Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 4
Cheritera 4 sudah.
Macam mana setakat ini?
Mohon komen ya.
Cheritera 4
Nyaman. Udara di perbatasan Tanah Suci membuai-buai. Pintu gerbang nan gagah tersergam sebagai penyambut tetamu, dan pengucap selamat jalan, jauh berbeza keadaannya beberapa tahun yang lalu. Udara kemakmuran telah menyelimuti Tanah Suci. Suasana yang dahulunya kusam dan penuh dengan kehampaan, kini berubah ceria dan begitu mengasyikkan sekali.
Perbatasan Tanah Suci kini menjadi pusat perniagaan yang begitu meriah sekali, memandangkan di sini satu-satunya tempat masuk ke bumi yang mulia ini. Pada musim haji, kawasan ini bertambah sesak kerana kemasukan para jemaah haji, juga para peniaga yang mengambil peluang.
“Kalau rindu suasana haji, boleh singgah di perbatasan Tanah Suci nampaknya. Lebih kurang.” Ashoka bercanda. Arnav tertawa sambil memerhatikan kebenaran kata-kata sahabatnya itu.
Pelbagai jenis manusia, makhluk genetik dan kaum gergasi memenuhi kawasan ini. Ada yang santai di kedai-kedai, ada yang sibuk dengan tawar menawar, ada yang berniaga, ada yang membeli-belah, ada yang sedang khusyuk bersembang. Harmoni.
“Tahun depan jika panjang umur dan Allah SWT masih mengurniakanku rezeki, akanku singgah lagi untuk melaksanakan Haji.” Arnav berazam.
“Masa itu, bawalah isteri.” Angkasa yang berjalan di sebelah mereka mencelah. Kelihatan dia bahagia bersama Puteri Maisarah, yang semenjak awal perjalanan tidak melepaskan langsung tangan suaminya.
“Ah, orang sudah berumahtangga. Bolehlah menyakat kami bujang terlajak ini.” Ashoka berseloroh.
Angkasa sekadar tersenyum lebar.
“Angkasa, jangan engkau risau. InsyaAllah, kami akan memberikan sepenuh kekuatan kami dalam peperangan ini. Untuk masa hadapan.” Arnav mengangkat tombaknya sedikit, tanda semangat.
Angkasa mengangguk faham. Sungguh dia cemburu dengan semangat juang manusia-manusia di sekelilingnya. Sebentar dia sempat melandaskan pandangannya kepada bapa mertuanya, Ruh Faizan.
Kelihatan pemerintah Tanah Suci itu sedang berbual mesra dengan Que Ron, Ezzen, End dan para Kiai yang berjalan berhampiran dengannya.
“Kami akan terus komited dengan kerjasama antara negara-negara kita.” Que Ron memberikan jaminan.
“Terima kasih tuanku Que Ron. Kami di Tanah Suci sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan kerjasama kalian. Kami juga akan sentiasa memberikan apa yang termampu.” Ruh Faizan berwajah manis, kedut tuanya tidak menghalang dari wajahnya bersinar dengan keyakinan.
“Sampaikan salamku kepada semua rakyat di Duarte, Brynhildur, Chinmayi, Uftzi dan Bumi Barakah.” Ruh Faizan memandang satu persatu pemimpin wilayah-wilayah tersebut.
“InsyaAllah.” Masing-masing hampir serentak menjawab.
“Aku berdoa moga Allah SWT mengekalkan keharmonian ini, dan moga kita bertemu lagi pada Haji yang akan datang, untuk berbincang memajukan negara-negara kita dengan keharmonian dan ketenangan, bukan lagi untuk tujuan peperangan.” Panglima Terasing bersuara.
Para kiai yang ada mengangguk, begitu juga pemimpin negara sekaliannya. Kedengaran kalimah ‘amiin’ mengiringi gerakan kepala mereka.
Mereka telah sampai di pintu gerbang. Pengawal yang bertugas segera membuka pintu yang utuh lagi kukuh itu. Tidak lama kemudian terbentang di hadapan mereka jambatan gergasi, yang penuh dengan memori bagi hampir kesemua yang ada di sini.
End membatu seketika.
Ketika ini Izrayel, yang turut serta dalam rombongan ini, memaut bahu sahabatnya. End berpaling ke kanan, memandang sahabatnya itu.
