Memimpin Generasi Badar
~pic by electiccontemplations.com
“Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman.” [Al-Anfal : 12]
Ia adalah ayat tentang Badar, ketikamana para sahabat berada dalam keadaan sedikit, para sahabat berada dalam keadaan serba tidak lengkap kelengkapan perang, para sahabat berada dalam keadaan risau.
Namun, kerana iman dan yakin mereka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka semua cabaran itu menjadi sanggup untuk ditempuhi.
Dan Badar telah mendidik kita nilai kepimpinan yang tinggi di dalam contoh teladan baginda s.a.w. Sahabat bukan keluar dengan paksaan baginda s.a.w., tidak masuk ke peperangan atas sebab projek kerahan tenaga, tetapi atas kesukarelaan dan kesanggupan mereka sendiri.
Bagaimana Rasul mendidik hal itu, itu tercermin pada beberapa sudut nilai kepimpinan yang kita boleh sama-sama pelajari :
Nilai 1 : Keterlibatan pemimpin bersama tenteranya di waktu ujian
“Kami di hari Badar setiap tiga orang berkongsi seekor unta.” Kata Ibn Mas’ud, sambungnya lagi, “Abu Lubabah dan Ali bin Abi Tolib r.a. berkongsi dengan Rasul s.a.w. Apabila giliran Rasul s.a.w. (di atas unta) habis, maka mereka berdua berkata : Kami berjalan saja, wahai Rasul s.a.w.”
Itu ternyata adalah kerana kecintaan para sahabat terhadap baginda Nabi s.a.w. Sehingga tidak mahu melihat Nabi merasa susah sedikit pun. Tetapi ternyata Nabi adalah seorang pemimpin yang sangat tinggi teladannya.
Jarak Badar dan Madinah tidak dekat. Lebih kurang 160km.[1] Pastilah tidak masuk akal untuk sahabat terus-menerus berjalan.
Apa yang dijawab Nabi?
“Kalian berdua tidaklah lebih kuat dariku (yakni untuk berjalan kaki terus) dan aku pula tidaklah lebih apa-apa ganjaran dari kalian.”[2]
Seorang pemimpin sebenar, sama-sama melibatkan dirinya dengan anak buahnya di saat kesusahan. Ia tidak berada di kerusi-kerusi kesenangan di bawah hawa dingin sambil memakan makanan sedap-sedap sedangkan anak buah atau rakyatnya harus menempuh kesusahan dan menangani krisis.
Nilai 2 : Syura menjadi ruang penentuan
Ketika masa sudah terlalu suntuk untuk menyaksikan pertembungan antara 2 pasukan, antara muslim dan musyrik di Badar ini, baginda Rasul tidak melakukan keputusan seorang diri atau menggunakan kuasa veto sebagai ketua Madinah. Ternyata baginda mengambil kira pendapat para sahabat dari kedua-dua Muhajirin dan Ansar dengan bersyura terlebih dahulu dengan mereka.
Di sudut Muhajirin, tak dipertikaikan lagi keyakinan mereka kerana telah lama menerima tarbiyah baginda Rasul sehingga telah jelas keimanan dan kebersamaan mereka itu.
“Wahai Rasulullah,” kata Miqdad bin Amru, salah seorang wakil Muhajirin, “…jalan terus dengan apa yang telah diperlihatkan oleh Allah kepadamu. Kami nescaya bersamamu. Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada engkau sebagaimana Bani Israil berkata kepada Musa : ‘Keluarlah engkau bersama Tuhan engkau dan berperanglah kalian sesungguhnya kami hanya akan duduk di sini.’ Tetapi keluarlah engkau bersama Tuhan engkau dan berperanglah, sesungguhnya kami bersama sebagai orang yang turut berperang.”[3]
Muhajirin sudah. Bagaimana pula dengan Ansor? Barangkali kerana risaukan jawapan dari Ansar, bimbang mereka tidak mahu bersama. Banyaklah sebab dan faktor. Barangkali kerana asalnya keluar untuk barang para Muhajirin yang didagangkan oleh Musyrikin Makkah, bukan ada bahagian mereka pun pada barang itu. Barangkali juga kerana bai’ah dahulu dibuat kepada baginda Rasul s.a.w. adalah untuk melindunginya ketika baginda di Madinah sahaja, bukan di luarnya. Sekarang mereka berada di Badar, luar jauh dari Madinah.
