Setan dan Bangsawan #YouthACE2015

Kids World


Gambar merupakan ihsan daripada Google


3 Mei 2014


“Tuan, bilangan pelajar kita terlalu ramai. Mana mungkin seorang guru mampu memberi perhatian terhadap 25 orang murid sekaligus, apatah lagi mengawal tingkah laku mereka di dalam kelas! Pembelajaran akan menjadi tidak kondusif,” keheningan pada pagi Sabtu di tengah-tengah pusat bandar itu dipecahkan dengan suara Cikgu Hadi, seorang pemuda yang berusia hujung 20-an.


Puluhan guru yang lain senyap mendengar, terus memberikan tumpuan terhadap perbincangan mesyuarat. Komited mereka terbukti dengan sebatang pen dan sebuah buku catitan dalam genggaman masing-masing.


“Saya setuju. Selaku wakil ibu bapa bagi pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru, perkara ini tidak patut sama sekali terjadi! Habis fokus kerjaya kami terganggu dek berita ini. Bukankah seluruh tanggungjawab telah kami serahkan kepada pihak sekolah dengan bayaran yang paling lumayan sekali?” tambah Dato’ Alfian, selaku pengerusi PIBG – mewakili rata-rata ibu bapa elitis dan moden.


“Ah, bukankah sekolah awam juga sebegitu, bahkan lebih ramai? Bilangan pelajar di dalam kelas tidak menjadi hal. Yang paling penting, kita harus terus memikirkan bagaimana untuk menambah jumlah pelajar di sekolah ini, supaya sekolah ini akan menjadi semakin terkenal,” bangkang sang pengetua, si lelaki opportunis – diam-diam. Kuasa veto di tangan cuba dipergunakan sepenuhnya. Dalam fikirannya terus terbayangkan wajah anak-anak sang menteri dan bangsawan yang turut belajar di sekolah itu dengan yuran pengajian setaraf sekolah di benua Eropah, bahkan ada juga yang hampir menyamai kos pengajian ijazah sarjana muda di negara ini. Kurikulum berISO antarabangsa, mana punya subsidi!


“Betul cakap Tuan Burhan tu. Bukankah sesudah 10 tahun penubuhan sekolah ini, kita sudah cukup dikenali hampir di seluruh rantau Asia?” Cikgu Syed menyampuk, memberikan pendapatnya. Diam-diam dia terkenangkan komisen sebanyak RM500 bagi setiap kemasukan pelajar kepada mana-mana guru yang berjaya membawa masuk pelajar baharu ke International-Cyber School tersebut. Apatah lagi gaji bulanan yang menghampiri angka belasan ribu ringgit.


******************************

3 Mei 2014


“Kalau tuan-tuan nak tahu, jerayawara ni sebenarnya bermaksud pemberitahuan semula. Jadi, program kita yang dinamakan Jerayawara Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 pada pagi ini adalah untuk menyemak semula sekali lalu berkenaan pelan tersebut. Sebab itu cikgu-cikgu diwajibkan hadir,” ucap Encik Halim memulakan majlis selaku tuan pengetua di hadapan barisan para guru.


“Siapa tahu apa itu Pelan Pembangunan Pendidikan?” pengetua terus bertanya secara rawak, bagi menghidupkan suasana dalam dewan utama sekolah yang terletak di hulu kampung itu.


Masih hening, tanpa tangan-tangan sukarela yang dihalakan tinggi ke atas. Sedang di dalam hati, ada yang terus-terusan menyumpah seranah kerana pagi Sabtu mereka diganggu. Ada juga yang masih merungut-rungut di dalam benak kerana rancangan mereka untuk pulang bercuti ke kampung halaman bersempena cuti hari buruh beserta cuti persekolahan ganti terpaksa dibatalkan.


“Mungkin Cikgu Amran boleh jawab?” spontan pengetua menyua mikrofon berhampiran guru lelaki tersebut untuk tidak membiarkan masa terbuang begitu saja – tanpa kerjasama para hadirin.


“Err… err… seperti Penyata Razak?” tergagap-gagap si cikgu separa veteran menjawab.


“Ya tuan-tuan. Laporan Barnes, Penyata Razak, Pelan Pembangunan Pendidikan, semua ini perkara yang sama saja sebenarnya,” balas pengetua bersama senyuman penuh di bibir, bagi menghilangkan resah ketidaktahuan sang penjawab, dan mungkin juga yang lain-lain.


