Cerpen: Ku Gapai Doamu Dalam Mimpiku

Senior and Young Women Holding Hands


Zahra terlentang di atas lantai usai solat maghrib, matanya memandang kipas siling yang berputar laju. Serabut. Jiwanya terasa begitu serabut.

Hari-hari yang dia lalui terasa begitu sempit. Masa yang ada tidak cukup untuk segalanya.

Dia mahu menangis.

Ada genangan di tubir mata.

“Aku penat ya Allah.. aku penat dengan kehidupan yang aku lalui ini…” air matanya menitis.


****


Terasa seseorang mengusap pipinya. Dia mencelikkan mata perlahan-lahan. Tangannya menenyeh-nenyeh mata. Pandangan yang kabur semakin jelas. Kelibat itu berada di sisinya. Tersenyum indah. Dia sangat kenal akan peribadi itu. Seseorang yang sangat dia kasih dan cinta, seseorang yang tidak putus-putus memberi nasihat dan mendidiknya.


“Assalamualaikum Kak Ngah..” lunak suara yang sangat dia rindui itu.

“Waalaikumumussalam..ibu..? ibu buat apa kat sini? bila ibu sampai? ibu tak bagitahu pun ibu nak datang?” DIa merangkul ibu dalam dakapan erat. Rindu serindu-rindunya.


Ibu senyum semakin lebar. Memeluk erat kembali anaknya nan seorang itu. Raut wajah tua itu meski mempamerkan kedut-kedut usia, memandangnya tetap menenteramkan jiwa. Seperti ada suatu kekuatan mengalir dalam urat nadi jasadi. Ibu bangun memimpin tangannya. Dia bingkas mengangkat punggung mengikut gerak ibu. Ibu membawanya ke pintu, dia hanya menurut sahaja.


Tatkala pintu itu dibuka, ada sinar menyilau mata. Tangan kirinya diangkat ke mata menepis cahaya. Kian lama kian jelas. Ada taman indah di hadapan, ada sungai mengalir perlahan. Di sana ada suatu pohon yang amat rendang merimbun, di bawahnya terdapat kerusi taman menghadap bunga-bungaan. Bau rumput yang segar menusuk hidung. Terasa seakan bernafas semula. Dia memandang ibu yang masih kekal dengan senyuman. Ibu memandangnya kembali, wajah ibu cukup tenang.


“Kenapa Kak Ngah nampak muram? kak ngah tak suka ibu datang?” lembut ibu menutur bicara.

“Eh tak.. Kak Ngah suka.. suka sangat.. Kak Ngah gembira ibu datang.. Kak Ngah dah lama tak balik kampung sebab terlalu sibuk.. ibu jangan marah Kak Ngah ya.. Kak Ngah rindu ibu..” air matanya bergenang lagi.

“Tak apa sayang.. ibu faham.. tapi ibu tak suka lihat anak ibu bermuram..” tangan ibu mengenggam tangannya. Sentuhan penuh kasih sayang.

“Ibu…Kak Ngah penat sangat.. Kak Ngah penat sangat dengan dunia ni.. hidup Kak Ngah tak habis-habis diuji. Kak Ngah penat dengan kerja Kak Ngah, Kak Ngah penat dengan kawan-kawan Kak Ngah, Kak Ngah penat dengan hutang-hutang Kak Ngah yang belum habis dibayar, Kak Ngah sibuk tapi Kak Ngah tak rasa gembira dengan kesibukan Kak Ngah sekarang. Kak Ngah selalu rasa sakit hati..Kak Ngah penat ibu..penat sangat..” dalam esak tangis di bahu ibu dia meluahkan segala rasa.


“Sshh.. sabar Kak Ngah..sabar…” pujuk ibu sambil mengusap kepala anaknya.

“Dunia ini milik Allah sayang.. Segala yang ada di dalamnya, Allah yang punya. Ia tak kekal, ia hanya sementara. Dan setiap yang ada di dalamnya, adalah ujian buat hambaNya. Kak Ngah ingat tak kisah Nabi Ayub, bagaimana Allah uji baginda dengan menarik satu persatu nikmat yang ada, dari harta, kemudian anak-anak, kemudian ditimpakan pula kesakitan sehinggakan isterinya pergi meninggalkannya, tetapi adakah Nabi Ayub semakin menjauhi Allah? Tidak kan? Malah baginda terus berdoa pada Allah supaya menguatkannya. Lalu Allah menyembuhkannya dan mengembalikan segala yang baginda pernah ada.” Dia masih tersedu sedan menahan tangisan di bahu ibu.


