3 Strategi Iman Menghadapi 3 Serangan Musuh
Ayuh bangunkan semula semangat kita untuk terus hidup di dunia dan bangunkan iman kita untuk terus bahagia di akhirat sana.
Umat islam pada ketika ini dalam keadaan yang membimbangkan. Walaupun kita percaya tentang keteguhan agama yang dijaga oleh-Nya, tetapi belum tentu pula umat manusia juga terjaga kerana yang mengawasi diri manusia itu adalah kebaikan yang setiap diri kita lakukan. Hari ini umat islam tidak hanya diserang secara fahaman literal melalui peperangan yang tidak lagi menampakkan hujungnya tetapi tidak mustahil tiba, bahkan diserang juga dari sudut psikologi yang memburukkan umat islam di mata dunia. Dituduh pengganas, perampas dan sebagainya.
Biarpun bertalu-talu serangan dan bedilan yang dilakukan oleh pihak musuh, namun rata-rata umat islam yang sedang berjihad mempertahankan agama dan tanah air mereka tidak kekeringan jiwa merasa takut akan kematian dan kemusnahan malahan setiap mereka pula yang mengimpikannya. Tidak pula menjadikan mereka terleka dari mengharap dan memohon kepada Pencipta, bahkan mereka pula yang lebih kuat pergantungan pada-Nya.
Namun demikian, musuh yang lebih membahayakan adalah musuh yang membunuh dari dalam diri manusia. Ia memakan jiwa manusia, mematikan hati dan menghilangkan sifat sensitive seperti rasa malu, takut dan pelbagai lagi mengikut neraca pertimbangan syara’ yang sebenarnya.
Teringat suatu petang beberapa ketika dahulu di bumi Jordan, sewaktu saya sedang bersiar-siar bersama sahabat-sahabat saya ada seorang sahabat saya yang bernama Solah memberikan peringatan yang cukup mengesan jiwa.
‘Lihat banyak pokok yang rimbun dan bergerak-gerak mengikut angin. Nyaman bukan?’ Solah memulakan berbicara.
Saya dan sahabat lain mengiakan. Langit kelihatan tenang biarpun angin kuat menampar-nampar pipi. Cuaca yang sederhana dingin selepas musim sejuk menuju musim bunga membuatkan kami berasa selesa berteduh di rimbunan pokok seketika.
‘Pokok-pokok yang rimbun ini dapat bertahan angin yang agak kuat. Rasanya sebab apa?” Tabya Solah. Soalan yang memecah kesunyian seketika masing-masing asyik membiarkan angin membelai diri.
Pelbagai jawapan yang diberikan. Ada yang menjawab bahawa disebabkan batang pokok nya yang besar, ada pula jawapan disebabkan daunnya rimbun. Salah seorang sahabat saya ada yang menjawab disebabkan akarnya yang kukuh.
‘Hampir betul’. Kata Solah. ‘Masih belum cukup tepat’. Beliau tertawa kecil.
Kawan saya yang menjawab tadi bertanya kembali: ‘Justeru bagaimana jawapan yang paling tepat?
‘Ya, sememangnya pokok yang kuat itu disebabkan faktor dalamannya yang kuat iaitu pada akarnya. Tidak begitu jelas tertampak. Justeru kuat akar mencengkam tanah maka lebih sukar ia ditumbangkan. Begitu juga dengan falsafah manusia kuat dalamannya maka kuat juga luarannya.’ Solah cuba memberikan penjelasan.
Suatu pencerahan yang menarik. Namun selepas itu, kami semua agak terkesima dengan kupasan beliau yang lebih menambahkan minat untuk mendengarnya.
Beliau berkata lagi: ‘ Tetapi akar yang kuat ini mungkin hanya mampu menahan jika ‘musuhnya’ berupa angin yang kuat, arus air dan sebagainya. Beerti musuh yang zahirnya boleh dilihat atau dirasa jika bukan yang dikategori sebagai ‘peringatan alam’ (bencana yang berlaku sebagai peringatan daripada Allah melalui tenteranya iaitu alam) berbentuk taufan atau banjir besar, maka sebatang pokok itu bisa berdiri tidak tergoyah’.Kemudian beliau terdiam seketika.
