3 Kelebihan Ramadhan Untuk Hamba Yang Berdosa
Ramadhan hakikatnya bukan bulan untuk kita berlapar dan dahaga semata-mata. Jauh sekali untuk kita melantak makanan sehingga sukar bernafas dan bangun semula.
Sebagai seorang manusia yang penuh kelemahan dan pastinya mempunyai dosa-dosa, tidak dapat tidak kita berusaha untuk mencari jalan membersihkan diri. Kita kadang diserang oleh keraguan, apakah Allah SWT masih sudi mencintai hamba seperti kita ini, yang banyak berdosa dan penuh kekurangan, yang sering lalai dan alpa melanggar perintah dan larangan.
Jika Ramadhan kita jadikan sekadar bulan berlapar dahaga atau bulan melantak makanan ketika berbuka, maka rugilah kita yang penuh dosa ini. Lebih rugi apabila Ramadhan tidak diendahkan, lantas kita menambah lagi dosa-dosa kita di dalamnya.
Kerana Ramadhan hakikatnya merupakan kelebihan buat hamba-hamba yang berdosa.
Saya kongsikan 3 kelebihan Ramadhan untuk kita yang berdosa ini.
Kelebihan Pertama: Pintu Taubat Dibuka Seluas-luasnya.
Ibadah Ramadhan hakikatnya merupakan satu ibadah pembersihan. Ramadhan bertujuan mempersiapkan ummat Islam untuk mendapat ketaqwaan, maka dalam perjalanan mempersiapkan ketaqwaan itu, kita akan mendapat peluang membersihkan diri dari dosa-dosa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira(yakni bersungguh-sungguh), akan diampunkan untuknya dosanya yang telah lalu.” Hadith Riwayat Bukhari.
Berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh ini membawa maksud melalui Ramadhan dengan amal ibadah yang giat. Dengan kebaikan-kebaikan yang giat diusahakan. Bersungguh menjauhi maksiat dan penderhakaan.
Usaha menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan ini akan Allah kira, dan ganjarannya ialah keampunan untuk dosa-dosa kita yang telah berlalu.
Besar maknanya ganjaran tersebut bagi hamba yang diselaputi dosa. Allah sudi memberikan kita ‘restart’, dengan syarat kita benar-benar bersungguh menghidupkan Ramadhan.
Apakah kita yang banyak dosa ini akan melepaskan Ramadhan ini begitu sahaja?
Kelebihan Kedua: Pahala Digandakan Berkali Lipat
Tidak cukup dengan ganjaran pengampunan dosa jika kita menghidupkan Ramadhan, Allah SWT menambah lagi kelebihan Ramadhan untuk kita, dengan menjanjikan penggandaan pahala.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu.” Hadith Qudsi Riwayat Al-Bukhari & Muslim.
Kebiasaannya, setiap amalan kebaikan akan Allah SWT gandakan satu kebaikan kepada 10 pahala, hingga 700 kali ganda. Namun untuk puasa, ianya lebih daripada itu.
Dan di dalam Ramadhan, kita diwajibkan berpuasa sebulan. MasyaAllah, Allah SWT hendak berikan kita sebanyak-banyaknya pahala di dalam bulan ini, hanya dengan berpuasa. Apatah lagi apabila ditambah dengan amal ibadah yang lain-lain seperti bersahur, berbuka, membaca Al-Quran, bertarawih, solat berjemaah, memberi makan orang berpuasa dan macam-macam lagi.
Pilihan di tangan kita.
Untuk seorang yang dirinya berlumut dosa, ini sebenarnya pesta mencuci diri.
Namun siapa yang menghargai?
Kelebihan Ketiga: Syaitan Digari, Pintu Neraka Ditutup
Untuk melengkapkan lagi kelebihan Ramadhan agar hamba-hamba yang punya dosa mampu memanfaatkannya, Allah SWT menjanjikan kepada kita untuk menutup pintu neraka dan menggari syaitan-syaitan durjana dari menganggu kita.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Bulan Ramadhan tiba, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga, dan ditutuplah pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.” Hadith Riwayat Musim.
Ada perbahasan berkenaan perkara ini. Ada yang menyatakan memang betul-betul pintu neraka ditutup dan syaitan digari. Ada yang menyatakan hanya sebahagian syaitan sahaja yang digari, syaitan-syaitan yang utama. Ada pula yang berpendapat bahawa semua ini hanyalah metafora yang hendak menyatakan bahawa suasana di dalam bulan Ramadhan itu, dipermudahkan untuk berbuat kebaikan. Syaitan masih ada, pintu neraka masih terbuka, tetapi kesannya dikurangkan oleh Allah SWT agar manusia mendapat suasana yang lebih kondusif untuk memanfaatkan Ramadhan.
Apa-apa hal pun, konklusi daripada hadith tersebut ialah, suasana di dalam Bulan Ramadhan memang disediakan untuk membakar semangat hamba-hamba Allah beribadah, meningkatkan amal kebaikan dan menambah pahala.
Kalau kita perasan, orang yang jarang solat sunat pun, tiba-tiba boleh bangun 8 rakaat tarawih tambah 3 witir selepas 4 rakaat Isya’. Orang yang jarang baca Al-Quran pun tiba-tiba semangat nak baca 1 juzu’ Al-Quran sehari. Menakjubkan bukan?
Dan suasana Ramadhan secara zahirnya juga sangat membuatkan kita rasa ketinggalan kalau tidak bersungguh melakukan kebaikan. Kerana di sana sini orang bersungguh-sungguh berbuat kebaikan. Menjadikan kita termotivasi untuk sama melakukannya.
Maka apakah kita yang selama ini banyak berdosa, lalai dan alpa dalam bulan-bulan yang lainnya, tidak mahu mengambil peluang?
Penutup: Ramadhan Masa Mencuci Diri
Ramadhan ini datangnya setahun sekali. Kerana itu ada kata-kata yang menyatakan, jika kita tahu akan kelebihan Ramadhan, kita pasti mahu Ramadhan itu sepanjang tahun. Namun itulah dia makna ‘istimewa’, yang istimewa ini tidak datang sentiasa. Ramadhan sekali sahaja dalam setahun.
Jika terlepas Ramadhan ini, entah apa akan kita berjaya sampai ke Ramadhan yang seterusnya?
Justeru kita yang banyak dosa ini patut menghargai Ramadhan yang tiba kepada kita.
Kenapa masih mahu berlengah?
Kenapa kita tidak menunjukkan penghargaan kita kepada Allah SWT dengan betul-betul memanfaatkan Ramadhan ini?
Jangan kata Allah tak sayang kita. Allah sayang kitalah dia hadiahkan kita Ramadhan.
Persoalannya, apakah kita hendak membalas kasih sayang Allah SWT?
Muhasabah.
The post 3 Kelebihan Ramadhan Untuk Hamba Yang Berdosa appeared first on Langit Ilahi.