“Jumpa lagi.” Izrayel menghulurkan tangan, dan End tidak lama membiarkannya lantas menjabat. Izrayel tersenyum. Angkasa bergerak merapati mereka berdua sambil setia ditemani isterinya.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar.” Angkasa menundukkan kepalanya sedikit.
End tiba-tiba menggerakkan tangan, mengusap rambut Angkasa. Angkasa agak terkejut dengan tindakan End. Seperti bapa yang amat sayangkan anaknya.
“Aku tahu aku tidak banyak bicara.” End bersuara. Kedua-dua tangannya kini bersatu di belakang tubuhnya. Pandangannya dilepaskan pada jambatan besar Tanah Suci.
“Tetapi ketahuilah bahawa aku bersyukur kerana memeluk agama ini, dan aku berterima kaish kepada Allah yang mempertemukan aku dengan Ruh Faizan, serta menjadikan aku sahabat kepada kalian.”
Jiwa Angkasa diserbu rasa terharu. Puteri Maisarah memegang erat tangan suaminya, tanda dia juga turut merasai apa yang dirasai oleh Angkasa. Izrayel tertawa kecil sambil menggeleng kepala. Bukan senang hendak melihat End bermadah bicara.
End kemudian memandang tepat kepada Angkasa.
“Aku akan bertempur dengan Sang Asura sepenuh kekuatanku nanti.” Seakan berjanji.
“Demi Allah dan demi anak angkatku yang bakal lahir,” Izrayel mencelah. “Aku juga akan bertempur dengan Sang Asura sepenuh kekuatanku.”
Air mata Angkasa gugur, dan begitulah juga Puteri Maisarah.
Dua orang yang sangat disegani Angkasa, sudah dianggap seperti abang-abangnya sendiri bahkan dia sentiasa memandang mereka berdua sebagai gurunya, kini seakan sedang mengubat keresahan hatinya.
“Anak itu, akan lahir kedua dan bertemu dengan bapanya. Aku memohon kepada Allah SWT untuk memakbulkan doaku ini.” End menepuk bahu Angkasa. Kemudian dia menumbuk lembut bahu Izrayel, seterusnya bergerak ke arah tunggangannya.
“Banyak pula bicara dia hari ini.” Angkasa menyeka air matanya. Terharunya belum hilang.
Izrayel masih dengan tawanya. “Lihat End begitu, buat semangat aku terbakar menyala-nyala!”
Ezakiel merapati Pertapa Arjuna, Ashoka dan Arnav.
“Ibuku merestui pemergianku nanti.” Dia memberitahu kepada Pertapa Arjuna, yang juga merupakan gurunya.
“Tempa senjata yang terbaik, Ezakiel.” Pertapa Arjuna meramas rambut Ezakiel. Mereka berdakapan.
“Janganlah menangis.” Ashoka menyakat.
“Ah, tak habis-habis kau nak menyakat aku. Aku sudah bukan budak yang dahulu!” Ezakiel menghayun tangannya, menghalau Ashoka. Ashoka ketawa kuat. Arnav pula sekadar tersenyum melihat ulah sahabatnya dan Ezakiel itu.
Pertapa Arjuna, Ashoka dan Arnav kemudian mengucap selamat tinggal, dan mula bergerak bersama rombongan Chinmayi untuk pulang.
Kiai Laut berdakapan dengan sahabat-sahabatnya, termasuk Ruh Faizan dan Angkasa, kemudian bergerak mengikuti Que Ron dan Ezzen bersama rombongan dari Uftzi dan Brynhildur. Kiai Api dan Kiai Alam juga mula bergerak pergi. Dengarnya mereka berdua akan ke Amara untuk meneruskan dakwah di sana.
“Aku beransur juga.” Panglima Terasing mendakap Tuk Akram, dan kemudian Ruh Faizan sambil melagakan pipinya ke pipi pemimpin Tanah Suci itu.
“Kirimkan salamku kepada Rasulullah SAW.” Ruh Faizan menitip pesan.
“Datanglah, dan sampaikan salammu sendiri. Rasulullah SAW merindui ikhwannya.” Panglima Terasing menepuk bahu Ruh Faizan sambil mengungkap salam, kemudian berpaling.
Kiai Langit itu bergerak bersama panglima-panglima Bumi Barakah, juga rombongan haji daripada sana yang mengikuti mereka.
“Ruh Faizan.” Ruh Faizan memandang kepada empunya suara. End sudah berada di atas tunggangannya, bersama Armon di sisi, sambil di belakang mereka adalah rombongan dari Duarte.