Malangnya, semakin ternampak hakikat penambahan pelan-pelan di atas kertas.


“Cumanya kali ini masih tiada perancangan menyeluruh bagaimana untuk menangani masalah anak-anak yang keciciran,” tambah tuan pengetua lagi. Pandangan beliau masih dihalakan ke arah para guru yang rata-ratanya masih muda belia.


“Saya pernah ya tuan-tuan melaporkan pada pihak atasan bahawa di sekolah kita ini ada pelajar tingkatan 5 yang masih tidak tahu membaca, tetapi mereka tidak percaya. Mungkin sengaja tidak mahu percaya. Saya juga pernah membangkang keputusan pihak atasan tersebut dalam hal-hal tertentu yang mana pada saya tidak relevan, tetapi mereka langsung tidak ambil peduli pendapat saya,” dengan tidak semena-mena, tuan pengetua mengongsikan pengalamannya.


“Mestilah! Pembantu guru yang dijanjikan sejak bertahun-tahun lepas pun masih belum ada lagi! Kerja sudah lah melambak, kenaikan gaji pula cuma ratusan ringgit saja secara tahunan. Lagi-lagi kita ini guru gred DG29 saja!” Terdengar pula sungutan-sungutan halus dalam kalangan beberapa orang guru perempuan. Ada juga yang sibuk menyentuh skrin telefon pintar mereka, mungkin melihat-lihat update terkini rakan-rakan Facebook mereka – malas mengambil tahu isi perbincangan. Lagipun, dalam lambakan ratusan guru yang hadir pada pagi itu, tidak mungkin akan ada yang perasan. Atau boleh saja buat tidak tahu dengan kelakuan tersebut, sekiranya ada.


“Jadi, saya harap cikgu-cikgu akan memperbaiki sikap dalam mendidik pelajar-pelajar kita. Kita nak anak-anak kita jadi orang yang pandai. Kita punya anak-anak yang ramai, hampir mencecah ribuan. Malah ada ibu bapa yang tidak stabil ekonominya telah menjejaskan kualiti pendidikan anak-anak ini. Pendidikan bagi saya adalah nyawa saya. Sudah berbelas-belas tahun saya terlibat dalam bidang ini semenjak tamat diploma. Dan saya memilih luar kota untuk menabur bakti,” tuan pengetua masih dengan ucapannya yang diserikan dengan senyuman lembut di bibir beserta riak wajah kebapaan.


“Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Tiga tidak harus lagi menduduki tangga terkebelakang dalam band pencapaian sekolah-sekolah peringkat daerah Kuala Langat!” Tuan pengetua menutupi ucapannya dengan penuh semangat dan harapan.


******************************

14 Julai 2014, 7.30 Pagi


“Pengumuman yang terakhir, pihak sekolah telah menampal salinan surat pekeliling lawatan Nazir ke sekolah ini di papan notis berhampiran pejabat sekolah. Lawatan tersebut akan dijalankan pada keesokan hari iaitu bertarikh 15 Julai 2014, bersamaan hari Selasa. Justeru itu, sepanjang lawatan berkenaan iaitu selepas rehat masa pertama jam 10.00 pagi, para pelajar dikehendaki untuk berkelakuan sopan dan tidak merayau-rayau serta ponteng kelas sewaktu proses PdP. Guru-guru sila pastikan perkara ini tidak terjadi.”


Perhimpunan mingguan pada pagi Isnin tersebut ditutup dengan pengumuman berkenaan lawatan Nazir ke sekolah tersebut.


14 Julai 2014, 9.15 Pagi


“Baiklah kelas. Hari ini awak semua dikehendaki untuk menyiapkan rangka rencana Sejarah PT3. Penulisan rencana hendaklah disudahkan dalam masa dua minggu,” Tuan Burhan memberitahu seisi kelas di awal sesi pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Sejarah – kelas terhujung dalam belasan kelas tingkatan 3 dan menempatkan sebanyak 35 orang pelajar.


Para pelajar pula hanya menyambut arahan tersebut tanpa sebarang tindak balas. Jelas kelihatan raut wajah kosong serta kekeliruan pada kebanyakan daripada mereka.