‘Adapun sebatang pokok yang mungkin dilihat gah besarnya, kuat batangnya, rimbun daunnya bisa saja mati disebabkan musuh yang datang dari dalam pokok itu’. Solah melanjutkan bicara sambil tangan kanannya mengambil potongan batang pokok yang rapuh akibat dimakan anai-anai. ‘Tidak perlu banjir tidak perlu taufan. . Hanya jentikan yang perlahan menyebabkan ia menjadi cebisan kayu yang kecil.’ Ketika ini mata Solah mula berkaca sambil menjentik-jentik batang kayu tersebut.
‘Begitu juga halnya dengan manusia. Musuh yang tampak zahir mungkin bisa ditempuhi jika benar jiwa dan hati (dalaman) manusia itu kuat dengan keimanan dan kepercayaan kepada Allah. Adapun sebaliknya menjadi sangat rapuh jika ianya (iman dan taqwa) tercabut dari setiap hati-hati manusia. Biarpun musuh tidak bersenjata, mungkin hanya dengan penampilan atau paras rupa maka akan tergugat keimanan manusia. Mengalir air mata membasahi pipi Solah.
Kami yang mendengar turut sebak. Masing-masing bermuhasabah. Sejauhmana usaha untuk memperkuat iman sentiasa diperbaharui. Atau sudah lama ia dibiar bersarang penuh dengan dosa dan maksiat?
Hakikat manusia ini bisa berdiri teguh apabila kekuatan jiwa yang lahir melalui semangat yang utuh bagi menghadapi musuh. Malangnya menjadi mudah runtuh apabila hati yang sepatutnya menjadi raja bagi perbuatan manusia dibiar dirasuk oleh musuh-musuh tidak bersenjata tetapi lebih berbahaya seperti hedonism, vandalism dan ism-ism yang lain. Maka musuh tidak perlu berdepan dan bersusah untuk melemahkan umat islam, mereka sendiri yang merobohkan jati diri mereka dengan terleka dan taasub dengan ‘arus permodenan’.
Justeru, musuh yang paling berbahaya yang lebih perlu segera diberi rawatan adalah musuh dari dalam yang sering membisikkan kepada jiwa untuk terus leka dengan maksiat. Boleh jadi musuh ini berupa bisikan syaitan, boleh jadi pengaruh hasutan insan yang akan sering mengajak diri lalai dari mengingati Allah seperti yang disebutkan dalam al-Quran.
Pesan, Kesan dan Keseimbangan
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴿٩٠﴾
Sesungguhnya Allah memerintahkan berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. [An-Nahl: 90]
Dalam ayat ini terdapat sisi nilai aqidah yang perlu dititikberatkan. Allah s.w.t menerangkan bahawa kuasa mutlak untuk memerintah (yakmuru) dan melarang (yanha) adalah tertakluk kepada kuasa-Nya. Maka tidak boleh selain Allah untuk memerintah dan melarang sesuatu kerana setiap perintah mesti dilaksanakan dan setiap larangan mesti ditinggalkan. Perintah itu sudah semestinya mengandungi kebaikan dan larangan semestinya pula mempunyai keburukan. Walhal Allah s.w.t sahaja yang mengetahui baik buruk akan sesuatu.
Namun demikian, ruang memerintah dan melarang selain Allah juga diberikan tetapi dalam skop yang terbatas yakni yang tertakluk kepada perintah dan larangan Allah. Hal ini, perlu difahami dengan baik untuk setiap manusia memahami erti ketaatan kepada sesuatu sama ada pemimpin negara, masyarakat, rumahtangga dan sebagainya.
Jika yang memimpin mengajak kepada yang ma’aruf (kebaikan) mengikut neraca syara’ dan ‘uruf maka seharusnya ia diikuti tanpa berbelah bahagi. Sebaliknya perbuatan mungkar maka seharusnya ditentang mengikut pesan al-Quran supaya lebih memberikan kesan dan keseimbangan terhadap fitrah kemanusiaan.
Tiga Serangan Musuh!