“Di sini, atas izin Allah SWT engkau membuka hatiku. Di sini juga aku berjanji, yang aku akan mempertahankan agama ini sepenuh jiwa ragaku.” Mata End tidak berkelip. Wajahnya penuh dengan keyakinan dan tekad yang tinggi.
Mata Ruh Faizan berkaca. Terharu. Terimbas dia kenangan lalu di kawasan ini. Islamnya End adalah antara faktor berundurnya tentera Utopia pada hari bersejarah itu.
“Dirimu dan Duarte sudah banyak menyumbang, End. Dan aku sebagai hambaNya yang do’if mengungkapkan terima kasih yang tidak terhingga. Allah SWT sahajalah yang mampu membalasnya.”
End mengukir senyuman mahalnya, selepas melontarkan salam, dia bergerak keluar dari Tanah Suci bersama rombongannya.
“Ah, semua pulang.” Aizan Fahmi bersuara sebaik sahaja dia sampai ke sisi Puteri Maisarah dan Angkasa. Semenjak tadi dia dan para panglima Tanah Suci sibuk bersembang dengan panglima-panglima dari Duarte, Bumi Barakah, Brynhildur dam Uftzi.
“Nampaknya peperangan tidak dapat dielakkan ya?” Puteri Maisarah bersuara.
Aizan Fahmi dan Angkasa sama-sama memandang Puteri Maisarah.
“Janganlah risau wahai adikkku. Mungkin keamanan yang lebih panjang mahu menjelang.” Aizan Fahmi mengusap lembut pipi adiknya, sambil melemparkan senyuman kepada Angkasa.
Tergores senyum pada bibir Angkasa.
“Ya, kita akan bersungguh-sungguh mengusahakannya.” Angkasa mengeratkan lagi pautan tangannya pada bahu isterinya.
Puteri Maisarah menutup mata, mengukir senyum.
“InsyaAllah.” Sebutnya lembut.
******
“Bagaimana pengalamanmu mengerjakan haji?” Pertapa Arjuna menyapa anak muridnya yang sedang berbaring santai.
Rombongan dari Chinmayi berehat sebentar sementara menanti zuhur. Mereka akan menyambung perjalanan selepas usai solat, dan mereka dijangka sampai ke Chinmayi selepas beberapa hari perjalanan.
“Guru, duduklah.” Ashoka tidak terus menjawab, tetapi mempelawa gurunya duduk di sisi. Ashoka sendiri bangun dan duduk sebagai tanda menghormati kehadiran gurunya. Pertapa Arjuna mungkin baru memastikan para ahli rombongan yang lain dalam keadaan yang baik-baik.
Bila Pertapa Arjuna duduk, barulah Ashoka membuka bicaranya berkenaan Haji.
“Indah. Mungkin satu perkataan itu cukup untuk menterjemahkan apa yang aku rasakan.” Ashoka cuba bergaya romantis, membuatkan Arnav di sisinya tertawa. Ashoka memang tidak melepaskan peluang untuk bercanda jika ada. Pertapa Arjuna tersenyum sahaja melihat ulah anak muridnya itu.
“Aku sendiri merasakan ianya indah.” Pertapa Arjuna menebarkan pandangannya menghala ke arah Tanah Suci. Tempat itu sudah tidak kelihatan, tetapi dekat di hati Pertapa Arjuna. Seakan-akan Kaabah masih berdiri di hadapan matanya.
“Bukankah guru sudah pernah mengerjakan haji bersama para kiai sebelum ini, satu masa yang lalu?” Ashoka agak hairan, kerana sepertinya Pertapa Arjuna tidak pernah mengerjakan haji.
Pertapa Arjuna mengangguk perlahan. “Ya, ketika itu bangunan serba tinggi masih wujud mengelilingi Masjid Al-Haram.”
“Tanah Suci pernah menjadi tempat yang sangat maju?” Arnav seperti teruja.
Pertapa Arjuna tersengih. “Maju, tetapi jauh daripada Allah SWT. Kaabah di hadapan mata, tetapi hati tertutup dari melihat kebenaranNya. Manusia-manusia durjana memagar Masjid Al-Haram dengan keduniaan, bangunan-bangunan tempat tinggal berbintang-bintang terbina mengelilinginya. Ia menjadi tempat orang-orang kaya. Dahulu, mereka ini dinamakan kapitalis. Haji sudah tidak menjadi ibadah, tetapi kelihatan seperti aktiviti perlancongan.” Berkerut dahi Pertapa Arjuna berkongsi itu semua. Seakan bukan sesuatu yang mahu diingati.
