Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 5
Alhamdulillah.
Cheritera 5.
InsyaAllah ada lima Cheritera lagi akan disiarkan secara online.
Selebihnya akan disiarkan pada Novel Takdir 3 versi cetak ya.
Banyak kali orang tanya terbit bila, terbit bila. Sebenarnya dah beritahu dah masa ‘up’ Cheritera 1. Tapi biasalah, rasanya orang tak klik pun, tanya je terus. Hem. Kut la nak klik ke apa kan.
Cheritera 5
“Para pengawal, fokus kepada ahli rombongan. Pastikan mereka menjauhi medan ini!” Arnav melaung sambil tangannya ligat menghayun tombak hitamnya. Makhluk aneh itu hanya ada lima sahaja, tetapi entah mengapa sudah berapa kali dipukul dan ditusuk, mereka tetap bangun semula.
Ashoka mencapai anak panah pada karung yang kemas tersangkut pada pinggangnya. Tiga batang dicapai sekaligus, kemudian diluncurkan bersama aura yang terfokus pada mata-mata senjatanya itu. Valdis adalah sasarannya.
“Heh.” Valdis mendengus dan kemudian mengiau bongkak, sambil melibas cemetinya. Tiga anak panah itu berjaya dikesampingkan. Ketiga-tiganya terbenam ke tanah berdekatan, manakala Valdis terus menapak.
“Jangan terlalu berlagak jahanam!” Ashoka melaung. Saat itu juga, mata tiga anak panah tadi bergetar, sekaligus menghasilkan gegaran pada tanah sekitarnya, dalam beberapa detik kemudian, batu-batan sekitar satu depa mengelilingi anak-anak panah tersebut, terpancut ke atas.
Valdis yang berada di kawasan itu terkejut, dirinya kini terlontar ke tengah udara. Tetapi dia bukan pahlawan biasa, dia Jeneral Utopia, bekas pemerintah Brynhildur, masakah dia akan kaget hingga tenggelam punca. Fokusnya tidak terganggu. Semasa dia di udara, matanya kekal tajam memerhatikan Ashoka, Arnav dan Pertapa Arjuna.
Ketiga-tiganya kini sedang bergelut dengan kelima-lima makhluk genetik yang dibawanya bersama.
“Aku tidak boleh membazir masa lagi.” Dia terus memutarkan tubuhnya, seperti helikopter di zaman silam, dia turun dengan penuh bergaya, bersama libasan cemetinya.
“Ashok!” Pertapa Arjuna menumbuk sekuat hati makhluk genetik yang ingin memamah lehernya. Menyebabkan makhluk itu terpelanting beberapa depa, dan tanpa membazirkan walau sedetik, Pertapa Arjuna pantas mengambil anak panahnya, dan melepaskannya ke arah libasan cemeti Valdis yang lagi seinci mahu menyentuh batang tubuh Ashoka.
Tali cemeti itu dirempuh tebakan panah Pertapa Arjuna, menyebabkan ia terlekat ke tanah.
Ashoka baru perasan dengan keadaan itu selepas jeritan gurunya. Dia sedang bergelut dengan dua ekor makhluk genetik yang bersungguh-sungguh mahu menjamah tubuhnya.
“Terima kasih guru.”
“Biar aku uruskan dia ini!” Pertapa Arjuna mara ke hadapan.
Arnav segera bergerak pantas ke sisi Ashoka dan menyah makhluk-makhluk pada tubuh sahabatnya itu. Kemudian dia memposisikan dirinya di belakang Ashoka, dan belakang tubuh mereka bertemu. Makhluk-makhluk genetik aneh mula bangkit semula, dan kini mengelilingi mereka.
“Liat mereka ini.” Arnav mengatur pernafasannya. Peluh mula merenik pada wajahnya.
“Hei, anak panah aku semakin sedikit ni.” Ashoka mengambil tiga batang anak panahnya.
“Jangan mengalah hingga ke saat akhir!” Arnav melaung semangat. Dia sempat melihat kepada ahli-ahli rombongan Chinmayi yang sudah semakin jauh. Hatinya sedikit lega dengan keadaan itu.
“Valdis, nyawa engkau akan berakhir di sini hari ini.” Pertapa Arjuna berdiri teguh tidak jauh dari Valdis. Jarak mereka sekitar dua depa.