1. الْفَحْشَاءِ (Keji)
Imam Ibn A’syur[i] memberi erti kepada Al-Fahsya’ adalah sesuatu yang akan merosakkan atau yang boleh melemahkan diri seorang insan itu sama ada dalam bentuk kepercayaan yang batil percakapan yang jelek atau perbuatan yang fasad.
Imam Ar-Razi[ii] memberikan simbolik ‘binatang ternak’ kepada Al-Fahsya’ ini sebagai tafsiran kepada nafsu kebinatangan manusia. Dipilih binatang ternakan adalah kerana ia (Al-Fahsya’) ini merosakkan dirinya sendiri dengan perkara yang diluar batas syariah sebagaimana binatang akan mati atau sakit jika diternak dengan cara yang tidak sepatutnya. Binatang ternak juga adalah binatang yang jinak dengan tidak membinasakan binatang yang lain. Justeru, simbolik ini menggambarkan perbuatan Al-Fahsya’ adalah sesuatu perbuatan yang membinasakan dirinya tetapi tetap juga boleh merosakkan sekeliling jika berkaitan dengan hak orang lain sebagaimana binatang ternak yang merosakkan hatra orang lain.
Imam Ibn khathir[iii] menafsirkan perkataan Al-Fahsya’ segala bentuk perkara yang haram dan dilarang oleh syara’.
Simpulan erti Al-Fahsya’ yang bisa dirungkaikan daripada pengertian ulama’-ulama’ di atas bahawa ia membawa maksud segala sesuatu yang haram sama ada dari sudut kepercayaan, percakapan atau perbuatan yang ditegah oleh syara’ kerana membawa kemudharatan kepada diri sendiri ataupun persekitarannya.
Contoh yang boleh mendefinisikannya dari sudut kepercayaan adalah percaya terhadap tahyul, azimat, tangkal, bomoh dan sebagainya. Manakala dari sudut percakapan adalah percakapan yang merosakkan akhlak seorang muslim seperti berdusta, caci maki hatta perbualan kosong yang membuang masa. Dari sudut perbuatan pula seperti merokok, minum arak dan sebagainya.
2. وَالْمُنكَرِ
Imam Ibn A’syur memberi pegertian bahawa Al-Munkar adalah segala sesuatu perbuatan keji yang diingkari oleh perasaan dan akal manusia malah dibenci oleh syariah sama ada dari sudut perbuatan dan percakapan.
Imam Ar-Razi meletakkan simbolik juga bagi Al-Munkar yakni binatang buas sebagai tafsiran bagi nafsu manusia yang sukar untuk dikawal dan tidak sesuai dengan fitrah manusia. Tambahan pula, ia sangat dibenci oleh Allah s.w.t. Binatang buas menggambarkan bahawa ia sememangnya akan membinasakan dan menyakiti orang lain.
Imam Ibn Kathir memberi tafsiran bahawa Al-Munkar adalah perbuatan keji atau maksiat yang jelas dan nampak secara zahir akan perilakunya atau pelakunya.
Kesimpulan daripada definisi Al-Munkar adalah sesuatu perbuatan atau percakapan yang haram lagi keji yang dibenci oleh Allah s.w.t yang merosakkan diri sendiri dan mebinasakan orang lain yang tidak sesuai dengan fitrah insani dan jelas terzahir perilakunya yang salah oleh pelakunya.
Contoh bagi Al-Munkar adalah segala bentuk perbuatan yang berlaku secara terang-terangan seperti bercumbu dan berpelukan dalam khalayak ramai sesama bukan mahram, meniru gaya fashion atau peribadi yang tidak sepatutnya, berlebihan berhibur, mengubah jantina dan sebagainya. Ia adalah perbuatan-perbuatan yang tidak sesuai dengan fitrah manusia dan dimungkiri oleh akal serta jelas nampak pada pandangan zahir. Justeru itu juga, manusia itu disuruh untuk mencegah segala sesuatu yang mungkar kerana ia tanggungjawab setiap insan.
3. وَالْبَغْيِ (Melampaui Batas)
Imam Ibn A’syur mendefinisikan Al-Baghyi sebagai penindasan dalam melakukan muamalah sesama manusia
Imam Ar-Razi menafsirkan Al-Baghyi sebagai mengangkat diri dan inginkan bermegah serta berlaku zalim.