“Oh.” Ashoka cuba memahami. Dia tidak dapat membayangkannya, kerana apa yang dia lihat, walaupun Masjid Al-Haram sudah ditambah baik, masihlah keadaan di Tanah Suci ialah keadaan yang sangat sederhana. Jiwa rasa terapung dan dibuai-buai sepanjang mengerjakan haji, dan tiada bangunan-bangunan yang lebih tinggi dari Masjid Al-Haram itu sendiri. Di sana, amat tenang.
“Ini adalah permulaan yang baik buat ummat ini. Ummat ini telah meninggalkan kemuliaan yang layak kepadanya satu masa dahulu, dengan hanya memakai zahir agama ini semata-mata, dan meninggalkan apa yang patut menjadi isinya. Moga kita tidak kembali ke sana.” Pertapa Arjuna meluahkan harapan.
“InsyaAllah, kita akan berusaha.” Arnav menyentuh lutut Pertapa Arjuna, seakan mahu menyatakan yang dia akan setia untuk merealitikan harapan Pertapa Arjuna itu.
Tiba-tiba suasana bergegar.
“Kenapa?” Arnav dan Ashoka bingkas bangun melihat keadaan sekeliling. Tikar-tikar untuk para ahli rombongan bersantai mula terangkat dihembus angin nan dasyat. Rombongan dari Chinmayi mula riuh rendah. Ahli-ahli rombongan berlari di sini dan sana. Debu-debu mula naik mengaburi pandangan.
Suasana sangat huru-hara.
Ketika ini, muncul tekanan aura yang tidak terjangka dasyatnya. Namun Pertapa Arjuna, Ashoka dan Arnav tidak terganggu dengan tekanan aura tersebut, tetapi merasainya. Orang-orang kebanyakan mula ada yang pengsan.
“Siapakah ini?” Pertapa Arjuna cuba menerka.
Dari balik kabus debu, mula kelihatan lembaga sekumpulan pendatang. Aura yang kuat lagi menekan datang daripada mereka. Ashoka pantas bersiap dengan busur dan panahnya, begitu juga Pertapa Arjuna, dan beberapa pengawal yang bertugas. Manakala Arnav sudah siaga dengan tombaknya.
Kabus itu dicarik jari jemari tajam. Keluar daripadanya satu susuk tubuh, bergerak seperti wanita, selangkah demi selangkah. Kemudian berhenti dan melibas cemetinya. Mengiau garang laksana seekor kucing, sebagaimana wajahnya.
“Jeneral Valdis?” Arnav pernah bertempur dengannya. Namun Jeneral Valdis tidak seperti ini dahulu. Kini tangan dan kakinya kelihatan robotik, dan auranya lebih dasyat berbanding sebelum ini. Cemetinya juga kelihatan sangat aneh, bersinar-sinar.
“Laser.” Pertapa Arjuna memberitahu. “Ah?” Ashoka tidak faham.
“Cemetinya itu, talinya terbentuk daripada laser. Satu senjata yang merbahaya hasil teknologi silam.”
Valdis memakukan pandangannya kepada Pertapa Arjuna, kemudian kepada Ashoka dan Arnav.
“Kamu semua akan mati hari ini.” Dia menghayun cemeti lasernya membuat putaran, meniup pergi kabus debu yang ada, membuatkan terzahir lima makhluk yang sangat aneh di belakangnya.
Mempunyai tangan dan kaki, tetapi kedua-dua tangannya menekap ke tanah. Giginya semua tajam, dan air liur turun berjejesan dari mulut. Matanya putih, dan kepala mereka botak. Tubuh mereka tidak sasa, berwarna hitam legam.
“Makhluk genetik?” Arnav dapat merasakan sesuatu yang dasyat.
“Yang dicipta sendiri oleh Sang Asura untuk kamu. Bersiaplah!” Valdis terus mara, bersama-sama lima makhluk genetik tadi, menerkam ke arah Pertapa Arjuna, Ashoka dan Arnav.
Kerajaan Utopia mula bergerak!
*****
“Kau berani datang seorang diri?” Panglima Terasing melaung.
