengungkit-ungkit pemberian, merendah-rendahkan orang lain, dan pelbagai sikap buruk lagi yang membuatkan hati menjadi busuk.
Bebaskan lah ia agar kelak ia membawa kita terbang ke syurga.
Akhlak-akhlak buruk adalah penyakit-penyakit jiwa yang menghalang jalan menuju syurga. Ia akan menyebabkan kekecewaan di dunia, dan penyesalan di akhirat sana. Penyakit-penyakit hati akan melahirkan individu yang membawa kerosakan dalam masyarakat, ia bukan sahaja memusnahkan kehidupan sendiri, bahkan kehidupan orang lain juga dengan ibarat penyakit berjangkit yang membunuh. Pokoknya, ia harus dirawat bermula dari diri sendiri. Kerana berlama-lamaan dalam penyakit rohani ini akan menjadikan jiwa manusia rosak dan tidak dapat diubati lagi. Hati menjadi hitam lebih hitam dari pekatnya malam, keras lebih keras dari kerasnya batu. Amalan menjadi debu berterbangan, syurga hanya tinggal angan-angan.
Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayat petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.
- Surah az-Zumar: 22
Penutup: Perbaikilah hati. Hati yang baik adalah harapan untuk ke syurga.
Berusahalah untuk memperbaiki dan menyembuhkan hati. Keegoan tidak akan dapat membantu kita menjadi manusia yang lebih baik. Bersedia untuk menerima teguran dan peringatan sepertimana seorang pesakit yang meminta dirawat tabib. Ubat sememangnya pahit tetapi ia menyembuhkan. Ubat kepada hati yang sakit adalah peringatan demi peringatan, teguran demi teguran. Harus kita akui bahawa di dalam hati kita ini punya pelbagai penyakit yang kita sembunyikan. Kita bukanlah malaikat yang imannya mendatar sama, kita bukanlah para nabi yang imannya tertingkat sentiasa, tetapi kita manusia biasa yang adakala diracuni bisikan-bisikan jahat yang menyebabkan kita melakukan perkara yang Allah tidak suka. Jiwa ini perlu kepada penyucian kerana semakin lama dibiarkan kotor, semakin sukar untuk dibersihkan. Lekas-lekaslah rawatinya. Inilah jalan kita menuju syurga, inilah kuncinya.
Beruntunglah orang-orang yang menjaga hatinya, beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwanya. Mereka inilah orang-orang yang berjaya membebaskan diri mereka menuju syurga.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman) dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia solat.
-Surah al-A’laa: 14-15
The post Hati Yang Bebas Menuju Syurga appeared first on Langit Ilahi.