Apabila Materialisme Menguasai Jiwa
~ pic by vinlandshore.com
Antara surah yang disebut untuk dibaca pada hari Jumaat di dalam hadis adalah surah Al-Kahfi. Di dalam hadis yang sohih riwayat Muslim, membaca surah al-kahfi menyelamatkan kita dari fitnah ad-dajjal.
Tetapi fahamkah kita kenapa kita boleh terselamat dari fitnah ad-dajjal dan apakah dengan hanya membaca surah Al-Kahfi semata-mata, kita terselamat?
Wallahu a’lam. Namun kalau kita telusuri ibrah dari surah al-Kahfi ini, ia sedang merawat satu permasalahan besar yang mana kalau tidak diselesaikan permasalahan ini, maka iman kita sedang berada di jurang yang bahaya.
Ia adalah pertarungan besar antara materialisme dengan iman.
Materialisme Yang Mengganggu Gugat Iman
Dalam dunia yang sudut materialismenya sentiasa berkembang maju, ad-dajjal tidak hanya muncul dalam bentuknya di akhir zaman itu sahaja. Tetapi sebelum kemunculan ad-dajjal yang sebenar, ‘dajjalic view’ atau ‘sudut pandang dajjal’ sebagaimana dimaksudkan oleh Abul Hasan An-Nadwi dalam bukunya, ‘Faith vs Materialisme, The Message of Surah Al-Kahf’ telah terlebih dahulu menguasai ummat manusia.
Dajjalic view itu adalah terbentuknya tamadun manusia berasaskan spirit materialisme. Roh dikuasai oleh material. Iman dikuasai oleh material. Hidup bertuhan dikuasai oleh material.
Apabila dajjalic view telah menguasai jiwa insan dan merosakkannya, maka lebih mudah untuk ad-dajjal seketika kedatangannya nanti melaksanakan kerja-kerjanya.
Spirit materialisme yang mana telah menyerap masuk menggantikan spirit iman dalam diri insan. Apabila hidup dikuasai serba serbi oleh materialisme, kita bertukar menjadi manusia tanpa kemanusiaan, perasaan yang tak mampu merasa lagi, jiwa yang tiada kehalusannya lagi.
Tamadun materialisme memberhalakan kepentingan diri sebagai Tuhannya. Apabila kepentingan diri tercapai, biarpun orang lain dizalimi dengan kita mendapatkan hal itu, maka hal itu tidak ada masalah.
Kepentingan diri itu wujudnya dalam bentuk berebut-rebut mahu mencapai apa yang ada di sisi manusia dan mengabaikan apa yang ada di sisi Allah, bahkan kadangkala mencabar pula kekuasaan Allah s.w.t. Sebagaimana awal al-Kahfi membetulkan neraca iman kita terhadap Al-Quran agar tidak menjadi sebagaimana Yahudi dengan Taurat, Kristian dengan Injil, justeru yang diperlukan bukan sekadar Al-Quran yang telah sedia lurus dan tidak bengkang-bengkok, tetapi yang diperlukan juga adalah hati kita yang lurus dan tidak bengkang-bengkok mengimani Al-Quran dan isinya.
Dalam tamadun materialisme, yang diukur adalah persaingan dalam hal kebendaan. Pendek kata bukan lagi sekadar membentuk seseorang menjadi ‘mata duitan’, tetapi menjadi mata kebendaan. Segala-galanya harus ditentukan oleh nilai kebendaan. Sebab itu di dalam Al-Kahfi, 4 item utama disentuhnya yang sering menjadi mangsa tamadun materialisme dalam hidup insan, menjadi fitnah besar dalam hidup insan, iaitulah kepemudaan, harta, ilmu dan kuasa.
Kepemudaan tanpa iman, rosak.
Harta tanpa iman, menghancurkan.
Ilmu tanpa iman, menyesatkan.
Kuasa tanpa iman, memudaratkan.
Berhati-hati Jangan Sampai Iman Kita Tercabut
Apabila awal pagi kita sering dikuasai gajet sehingga mengabaikan qiamullail dan subuh yang khusyuk, maka barangkali unsur materialisme sedang merampas dan sedikit demi sedikit mencabut sensitiviti iman daripada diri kita.
Apabila waktu kita dengan Al-Quran sering terselit dengan penumpuan kepada Facebook, Whatsupp dan pelbagai lagi ruang komunikasi sosial yang lain, maka barangkali materialisme sedang menghancurkan kemanisan hubungan kita dengan Allah.
Apabila nilai kemanusiaan diukur dengan siapa yang lebih banyak hartanya, maka dia akan dihormati, sedangkan orang yang kurang hartanya, dia diabaikan dan diperlakukan umpama kasta rendah, maka kita sedang terbelenggu dalam perangkap materialisme. Apabila nilai kemanusiaan diukur dengan sijil pendidikan siapa yang lebih tinggi, maka dia layak dihormati sebagai manusia, kita sedang menuju kepada kehancuran akibat pengaruh materialisme dalam jiwa.
Berhati-hati apabila materialisme menguasai jiwa kita kerana saatnya ia melekat dan telah selesa dalam jiwa kita, payah amat untuk kita mencabutnya keluar dari diri kita.
Peritnya apabila ia telah menguasai jiwa kita, kita tidak mampu lagi merasai manisnya melakukan kebaikan, kejujuran dalam berhubung dengan Tuhan dan insan, kemanisan berhubung dengan Allah, serta hampir-hampir kita kehilangan makna ibadat yang sering kita lakukan dalam hidup kita seharian.
Nantinya, kezaliman tidak lagi dirasai sebagai satu yang zalim. Dosa dan maksiat tidak lagi dirasakan salah. Bahkan, kejahatan menjadi satu kebiasaan pula dalam dirinya.
Ibadat-ibadat nantinya hanya akan tinggal pergerakan jasad tanpa roh, tertib dan adat harian yang tidak memberikan makna apa-apa kepada perubahan diri kita.
Penutup : Membersihkan ‘Dajjalic View’
Al-Kahfi membuka dan menutup surahnya dengan mentauhidkan dan memuji Allah s.w.t.
Kita tidak akan berjaya melakukan proses ini dalam diri kita walau sebanyak apapun harta yang kita sedekahkan, buku yang kita baca, ilmu yang kita, kedudukan hebat yang kita miliki, kekuatan tubuh pemuda yang ada pada badan kita, kalau kita tidak menundukkan semuanya kepada ketaatan dan iman kepada Allah s.w.t.
Harta yang banyak disedekahkan tetapi dengan memperlekehkan orang miskin adalah bahagian dari kejayaan pemberdayaan unsur materialisme atas unsur iman. Luaran nampak seakan-akan hakikat iman apabila memberikan sedekah yang banyak, tetapi yang sebenarnya unsur materialismelah yang telah berjaya menguasai jiwanya apabila memperlekehkan orang miskin.
Melakukan banyak kebaikan tetapi suka menyebarkan sana sini atas tujuan menunjuk-nunjuk, maka ia sedang merosakkan dirinya sendiri, bukan semakin membaikkannya.
Marilah kita membersihkan diri kita, membebaskan sudut pandang kita dari dajjalic view ini agar jiwa kita tidak dikuasai oleh material dan kekal tunduk dan taat dalam keadaan penuh khusyuk kepada Allah s.w.t.
The post Apabila Materialisme Menguasai Jiwa appeared first on Langit Ilahi.