Ibu bercerita lagi,

“Kak Ngah ingat tak juga, kisah Nabi Yunus bagaimana baginda rasa penat dan berputus asa serta kecewa dengan sikap kaumnya lantas dia pergi dengan meninggalkan mereka. Kemudian Allah mendidiknya dengan menyebabkan baginda ditelan ikan nun yang besar sekali dan menyebabkan baginda terpaksa tinggal di dalam kegelapan perut ikan nun, kesejukan, keseorangan. Lalu baginda bertawakal kepada Allah SWT, menyerahkan segala urusannya keada Allah, memohon seluruh keampunan dariNya dan baginda berdoa,’ Tiada Tuhan selain Engkau ya Allah, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini tergolong dari golongan orang yang berbuat kezaliman‘. Lalu adakah Allah mensia-siakan baginda? Tak. Allah melepaskannya dari perut ikan nun dengan memuntahkannya di pantai, Allah memaafkan kesilapannya dan menyuruhnya kembali kepada kaumnya. Nampak tak betapa baiknya Allah? Bukan kerana mereka ini para Nabi dan Rasul, tetapi kerana sifat Allah itu sendiri yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Penerima Taubat kepada seluruh hambaNya yang bertaqwa.”


“Kak Ngah.. kalau kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga urusan kita sesama manusia. Tapi kita jaga hubungan kita dengan Allah bukan sebab kita mahu Allah pelihara urusan kita dengan manusia-manusia di sekeliling kita semata-mata, tapi supaya apabila baiknya urusan kita sesama manusia, dapat juga membawa kita dan mereka semakin mendekati Allah.”


Ibu menyambung lagi, “Lihat kembali kisah Nabi Ayub tadi, walaupun teruk mana baginda diuji, baginda tidak pernah meninggalkan Allah, apatah lagi mengeluh. Jadi, Allah kembalikan semua nikmat yang pernah baginda miliki. Begitu juga Kak Ngah, walau berat mana pun Kak Ngah diuji, jangan tinggalkan Allah, usah lari dan berputus asa malah Kak Ngah kena semakin rapat denganNya.. sebab segalanya datang dari Allah, maka hanya Allah berkuasa menghilangkannya. Begitu juga Nabi Yunus, kerana rasa putus asa maka Allah mendidiknya dengan cara ditelan ikan nun. Kak Ngah tahu kan, Allah sangat tidak sukakan sifat putus asa. Kak Ngah kena kuat… walaupun tidak sekuat para nabi dan rasul, tapi kuatkanlah hati kerana kak Ngah yakin Allah ada di sisi Kak Ngah. Tuhan takkan tinggalkan Kak Ngah selagi Kak Ngah sentiasa menjaga hak-hak Dia.”


Ibu menyeka sisa-sisa air mata di pipi anaknya itu lalu bangun menuju cahaya di hujung jalan. Dia yang masih belum puas bersama ibu cuba mengejar dari belakang.

“Ibu nak pergi mana??” Dia melaung seraya cuba mengikut jejak ibu.

“ Allahuma a’inna ala zikrika wa shukrika wa husn ibadatik.. Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan indahnya beribadah kepadaMu.. Semoga Allah kuatkan anak ibu..” dan ibu pun hilang ditelan cahaya.


***


Dia membuka mata, memandang sekeliling. Sunyi, tiada ibu di sisi. Terasa begitu benar sekali kehadiran ibu tetapi rupanya hanya mimpi. Kesan tangisan jelas di wajah. Pasti dia menangis dalam tidur sebentar tadi. Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 5 pagi. Allah, lama benar dia tidur. Isyak pun belum tertunai lagi lantas dia bingkas bangun mengambil wudhuk dan menunaikan solat. Masih sempat.


Selesai dia solat Isyak, tiba-tiba bunyi mesej memecah kesunyian pagi. Dia mencapai telefon di hujung katil. Mesej dari ibu!

“Assalamualaikum kak Ngah yang ibu sayang. Ibu sentiasa mendoakan kak Ngah. Semoga kak Ngah sentiasa kuat dan baik-baik saja di sana.. Sentiasalah jaga hubungan dengan Allah, jangan lupakan Dia. InsyaAllah Dia akan permudahkan urusan-urusan Kak Ngah..”


Dia pasti, dalam setiap tahajud ibu, ada namanya, ada doa untuknya.


“Allah….” bisik hatinya.

“Terima kasih atas kekuatan yang Kau beri ini.”


The post Cerpen: Ku Gapai Doamu Dalam Mimpiku appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 19, 2015 09:51
No comments have been added yet.