“Jarak dekat bukan permainanmu Kiai Hutan.” Valdis mengiau manja. Provokasi. Tali cemetinya yang melekat ke tanah tadi hilang. Tinggal hulunya sahaja, yang kemas dipegang oleh dirinya. Pertapa Arjuna kemudiannya perasan ibu jari Valdis seperti menekan sesuatu pada hulu senjatanya itu. Tali cemeti muncul semula. Valdis melibasnya ke tanah.
Ketika ini, Pertapa Arjuna terus melepaskan anak-anak panahnya. Kaki Valdis menjadi sasaran. Jeneral Utopia itu melompat ke hadapan, berputar di tengah udara dengan melibas cemetinya. Pertapa Arjuna mengelak, sambil tempat tebakannya tadi meletup menghasilkan debu-debu tebal.
“Hei, mahu main sembunyi-sembunyi kah?” Valdis menjerit sambil tertawa.
Panah-panah daripada Pertapa Arjuna meluncur laju membelah kabus debu yang terbentuk. Tetapi Valdis cekap menampan serangan yang ditujukan pada wajahnya itu. Ketika ini sebatang panah lagi meluncur ke arah wajahnya, sedikit lambat daripada dua panah tadi. Mata Valdis membesar, dan masa seakan bergerak perlahan. Dia segera melakukan lompatan balik kuang.
Ketika ini Pertapa Arjuna maju dengan pantas ke arah Valdis.
Dia menghayun busurnya, yang mana kedua-dua hujungnya sudah dipersiapkan oleh Ezakiel dengan pisau yang tajam. Kedua-dua bilah pisau itu kini disadur aura Pertapa Arjuna. Dia ingin membelah Valdis di situ juga.
Namun Jeneral Utopia itu tidak semudah itu untuk ditewaskan. Hayunan busur Pertapa Arjuna terhenti apabila Valdis dengan cekap menangkap bahagian tengahnya. Kedua-dua pergerakan mereka terhenti di situ, dan ketika ini kedua-dua mereka menghembuskan aura masing-masing. Kekuatan mereka bertembung, menghasilkan ribut kecil di sekeliling tempat mereka berdua berdiri.
“Errrghh!” Pertapa Arjuna cuba menolak ke hadapan. Jika dia berjaya, Valdis akan dicincang lumat oleh serangannya.
“Huuargh!” Valdis juga bersungguh-sungguh untuk memenangi pertembungan ini. Kedua-dua belah tangan robotiknya difokuskan untuk menolak Pertapa Arjuna ke arah yang berlawanan.
“Cukup Valdis!” Tiba-tiba satu suara kedengaran.
Pertapa Arjuna terkejut. Dia kenal akan suara itu.
Saat itu juga, satu cahaya muncul dari langit, menyambar mereka berdua.
“Guru!” Ashoka melaung. Dia baru sahaja memancung dua ekor makhluk genetik aneh itu, dan melepaskan diri dari kepungan mereka. Namun dia tidak sempat berbuat apa-apa, cahaya yang menyambar tadi hilang begitu sahaja. Bersama-sama Pertapa Arjuna dan Valdis kedua-duanya.
“Hiargh!” Arnav bergelut dengan makhluk genetik yang terakhir, menusuk kepala makhluk aneh itu dengan tombaknya. Manakala dua lagi sudah terkulai tanpa kepala.
Nampaknya tanpa kepala, barulah mereka tidak akan bangkit semula.
“Bagaiman Arnav?”
Dia melihat wajah Ashoka yang penuh duka cita.
Dia memandang ke langit. Yang kekal seperti tidak berlaku apa-apa.
Kemudian memandang semula wajah sahabatnya.
Hanya keluhan nafas dapat dia berikan.
“Ya Allah, apa sudah berlaku?”
*****
Naga itu terus menerus menembak bebola api ke arah mereka. Letupan berlaku di sini dan sana.
“Jaga ahli rombongan, jaga!” Yahya Waseem melaung kepada rakan-rakan pengawalnya. Bahang panas terhasil daripada serangan bebola api naga tersebut, ditambah api yang marak di sana sini, benar-benar menghangatkan medan pertarungan.
