Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 3
Alhamdulillah, sampai kita pada bab yang ketiga.
Enjoy!
Mohon berikan pandangan dan komen anda.
Cheritera 3
“Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syariikalaka labbaik.” Talbiah itu bergema memenuhi segenap ruang angkasa Tanah Suci.
“Daku datang menyahut panggilanMu ya Allah, daku datang memenuhi panggilanMu! Daku datang memenuhi panggilanMu, yang tiada sekutu buatMu, daku datang memenuhi panggilanMu!” Begitulah maksud seruan yang sedang menggegarkan suasana sekarang.
Keadaan di Arafah, sebuah tempat yang dianggap penting di Tanah Suci dalam urusan Haji, penuh dengan lautan manusia, makhluk genetik dan Kaum Gergasi, lelaki dan perempuan, baik yang tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak. Semuanya serba putih mengenakan ihram.
Pakaian ihram lelaki terdiri dari dua lembar kain, sehelai melilit tubuh bermula dari pinggang hingga ke bawah lutut dan sehelai lagi diselempangkan mula dari bahu kiri ke bawah ketiak kanan. Pemakai itu tidak boleh mengenakan apa-apa yang berjahit, memakai tutup kepala dan juga tidak boleh menutup mata dan kaki.
Pakaian bagi para wanita pula lebih bebas, dengan sekadar syaratnya menutup aurat, disunatkan putih, dan mestilah tidak berjahit.
Arafah ibarat disimbahi susu.
Hampir sahaja tiada ruang, setiap yang ada pasti akan diisi seseorang. Teramat ramai. Semuanya fokus dengan doa.
Angkasa khusyuk dengan doa dan di sisinya Puteri Maisarah, turut sama melepaskan diri dari segala tali temali yang mengikat mereka dengan keadaan dunia. Kedua-duanya seperti masuk ke sebuah alam yang lain, meminta dan mengharap kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh seakan tiada lagi permintaan yang mampu dilakukan selepas itu. Suasana sesak di sekeliling mereka seakan langsung tidak wujud.
Semenjak zuhur tadi, hingga kini waktu sudah hampir menjengah ke Maghrib, dua pasangan itu tidak henti-henti memanjatkan pengharapan mereka. Air mata sudah tidak terkira banyaknya berjejesan.
“Ya Allah, kupinta kepadaMu ketenangan. Ketenangan untuk menggalas perjuangan ini dengan penuh keyakinan. JanjiMu tidak termungkir Ya Allah, maka jadikanlah aku orang yang kepercayaannya langsung tidak tergegar. Jadikanlah aku orang yang tenang diselimuti keyakinan yang mendalam. Percaya bahawa segala apa yang Kau atur dan beri adalah yang terbaik, walaupun mungkin aku sendiri tidak menggemarinya. Ya Allah, kurniakanlah untukku zuriat yang soleh, dan jagalah dia dari segala bencana, dan jadikanlah dia seorang yang mampu menjadi khalifah terbaik di atas muka bumimu ini ya Allah! Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku dan tutuplah kelemahanku, kurniakanlah aku kekuatan untuk menggendong perjuangan ini dan menjadi antara asbab kemenangannya. Engkau jualah pemilik segalanya, dan hanya kepada Engkau sahaja aku meminta. Ya Allah, dengarkanlah. Ya Allah, dengarkanlah.” Angkasa berdoa dengan nada yang rendah, kerana tidak mahu menganggu jemaah yang lain yang berdekatan dengannya. Doa ini diulang-ulang semenjak Zuhur tadi, hampir sahaja mereka tidak berhenti, tetapi ada juga diselangi dengan aktiviti lain seperti tilawah dan zikir.
“Amiin, amiiin.” Puteri Maisarah menyahut perlahan doa-doa suaminya itu.
Keadaan mereka berdua diperhatikan orang sekeliling. Semuanya tersentuh. Menyebabkan semua tidak memandang lama dan terus fokus untuk lebih bersungguh mengharap.
Arnav dan Ashoka antara yang memerhatikan keadaan Angkasa itu.