“Berilah panduan padaku wahai manusia yang ramai.” Baginda Rasul memberikan isyarat. Tidak langsung menyebut nama Ansor. Isyarat itu difahami langsung oleh Saad bin Muaz, salah seorang Ansor.
“Seakan-akan engkau maksudkan kami, wahai Rasulullah.”
“Bahkan.”
“Kami telah beriman kepadamu, membenarkanmu, bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Kami telah beri kepadamu perjanjian kami untuk mendengar dan patuh terhadapmu.
Berjalan teruslah wahai Rasulullah sebagaimana yang engkau kehendaki. Kami bersamamu. Demi yang mengutuskanmu dengan kebenaran, sekiranya dibentang laut kepada kita, engkau redahinya, nescaya kami redahinya bersamamu. Tidak ada seorang pun dari kami akan berpaling darimu.”[4]
Nilai 3 : Merisik maklumat tanpa menggunakan kekasaran
3 orang sahabat diutus untuk merisik maklumat tentang kafilah Quraisy. Mereka adalah Ali bin Abi Tolib, Zubair bin Awwam dan Saad bin Abi Waqqas. Mereka pergi ke kawasan air di Badar itu, lalu mendapati ada 2 orang budak sedang mengambil air untuk tentera Makkah.
Mereka menangkap dan membawa kedua-duanya ke hadapan Rasul s.a.w. Baginda Rasul sedang solat ketika itu. Lalu, merekalah yang menyoalsiasat kedua-duanya. Ditanya siapa, lalu mereka itu menjawab, “Kami adalah pemberi minum air kepada Quraisy, mereka utuskan kami untuk mengambil air untuk mereka.”
Para sahabat Nabi tidak berpuas hati dengan jawapan itu kerana menganggap dua orang ini sedang menipu mereka lalu mereka pun memukul kedua-duanya. Mereka barangkali berharap bahawa dua orang ini adalah dari kafilah Abu Sufyan supaya dengan itu, mereka masih punya peluang untuk mendapatkan semula barang-barang mereka. Sehinggalah akhirnya kedua-dua budak ini, untuk melepaskan diri mereka dari dipukul, mereka pun memberi jawapan yang diinginkan oleh para sahabat itu, dengan mengakui mereka adalah dari kumpulan Abu Sufyan yang telah menjual barang-barang milik Muhajirin.
Apabila Rasul s.a.w. telah selesai solat, baginda pun menegur para sahabat dengan berkata : “Apabila mereka berkata benar, kalian pukul mereka. Apabila mereka menipu kalian, kalian biarkan mereka. Sesungguhnya mereka itu benar-benar Quraisy.”[5]
Rasul s.a.w. telah mendidik para sahabat jalan sebetulnya untuk berinteraksi dengan tawanan musuh dan bagaimana mendapatkan maklumat dari mereka. Kebijakan diutamakan atas kekerasan.
Penutup : Generasi Badar
Banyak pelajaran kita boleh pelajari dari Badar. Di Ramadhan yang mulia ini, marilah kita memanfaatkannya, mendidik diri kita menuju pembentukan sebuah generasi Badar.
Yang pondasinya itu adalah iman, yang kekuatannya itu adalah persaudaraan dan ketaatan, yang sinerginya itu adalah kebersamaan pengikut dan kepimpinan.
[1] Fiqh Sirah, Muhammad Al-Ghazali.
[2] HR Ahmad, 3901
[3] Rahiq Makhtum, hal. 188
[4] Fiqh Sirah, Muhammad Al-Ghazali
[5] Rahiq Makhtum, hal. 190
The post Memimpin Generasi Badar appeared first on Langit Ilahi.