Catatan Hilal: Anugerah Allah SWT Boleh Datang Dalam Bentuk Yang Memeritkan.

Kadangkala, saya fikir, antara cara Allah SWT hendak membersihkan diri seseorang, adalah dengan cara Allah SWT mengujinya dengan kebencian manusia – hasil dari sikap khianat, hasad, dengki dan sebagainya – terhadapnya.
Kebencian manusia itu akan membuatkan dia dianiayai, difitnah, dizalimi, dikutuk, dikeji, dicaci maki dan sebagainya. Kita lihat dari satu sisi, nampak macam orang itu sedang ‘dihukum’. Tetapi kemungkinan dia sedang ‘dibersihkan’ oleh Allah SWT. Itu bukan hukuman, tetapi ‘anugerah’ yang besar dan tidak ternilai oleh Allah SWT buat dirinya. Mengapa?
Hayatilah hadith berikut untuk mengetahui jawapannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”
Jawab para sahabat: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.
Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam ummatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka.” Hadith sohih Riwayat Muslim.
Ya, ketika mana orang lain semua muflis kerana mencacinya, mengejinya, memfitnahnya, memaki hamunnya, menzalimi dan menganiayainya, dia menjadi seorang yang kaya di akhirat kelak. Dosanya diangkat( sebab diberikan kepada orang yang melakukan kejahatan ke atasnya) dan pahalanya ditambah, kerana Allah SWT berikan pahala yang ada pada orang yang melakukan kejahatan ke atasnya tadi kepadanya.
MasyaAllah.
Kadang kita nampak anugerah itu wujud pada harta, pangkat, puja dan puji orang. Namun anugerah yang sebenar hakikatnya adalah redha dan syurga Allah SWT.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.
Dan biasanya orang yang mendapat redha dan syurga Allah SWT ini akan diberi ujian yang getir.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Moga kita tidak menjadi orang yang muflis itu, dan moga Allah SWT mengizinkan kita tergolong dalam golongan yang mendapat anugerahNya, rahmat dan redhaNya.
Muhasabah.
The post Catatan Hilal: Anugerah Allah SWT Boleh Datang Dalam Bentuk Yang Memeritkan. appeared first on Langit Ilahi.