Mereka berdua sudah mahu bersiap-siap hendak bergerak meninggalkan Arafah dan menuju ke kawasan bernama Mudzailifah. Di sana para jemaah akan ber’mabit’ atau dalam erti kata lain, bermalam, akan bersiap-siap pula ke Mina selepas itu untuk melontar ‘jumrah’, yakni mengambil biji-biji batu dan melontar ke tiga tempat lontaran – Sughro, Wusto dan Kubro – dalam pada hari tasyri’, yakni 11, 12, 13 Dzulhijjah. Kemudian mereka akan bergerak memasuki Masjid Al-Haram, dan melakukan tawaf wada’ atau tawaf selamat tinggal, sebagai tanda ibadah haji telah disempurnakan.
Tempat-tempat ini asalnya sudah usang dan tidak terurus kerana ibadah haji sudah terlalu lama tidak diusahakan oleh mana-mana ummat Islam, dek peperangan yang berlangsung semenjak Sang Asura muncul. Tetapi dengan inisiatif daripada Tanah Suci, bersama kerjasama Kerajaan Duarte di bawah pimpinan End, tempat-tempat ini telah dimakmurkan, dan disesuaikan dengan keadaan semasa, yakni untuk menampung lautan jemaah haji yang terdiri dari pelbagai jenis – manusia, makhluk genetik dan kaum gergasi. Brynhildur juga telah menghantar sebahagian kaum gergasinya untuk memudahkan kerja-kerja penambah baikan.
Itu setakat yang Ashoka dengar daripada Pertapa Arjuna, dan kini dia melihat sendiri keadaan yang sangat mengkagumkan ini.
“Alhamdulillah Allah SWT memberikan izin untuk kita terus hidup menjengah ke hari ini.” Ashoka bersuara sedang dia dan Arnav bergerak meninggalkan kawasan Arafah untuk menuju ke tempat yang seterusnya bersama gerombolan haji dari Chinmayi yang dipimpin Pertapa Arjuna.
“Aku merindui Asmita dan Aedan.” Arnav membalas.
Sebentar kenangan pahit melintas.
Sang Asura mendengus. “Tidak sedar diri!” Auranya ditingkatkan pada tahap yang agak tinggi. Hingga tanah di sekitarnya terbongkah melanggar Arnav dan Asmita, pada masa yang sama menahan semua panahan Ashoka.
Ketika Arnav dan Asmita terundur, ketika itulah tanah yang melanggar mereka pecah dan tubuh Sang Asura bergerak melepasi bongkah-bongkah pecahan tanah. Kedua-dua telapak tangan Sang Asura bersatu, muncul satu cahaya yang menyilaukan. Perlahan-lahan dijarakkan kedua-dua belah telapak tangannya itu. Cahaya memanjang, dan kemudiannya daripada cahaya itu, muncul sebilah pedang.
“Masa untuk kalian menemui ajal, panglima-panglima Chinmayi!” Sang Asura melaung. Terus dengan pantas memecut ke arah Arnav.
“Jangan ingat kami akan tunduk menyerah!” Aedan melaung. Telah bangkit daripada jatuhnya. Bersama pedang dan sarungnya, dia cuba menahan libasan Sang Asura dari mengenai Arnav yang masih terduduk.
“Guh,” Berat. Aedan terlutut apabila menyambut serangan Sang Asura.
“Sampah. Mati!” Sang Asura meningkatkan kekuatannya. Menekan pedangnya. Aedan terbenam ke dalam tanah. Menjerit kesakitan. Seluruh tulangnya seperti remuk dihentam aura menggila milik Sang Asura.
“Aedan!” Asmita muncul daripada belakang Sang Asura. Satu libasan ingin mengucup leher makhluk terhebat Utopia itu. Sang Asura tidak bergerak. Tidak mengelak. Membiarkan.
Bilah pedang Asmita melandas tepat. Tetapi mata Asmita terbeliak.
Pedangnya terhenti pada zirah Sang Asura.
“Kau fikir, aku siapa hah?” Sang Asura memandang kepada Asmita, terus sebelah tangannya mencengkam kolar zirah Asmita yang telah rabak. Menariknya hampir pada tubuh Sang Asura. Topeng Sang Asura bertemu dengan dahi Asmita. Pecah kepala Asmita dihentak sedemikian kuat. Darah bersemburan ke udara, sebelum jatuh bersama-sama tubuh tuannya.
Mata Arnav membesar tidak percaya. “Allahuakbar.” Itu sahaja yang mampu terlafaz.
“Asmita!” Ketika ini panah-panah Ashoka berterbangan meluncur ke arah Sang Asura.
