Coret-coret Kehidupan #YouthACE2015
Foto: Google
Sebulan dua kebelakangan ini, saya sibuk memulakan usaha ke arah fasa baharu kehidupan. Sebagai seorang penuntut yang baru saja tamat belajar sekitar awal tahun ini, apa lagi yang harus saya lakukan selain mencari pekerjaan? Bukankah pekerjaan juga adalah satu bentuk pelajaran? Pada mulanya, semangat saya sangat tinggi untuk mencuba memohon beberapa tawaran biasiswa pengajian sepenuh masa pasca ijazah ke luar negara. Ini kerana, selain daripada benar-benar mahu belajar, saya begitu teringin untuk menyahut saranan agama supaya mengembara melihat dunia. Dan negara-negara yang menjadi pilihan saya tersebut yang bersesuaian dengan pencapaian saya yang tidaklah seberapa sewaktu sarjana muda adalah; yang satunya negara bukan Islam, manakala yang satunya lagi adalah negara yang beberapa tahun kebelakangan ini sedang memulih daripada era sekularisma. Lalu semangat saya begitu berkobar-kobar bukan sahaja untuk meneruskan pengajian, bahkan untuk turut belajar mencari agama di negara yang mana rata-rata rakyatnya bukan beragama Islam. Ah, bukankah begitu, kita akan sering berjumpa dengan Islam di tempat di mana orang-orangnya bukanlah Muslim? Dan sudah tentu, saya mahu belajar untuk lebih menjadi mandiri.
Pun begitu, setelah difikir berkali-kali, sesudah ditimbang-tara semasak-masaknya, saya putuskan untuk tidak meneruskan proses permohonan tersebut, biarpun keputusan di belakang hari masihlah kabur – samada diluluskan ataupun tidak. Ini kerana, saya berperang dengan diri sendiri memikirkan bahawa sekiranya saya berjaya memperoleh tawaran tersebut, pastinya hati saya akan lebih memberat ke arah pergi, dan bakal bertahun-tahun meninggalkan keluarga jauh di belakang – sekali lagi. Ah, adik-adik saya sudah begitu lama kehilangan saya yang konon-kononnya sibuk dengan pengajian selama ini, bagaimana mungkin saya masih sanggup untuk terus meninggalkan mereka? Sedangkan sewaktu inilah sokongan saya sebagai seorang anak sulung diperlukan oleh mereka; baik daripada sudut emosi, rohani, intelek mahupun kewangan. Kerana kehidupan bukanlah untuk kita berfikir tentang diri sendiri sahaja, tanpa turut memikirkan perihal manusia-manusia di dalam kitaran hidup kita. Lalu saya putuskan untuk melupakan saja hasrat tersebut buat sementara waktu, dan berusaha untuk mencari pekerjaan.
Walaupun begitu, saya masih tetap tanamkan di dalam hati, seandainya tidak berkesempatan untuk ke luar negara, saya masih tetap mahu menyambung pengajian di dalam negara. Dan hajat saya, dengan wang gaji yang bakal saya peroleh nanti sesudah bekerja, saya mahu gunakan untuk menampung pengajian saya (supaya saya dapat merasa manisnya kejayaan di kemudian hari dengan bersusah-payah sendiri) selain daripada membantu keluarga sedikit sebanyak. Lalu bermulalah perjalanan saya memburu pekerjaan; berpuluh-puluh permohonan yang bersesuaian dengan kelulusan selain daripada minat saya yang telah saya lakukan melalui portal Jobstreet. Dan syukur, ada daripadanya yang berjaya, setelah melalui pelbagai peringkat temuduga.
Cumanya, sepanjang tempoh tersebut, ada suatu perkara yang begitu menggangu fikiran saya. Memikirkan hakikat bahawa dunia sekarang ini sudah begitu menerima globalisasi sebagai salah satu cara hidup, yang mana ada pekerja-pekerja lokal yang perlu bekerja bersesuaian dengan waktu operasi syarikat-syarikat mahupun organisasi-organisasi di luar negara, saya jadi tertanya-tanya, bukankah Tuhan telah menyebut supaya kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan malam apabila telah gelap-gelita (Al-Falaq:3)? Yang mana secara tafsirannya, telah Tuhan jadikan malam itu sebagai waktu khusus untuk manusia berehat setelah seharian menyempurnakan kehidupan siang mereka. Lalu, adakah globalisasi sebegini boleh diterima dek akal? Manusia atas nama pekerjaan – untuk mencari nafkah, dibiarkan menjadi tidak teratur kehidupannya menurut aturan alam. Sebagaimana seorang rakan saya sebelum ini, yang bekerja mengikut tempoh operasi kebiasaan di Kanada, perginya sewaktu tengah hari, dan pulangnya jauh di tengah malam, lalu keesokannya setelah bangun untuk Subuh, tidur semula, dan hanya bangun sebelum bergerak untuk ke tempat kerja. Begitulah berulang-ulangnya rutin kehidupannya, yang sudah pun melanggar aturan alam. Atau mungkin, cuba saja bayangkan operator-operator perkilangan yang berjaga sewaktu syif malam. Tidakkah di sebalik semua ini, kita dapat melihat hubungan manusia dengan alam yang rapat? Dan tidakkah di sebalik semua ini juga, kita dapat melihat punca-punca ketidaktenangan manusia?