“Makhluk genetik aneh ini perlu dipisahkan kepalanya dengan badan!” Hudzaifah menjerit. Dia baru sahaja menceraikan kepala makhluk tersebut dari tubuhnya. Namun empat lagi makhluk genetik itu tidak berdiam diri begitu sahaja, segera bergerak ke arah Hudzaifah dengan laju.
Pantas Toriq Ziyad dan Talhah Ubaidillah bergerak membantu Hudzaifah menguruskan baki empat lagi makhluk aneh yang dibawa oleh Rafael itu.
“Nampak mudah?” Toriq cuba hendak bersahaja. Tetapi apabila dia hendak menebas leher makhluk yang paling hampir dengannya, dia perasan yang tetakannya tidak terus dapat memancung kepala makhluk tersebut.
“Bahagian itu tersangatlah keras dan liat!” Hudzaifah menambah.
“Cis.” Talhah yang bersenjatakan busur dan anak panah itu kelihatan tangkas dengan dua tangannya cekap membenamkan anak-anak panahnya pada tubuh musuhnya. Dia tidak menggunakan busur, kerana ini pertarungan jarak dekat. Anak-anak panahnya digunakan seperti pisau, dan dia bertarung ibarat pembunuh jarak dekat yang handal. Bezanya, musuhnya bukan boleh ditumbangkan hanya dengan tusukan. Talhah Ubaidillah terus mengambil inisiatif membenamkan anak panahnya pada leher makhluk genetik itu, dia menghayun sekuat hati dan menekan senjatanya hingga tembus ke belakang leher.
Makhluk itu terhenti seketika.
“Mati?” Talhah menduga.
“Aaarrgh!” Mulut makhluk aneh itu terus terbuka seperti hendak memamah tangan Talhah yang masih kejap memegang senjatanya pada leher musuhnya. Pantas Talhah menendang makhluk itu jatuh, sambil menjarakkan dirinya.
“Mesti kena ceraikan kepalanya juga!” Hudzaifah berpesan sekali lagi, sambil dia sendiri sedang bergelut susah dengan makhluk tersebut.
Talhah cuba mengatur pernafasannya. Sedang mereka bertiga fokus kepada makhluk-makhluk aneh itu, dia melihat Yahya Waseem sedang cuba menarik perhatian naga raksasa agar tidak menyerang yang lain.
Sementara itu, kelihatan Panglima Terasing sedang bertarung dengan Rafael.
“Pancung langitmu sudah tidak sebisa dahulu ha, kiai?” Rafael mengacah sambil tertawa. Tangannya ligat mengembarkan pedang kembarnya ke kiri dan ke kanan, menutup peluang Panglima Terasing untuk melancarkan serangan.
“Apa sudah berlaku enam bulan ini?” Panglima Terasing mengabaikan provokasi Rafael.
“Merancang kehancuran kalian.” Rafael terus ketawa berdekah-dekah. Dia kelihatan separa gila, ditambah dengan wajah serigala dan keadaannya yang sering menyeringai bersama gelak tawa. Namun langkahnya kemas, dan gerak tangannya pantas. Panglima Terasing tercari-cari peluang untuk merobohkan pertahanan Rafael.
Masih tidak dia jumpai.
Rafael yang dia kenal tidak sehebat ini.
“Jangan sekadar menari sahaja Kiai!” Rafael menyerbu ke arah Panglima Terasing.
Dua senjatanya dihayun kemas. Satu menuju ke kepala, satu lagi menuju ke bahagian pinggang. Panglima Terasing segera menghunus pedangnya, bersama sarung, dia menggunakan keduanya untuk bertahan dari serangan pedang kembar Rafael.
Rafael pantas menyepak tanah ke atas. Pandangan Panglima Terasing terganggu. Pertahannya menjadi lemah. Namun dia segera memutarkan tubuhnya bersama pedang dan sarung senjatanya. Mencipta pertahanan baru, melarang Rafael mengambil peluang dari keadaannya.
“Engkau memang…” Rafael mengetap giginya. Geram kerana walaupun dengan peningkatan kekuatannya, Panglima Terasing tidak mudah ditumbangkan olehnya.
“Aku tidak boleh bazirkan masaku.” Dia tidak gopoh mengejar Panglima Terasing yang sedang menjarakkan diri sekitar dua depa daripadanya. Dia mengangkat kepala, memandang Naga yang sedang dilarikan fokusnya oleh salah seorang Panglima dari Bumi Barakah.