“Hah!” Sang Asura menjerit, mengeluarkan gelombang menganggu lancaran anak-anak panah tersebut. Jatuh semuanya di tengah perjalanan.
“Arnav, Ashok, lari. Undur diri!” Aedan menjerit sambil menahan sakit. Kini darah mula keluar daripada telinga dan hidungnya. Dia masih terperangkap dalam tekanan aura Sang Asura.
“Mustahil!” Arnav telah bangkit kembali. Dia tidak pernah bermimpi akan bertemu dengan realiti sedasyat ini. Dia tidak pernah terjangka, akan bertemu dengan sesuatu yang sedasyat ini. Tidak pernah seumur hidupnya, dia membayangkan sesuatu sedasyat apa yang sedang dia lalui.
“Budak, aku ingin bertanya kepadamu satu soalan.” Sang Asura bersuara dingin.
Arnav terpaku tidak mampu bergerak.
“Di manakah Allah engkau hari ini?”
Dan jiwa Arnav bergetar hingga air matanya tumpah.
“Aaaaaargh!” Arnav terus bergerak menerjah ke arah Sang Asura.
“Bodoh.” Sang Asura mendengus.
“Arnav!” Ashoka berlari untuk mendapatkan sahabatnya, menghalang sahabatnya itu sambil terus melancarkan panahan menyerang Sang Asura dengan harapan Maharaja Utopia itu akan terganggu. Tetapi semua panahannya tidak bermakna. Tidak lut pada zirah Sang Asura yang teramat ampuh.
Arnav sudah melayang untuk menghujamkan tombaknya.
Sang Asura mengangkat tangan ke arah Arnav. Tangan yang memegang pedang turut diangkat. Tangannya yang kosong bercahaya seketika, seperti hendak melepaskan satu tembakan aura yang teramat kuat. Manakala pedang yang memegang pedang seperti telah bersedia untuk dilibas sekuat hati untuk menghabiskan nyawa Aedan.
Arnav dan Aedan seperti telur di hujung tanduk. Kedua-duanya tidak dapat menyelamatkan diri.
“Huh!” Ketika itulah Aedan cepat-cepat mencampakkan pedangnya pada tangan Sang Asura yang kosong sekuat hatinya. Tangan itu terangkat lebih tinggi dari tadi, melepaskan satu tembakan aura yang tersangat kuat hingga bergegar suasana saat dilepaskan aura itu. Pada masa yang sama, tangan yang memegang pedang dilibas sekuat hati hingga terbelah dua jasad Aedan, dan terbelah juga tanah yang ada.
Arnav melayang terpelanting akibat dihembus ledakan aura yang teramat kuat tadi, tetapi sempat disambut oleh Ashoka sebelum terjatuh menghentam tanah.
Arnav memenjamkan mata, dan titisan air mengalir ke pipipnya.
“Tempat ini mulia, mengerjakan haji memang sesuatu yang manis dan indah, tetapi sahabatku…” Ashoka memaut bahu Arnav.
“Tidaklah ini semua dapat menandingi manis dan mulianya keberadaan mereka di sisi Allah SWT, insyaAllah.” Ashoka menenangkan sahabatnya, dan sebenarnya dia cuba menenangkan dirinya sendiri yang juga teringat dengan semua itu.
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” Ashoka membaca perlahan ayat itu. Surah Ali Imran ayat 169. Kemudian dia menarik nafas sedikit, menyambung lagi dengan membaca ayat seterusnya:
“(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” Ketika ini dia memandang Arnav, dan mata mereka bertentang.
“Ayat 170, Surah Ali Imran. Sesungguhnya mereka bukan sahaja hidup di sisi Allah SWT dan berbahagia dengan keadaan mereka, bahkan mereka bergembira dengan berita perjuangan kita yang masih hidup ini insyaAllah.” Ashoka melepaskan pautannya pada bahu Arnav. “Aku yakin itu.” Mengepal penumbuknya erat.
Arnav menyeka air matanya. Memandang sekeliling.
Suasana semakin gelap menjelang maghrib. Para jemaah yang berwukuf di Arafah juga semakin susut. Semuanya sudah mula bergerak seperti gerombolan Chinmayi juga, menuju Mudzailifah.
“Kita akan terus menggembirakan mereka di sana, dengan berita perjuangan kita di sini. InsyaAllah.” Arnav berazam.
