5 Kaedah Pembentukan Jiwa Merdeka (II)

this_heart___by_chrystalblueisboo


Senantiasa bersihkan jiwa agar ia kekal merdeka


Asal setiap kita adalah daripada tanah yang sekian lama kita berpijak di atasnya. Selalu kita beranggapan tanah lambang kerendahan berbanding langit dan lain-lain, walhal darinya juga kita dicipta. Dari segi ukuran pula, tidak terbanding saiz kita yang amat kerdil jika digandingkan bersama alam semesta yang dikelilingi pula dengan bintang-bintang yang lebih besar. Begitulah kelemahan diri seorang manusia jika benar kita sedari.


Justeru, mengenal hakikat diri manusia ini amatlah penting dek kerana hadafnya adalah menimbulkan keyakinan terhadap kelemahan kita, ketidakberdayaan, kejahilan dan kebergantungan kita pada sesuatu yang boleh membangunkan dan memperbaiki diri kita. Apabila kita menyedari kelemahan-kelemahan ini, maka nyatalah keperluan kita terhadap kekuasaan Allah s.w.t yang mampu melakukan segalanya. Bahkan, sekiranya Allah membiarkan diri kita diurus sendiri walau sekedip mata, nescaya terbinasalah manusia pada waktu itu juga.


Mengenali hakikat diri beerti kita berjaya menyingkap watak peribadi yang sukakan kemaksiatan, kelalaian dan ketinggian posisi. Hal ini disebabkan, jika diri ini dibiarkan begitu saja, sungguh ia tidak akan pernah menyuruh kepada ketaatan, sekali gus sukar untuk meninggalkan kemaksiatan. Apabila watak diri sedemikian dikenali, maka kita akan sentiasa berhati-hati terhadap kehendak diri agar ia tidak sentiasa diikuti melainkan bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki.


Mengenal hakikat diri dengan pembersihan hati

Tidak dapat tidak, cara untuk mengenal hakikat diri adalah dengan pembersihan hati. Hal ini disebabkan hati adalah sumber segala kekuatan dan juga kelemahan. Kuat dalam usaha untuk taat pada Allah. Lemah menurut hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Antara proses-proses pembersihan hati yang penting bagi setiap kita ialah:


       1.   Jagalah dirimu daripada perkara yang haram, menjadikan kamu hamba Allah yang terbaik


Menjauhi perkara yang haram tidak hanya dalam perbuatan maksiat tetapi juga dalam percakapan seperti mengumpat, mengadu domba, menfitnah dan lain-lain. Selain itu, hati manusia juga perlu dihindari dari yang haram seperti hasad, riya’, ujub, takabbur dan pelbagai lagi. Hal ini disebabkan perkara-perkara haram inilah menjadi penghalang kepada doa dikabulkan, keluasan rezeki dan merendahkan kedudukan kita di sisi Allah s.w.t.


Adapun jalan terbaik mendidik diri supaya menjauhi perkara yang haram adalah dengan takut dan sabar. Takut kepada Allah akan dahsyatnya azab-Nya. Sabar dalam meninggalkan semua perkara yang haram serta sabar dalam melakukan ketaatan mengikut kemampuan. Nabi s.a.w bersabda:


“Apabila dilarang ke atas kamu akan sesuatu perkara maka jauhilah ia, dan apabila disuruh kepada kamu akan sesuatu perbuatan maka lakukanlah ia semampu kamu”. [HR Muslim]


Manfaat daripada hadith ini jelas menunjukkan kepada kita, menjadi hamba Allah itu adalah berbuat kebaikan sedaya boleh, tetapi perlu tinggalkan semua bentuk larangan kerana jalan menuju Allah itu satu dengan taat walhal jalan menuju maksiat tidak terhad.


       2.   Redhalah dengan pemberian Allah, nescaya menjadikan kamu kaya


Kekayaan yang mutlak hanyalah milik Allah kerna Dia tidak berhajat kepada sesiapa. Hatta, jika seluruh kehidupan ini tidak beriman pada-Nya, maka tidak pernah lemah kerajaan Allah. Bahkan mereka yang rugi dek kerana terhalang daripada rahmat dan kasih sayang Allah. Bagi diri manusia, yang paling kaya dari kalangan kita bukanlah semestinya denga banyak harta tetapi mereka yang lebih banyak pergantungan hidupnya kepada Allah berbanding manusia.


Hal ini kerana Allah Maha Kaya. Tidak akan miskin jika kita meminta sebanyaknya. Oleh itu, menjadi hamba-Nya membuatkan kita kaya disebabkan Allah akan sentiasa ada untuk berikan kepada kita keperluan. Adapun menjadi hamba dunia, sebenarnya membuatkan kita papa kerana ia akan binasa.


Pun begitu, pemberian Allah s.w.t tidak semestinya atas kemahuan kita, tetapi apa yang Dia lihat baik untuk diri kita. Yang baik disisi kita belum tentu baik dalam pandangan Allah, begitulah sebaliknya. Namun demikian, kita diajar untuk bersungguh-sungguh dalam meminta daripada Allah. Sejauh mana usaha kita memohon doa dan kekuatan daripada Allah, maka sejauh itu malah lebih Dia akan kabulkan permintaan kita.