Dan persoalan seterusnya, begitukah pentingnya soal wang dalam kehidupan pada hari ini? Sehingga wang adakalanya dikatakan sebagai segala-galanya, sehinggakan hubungan sesama manusia itu jadi terabai. Tidak seperti wacana sewaktu dahulu, yang mana wang bukanlah perkara pertama yang berlegar-legar di sekitar kehidupan masyarakat. Sedangkan dahulu, guru-guru mengajar kerana ilmu, tetapi hari ini, apabila dilihat guru itu sebagai suatu profesi, manusia pun ada yang mahu memburu wang dengannya. Sedangkan dahulu, ada penulis yang cuma diterbitkan karangannya sesudah mati, tetapi hari ini, apabila menulis itu turut ternampak sebagai suatu pekerjaan, manusia pun ada yang mahu mencari wang dengannya. Wang itu milik siapa sebenarnya? Dan beginikah kitaran yang masih akan berterusan? Atau sebenarnya, kita tidak punya kuasa untuk mengubah paradigma yang sudah jauh meresap dalam segenap minda masyarakat pada hari ini, lantas apa yang boleh kita perhalusi adalah hubungan antara sesama manusia itu sendiri.
Dan ah, saya jadi teringat, bagaimana Bhutan, sebuah negara kecil berhampiran Himalaya yang disempadani oleh Cina dan India dikatakan mempunyai penduduk yang paling gembira di dunia. Kerana salah satu sebabnya adalah kerajaannya menolak untuk menerima globalisasi, lalu mereka pun hidup dalam kalangan mereka, yang menjadikan keterikatan mereka itu begitu kuat sesama sendiri. Kendati pun begitu, apabila saya memikirkan semula isu-isu peperangan yang melibatkan saudara seagama mahupun saudara sesama manusia seperti kita di serata dunia; seperti yang kita semua maklum di Palestin dan Syria misalnya, saya menjadi yakin bahawa globalisasi itu adalah begitu penting! Jika tidak, bagaimana mungkin kita akan punya suara bagi menunjukkan kepedulian kita. Oleh itu, persoalan-persoalan berkaitan materialiti, kelas pekerja, peperangan dan kemanusiaan adalah persoalan yang akan tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dewasa ini. Itulah hakikat yang perlu diterima, maka segala kelompangan yang ada perlu sama-sama diatasi. Kerana itu, setiap daripada kita ini sebenarnya mempunyai peranan yang bukan sedikit-sedikit untuk memperbaiki dunia, mengikut kapasiti yang kita ada.
Dan di tengah-tengah semua ini; dalam perjalanan saya membina fasa kehidupan dalam alam pekerjaan, Tuhan telah kembali menemukan saya dengan seorang wanita tua yang telah lama tidak saya ketahui khabar beritanya.
Foto: Fail peribadi saya
Makcik ini, saya panggilnya sebagai makcik Lela. Dalam usianya yang sudah pun menjangkau emas – 74 tahun, masih sibuk mencari rezeki tanpa meminta-minta. Makcik ini, saya kenalinya sekitar tiga tahun lepas, sewaktu masih di tahun kedua kuliah. Sewaktu itu, makcik ini akan selalu kelihatan di kafe sebuah fakulti sedari petang sehingga membawa ke jam 12 tengah malam. Biarpun berdengkot-dengkot jalannya, makcik ini tidak lelah mengutip pinggan dan mangkuk yang kotor di atas meja. Sayu melihatnya. Lalu saya cuba menghampirinya untuk cuba mendengar ceritanya. Dengan gusinya yang sudah tidak bergigi, makcik ini menceritakan bahawa beliau ke tempat kerja dengan cuma menaiki bas sehari-hari. Andai saja di tengah malam selepas tamat waktu kerjanya sudah ketiadaan bas.
Dan tempoh hari, sesudah tiga tahun, sewaktu kembali ke UIA untuk menghadiri pameran kerjaya, saya menemuinya lagi. Kali ini, di siang hari. Biarpun sudah ditukar waktu kerjanya dari pagi ke petang dan dipindahkan ke kafe lain, makcik ini masih lagi setia membersihkan kekotoran. Ketika ditanyakan beliau menetap dengan siapa, katanya, anak lelakinya seorang yang turut bekerja mencuci pinggan mangkuk di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya.
“Alah, jadilah. Janji ada kerja yang halal,” begitu katanya.
Justeru itu, contohilah semangat makcik ini. Dalam usia yang sudah pun sewajarnya dihabiskan dengan cuma beristirehat di rumah, masih gigih membanting tulang empat keratnya, tidak banyak beralasan seperti kebanyakan daripada kita yang masih muda belia. Tidakkah banyak kita melihat kisah-kisah kehidupan di sekeliling kita pada hari ini yang menampakkan kemalasan manusia? Ada suami, yang tidak bertanggungjawab dan berlepas tangan dalam mencari nafkah untuk keluarga. Ada anak-anak, yang semakin tidak mempedulikan keperluan orang tua mereka.
Begitulah sedikit sebanyak coretan tentang sebahagian kisah daripada kisah-kisah kehidupan. Mungkin perjalanan kita tidak sama, malah berbeza liku-likunya, tetapi yang pasti, kita ini masih adalah manusia yang perlu mencari sebuah masa hadapan, bukan cuma meletakkannya bulat-bulat di tangan takdir. Dan satu yang mengikat kita; kemanusiaan.
Semoga kita dipermudahkan Tuhan dalam mengharungi kehidupan yang mendatang, yang adakalanya banyak menumbuhkan ketidakpastian. Akan tetapi, bukankah sebelum mati dan ke syurga, kita masih tetap perlu melalui kehidupan terlebih dahulu? Sama-samalah kita cuba menepati saranan peribahasa Arab;
“Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup untuk selama-lamanya.
Dan beramallah untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati keesokannya.”
****************************************************
Bersama-samalah kami dalam membina sebuah masa hadapan yang lebih baik di #YouthACE2015! Layari maklumat lanjut di http://youthace.langitilahi.com sekarang.
The post Coret-coret Kehidupan #YouthACE2015 appeared first on Langit Ilahi.