3 Strategi Terbaik Menghadapi Ramadhan

RAMADHAN


 


Ramadhan ialah bulan yang dinanti-nantikan oleh semua muslim dan muslimah. Ramadhan dianggap sebagai bulan yang paling mulia, bulan suci untuk ummat Islam. Kerana di dalamnya terdapat pelbagai keistimewaan yang besar, yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka yang memanfaatkannya.


Ramadhan dianggap kem pembinaan diri, dengan hasil di hujungnya kita dijanjikan kemungkinan untuk mendapat ketaqwaan jika kita bersungguh-sungguh mengusahakan Ramadhan. Di dalam Ramadhan juga pahala digandakan berlipat kali ganda, dengan janji Allah SWT bahawa puasa itu ada nilai tersendiri di sisiNya. Ramadhan juga ialah bulan di mana dijanjikan untuk manusia keampunan yang luas, dengan suasana yang lebih kondusif untuk beribadah – syaitan digari dan pintu neraka ditutup.


Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan?


Saya percaya bahawa orang yang serius, ialah orang yang berperancangan. Orang yang bersyukur, ialah orang yang mempersembahkannya melalui tindakan. Maka jika benar kita menghargai Ramadhan, kita pasti ada strategi untuk menghadapinya untuk dimanfaatkan seluruh khasiatnya.


Di sini saya kongsikan 3 strategi terbaik menghadapi Ramadhan.



Pertama – Mempunyai Cita-cita Yang Jelas Terhadap Ramadhan


Kata-kata yang masyhur ada berbunyi – putus asa di tengah jalan perjuangan, ialah kerana kesilapan di titik permulaan. Maknanya ada sesuatu yang tidak kena ketika kita memulakan langkahan. Apa yang dimaksudkan dengan titik permulaan itu ialah niat dan matlamat.


Fenomena biasa di bulan Ramadhan ialah kesungguhan pada hari-hari awal, dan kemudian diikuti dengan surutnya kesungguhan pada hari-hari akhir. Keletihan, atau rasa bosan sudah mula menyerbu, atau sudah ada sesuatu yang lain mula memagut perhatian dan tenaga kita(persiapan Raya contohnya).


Ini sukar untuk berlaku sekiranya kita ada niat dan matlamat yang jelas untuk menghadapi Ramadhan.


Niat ikhlas kerana Allah SWT, dan kita meletakkan satu target untuk dicapai semasa Ramadhan ini. Tak mesti target itu perlu terlalu gempak dan bombastik macam – nak pergi masjid setiap waktu solat + qiamullail 8 rakaat setiap malam + khatam Al-Quran 3 kali.


Letakkan target realistik berkadar dengan kemampuan kita sekarang. Contohnya – cita-cita kita untuk Ramadhan 2015 ialah memastikan dapat Solat awal waktu + khatam Al-Quran sekali + bebas maksiat.


Kemudian jika Allah izinkan kita sampai kepada Ramadhan yang seterusnya, kita tingkatkan lagi aras target kita.


Apa yang penting, ada target yang jelas.


Okay, kita sudah ada target yang jelas? Tulis target tersebut pada ‘note’ handphone kita, atau desktop PC kita, atau pada kertas yang ditampal di atas meja atau dinding rumah kita.


Bila tahu apa hendak dicapai, kita takkan teraba-raba.


 


Kedua – Melakar Perancangan Yang Jelas Untuk Ramadhan


Apabila sudah ada niat dan matlamat yang jelas, kita perlu pula kepada perancangan yang jelas untuk merealisasikan niat dan matlamat tadi.


‘               Apa itu perancangan yang jelas?


Saya ambil target contoh tadi: Solat awal waktu + Khatam Al-Quran sekali + Bebas Maksiat.


Maka apa kita kena buat untuk capai target tadi? Kita buat perancangan.


Nak solat awal waktu, maka kita sudah setkan diri kita agar sentiasa bersedia 10 minit sebelum waktu solat, setiap hari.


Mahu khatam Al-Quran satu kali sepanjang Ramadhan kali ini, maka kita sudah bahagikan 30 juzu’ kepada 30 hari. Kita sudah tahu satu hari perlu habiskan 1 juzu’, maka satu juzu’ pula ada sekitar 20 muka surat. Kita pun membuat perancangan seperti berikut contohnya: Baca 2 muka surat sebelum Subuh, baca 2 muka surat selepas Subuh, baca 2 muka surat sebelum Zuhur, baca 2 muka surat selepas Zuhur, baca 2 muka surat sebelum Asar, baca 2 muka surat sebelum buka puasa, baca 2 muka surat selepas maghrib, baca 4 muka surat sebelum isya’ dan baca 2 muka surat selepas witir. Contohnya.