Lihat kisah yang disebutkan dalam hadith nabi yang sahih berkenaan tiga orang yang terperangkap di dalam gua akibat terhalang dengan batu yang besar. Kesungguhan, kekhusyukan, serta kerendahan hati mereka dalam meminta kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah membolehkan mereka keluar dari gua tersebut. Juga barakah daripada hasil ketaatan mereka kepada Allah, dan sedaya upaya usaha mereka menjauhi maksiat sebelum ditimpa musibah berkenaan.


       3.   Berbuat baiklah dengan tetanggamu, melengkap kamu seorang mukmin


Pembersihan hati tidak hanya tertumpu pada hubungan manusia dengan pencipta bahkan hubungan sesama makhluk juga perlu dititiberatkan. Hal ini disebabkan, proses menuju ketaatan kepada Allah juga memerlukan suasana kehidupan yang baik kerana ia mempunyai pengaruh terhadap perilaku seseorang.


Oleh yang demikian, berbuat baik dengan jiran tetangga bukan sahaja dengan menjaga hubungan yang baik, bertegur sapa, tetapi ia turut melibatkan keselamatannya, hartanya, maruahnya juga dituntut dalam islam. Dengan itu, suasana aman akan terbentuk dengan saling menghormati dan berkasih sayang.


Selain itu, penting juga bagi setiap kita untuk cuba mewujudkan suasana ketaatan kepada Allah dengan memberi contoh sikap yang baik dan mengajak melakukan kebaikan. Maka bukan setakat suasana aman yang terbentuk bahkan suasana keimanan. Justeru itu, ia amat penting bahkan menjadi pelengkap bagi orang beriman sebagaimana ditegaskan di dalam hadith:


“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangalah dia menyakiti jirannya”[Muttafaq ‘alaih]


       4.   Cintailah manusia yang lain seperti kamu mencintai diri sendiri, melambangkan peribadi muslim


Iman kita tidak dianggap sempurna apabila kita tidak mencintai manusia yang lain sperti diri kita sendiri. Kecintaan yang dimaksudkan adalah tidak mahu seseorang itu disakiti disebabkan kita baik terhadap dirinya mahupun agamanya. Adapun lambang kecintaan seseorang terhadap yang lain adalah dengan tidak melakukan perkara yang tidak disukainya. Justeru itu, dalam banyak hadith nabi s.a.w, baginda banyak menekankan akan hal ini sebagaimana sabdanya:


“Muslim itu adalah seseorang yang memelihara lidahnya dan tangannya terhadap muslim yang lain” [HR Bukhari]


Lidah dan tangan merupakan punca banyak kemaksiatan dan pergaduhan. Oleh itu, seorang itu dianggap muslim hanya apabila terselamat lidahnya dari cacian, mengadu domba, fitnah dan lain-lain terhadap saudara semuslimnya. Di samping itu, tangannya atau merujuk perbuatannya juga tidak menyakiti orang lain.


       5.   Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya ia mematikan hati.


Gembira dalam islam adalah dibenarkan bahkan ia sesuai dengan fitrah sebagai seorang manusia. Walau bagaimanapun, Islam meletakkan garis panduan dalam menzahirkan kegembiraan dan keseronokkan. Sebagai contoh menzahirkan dengan senyuman dan ketawa. Pun begitu, keduanya tidaklah selalunya menggambarkan kegembiraan tetapi lazimnya ia adalah respons pantas bagi keseronokkan.


Cantiknya Islam meletakkan ketawa juga ada hadnya supaya tidak menjatuhkan ‘haibah’ atau keluhurun peribadi seseorang itu. Ketawa nabi s.a.w hanyalah hingga menampakkan gusi baginda. Mungkin agak sukar bagi kita, tetapi cukuplah kita meletakkan panduan ketawa itu tidak sampai berdekah-dekah dan terlalu kuat hingga menarik perhatian orang lain.


Hal ini disebabkan banyak dan besarnya ketawa itu boleh mematikan hati. Bagaimana? Dengan melupakan kita kepada akhirat akibat leka dengan dunia dan keseronokkannya sahaja. Bahkan dalam al-Quran juga menyarankan supaya kurangkan ketawa di dunia agar kita tidak banyak menangis di akhirat sana. Firman Allah s.w.t dalam menggambarkan kaum munafik yang banyak ketawa keseronokkan meninggalkan peperangan:


(Peringatan) Maka ketawalah sedikit (di dunia ini) kerana mereka(munafik) akan menangis banyak (di akhirat kelak). [At-Taubah:82]


 


Segalanya Berkenaan Hati

Mungkin terfikir di minda kita, mengapa penting sangat pembersihan hati?


Kerana kesemuanya berkaitan hati.


Hubungan kita denga Allah baik, disebabkan hati kita baik.


Hubungan kita dengan manusia baik, kerana hati kita baik.


Seluruh anggota kita baik juga kerana hati yang baik.


Hati yang baik adalah hati yang merdeka! Merdeka dari kekangan nafsu. Merdeka kerana menurut perintah yang Maha Berkuasa.


 


Rujuk juga artikel jiwa merdeka (I): 5 Tanda Jiwa Yang Merdeka (I)


The post 5 Kaedah Pembentukan Jiwa Merdeka (II) appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2015 21:38
No comments have been added yet.