Ashoka tersenyum.
“Terima kasih Ashok. Kau memang benar-benar sahabatku yang paling akrab.” Bahu Ashoka ditepuk.
“Semoga Allah terima perjuangan kita, dan amal kita di sini.” Ashoka menyempurnakan perbualan mereka.
Arnav menyahut dengan amiin, dan mereka berdua kembali fokus kepada perjalanan.
Tanpa mereka sedari, Pertapa Arjuna memerhati mereka semenjak tadi. Guru Ashoka itu berada di hadapan, tetapi tidak terlalu jauh dengan mereka berdua. Pertapa Arjuna tersenyum.
“Jika aku ada harta warisan, mereka adalah apa yang aku akan wariskan ya Allah. Terimalah kami semua ini sebagai hamba-hambaMu yang beriman.” Pertapa Arjuna berdoa.
******
Hari-hari Tasyri’ adalah hari yang mengharukan buat semua jemaah haji, juga buat rakyat Tanah Suci itu sendiri. Tiga hari itu dibahagi-bahagi dengan penuh teratur agar semua jemaah dapat melaksanakan ibadah melontar jamrah dengan baik. Dan rombongan demi rombongan mula mengerjakan tawaf wada’ sebagai tanda ibadah haji mereka telah sempurna, dan mereka hendak meninggalkan Tanah Suci untuk pulang ke wilayah masing-masing.
Ezakiel memandang dari tingkat lima Masjid Al-Haram.
“Ibu, apakah ibu rasa bertuah bersama agama ini?”
Ezakiel memandang wanita berusia di sisinya. Ibunya, yang pada asal tidak merestui keislamannya, dan tidak bersetuju dengan pengembaraannya bersama Angkasa. Namun bila Tanah Suci berjaya kekal utuh selepas serangan daripada kelima-lima Jeneral Utopia, ibunya terbuka hati untuk memeluk Islam dan datang tinggal bersamanya di Masjid Al-Haram.
Wanita bertudung litup, berpakaian labuh serba putih itu, perlahan-lahan meletakkan tangannya pada kepala Ezakiel, dan menarik lembut, meletakkannya pada dadanya.
“Tiada apa yang lebih ibu gembirakan, daripada agama ini wahai anakku. Dan sesungguhnya jika ada yang lebih ibu gembirakan pun, ianya adalah kerana yang membuka hati ini adalah anak ibu sendiri.”
Berkaca-kaca mata Ezakiel mendengar luahan ibunya.
“Terima kasih Ya Rabb!” Tercetus rasa syukur nan tinggi di dalam jiwanya. Allah jualah pemilik hidayah, dan Allah SWT telah memakbulkan doanya agar ibunya sebahagian daripada yang menganuti agama ini.
Agama yang indah. Bukan sekadar sebuah doktrin, juga bukan sebuah kumpulan berkasta, tetapi merupakan cara hidup, yang punya tujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, tanpa melupakan tanggungjawab sebagai penghuni di atas muka bumi ini. Semua diseru berkerjasama, tanpa mengira bangsa dan warna kulit, pangkat dan harta, untuk merealitikan mesej agama ini dalam segenap kehidupan masyarakat, yakni menjadi rahmat buat sekalian alam.
Ezakiel belajar banyak semenjak dia memeluk agama ini.
Dari perjalanannya, juga dari kelas yang dia ikuti saban hari di Tanah Suci. Kini dia sudah menghafal lebih dari separuh Al-Quran, dan terima kasih kepada lembaran yang dititipkan Kiai Suci kepada Angkasa, ianya telah dicetak secara meluas, kini dia dan seluruh ummat Islam mendapat peluang untuk mempunyai mushaf itu di rumah masing-masing, membaca dan merujuknya.
Dia dapat melihat betapa besarnya makna Haji ini, dan mengapa ia antara ibadah paling penting di dalam Islam.
Melihat kaum gergasi, makhluk genetik, bersama-sama manusia mengerjakannya, seakan-akan melihat sebuah masa hadapan yang sangat indah untuk dunia ini. Semua makhluk bekerjasama, bersatu hati. Ezakiel sempat melihat satu pemandangan yang tidak akan sesekali dilupakannya, yakni pada hari dia solat di tebing tingkat paling tinggi di Masjid ini. Dia sengaja melewatkan dirinya untuk turun sujud, dan dia melihat bagaimana seluruh jemaah sujud berkiblatkan Kaabah yang satu, berpakaian serba putih kebanyakannya. Satu pemandangan yang mengggegarkan jiwanya, menyuntiknya dengan ketenangan bersalut kagum, menginspirasikannya untuk tidak sekadar menjadi buih di dalam ummat ini, tetapi menjadikan dirinya sebagai angka nan bernilai untuk memberikan manfaat.