Imam ibn Kathir memberi erti Al-Baghyi bahawa ia adalah permusuhan terhadap sesama manusia.
Rumusan pengertiaan Al-Baghyi adalah segala sesuatu bentuk penindasan, kezaliman dan permusuhan terhadap manusia yang lain dengan mengangkat sifat bongkak, angkuh dalam bermuamalah sesama manusia.
Contoh Al-Baghyi adalah memakan hasil orang lain, atau mengambil lebih dari hak yang sebenarnya, menyombong diri, menindas orang yang lemah dan sebagainya.
Tiga Strategi Iman?
1. بِالْعَدْلِ
Imam Ibn ‘Asyur menafsirkan perkataan Al-‘Adl (adil) sebagai memberikan sesuatu yang haq kepada pemiliknya. Imam Ar-Razi menambah memberi dengan sempurna tanpa berlengah. Imam Ibn Kathir mendefiniskan sebagai sikap pertengahan dan seimbang. Beliau (ibn Kathir) juga memetik kata-kata Sufyan bin Uyainah iaitu sikap sama berat antara amalan yang nampak dan tersembunyi
Pengertian adil boleh diterjemahkan dengan sikap PERTENGAHAN dan SEIMBANG dalam memberikan sesuatu yang HAQ kepada pemiliknya dengan SEMPURNA tanpa LENGAH dan mempunyai KESIMBANGAN dalam amalan baik yang jelas atau tersembunyi. Jika tercicir salah satu daripada rukun adil ini maka sifat keadilan itu mungkin masih belum menepati kriteria maksud keadilan yang dikehendaki bagi sesama manusia.
2. وَالْإِحْسَانِ
Imam Ibn ‘Asyur memberi tafsiran kepada Al-Ihsan adalah segala bentuk perihal yang usul atau cabang yang baik dalam bermuamalah dengan merasai bahawa Allah memerhati setiap gerak geri. Imam Ar-Razi menambah Al-Ihsan juga membawa maksud membesarkan suruhan Allah dan mengasihani sesama makhluk. Imam Ibn Kathir mengertikan Al-Ihsan sebagai sesuatu yang melebih sifat adil dalam memberikan sesuatu atau melakukannya.
Definisi ihsan boleh dirumuskan bahawa segala perkara baik yang asal atau pecahan darinya dalam muamalah yang baik dengan memberikan atau melakukan sesuatu perkara itu dengan lebih baik dalam rangka mengasihani makhluk dan membesarkan Allah dengan merasai bahawa Allah memerharikannya.
3. وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ (Mengukuhkan Ikatan Kerabat)
Imam Ibn ‘Asyur menyebutkan bahawa wasilah mengukuhkan jalinan kaum kerabat adalah dengan memberikan apa yang disukai oleh mereka atau oleh kebanyakan orang menyukainya dalam landasa syara’ supaya timbul rasa kasih dan sayang. Imam Ar-Razi menambah komentar bahawa memberi secara adil dan ihsan kepada kerabat seperti saranan sebelum ini. Manakala Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa memberi kepada kerabat itu adalah menjalinkan silaturrahim.
Justeru, mengukuhkan ikatan kerabat itu adalah dengan menjalinkan silaturrahim dengan cara memberikan sesuatu yang disukai secara adil dan ihsan supaya tersimpul kasih sayang sesama ahli keluarga dengan berlandaskan syara’.
Antara bisikan iman dan hasutan syaitan
Melalui definisi bagi setiap suruhan dan larangan Allah ini, boleh dikaitkan antara satu sama yang lain. Allah s.w.t jika memerintahkan hamba-Nya melakukan sesuatu, sudah pasti Dia juga melarang sesuatu pula yang boleh merosakkan terlaksananya perintah tersebut. Sifat nafsu manusia juga memberi kesan pada binasanya perintah Allah. Justeru, Allah s.w.t berikan jalan keluar bagi setiap halangan yang disediakan.