“Hahahaha. Siapa kata aku seorang diri?” Rafael melibas pedang kembarnya, dan debu-debu yang mengabui pandang mula menghilang serta merta. Makhluk-makhluk genetik yang tidak pernah dilihat sebelum ini oleh Panglima Terasing, muncul dengan gaya yang sangat lapar di belakang bekas pemerintah Midori itu. Lima ekor semuanya.
Berkerut dahi mereka yang melihatnya. Makhluk apakah itu?
“Panglima Terasing, jangan risau, walau apa pun kekuatan makhluk itu, kita boleh menewaskan mereka insyaAllah.” Hudzaifah, salah seorang panglima Bumi Barakah berbisik kepada Kiai Langit.
Kiai Langit mengangguk. Dia melihat kepada tiga panglima Bumi Barakah yang lainnya, Toriq Ziyad, Yahya Waseem dan Talhah Ubaidillah. Ketiga-tiga mereka mempunyai keyakinan yang sama seperti dirinya dan Hudzaifah. Tambahan, mereka membawa para pengawal yang tidak sedikit untuk menjaga rombongan haji ini.
Rafael dapat melihat keyakinan yang mula terbina dari kalangan musuh-musuhnya. Lantas dia ketawa berdekah-dekah dengan sangat kuat hingga kelihatan seperti tidak terkawal.
“Kau jangan angkuh Rafael. Keangkuhan engkau telah membuatkan engkau tewas, bukan sekali, tetapi dua peperangan!” Panglima Terasing melaung, sambil mengumpul auranya.
Dia tidak menjangka sama sekali, dalam perjalanan antara Tanah Suci ke Bumi Barakah, mereka akan diserang hendap oleh Kerajaan Utopia. Sepertinya Sang Asura sudah merancang perkara ini lama. Tetapi pun, dia tidak akan mengalah dan merasakan yang kumpulannya mampu menumbangkan Rafael bersama lima makhluk anehnya.
“Hantarkan burung helwi, beritahu Tanah Suci keadaan kita.” Panglima Terasing memberikan arahan. Salah seorang pengawal segera melaksanakannya. Burung helwi dilepaskan bersama sebuah nota kecil.
Burung itu mula laju merempuh langit.
“Hahahaha. Memohon bantuan?”
“Engkau takut?” Panglima Terasing mencucuk.
Tawa Rafael terhenti. Wajah serigala miliknya tidak menggambarkan kegembiraan.
“Kau yang patutnya merasa takut bedebah!” Dia menengking sekuat hati.
Ketika ini satu letupan yang sangat dasyat berlaku di langit. Semua orang menghalakan pandangan ke atas, melihat burung helwi tadi sudah hangus tanpa debu, dibakar semburan api yang sangat kuat. Bahang semburan api tersebut dapat dirasai mereka yang menjejak di atas tanah.
Langit seperti terbelah. Awan pecah dan seekor binatang besar turun ke bumi. Menggegarkan keadaan. Haiwan ini mempunyai saiz 10 kali ganda gergasi, berleher panjang seperti ular, tubuhnya sasa dan mempunyai dua tangan dengan dua jari yang panjang kukunya. Mempunyai empat sayap yang sangat besar, dengan kaki yang sangat perkasa. Kepalanya mempunyai dua tanduk, matanya merah menyala. Daripada mulutnya yang panjang, semburan api tadi keluar. Kini asap kelihatan pada dua hidungnya yang bermisai.
Ketika ini satu perasaan terkejut yang teramat menyerbut pada jiwa raga Panglima Terasing, dan para panglima Bumi Barakah lainnya.
“Naga?” Hudzaifah Yamani seperti tidak percaya.
Ketika itu juga Naga itu berteriak mengeluarkan bunyi lolongan aneh, kemudian menyembur api ke udara. Secara refleks, para panglima Bumi Barakah tadi berundur.
“Hahaha.” Rafael ketawa berdekah-dekah, dengan zirahnya memantulkan cahaya yang terhasil dari semburan api Sang Naga tadi.
Suasana yang terpapar ini sangat menakutkan. Ahli-ahli rombongan Bumi Barakah kebanyakannya bertempiaran lari.
Panglima Terasing mula membasahi mulutnya dengan doa.
“Ya Allah, lindungi kami!”