“Wahai ummah!”
Ezakiel terkenangkan khutbah Ruh Faizan di Arafah.
“Telah Allah kumpulkan kita semua di bumi yang mulia ini, walaupun sesama kita punya pelbagai perbezaan. Tetapi ketahuilah satu persamaan telah mengumpulkan kita semua bersama-sama di sini. Itulah dia Islam.”
Ezakiel mengerjakan haji dengan menyertai rombongan yang dipimpin oleh Pertapa Arjuna, guru dan seorang yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri. Dia dapat melihat khusyuknya Pertapa Arjuna, juga Arnav dan Ashoka yang turut bersama duduk di sekitarnya, mendengarkan khutbah Ruh Faizan itu.
“Islam ini bukan agama yang diturunkan sebagai ritual semata-mata. Ini bukan agama untuk kita sekadar merasakan yang kita telah berada di pihak yang benar. Islam hakikatnya adalah agama yang diturunkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Sekalian alam, termasuklah benda-benda tidak bernyawa, bahkan kepada mereka yang memerangi kita.”
Ruh Faizan membacakan ayat 107 daripada Surah Al-Anbiya’: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
“Maka wahai ummah, jadilah rahmat kepada alam ini. Berakhlaklah dengan akhlak Islam yang mendidik kita sebagai seorang yang jujur, amanah, berkasih sayang, santun, berperibadi mulia, kemas dan punya disiplin yang tinggi, hidup berwawasan melewati akhirat, cinta kepada ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan, tidak bongkak dan takabbur, tidak zalim dan menganiayai orang lain.”
“Ketahuilah bahawa kejatuhan agama ini pada masa silam adalah bukan kerana serangan musuh yang kuat. Tetapi kerana penganut-penganut agama ini sebelum kita sekadar Islam pada kulitnya semata-mata. Mereka telah meninggalkan Islam, dan sekadar mengantungkan Al-Quran pada dinding rumah mereka. Mereka telah memagarkan agama ini pada masjid-masjid, dan solat serta ibadah sekadar menjadi rutinan kosong. Kita tidak mahu kembali kepada zaman itu. Pada tangan merekalah lahirnya Sang Asura, yang akhirnya berdendam dan memusuhi semua yang ada, membawa kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi Allah SWT ini.”
“Maka wahai Ummah, pada hari yang mulia, bulan yang mulia, tempat yang mulia ini, aku menyeru diriku dan diri kalian, untuk kita berjuang menegakkan agama ini di dalam diri kita. Tumbangkanlah berhala-berhala di dalam diri kita, dan sujudlah hanya sa-nya kepada Allah SWT Yang Esa. Bila kita mengusahakan perkara itu pertamanya terlebih dahulu, aku percaya dan aku tidak sesekali ragu yang kita akan berjaya menghidupkan kembali bumi ini, dan menumbangkan Sang Asura bersama Kerajaan Utopianya, dengan izin Allah SWT.”
Ezakiel tahu yang ketika itu semua orang terasa seperti hendak melaungkan takbir kerana bersemangatnya jiwa raga mereka apabila dibakar apa yang disampaikan oleh Ruh Faizan. Tetapi kerana adab ketika berkhutbah adalah semuanya perlu diam, tiada yang bersuara, namun semangat yang membera nyata menyala pada mata semua jemaah yang diperhatikan Ezakiel. Dirinya yakin yang tidak akan ada seorang pun dari jemaah haji akan melupakan khutbah penuh semangat itu.
Kaum gergasi bahkan mengangkat beberapa manusia dan makhluk genetik pada bahu mereka sepanjang khutbah agar mereka dapat sama-sama melihat susuk tubuh Ruh Faizan yang berkhutbah.
Ezakiel tidak akan lupa itu semua, dan dirinya terbakar untuk benar-benar menjadi sebahagian daripadanya, di medan hadapan!
