Umum: Bila Allah Akan Membalas Kebaikanku?

 


Let-us-not-become-weary-in-doing-good-christian-wallpaper_1280x800


Pada Ogos 2015, ada satu kisah yang menarik berlaku. Saya di’tag’ oleh seorang sahabat di Facebook, berkenaan sebuah cerita. Yang mana cerita tersebut merupakan kisah benar seorang pemudi, yang melakukan kebaikan dengan membelanja seorang pakcik tiket KTM, seterusnya melayan pakcik itu dengan baik sepanjang perjalanan. Akhirnya pakcik itu meminta untuk meminjam sebentar Buku yang dibawa oleh pemudi tersebut. Kebetulan, buku yang sedang dibawa ialah Buku Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita karangan saya, Hilal Asyraf. Selepas membelek sebentar buku tersebut, pakcik itu memberikan semula kepada pemudi itu dan berpesan dengan pesanan ringkas namun penuh harapan. Apabila pemudi tersebut pulang, dia perasan ada RM300 terselit pada buku tersebut, diselitkan oleh pakcik tadi, yang rupanya seorang berpangkat besar dalam kerjayanya.


Cerita ini menjadi viral di alam maya apabila dikongsikan pemudi tersebut. Puluhan ribu ‘like’ dan ribuan ‘share’, menandakan kisah tersebut sangat menyengat hati ramai orang. Kisah ini menjadi motivasi orang ramai untuk melakukan kebaikan setiap masa, dan sesungguhnya kebaikan itu pasti ada balasannya.


Namun apabila saya berkongsi kisah yang sama, ada yang bertanya:


“Itu yang mendapat balasan. Bagaimana pula yang tak dapat-dapat balasan?”


Soalan itu menggerakkan saya menulis artikel ini, sebagai renungan dan muhasabah diri.



Buat Baik Dibalas Baik?


Pada tahun 2012, saya pernah dipanggil oleh TV9 untuk muncul dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O. Dalam rancangan tersebut, saya ada menyebut bahawa saya tidak percaya dengan konsep ‘Buat baik pada orang, orang akan buat baik kepada kita’. Ya, ia melanggar kepercayaan ramai orang. Masyhur dalam masyarakat kita bahawa jika kita baik pada orang, orang akan baik kepada kita.


Namun itu hakikatnya tidak benar. Orang ada pelbagai jenis dan ragam. Dan tidak semestinya apabila kita baik atau berbuat baik kepada orang, orang akan membalas kebaikan kita dengan kebaikan. Ada orang mengambil kesempatan ke atas kebaikan kita. Ada pula yang tidak teragak-agak mengkhianati kebaikan kita dengan melakukan kejahatan pula ke atas kita seperti khianat dan penipuan. Saya menyatakan perkara itu berdasarkan pengalaman saya sendiri.


Maka saya tidak percaya bahawa ‘buat baik kepada orang, orang akan buat baik kepada kita’.


Namun apakah yang saya percaya?


Saya percaya bahawa, jika kita buat baik, baik kepada orang, baik kepada haiwan, baik kepada alam, Allah yang akan membalas kebaikan kita. Ya, itu yang saya percaya. Allah yang akan membalas kebaikan kita dan itu adalah pasti sepasti-pastinya tanpa sedikit pun ragu. Adapun orang, orang mungkin akan melupakan kebaikan kita, mengabaikan diri kita yang telah berbuat baik kepadanya bahkan mungkin bertindak mengkhianati kita atau mengambil kesempatan atas kebaikan kita.


 


Niat Utama Dalam Berbuat Baik


Bila kita melakukan kebaikan, niat kita berbuat baik ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Itu niat yang terutama. Mengapa kita mahukan redha Allah SWT? Kerana dengan keredhaan Allah SWT sahajalah kita akan selamat pada hari yang tiada yang mampu menyelamatkan diri melainkan mereka yang diselamatkan oleh Allah SWT.