Rafael mengeluarkan lolongan serigalanya.
Naga itu pantas berpaling ke arahnya.
Rafael memberikan isyarat tangan, agar Naga itu fokus kepada Panglima Terasing, yang baru sahaja mendari ke tanah dari pergerakannya tadi.
“Ah tidak.” Yahya Waseem menghentikan langkahannya. Nampaknya Naga itu menurut perintah tuannya. Dia sudah jauh dari Panglima Terasing, juga rakan-rakannya.
Naga itu terus menyembur api yang marak ke arah Panglima Terasing.
Kiai Langit itu melompat untuk mengelak. Ketika ini Rafael menerjah ke arahnya. Di tengah udara itu, Kiai Langit melancarkan pencak peribadinya.
“Pancung langit!” Auranya difokuskan pada bilah pedang, kemudian dilepaskan dan bergabung dengan angin yang terhasil, menghasilkan bilah udara yang cukup kuat dan tajam.
Rafael segera melindungi tubuhnya dengan kedua-dua tangan robotiknya. Dia kembali mendarat ke tanah, dan terseret sedikit beberapa jarak ke belakang.
Namun belum sempat Panglima Terasing mendarat juga, tubuhnya dibalun oleh ekor naga dari atas.
Tersembam dia ke bumi. Kecuaiannya membawa padah.
“Panglima Terasing!” Huzaifah yang perasan akan keadaan itu menjerit. Dia segera menyiku wajah makhluk aneh yang cuba menjamah bahunya.
“Pergi Hudzaifah, biar kami berdua uruskan makhluk-makhluk ini!” Toriq dan Talhah sama-sama menjerit. Hudzaifah pantas berlari hendak mendapatkan Panglima Terasing, tanpa memandang ke belakang. Dia dapat melihat Yahya Waseem juga sedang berlari sepantas mungkin.
Tiba-tiba, naga yang dibawa Rafael itu melepaskan bunyi yang sangat membingitkan, membuatkan langkah Hudzaifah dan Yahya terhenti. Pada kesempatan ini, naga itu terus melepaskan bebola api ke arah kedua-duanya.
Hudzaifah dan Yahya masing-masing mengelak. Letupan berlaku, api seperti memancut keluar dari bumi tempat terkenanya bebola api tadi.
Dan apabila api itu kembali surut, Hudzaifah dapat melihat Naga itu mengibas sayapnya, dan mula terapung ke udara. Pada pangkal leher binatang itu, kelihatan Rafael sedang memikul Panglima Terasing sambil menunggang megah Naga tersebut.
“Hahahaha. Selamat tinggal. Mujur nyawa kalian bukan tujuanku hari ini!”
Hudzaifah tidak berdiam diri. Segera dicapai pedangnya yang terdampar tidak jauh dari dirinya, kemudian dia berlari ke arah naga itu, dan selepas beberapa langkah, dia melempar pedangnya seperti sedang merejam lembing.
Pedang itu meluncur laju ke arah tubuh naga yang besar itu.
Tetapi tidak sempat senjata itu menyentuh tubuh raksasa tersebut, ianya telah ditepis oleh kuku panjangnya.
Naga itu terus naik membelah langit, dan hilang dari pandangan.
Hudzaifah sekadar mampu melihat ianya pergi begitu sahaja.
“Allahuakbar.” Dia menghela nafas sambil menyeka peluh pada wajahnya yang penuh rasa terkejut dan kecewa.
******
Suasana di tanah gersang yang terletak antara Amara dan Tanah Suci itu benar-benar hangat. Bukan sahaja kerana bahang cahayanya, tetapi juga kerana kehadiran palang-palang api yang terhasil dek pencak yang dipraktikkan oleh Kiai Api.
Namun tidak lama kemudian, palang-palang itu meruntuh. Yang ada hanya lubang-lubang pada tanah tempat keluarnya ia.
Kiai Api kelihatan terlentang, sedang sebelah but perang Long Berk melandas tepat pada dadanya. Long Berk memacakkan lembingnya di sebelah dirinya, seinci dari tubuh Kiai Api yang sudah tidak sedarkan diri itu. Matanya dipakukan pada Kiai Alam, yang pernafasannya sudah kelam kabut kerana kepenatan dan sudah lama kehabisan tenaga.