Ini juga sebagaimana permintaan manusia, ketika manusia meminta untuk ditunjuki jalan yang lurus [1:6], Allah menjawab bahawa Al-Quran inilah yang memberi petunjuk kepada orang bertaqwa yang mana tiada keraguan padanya [2:2]. Begitu juga dengan kebanyakan larangan maka ada padanya suruhan pencegahan, atau pada setiap perintah ada perkara yang pertlu ditegah.
1. Melampaui Batas (x) Adil
Manusia mudah melampaui batas-batas dalam kehidupan. Tidak hanya dalam syara’ bahkan batas kemanusiaan itu sendiri dengan besikap zalim, menindas dan sombong sesama manusia. Lalu Allah menyuruh manusia untuk bersikap adil dalam setiap perbuatan dengan memberi hak pada yang sepatutnya pada waktu dan ketika yang sepatutnya.
Adil kerap kali digunakan pada pemimpin. Tidak kira pemimpin negara, persatuan, rumahtangga hatta diri sendiri maka keadilan akan tercatat sebagai salah satu kriterianya. Sikap melampaui batas yang merujuk kepada penindasan dan kezaliman pula biasa dilakukan oleh orang ternama, berpangkat dan yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat walaupun kedudukan itu mungkin dalam skop yang kecil seperti ketua keluarga.
Jadi bagi mengelakkan berlakunya perkara yang melampaui batas dalam urusan pentadbiran negara, persatuan atau rumahtangga ini, Allah mengajarkan manusia untuk bersikap adil dengan memberikan haq pada sesuatu mengikut nilaian syara’ pada waktu ia dituntut untuk ditunaikan.
Jika rakyat ditimpa musibah, maka kerajaan yang adil itu seharusnya memberi haq kepada rakyat berbentuk bantuan pada waktu ia diperlukan. Begitu juga jika isteri dan anak-anak memerlukan belanja, maka sepatutnya seorang suami atau ayah itu memberikan haq mereka ketika ia diperlukan. Maka tertegaklah nilai keadilan tersebut dalam skop peranan masing-masing. Jika ia tidak ditunaikan tanpa alas an munasabah maka di sini akan berlakunya kezaliman yang dilarang oleh Allah s.w.t
2. Mungkar (x) Ihsan
Mungkar seperti maksudnya secara ringkas adalah sesuatu kejahatan yang dianggap buruk oleh fitrah manusia lebih lagi jika bercanggah dengan kehendak agama yang dilakukan secara jelas. Justeru itu manusia disuruh untuk mencegah kemungkaran kerana ia nampak secara zahirnya bertentangan dengan fitrah insani dan syariat Ilahi.
Adapun dalam mencegah kemungkaran itu pula perlu dinilai aspek ihsan dalam usaha berdakwah. Imam Ar-Razi menyebutkan bahawa antara nilai lain ihsan itu adalah mencintai manusia sepertimana kamu mencintai diri kamu sendiri. Jika orang lain beriman, maka peranan kita sama-sama tingkatkan keimanan, jika orang lain maksiat, maka peranan kita untuk meminta mereka bertaubat. Maka di manakah islam mengajar kita supaya perbuatan buruk itu dibalas dengan sesuatu yang buruk baik melalui kata nista atau perbuatan hina?
Tambahan lagi, dalam aspek mencegah mungkar ini juga, Allah s.w.t mengajarkan kepada kita untuk adil dalam menilai keburukan. Sebab itu Imam Ibn ‘Asyur berkata bahawa adil dan ihsan ini adalah sifat yang berkaitan dan sering dilupakan oleh manusia. Jika pencegahan kepada maksiat itu berlaku pada orang bawahan maka orang atasan juga sepatutnya dicegah juga kerana larangan berbuat dosa bukan mengira pangkat siapa kita dihadapan manusia tetapi siapa kita dihadapan Allah?
3. Mengukuh Ikatan Kerabat (x) Kekejian
Sifat-sifat keji adalah perkara yang mungkin wujud dalam dada rata-rata kita. Mungkin saja berbeza dari sudut tingkatannya. Tidak dapat dinafikan nafsu kita sering mengajak kita kepada kemalasan, kebinasaan dan kehancuran. Maka itu lah sifat kekejian. Mungkin kekejian yang lebih besar adalah yang melibatkan pihak yang lain.
