Umum: Bertudung Baik, Tak Bertudung Jahat?

Soft_Pink_by_Laila_Jihad


Saya ditag dengan sebuah gambar, yang menunjukkan seorang perempuan marah kepada orang-orang bertudung – sedang dia tidak bertudung. Katanya, orang pakai tudung ini semua berlagak baik, nak tunjuk-tunjuk depan orang. Sedang diri pun kotor, banyak buat jahat juga.


‘Tudung’ jadi popular baru-baru ini apabila isu gadis bertudung dipeluk penyanyi Korea. Ya, bertudung pun, bersentuh dengan bukan mahram, berpeluk cium lagi.


Kita perhatikan pun, tak sedikit sebenarnya orang yang bertudung, namun masih buat perkara yang terlarang di sisi agama. Tudung yang sepatutnya menjadi lambang kepada penjagaan peribadi, kini sekadar menjadi fesyen aja.


Yang pakai tudung kemudian baju ketat, lengan sekerat, seluar sendat, pun tak terbilang ramainya.


Apakah yang memakai tudung ini baik, dan yang tidak bertudung itu jahat?



———————

Asal Baik & Jahat Itu

———————


Sepanjang saya belajar agama, saya bertemu dengan satu kaedah untuk menentukan apa yang baik, dan apa yang buruk. Kaedah itu saya pegang hingga ke hari ini.


“Baik itu ialah apa yang dikatakan baik oleh syara’, buruk itu apa yang dikatakan buruk oleh syara’.”


Baik dan buruk bukan ditentukan oleh pandangan manusia. Ianya ditentukan oleh nilaian syara’.


Membantu kawan meniru dalam periksa mungkin kelihatan ‘baik’ buat kita. Tetapi ianya dianggap buruk di sisi syara’.


Nak kayakan orang melayu cepat dengan skim emas yang haram, nampak baik – nak kayakan orang. Tapi skim emas yang haram, menjadikan ianya buruk di sisi syara’.


Nak halau nyamuk dengan hisap rokok, nampak baik niat itu. Tetapi merokok melontarkan diri kita kepada kemudaratan, dan Islam melarang melontarkan diri ke dalam kemudaratan, maka ianya buruk di sisi Islam.


Begitulah neraca yang saya pegang.

————————

Bertudung & Menutup Aurat, kaitannya dengan kebaikan

————————


Bertudung, menutup aurat, adalah baik di sisi syara’. Ianya sebahagian dari tuntutan yang dinyatakan Allah dalam surah An-Nur ayat 31:


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”


Namun apa yang dituntut lebih dari sekadar tutup rambut dengan sehelai kain.


Di dalam Al-Quran, terdapat banyak lagi perintah dan larangan Allah SWT, yang perlu dipenuhi selain menutup aurat. Antaranya termasuklah berakhlak soleh, tidak mendekati(apatah lagi melakukan) zina, tidak melakukan perkara yang memudaratkan diri, dilarang berhias untuk menarik perhatian orang dan pelbagai lagi.


Orang yang menutup aurat, telah memenuhi satu kebaikan. Tetapi boleh jadi dia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Maka penutupan auratnya tadi seakan menjadi tidak bermakna.


Maka bukanlah orang yang menutup aurat itu semestinya dia seorang yang baik. Dia hanyalah orang yang baru memenuhi satu, dari pelbagai arahan Allah SWT yang lain.


Begitu juga dengan orang yang memilih untuk tidak menutup aurat. Ya, dia telah menderhakai satu arahan Allah SWT. Tetapi sekiranya dia seorang yang berakhlak baik, suka melakukan kebaikan, tidak mendekati zina dan sebagainya, nyata dia seorang hamba Allah SWT yang baik, cuma belum lengkap kebaikannya – kerana dia tahu menutup aurat itu wajib, tetapi tidak memenuhinya.

————————–

“Macam itu, lebih baik tidak bertudung!”

————————–


image


Salah faham paling besar yang sering berputar di dalam masyarakat ialah, apabila ada satu tindakan buruk itu dilakukan oleh seseorang yang kelihatan baik – atau suka melakukan sesuatu yang baik – maka terus disebarkan konklusi seperti: “Ah, camtu baik tak payah jadi budak baik.”


Ini satu salah faham yang sangat bahaya, dan boleh merosakkan rasa ingin menjadi baik di dalam diri kita.


Di dalam hidup saya, saya telah beberapa kali bertemu dengan kes di mana perempuan bertudung berzina. Bahkan ada yang pernah mengadu di inbox saya, menyatakan dia budak ikut usrah dan telah berzina.


Saya pernah banyak kali juga bertemu dengan penghafal Al-Quran 30 juzu’, tapi solat tak jaga, mulut asyik dengan rokok.


Saya sendiri pernah dikhianati oleh orang yang ikut usrah dan menggerakkan dakwah.