“Mengapa tidak dihabiskan sahaja nyawa Kiai Api itu?” Kiai Alam kehairanan. Sedang Long Berk sebenarnya mempunyai terlalu banyak peluang semasa bertarung dengan mereka tadi, bukan sahaja untuk membunuh Kiai Api, tetapi juga dirinya sendiri. Kini, peluang lagi terbuka luas, Kiai Alam tidak akan mampu menyelamatkan sahabatnya. Namun Long Berk sekadar merehatkan lembingnya, dan bukan menusuk senjata itu ke tubuh Kiai Api.
“Aku ingin, tetapi Tuanku Sang Asura ada hajat yang lebih besar kepada kamu semua.” Wajah singa Long Berk tidak menunjukkan riak gembira. Dingin seperti salju.
“Apa rancangannya? Mahu jadikan kami ini tebusan?” Kiai Alam cuba hendak meningkatkan tenaganya, tetapi nampaknya dia sudah tidak punya apa-apa lagi.
“Lebih dari itu.” Long Berk mula melangkah ke hadapan, melangkaui tubuh Kiai Api. Dengan yakin, dia meninggalkan lembingnya di tempat tadi, dan berhadapan dengan Kiai Alam bersama tangan kosong semata-mata.
Kiai Alam masih tidak dapat mengatur pernafasannya. Auranya juga semakin susut.
Dia tahu yang kekalahannya tidak lagi boleh dielakkan.
“Kenapa masih mencuba?” Long Berk melempar tanya.
Kiai Alam cuba mengukir senyuman. “Kerana kami masih percaya.”
“Percaya kepada apa?” Long Berk mengangkat sebelah kening.
“JanjiNya yang tidak termungkir.” Kiai Alam menjawab yakin.
“Sekarang Dia telah memungkiri janjiNya.” Long Berk melagakan dua penumbuknya. Apabila kedua-duanya bertembung, gegaran terhasil di sekeliling tubuhnya. Angin kuat terhembus ke setiap arah. Dia akan menghabiskan Kiai Alam dengan serangan terakhirnya.
Kiai Alam menggeleng.
“Kau tahu Long Berk, dahulu ada Utusan Langit yang mati dibelah dua oleh musuh-musuhnya. Ada utusan Langit yang mati dipancung oleh kaumnya. Ada beberapa Utusan Langit yang mati dibunuh kaumnya. Begitulah jua para sahabat Utusan Langit Terakhir, tidak sedikit yang mati sebelum sampai pada waktu kemenangan, dan begitulah orang-orang selepas mereka, ramai yang gugur sebelum sampai waktunya kegemilangan. Begitulah juga ke hari ini, engkau sendiri melihat dari kalangan kami ramai yang gugur. Tetapi begitulah perjuangan ini, ia tetap akan dimenangi satu hari nanti. Dan tidak sempat melihatnya, bukan sebuah kecacatan, asalkan diri bersungguh berjuang mengusahakannya.”
“Sudah habis?” Long Berk sekali lagi melagakan dua penumbuknya.
Kini aura yang terhasil lebih dasyat dari yang sebelumnya.
Dalam keadaan yang sukar, Kiai Alam menarik nafas.
Dia mengorak langkah terlebih dahulu. Mara ke hadapan.
Long Berk melakukan perkara yang sama.
Kiai Alam melepaskan tumbukannya, sasarannya adalah pada pipi dan perut Long Berk. Dua belah tangan digunakan sebaiknya. Long Berk pantas menepis kedua-duanya, membuka ruang yang luas di hadapan tubuh Kiai Alam, dan tanpa ada saat yang terbazir, kedua-dua tangan Long Berk melurus lantas penumbuk kembarnya hinggap pada wajah Kiai Alam.
Terpejam mata Kiai itu, dan terpisah keringat dari wajahnya itu, sambil tubuhnya terawang sebentar ke udara, sebelum terlentang ke tanah seperti sahabatnya.
Dan Kiai Alam tidak bergerak lagi. Pengsan di situ juga.
Long Berk membatu seketika. Memandang kedua-dua Kiai yang baru ditewaskan olehnya.