Definisi sifat keji ini adalah perkara yang tidak begitu memberi pengaruh besar kepada persekitaran ataupun yang hanya melibatkan individu tertentu. Nah, maka di sini Allah s.w.t memberi pelajaran kepada manusia untuk sentiasa mengukuhkan ikatan kerabat tidak semestinya pada saudara terdekat. Boleh jadi sahabat handai, atau mungkin rakan sepejabat. Kerana yang penting dalam nilai jalinan silaturrahim ini adalah nasihat daripada orang yang terdekat atas perbuatan-perbuatan kita yang melampaui batas syariat.
Maka sebab itu ikatan silaturrahim ini perlu hanya diikat kerana Allah supaya ia terjalin juga pada landasan kehendak Allah s.w.t. Jauh dari kehendak dunia dan dan nafsu yang sering membuatkan manusia terleka.
Kesimpulan: Al-Quran Mukjizat yang tiada tandingan
Justeru, kita lihat pada setiap ayat al-quran itu mengandungi hikmah, telunjuk serta pengajaran bagi setiap manusia. Tidak cukup sekadar itu susunan ayat- ayat Al-Quran juga mempunyai mukjizat yang tersendiri seperti yang diperakui oleh ulama’-ulama’ besar terkemudianpun dalam bahasa dan mukjizat al-Quran seperti Al-Marhum Dr Fadhl Hassan Abbas, Dr Fadhil As-Samirai.
Dalam ayat ini kelihatan seperti susunan bagi perkara yang diperintahkan dan dilarang itu tersusun bersilangan. Kemungkinan yang wujud pada penyusunan ini adalah Allah s.w.t mahu mengajarkan kepada manusia dalam perkara-perkara yang disuruh itu maka Dia akan memerintahkan untuk melakukan dari sebesar-besar perkara hingga perkara yang kecil tanpa ditinggalkan satupun.
Sebagai contoh dalam Al-Quran kebanyakan perkara yang disuruh oleh Allah itu bernilai besar seperti solat, puasa zakat dan lain-lain. Demikian terdapat juga suruhan Allah melalui lisan nabi s.a.w untuk kita membuang halangan di jalan. Maka tiada satu pun kebaikan yang tercicir dalam islam kecuali umatnya sendiri yang meninggalkannya.
Manakala bagi perkara larangan pula disusun dari sekecil-kecil perkara yang tidak nampak pada pandangan manusia kepada sebesar perkara melibatkan orang lain atau penindasan sesama makhluk kerana Allah ingin mengajar manusia supaya setiap perkara maksiat dan dosa itu ditinggalkan biarpun ia nampak kecil.
Sebagai contoh dalam bab pengharaman zina Allah s.w.t menegah perbuatan yang menjurus kepada zina yang mungkin terdiri daripada perkara-perkara yang nampak kecil seperti berdua-duaan, berchatting dan sebagainya. Maka larangan Allah tertakluk pada sekecil perkara yang dilarang supaya maksiat dan dosa itu ditinggalkan secara total.
Maka sungguh pada setiap ayat al-Quran itu ada nilaian keimanan dan maksud yang tersimpan bagi mereka yang cuba berfikir dan tadabbur. Justeru itu, bagi memupuk nilai taqwa untuk menyelamatkan diri kita dari terjebak kepada kehinaan maka sewajibnya kita sebagai hamba melaksanakan segala yang diperintahkan oleh-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya kerana Dia menciptakan kita, sudah tentu Dia lebih tahu baik buruk pada diri manusia.
[i] Ibn ‘Asyur, Tahrir wa Tanwir 14/257-262.
[ii] Ar-Razi, Mafatih Al-Ghaib 20/259-263
[iii] Ibn Kathir, Tafsir Al-Qurani Al-Azhim, 4/511
Jom sertai YOUTHACE 2015 yang semestisnya menjanjikan pengisian yang lebih menarik. SIla Berdaftar di sini:
http://youthace.langitilahi.com/
The post 3 Strategi Iman Menghadapi 3 Serangan Musuh appeared first on Langit Ilahi.