Apakah saya memilih untuk berkata kepada isteri saya: “Ah, awak lebih baik tak payah pakai tudung, tak payah tutup aurat. Ini semua propa aja!” ?


Apakah saya memilih untuk berhenti ikut usrah dan menggerakkan dakwah?


Apakah saya merancang untuk menjauhi Al-Quran dan tidak bercita-cita menjadikan diri saya juga anak-anak saya seorang penghafal Al-Quran?


Tidak dan tidak.


Kita sepatutnya menjawab kesalahan dengan menambah kebaikan, bukannya menjawab kesalahan dengan menambah lagi kesalahan. Kebodohan tidak akan selesai jika ditambah dengan kebodohan.


Okay, perempuan bertudung kita tahu ada yang berzina. Yang salahnya adalah zina yang dilakukan. Bukannya pakai tudung dan tutup aurat. Dia perlu bertaubat dari zinanya, dan terus menutup aurat. Bukannya kata pada dia – “Baik tak payah pakai tudung.” Sudahlah berzina, disuruh tak tutup aurat pula. Sangat tidak kena.


———————–

Kita BerTuhankan Allah, Bukan Orang Lain

———————–


Justeru, kita perlu sedar dan meletakkan prinsip dasar dalam hidup kita agar kita tidak mudah terpesong dan tidak rasional dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.


Saya belajar di negara arab yang kotor, sedang di sana ramainya ulama’. Saya boleh aja kata – “Hish, buat apa ngaji agama, negara arab pun kotor.” Sama seperti Malaysia, isteri pemimpin negara Islam tidak menutup aurat. Saya boleh aja kata – “Buat apa isteri aku kena pakai tudung, isteri pemimpin negara Islam pun tak tutup aurat.” Namun saya tidak berTuhankan mereka.


Tuhan saya bukan negara arab dan Tuhan saya bukan permimpin negara. Tuhan saya ialah Allah SWT. Mereka telah memilih untuk kotor dan mereka telah memilih untuk tidak menutup aurat. Saya memilih untuk hidup mentaati Allah SWT.


Dan bukan sahaja saya pilih untuk mentaati Allah SWT sendiri-sendiri, tetapi saya pilih pula untuk mengajak orang lain mendapat pencerahan, bergerak untuk hidup dengan ketaatan kepada Allah SWT. Salah satu sebab mengapa saya mengarang artikel ini, dan menganjurkan program-program seprti YouthACE – rujuk: http://youthace.langitilahi.com


Youthace


Bahkan saya sendiri orang yang ada kelemahan. Ada masa saya terjatuh juga dalam ketaatan saya kepada Allah SWT. Apakah saya pilih untuk berkata: “Ah sudahlah, buat apa usaha jadi baik, nanti jatuh juga.” ? Pastinya tidak.


Saya pilih untuk terus berusaha, berusaha dan berusaha. Biar mati dalam berusaha ke arah kebaikan, dari mati tidak mencuba apa-apa.


Saya taat kepada Allah bukan kerana orang lain taat kepada Allah SWT. Saya taat kepada Allah kerana saya perlu taat kepada Allah. Jadi sudah semestinya saya tidak pilih untuk menderhakai Allah SWT hanya kerana ada orang menderhakai Allah SWT.


—————————-

Mengislah diri, Mengislah masyarakat

—————————-


Marilah sama-sama kita kembali kepada Islam yang sebenar. Islam yang sepenuhnya. Bukan Islam yang separuh-separuh.


Hari ini kita diberikan Islam yang pelbagai warna. Islam yang bercampur aduk antara perkara haq dan batil. Islam sedemikian mendapat tempat di kaca televisyen kita, pada drama-drama dan filem di negara kita. Muslim-muslimah selebriti pun tidak menutup aurat, berpeluk sentuh sini dan sana, berserta kepimpinan negara pun 2×5 juga. Sana sini marhaen menoleh dan keliru. Di sekolah agama ajar lain, dalam realiti orang yang patut menunjukkan contoh tunjuk lain. Belum kita kira keruntuhan institusi keluarga, institusi pendidikan dan sebagainya yang menambah parah keadaan masa kini.


Namun kita tidak patut membiarkan itu semua menghalang diri kita dari menjadi muslim yang baik. Kita semua boleh mengusahakan sesuatu. Bermula dengan memperbaiki diri, sambil mengislah masyarakat.


Jangan sesekali kita putus asa dengan kebaikan. Jangan sesekali kita biarkan kebatilan itu menang dengan tindakan kita.


Maka bila kita nampak orang pakai tudung buat salah, tok imam buat salah, ustaz ustazah buat salah, itu bukan alasan untuk kita turut berbuat salah.


Kembalilah kepada usul ketaatan.

Taat kita kepada Allah dan hanya kerana Allah.


Islah diri, sambil islah orang lain,

insyaAllah.


The post Umum: Bertudung Baik, Tak Bertudung Jahat? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 14, 2015 01:22
No comments have been added yet.