*****
Kiai Laut berhempas pulas memastikan ahli rombongan daripada Brynhildur dan Uftzi terselamat. Ramai yang telah bertempiaran lari menyelamatkan diri. Suasana sangat kelam kabut, dan keadaan sangat tidak terkawal. Dia pantas memanipulasikan air yang wujud di udara, menebaknya ibarat peluru pada makhluk-makhluk genetik aneh yang sedang menyerang mereka.
Tetapi serangannya seperti tidak membuahkan hasil. Makhluk-makhluk genetik itu ada yang tumbang, namun bingkas bangkit semula seakan hanya disimbahi air begitu sahaja.
“Makhluk apa ini?” Kiai Laut melaung.
“Kami kaum makhluk genetik juga tidak pernah bertemu jenis ini. Mereka seperti tiada otak. Ibarat binatang!” Ezzen menyahut laungan Kiai Laut. Dia sendiri bersama orang-orangnya sedang bersungguh-sungguh cuba melepaskan diri dari ancaman makhluk-makhluk yang rakus tersebut.
Terlalu banyak. Tidak terbilang.
“Bertahan teman-teman!” Que Ron menyeru. Dia dan beberapa jeneral gergasinya cuba mengawal keadaan. Namun nampaknya walau telah dipukul berkali-kali, makhluk-makhluk yang menyerang mereka tetap bangkit dan kembali menerkam. Setiap gigitan mereka pula amat berbisa dan sangat menyakitkan, walaupun kepada kaum gergasi yang terkenal berkulit lebih keras dari kebiasaan.
“Jangan mengalah semua!” Kiai Laut sekali lagi mencuba sesuatu.
Dia mengelak dari dimamah makhluk yang datang menerkamnya dari segenap arah, dan kemudian mengambil peluang itu dengan menepuk bumi tempat dia berpijak.
Bumi kemudiannya merekah dan mengeluarkan pancutan-pancutan air di sana sini. Pancutan-pancutan itu pula berskala besar, sekaligus membentuk dinding yang sangat tinggi dan panjang, memisahkan makhluk-makhluk itu dengan rombongan dari Brynhildur dan Uftzi. Pergerakan makhluk-makhluk yang menggerunkan itu terganggu.
“Arahkan semua untuk berundur. Que Ron, arahkan jeneral-jeneralmu menjadi pelindung akhir buat semua. Ezzen, uruskan pengunduran bersama jeneral-jeneralmu!” Kiai Laut menjerit.
Dirinya telah lencun dibasahi air. Dia tahu yang apa dia lakukan itu tidak akan kekal lama. Sebentar lagi, pancutan-pancutan air itu akan terhenti, dan makhluk-makhluk itu akan bangkit mengejar mereka semula.
Rombongan Uftzi dan Brynhildur mula bergerak pantas meninggalkan tempat itu.
“Kiai Laut, cepat!” Que Ron melaung apabila dia perasan yang Kiai Laut tidak berganjak.
Kiai Laut sekadar melemparkan senyuman, kemudian menggeleng.
“Ah?” Ezzen terpana. Apa yang Kiai Laut mahu lakukan?
“Aku tidak boleh meninggalkan tempat ini. Jika aku tinggalkan, kita semua tidak dapat melarikan diri. Aku akan bertahan dan mengawal pancutan air ini selama yang aku mampu. Kalian lari, dan khabarkan keadaan ini pada Tanah Suci!”
Que Ron menghentak kakinya tanda marah dengan ketidak mampuannya berbuat apa-apa. Makhluk-makhluk aneh itu tersangat banyak hingga dia dan jeneral-jeneralnya juga tidak dapat berbuat apa-apa.
“Mari Que Ron, jangan sia-siakan pengorbanan Kiai Laut ini!” Ezzen menepuk kaki sahabatnya itu.
Que Ron mendengus dan berpaling.
Kiai Laut kembali fokus ke hadapan. Dia mula merasakan yang tenaganya akan susut kerana berterusan menghasilkan tenaga sebesar itu.
Tetapi dia tahu yang tenaga sebenar datang daripada Allah SWT.
Maka mulutnya terkumat kamit memohon kekuatan daripadaNya.
“Berikanlah peluang kepada kami Ya Rabb! Lepaskanlah mereka dari Brynhildur dan Uftzi, dan sekatlah makhluk-makhluk ini hingga mereka berjaya pergi.”
Kiai Laut terus bertahan di situ. Basah lencun dihujani air yang terbit dari tanah hasil tindakannya.
******
“Kiai Api, Kiai Alam.” Suara dingin menyeru nama dua kiai yang sudah terjelepuk lemah di atas tanah.
