Umum: Allah Izin Tidak Bermakna Allah Redha
Allah izin tak bermakna Allah redha.
Ramai yang salah faham dengan menyangka bahawa jika sesuatu perkara itu berlaku, itu tanda Allah meredhai perkara tersebut.
Ayat yang biasa disebut: “Kalau Allah tak suka sangat, takkan Allah bagi jadi juga?”
Fahaman ini sangat silap.
———————
Allah ilhamkan kebaikan & kejahatan
———————
Allah SWT tidak membenarkan kejahatan dan perkara buruk. Allah melarang hamba-hambaNya melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri mereka. Allah murka dan akan memberikan dosa kepada sesiapa yang melanggar larangan serta tidak melaksanakan perintahNya.
Pun begitu, dosa adalah akibat dari tindakan. Yang mana jenis tindakan pula bergantung kepada manusia untuk memilihnya. Nak buat baik, atau nak buat perkara jahat/buruk.
Allah tidak pula meletakkan di dalam minda manusia ilham yang baik-baik aja. Dunia ini juga tidak Allah letakkan perkara yang baik & positif sahaja. Nafsu serakah dan syaitan ada, ilham yang buruk & jahat ada.
“Dia mengilhamkannya(manusia) keburukan & kebaikan.” Surah Asy-Syams ayat 8.
———————
Tiada Paksaan Dalam Beragama, Tetapi…
———————
Justeru manusia diberi pilihan. Allah menganugerahkan kepada manusia kuasa untuk memilih. Nak buat baik atau nak buat jahat. Dunia ini ada dua-dua, Allah cipta dan sediakan. Pilihan di tangan kita.
Orang selalu juga menggunakan ayat 256 Surah Al-Baqarah untuk menghalalkan perbuatan buruk/melanggar syariat yang dilakukannya. Katanya, “Tiada paksaan dalam beragama.” Tetapi sepatutnya ayat itu dibaca sehingga habis.
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barang siapa berpaling daripada toghut(perkara jahat, sesat) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) kepada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.
Ayat ini secara ringkasnya membawa maksud – “Tiada paksaan dalam agama, nak ikut tak nak kau punya suka. Tapi dah jelas mana yang baik, dan mana yang buruk. Buat baik dapat akibat yang baik(dalam erti kata lain, buat buruk dapatlah akibat yang buruk.)”
Bukan bermakna Allah akan biarkan kita begitu sahaja jika kita memilih melakukan keburukan. Jelas sekali pada ayat ini, Allah tidak meredhai pembuat keburukan, pembuat kejahatan, pengikut-pengikut toghut(kesesatan).
———————
Memerhati Sejarah
———————
Hari ini kita dengar beberapa ayat seperti:
“Kalau diorang ni jahat, takkanlah Allah izin bagi jawatan memerintah negara.”
Jangan kita lupa Firaun pun Allah bagi jawatan memerintah negara. Allah nyata tidak redha dengannya.
“Kalau Allah tak suka, takkanlah Allah izinkan perbuatan itu berlaku?”
Jangan kita lupa, di dalam sejarah jelas tercatat kisah Nabi yang dibunuh kaumnya, kisah para sahabat Rasulullah mati dibunuh musuh di medan perang, bahkan Rasulullah SAW sendiri bukan sekali dua diperlakukan dengan jahat oleh kaum baginda.
Apakah Allah redha dengan semua itu? Pastinya tidak!
Justeru jelaslah bahawa, apa yang Allah izin berlaku, tidak semestinya membawa makna bahawa Allah redha.
Redha dan izin adalah dua perkara yang berlainan.
———————
Penutup: Dunia Ialah Medan Ujian
———————
“Habis tu, kalau Allah tak redha benda tu, kenapa bagi izin jadi? Tak faham la.”
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 2: “Apakah manusia ini mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka belum diuji?”
Ya, dunia ini medan ujian. Bukan kerana Allah tidak tahu keimanan kita. Tetapi untuk diri kita sendiri sedar taraf keimanan kita.
Jika masih buat perkara yang Allah larang, tanda iman kita masih ada masalah. Ia sepatutnya menjadi isyarat kepada kita untuk memperbaiki kualiti iman kita.
Bukannya dengan sambil lewa berkata: “Ah, dah jadi ni, tanda Allah okay la ni.”
Bukan dan bukan.
Bahkan kita sepatutnya rasa malu kepada Allah kerana bila kita terbuat salah, buat perkara Allah larang, biasanya Allah tidak terus menjatuhkan hukuman. Kita diberi lagi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri.
Maka amatlah malang apabila kita dengan mudah mahu melepaskan diri dengab berkata: “Ala, kalau Allah tak redha, takkan Allah izinkan jadi.” Betapa angkuhnya ayat kita itu, sedang apa yang patut kita buat ialah patuh kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Bila terbuat apa yang dilarang, segera bertaubat dan memohon ampun.
Bukan bagi macam-macam alasan.
Muhasabah.
The post Umum: Allah Izin Tidak Bermakna Allah Redha appeared first on Langit Ilahi.