“Keluarkan kertas kajang sekolah, dan mula menulis. Untuk rangka awak semua boleh rujuk buku teks, tetapi penulisan sebenar tak boleh ya, dan tak boleh meniru juga. Tamat waktu kelas nanti saya akan kutip, dan awak semua boleh sambung semula sewaktu kelas Sejarah yang akan datang,” Tuan Burhan terus menambah, sambil perlahan-lahan berjalan mengelilingi seisi kelas.


Para pelajar masih juga membisu di tempat masing-masing.


“Cikgu!” panggil seorang pelajar di barisan belakang secara tiba-tiba.


“Nak buat macam mana ya?” soalnya lagi.


“Cikgu!” panggil pula seorang pelajar di barisan hadapan.


“Ini nak buat macam mana ni?” soalnya penuh keliru.


“Cikgu! Saya tak tahu nak buat macam mana ni. Cikgu tunjukkanlah!” serentak sampuk seorang pelajar di barisan tengah.


Tuan Burhan mula keliru dengan ulah pelajar-pelajar tersebut. Pelajar-pelajar seramai 35 orang.


“Awak semua tulis rangka karangan yang awak nak buat. Kan dah diberi tema tentang perpaduan tu? Boleh ambil peristiwa Mei 1969 sebagai contoh. Sistem sekolah vernakular juga boleh. Kan dah ada panduan yang diberikan dalam templat penulisan. Bawa tak? Kemudian awak tulislah karangan macam awak selalu buat untuk matapelajaran Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris,” panjang lebar Tuan Burhan menerangkan – masih terus berjalan ke seluruh penjuru kelas.


Sebaik tiba di hadapan meja dua orang pelajar berbangsa Cina, Tuan Burhan sedikit marah melihat mereka selamba saja meletakkan kepala di atas meja bertinggungkan lengan. Tidak berbuat apa-apa.


“Kenapa tak buat? Buatlah. Minggu depan awak perlu hantar.” Mereka berdua lantas ditegur secara berdiplomasi.


Namun demikian, pelajar-pelajar tersebut masih diam tidak berkutik, apatah lagi melakukan tugasan yang diarahkan.


“Awak tak nak buat ke? Buatlah,” Tuan Burhan masih cuba berlembut.


“Tak nak lah!” bentak salah seorang daripada mereka dengan ton suara yang agak keras dan tinggi.


“Nanti gred Sejarah awak untuk PT3 gagal kalau awak tak buat langsung. Awak tak kisah ke gagal? Matapelajaran ini tiada peperiksaan. Semuanya bergantung pada penulisan ini.” Tuan Burhan menyoal balas dalam kesabaran yang sudah sedikit menipis.


“Tak kisah,” jawab pelajar tersebut, pendek dan tanpa perasaan.


Manakala di luar kelas pula – di koridor bangunan, terdapat sekumpulan pelajar dari kelas lain yang sibuk lalu lalang tanpa arah, malah ada juga yang bersidai berhampiran tangga. Melayu, India dan Cina, semuanya ada.


Rupa-rupanya, Tuan Burhan telah digulingkan dari takhta oleh anak-anak buahnya sendiri sebulan lepas, sesudah terbukti beliau banyak berlaku pecah amanah semenjak perlantikannya sebagai pengetua International-Cyber School merangkap pengurus kewangan 3 tahun lepas.


Dan kini, untuk terus mengisi perutnya, beliau dengan mudah-mudah saja berjaya menjadi seorang guru sementara di sebuah sekolah kerajaan – Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Tiga dengan bayaran ratusan ringgit sehari. Sekolah yang mana menurutnya suatu masa dahulu tidak perlu diambil peduli akan bilangan pelajar di dalam kelas.


Menangislah lepasan-lepasan institut pendidikan guru yang masih tidak mendapat tempat untuk posting buat pertama kali.


Lalu anak-anak ‘setan’ terus-menerus dicampak ke pinggir kota dan terasing sesama mereka, sedang pula anak-anak bangsawan enak menikmati fasiliti dan latihan minda kelas pertama.


2014 pun terus berlalu ke penghujungnya.


******************************


5 hari lagi untuk tamat tempoh harga promosi #YouthACE2015. Daftar secara atas talian di http://youthace.langitilahi.com/daftar/ sekarang!


The post Setan dan Bangsawan #YouthACE2015 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 24, 2015 20:33
No comments have been added yet.