Bebas maksiat, maka kita jujurlah dengan diri kita, apa maksiat yang jelas-jelas kita buat? Ada orang, maksiat hisap rokok. Ada orang, maksiat melancap. Macam-macam. Jadi kita kena tahu apa caranya nak halang kita dari berbuat perkara-perkara tersebut. Buang bajet beli rokok ke, jangan duduk dalam bilik seorang diri ke, sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti lain ke(kena jelas la apa aktiviti lain tu).


Yang penting, jelaskan pada diri betul-betul.


Bila perancangan kita jelas, biasanya kita mudah nak usahakannya.


Ketiga – Realitikan & Istiqomah


Berniat, bercita-cita jelas dan berperancangan jelas takkan ke mana-mana kalau tidak direalitikan. Maka persoalannya, macam mana nak realitikan perancangan yang jelas tadi? Niat sudah jelas dah, cita-cita sudah diketahui, perancangan dah ada, maka macam mana nak realitikan dan istiqomah?


Saya cadangkan buat jadual.


Ya, nampak macam budak sekolah jadual-jadual ni. Tapi saya nak kongsi bahawa dunia ini sendiri bergerak dengan jadual masing-masing. Bumi ada jadual, galaksi ada jadual, ekosistem ada jadual, laluan komet ada jadual. Kalau masing-masing buat kepala sendiri, tak ikut jadual yang Allah beri, hancur musnah dunia ini.


Macam itu juga kita. Nak hidup teratur, nak pastikan perancangan berjalan, kena buat jadual.


Maka buatlah jadual. Senaraikan perancangan kita yang sudah jelas tadi ke atas kertas, kemudian buat petak-petak untuk 30 hari, seterusnya tampal di tempat yang mudah untuk kita lihat, atua letak dalam handphone. Akhir sekali, tugas kita setiap hari ialah ‘tick’ jika berjaya laksanakan.


Ini biasanya memotivasikan kita untuk mengusahakan apa yang kita rancang.


Ini juga membantu kita untuk perhatikan progress kita, dan pada akhirnya kita dapat nilai diri kita sendiri.


Jadual ini bukan untuk kita muat naik kat Facebook, Instagram atau Twitter. Ini untuk kita dan diri kita sahaja. Bukan untuk tayang kat orang. Tak ada cikgu yang periksa, tak ada warden yang nak tengok, yang ada hanyalah kita dan Allah SWT.


Tapi untuk tak rasa sunyi, bolehlah buat satu kumpulan, jangan ramai, mungkin dalam 5 orang paling ramai, buat projek ini. Seminggu sekali, kumpul, buat aktiviti macam tazkirah ke, tadarus ke, kemudian ada sesi periksa jadual tadi, seterusnya saling nasihat menasihati. Ini akan buat kita lebih bersemangatlah, kalau susah nak buat seorang diri.


 


Penutup: Jom Usahakan. Serius Manfaatkan Ramadhan!


Jujur tanya pada diri. Ini Ramadhan yang kali ke berapa dalam hidup kita? Berapa banyak Ramadhan yang telah kita sia-siakan? Kita sendiri tahu kelemahan dan kekurangan kita, kita tahu sebenarnya dosa-dosa kita.


Maha Kasih Allah SWT yang sudi memberikan Ramadhan lagi kepada kita. Buat kesekian kalinya. Walaupun dah banyak kita bazirkan. Walaupun 11 bulan sebelum Ramadhan ni, kita lalai dan alpa kepadaNya.


Allah masih sudi beri kita Ramadhan.


Maka hargailah.


Dan apa yang saya kongsikan ini ialah tiga strategi terbaik untuk menghargai Ramadhan.


Ya, hargai dengan tindakan.


Setakat update ‘Ramadhan Kareem’ kat media sosial, tak ada makna.


Makna sebenar pada tindakan.


Jujur pada diri.


Muhasabah.


Sama-sama kita berusaha!


The post 3 Strategi Terbaik Menghadapi Ramadhan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 17, 2015 23:03
No comments have been added yet.