Dengan keredhaan Allah SWT sahajalah kita akan mampu mencapai pengakhiran yang baik di akhirat kelak.


Justeru kita melakukan kebaikan demi kebaikan, untuk tujuan tersebut.


Bukan untuk mendapat balasan yang berbentuk material, yang cepat. Buat baik, terus mendapat balasan. Bukan juga kita berbuat baik dengan mengharapkan akan berlakulah sesuatu yang kita kehendaki. Walaupun terdapat galakan untuk bertawassul dengan amal, sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang mengisahkan tiga pemuda tersekat di dalam gua, lantas mereka bertawassul dengan amal kebaikan yang pernah mereka lakukan dalam hidup mereka, lalu Allah SWT membantu mereka keluar dari gua tersebut. Namun tawassul itu ibarat doa, pengharapan.


Allah boleh sahaja tidak memberikan apa yang kita minta, mendapatkan apa yang kita hajati, kerana Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat kita.


Maka mungkin sahaja, bila kita berbuat baik, tiada balasan berbentuk material seperti yang berlaku kepada pemudi dalam cerita di awal artikel tadi. Tetapi keredhaan Allah SWT dan pengakhiran yang baik itu sudah dijanjikan, dan Allah SWT tidak memungkiri janjiNya. Itulah niat sebenar kita bila kita melakukan kebaikan.


Adapun jika kita mendapat balasan dalam bentuk material, dalam keadaan pantas pula, seperti pemudi di awal artikel tadi, atau apa-apa kita hajati termakbul selepas kita melakukan satu-satu kebaikan, maka kita anggap itu ialah bonus.


Bila Allah Akan Membalas Kebaikan Kita?


Baiklah. Kita percaya Allah lah yang akan membalas kebaikan kita. Persoalannya bila?


Ada yang berkata bahawa, dia sudah buat banyak kebaikan, namun kelihatan seperti Allah tidak membalas-balas kebaikannya. Macam tak ada apa yang baik berlaku ke atas dirinya.


Persoalan ini hakikatnya memerlukan renungan yang panjang. Kerana kegagalan kita memahaminya, akan membuatkan kita hilang motivasi melakukan kebaikan.


Pertama, yang kita perlu sedar sedalam-dalamnya ialah apakah Allah SWT membalas kebaikan kita hanya dalam bentuk yang kita dapat lihat?


Kadang, balasannya adalah dalam bentuk yang kita tidak perasan. Kepanjangan umur, kebahagiaan hati, kelapangan masa, kemudahan dalam mengharungi kehidupan, dijauhi dosa-dosa, pahala digandakan, keberkatan dan macam-macam yang kita mungkin ‘take it for granted’, lantas tidak perasan bahawa Allah SWT sudah memberikan ‘sesuatu yang lebih’ kepada kita.


Kedua, keimanan yang berinteraksi dengan kehidupan. Buat baik, bila Allah SWT akan balas? Hakikatnya itu ialah persoalan melibatkan keimanan. Keimanan yang sejahtera akan yakin bahawa Allah SWT itu tidak memungkiri janjiNya, dan pasti sepastinya Dia akan membalas kebaikan kita. Oh, kita tidak nampak balasannya di dunia ini? Keimanan akan berinteraksi dengan kita, menyatakan bahawa bukankah kita meyakini kewujudan akhirat. Di sanalah segalanya akan disempurnakan.


Kejahatan yang terlepas dari dihukum dan kita tidak bertaubat hingga kita mati, atau kebaikan yang tidak mendapat balasan, penghargaan, pengiktirafan selayaknya sepanjang kita di dunia, semuanya akan disempurnakan balasannya di hari akhirat kelak. Saya sering ulang hakikat ini apabila membahaskan ayat 185 Surah Ali Imran.


“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Dan di akhirat kelak akan disempurnakan balasan untuk setiap kamu. Barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan di dunia melainkan kesenangan yang menipu daya.” Surah Ali-Imran ayat 185.