Kiai Api mengangkat wajah. Dalam perjalanan mereka ke Amara, tidak sangka mereka berdua akan diserbu secara mengejut sebegini.
“Aku rasa sangat dihormati apabila Tuan Rumah sanggup dari jauh datang menjemput kami di sini.” Kiai Api cuba berlawak. Tubuhnya sudah menggeletar dek tidak mampu meneruskan pertarungan.
Lawan mereka tersangat hebat. Lebih hebat dari sebelumnya.
Kiai Alam memandang pahlawan di hadapannya.
Berwajah singa dan sangat menggerunkan. Bermantel merah dan kelihatan sangat gagah perkasa. Lembing hitam setia di belakang tubuh pahlawan itu.
“Long Berk…. aku tidak ingat engkau sehebat ini.” Kiai Alam bersuara. Terketar-ketar.
Long Berk berseorangan, tanpa ditemani pengawal, tanpa disertai makhluk aneh dan sebagainya. Terserlah keyakinannya terhadap kekuatan dirinya dengan tampil seorang diri berhadapan dengan dua Kiai ini.
“Kalian sudah tua, nyanyuk. Aku pula berterusan mendapat kuasa daripada Sang Asura.” Long Berk mendegus. Dia mula melangkah mendekati Kiai Api dan Kiai Alam.
“Tua nyanyuk ya?” Kiai Alam tersengih. Memandang Kiai Api. Kiai Api memahami isyarat mata Kiai Alam.
“Tua nyanyuk ini ingin mengajar budak kurang ajar seperti engkau!” Kiai Api meningkatkan auranya, memungut saki baki kekuatan, dan menepuk tanah, membuatkan tubuhnya terangkat ke udara.
Long Berk memandang ke atas.
Kiai Alam pula bangkit dan pantas menyerang Long Berk, mengambil peluang sepintas masa perhatiannya terganggu.
Pertarungan mereka masih belum berakhir!
******
“Kenapa tuanku?”
End menoleh kepada Armon, selepas pandangannya dilayarkan ke belakang.
Kemudian dia sekadar menggeleng, tanpa mengungkapkan apa-apa.
Jiwanya tiba-tiba rasa terganggu, tetapi dia tidak tahu mengapa.
Namun melihat rombongannya semua dalam keadaan gembira dan tenang, dan telinganya dapat menangkap bagaimana sukanya rakyatnya dengan perjalanan haji yang mereka lalui, buat rawan jiwanya tadi sedikit terubat.
“Ya Allah, Engkau sebaik-baik penjaga, kepada Engkau aku yang lemah ini memohon perlindungan buat diriku juga rakan-rakanku.” Getus hati End.
Perjalanan diteruskan menuju Duarte.
Sudah sebulan lebih dia tidak pulang menjenguk kawasan pemerintahannya.
==================================
YouthACE 2015Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”
Tarikh: 25hb & 26hb April 2015
Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/
Harga asal: RM180
Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):
*RM100
*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.
Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.
Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!
—————————
Tentatif
—————————
MC sepanjang program – Aiman Azlan
HARI PERTAMA -
08.00AM – Pendaftaran
09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan
10.00AM – Rehat
10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir
11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project
12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)
01.00PM – Rehat
02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan
Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid
Panel 2: Saudara Jufitri Joha
Panel 3: Saudari Amnani Akhili
04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
04.30PM – Rehat
05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
07.00PM – Rehat
08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi
09.15PM – Sesi LangitIlahi
- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf
- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi
- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi
10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana
10.30PM – Bersurai
HARI KEDUA –
08.00AM – Slot 6: Pentas Belia
09.00AM – Rehat
09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah
10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara
Moderator: Saudara Hafizul Faiz
Panel 1 – Wan Ahmad Faysal
Panel 2 – Dr Maszlee Malik
12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf
01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai
——————————-
Pertandingan
——————————-
YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
InstaVlog
Penulisan Cerpen
Penulisan Artikel
Filem Pendek
Poster
Foto
Spoken Words
Essay
Nasyid
Komik
Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:
http://youthace.langitilahi.com/awards/
——————————-
Peluang Tajaan
——————————-
Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.
Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.
——————————————–
Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.
Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.
YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.
Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4
Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo
Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!
Jom bersama kami!
Belia Mencorak Masa Hadapan!
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 4 appeared first on Langit Ilahi.