“Malu 13 tahun yang lalu, terbayar hari ini.” Dia bergerak ke arah kedua-duanya, dan memikul satu persatu pada kedua-dua bahunya.
“Kali ini, aku akan pastikan yang Utopia menang, dan kalian semua terhapus buat selama-lamanya.”
Tidak lama kemudian, cahaya muncul dari langit, melitupi seluruh tubuh Long Berk, bersama-sama Kiai Alam dan Kiai Api. Sejurus kemudian, mereka lesap dari tanah gersang itu.
******
Kiai Laut terjelepuk, melutut kelemahan. Tenaganya sudah habis, dikerahkan sepenuhnya untuk memanipulasi air yang sangat banyak dan tinggi tadi, untuk bertukar menjadi ais, membekukan semua makhluk-makhluk genetik tadi.
“Apakah semuanya telah berakhir?” Kiai Laut memandang ke arah rombongannya melarikan diri. Sudah tidak kelihatan lagi. Dia rasa lega, namun jiwanya sayu kerana matanya menangkap beberapa jasad yang tidak dapat melepaskan diri dari kemelut tadi.
Tiba-tiba pandangannya beralih ke langit. Satu bunyi yang sangat kuat lagi dasyat menarik perhatiannya.
Langit seakan terbelah apabila naga yang besar turun merobek awan.
“MasyaAllah!” Kiai Laut mengucap.
Ketika itu juga Naga itu mendarat, memecahkan ais yang dihasilkan oleh Kiai Laut, membunuh semua makhluk genetik yang ada bersamanya. Semuanya berkecai menjadi seakan pemata-permata kecil.
Kiai Laut tidak lagi mampu untuk bangkit. Dia hanya dapat melihat itu semua, dan kemudian memandang Rafael turun dari Naga tersebut.
“Engkau datang untuk menghabiskan aku?”
“Engkau bernasib baik bahawa jangkaan itu salah. Hahaha.” Rafael terus mencekak bahagian leher pakaian Kiai Laut, dan mengangkat tubuh lelaki itu pada belakang dirinya. Kemudian segera naik semula ke pangkal leher naga tadi melalui sayapnya yang direhatkan ke bumi.
Mata Kiai Laut melandas pada tubuh Kiai Langit yang tidak bergerak pada pelana khas yang ada di pangkal leher naga itu.
“Jangan risau, dia belum mati lagi.” Rafael duduk, dan menepuk-nepuk naga tunggangannya.
“Ke mana kamu mahu membawa kami ini?”
Naga itu mengibas sayap, dan mula terapung ke udara.
“Sang Asura mahu bertemu kamu semua.”
Naga itu kemudiannya terus menuju ke langit, dan bergerak ke Tanah Sejuk.
==================================

YouthACE 2015Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”
Tarikh: 25hb & 26hb April 2015
Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/
Harga asal: RM180
Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):
*RM100
*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.
Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.
Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!
—————————
Tentatif
—————————
MC sepanjang program – Aiman Azlan
HARI PERTAMA -
08.00AM – Pendaftaran
09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan
10.00AM – Rehat
10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir
11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project
12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)
01.00PM – Rehat
02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan
Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid
Panel 2: Saudara Jufitri Joha
Panel 3: Saudari Amnani Akhili
04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
04.30PM – Rehat
05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
07.00PM – Rehat
08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi
09.15PM – Sesi LangitIlahi
- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf
- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi
- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi
10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana
10.30PM – Bersurai
HARI KEDUA –
08.00AM – Slot 6: Pentas Belia
09.00AM – Rehat
09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah
10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara
Moderator: Saudara Hafizul Faiz
Panel 1 – Wan Ahmad Faysal
Panel 2 – Dr Maszlee Malik
12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf
01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai
——————————-
Pertandingan
——————————-
YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
InstaVlog
Penulisan Cerpen
Penulisan Artikel
Filem Pendek
Poster
Foto
Spoken Words
Essay
Nasyid
Komik
Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:
http://youthace.langitilahi.com/awards/
——————————-
Peluang Tajaan
——————————-
Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.
Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.
——————————————–
Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.
Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.
YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.
Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4
Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo
Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!
Jom bersama kami!
Belia Mencorak Masa Hadapan!
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 5 appeared first on Langit Ilahi.