Maka atas keimanan inilah, kita terus menerus berusaha melakukan kebaikan demi kebaikan, dan berusaha pula untuk istiqomah dengannya. Bukan untuk balasan yang cepat, atau balasan berbentuk yang kita nampak, tetapi untuk pengakhiran yang baik di akhirat sana. Moga-moga apabila disempurnakan balasan Allah SWT ke atas kita, kita mendapat balasan yang baik-baik. Dan Allah SWT berjanji bahawa tiada kebaikan yang akan terlepas dari perkiraanNya.


“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7.


 


Tak Bertanya, Tak Terasa


Persoalan ‘Bila Allah akan membalas kebaikanku?’ boleh membuahkan sangka buruk kepada Allah SWT. Kita akan merasakan, apabila Allah SWT lewat membalas kebaikan kita, itu tandanya Dia kurang sayang kepada kita. Keimanan kita boleh tergoncang.


Namun jika kita renungi kembali kisah pemudi di awal artikel tadi, apakah dia mengharapkan balasan pantas, atau balasan yang boleh nampak, saat dia membelanja tiket kepada pakcik tersebut dan melayannya dengan baik?


Tidak. Yang menjadikan cerita itu indah adalah apabila balasan itu diperolehi tanpa kita berharap, tanpa kita menjangkanya.


Di sinilah pentingnya ikhlas.


Kita yakin Allah SWT akan membalas kebaikan kita, kerana itu kita tidak luak dalam melakukan kebaikan. Ada sikit kita berikan sedikit. Ada banyak kita berikan banyak. Mengikut kemampuan, kita berusaha sebaik mungkin melaksanakan kebaikan. Namun bila Allah akan membalas kebaikan-kebaikan kita itu? Kita tidak bertanya, kita tidak membuat jangkaan. Yang penting, pada kita, bila kita berbuat baik, bertambahlah pahala dalam buku amal, dan kita harapkan Allah SWT meredhai kita dengan kebaikan yang kita lakukan.


Ingatlah akan kisah seorang pelacur yang membuat kebaikan dengan memberikan anjing minum air dari sepatunya. Pelacur tersebut Allah kurniakan syurga atas kebaikannya itu. Apakah pelacur tersebut menjangka, dirinya seorang pelacur, akan diberikan syurga hanya dengan kebaikan memberi minum air kepada seekor anjing?


Muhasabahlah kita.


 


Penutup: Allah Tak Minta Rezeki Daripada Kita, Bahkan Dialah Pemberi Rezeki


Kalau kita tak  rajin buat baik, adakah Allah SWT akan melemah? Adakah kekuatan Allah SWT akan berkurangan? Tidak sama sekali.


Namun bila kita tidak berusaha menyemarakkan kebaikan, dalam diri kita, dalam masyarakat sekeliling, apakah kita akan mendapat kehidupan yang damai dan tenang, yang kondusif dan menyenangkan? Tidak.


Kebaikan-kebaikan yang kita usahakan sebenarnya memberikan manfaat kepada diri kita sendiri. Jangan mogok buat baik hanya kerana kita rasa Allah SWT tidak membalas atau lambat membalas kebaikan kita.


InsyaAllah, balasannya ada. Itu keimanan kita.


Biarlah urusan hasil, kita serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita percaya sepenuhnya kepadaNya. Kita yakin bahawa Allah tidak memungkiri janjiNya, dan Dia tidak zalim.


Adapun urusan usaha untuk melakukan kebaikan, di sanalah tanggungjawab kita sebagai hambaNya, sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi ini, maka kita usahakan bersungguh-sungguh.


Dunia akan damai dan harmoni, jika sikap suka berbuat baik disemarakkan.


Semoga Allah SWT memberikan kita izin dan kemudahan untuk berterusan melakukan kebaikan dalam kehidupan kita insyaAllah.


The post Umum: Bila Allah Akan Membalas Kebaikanku? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 16, 2015 23:58
No comments have been added yet.