“Ibu, jika peperangan terakhir ini meletus, apakah akan direstui juga pemergianku?” Ezakiel mengangkat wajahnya. Memandang kepada ibunya.
Ibunya tersenyum.
“Ibu bangga denganmu wahai anakku. Dikaulah saham akhiratku. Dahulu, kularang dirimu keluar kerana aku menyangka engkau dirasuk syaitan. Aku tidak kenal benar akan agama ini. Tetapi kini aku telah melihat bagaimana agama ini membentuk dirimu. Masih remaja, tetapi sudah matang seperti orang dewasa. Ibu mana yang tak terharu melihat anakandanya mengetuai pasukan penempa senjata yang sangat penting dalam kelangsungan peperangan ini.”
Ezakiel terus mendakap erat ibunya.
“Terima kasih ibu!”
Dan mereka sama-sama, terus santai memerhatikan Kaabah, yang dikelilingi hamba-hamba Allah SWT.
******
Ruang menghadap hari ini penuh. Susun aturnya diubah suai sedikit dengan kehadiran meja besar di hadapan. Kelihatan peribadi-peribadi yang penting ada di istana Ruh Faizan hari ini.
Mughirah Syu’bah sedang berdiri melaksanakan penerangan di balik meja. Duduk di tepinya, ialah Ruh Faizan sendiri, Angkasa, Aizan Fahmi, Izrayel, End, Panglima Terasing, Pertapa Arjuna, Tuk Akram, Kiai Laut, Kiai Alam dan Kiai Api.
Manakala di barisan tempat duduk tetamu, kelihatan wajah-wajah para panglima seperti Khalid Al-Walid dan Waqqas Ali Qadri dari Tanah Suci. Berdekatan dengan mereka kelihatan Toriq Ziyad, Yahya Waseem, Hudzaifah Yamani, dan Talhah Ubaidillah dari Bumi Barakah. Turut kelihatan Armon dan beberapa rakannya dari Duarte. Ezzen dan Que Ron datang mewakili Uftzi dan Brynhildur, bersama-sama beberapa jeneral mereka. Mujur istana ini sudah diubah suai agar boleh memuatkan kaum gergasi seperti Que Ron. Que Ron hadir bersama tiga orang jeneralnya, dan mereka duduk paling belakang sekali kerana saiz mereka yang luar biasa. Tidak ketinggalan pada perkumpulan ini ialah Ezakiel dan beberapa rakan dari bahagian tempaan senjata, juga Puteri Maisarah dan orang-orang dari bahagian perubatan.
Buat julung kalinya, Perhimpunan Agung Para Perwira, nama rasmi perkumpulan ini, diadakan dan semua pemimpin para wira agama Islam berkumpul di satu tempat khusus bersama-sama. Dan kini mereka seperti telah berada di tengah-tengah perbincangan.
“Baiklah, apa pandangan senior-senior yang mulia, berkenaan strategi yang telah saya bentangkan ini?” Mughirah Syu’bah menepuk lembut papan pembentangannya, sambil kekal dengan riak wajah ceria, memandang para hadirin.
Papan pembentangan itu menunjukkan lakaran Uftzi, juga peta dunia, dan ada beberapa tanda yang kelihatan khusus di bahagian Tanah Sejuk dan Amara.
Ezzen, Ketua Makhluk Genetik, dan kini merupakan pemerintah Uftzi mengangkat tangan.
“Silakan tuanku Ezzen.” Mughirah Syu’bah mempersila tetamu kehormat merangkap teman seperjuangan itu berdiri.
Ezzen berdiri. Dia kelihatan seperti makhluk genetik biasa sahaja, kerana dia hadir ke mari tanpa berpakaian seperti raja. Begitulah juga semua yang ada di sini, para panglima juga tidak membawa senjata dan zirah masing-masing. Jika orang tidak tahu, pasti menyangka ini perkumpulan manusia biasa-biasa sahaja.
“Bukankah Uftzi akan jatuh terhempas ke laut jika kita mempraktikkan rancangan ini?” Ezzen menyuarakan kebimbangannya terhadap apa yang baru dibentangkan oleh Syu’bah.
Syu’bah mengangguk. “Kerana itu saya berharap, Tuanku Ezzen boleh menggesa para saintis di Uftzi untuk mengusahakan agar Uftzi dapat diturunkan dengan selamat sebelum peperangan ini bermula.”
“Memang tiada cara lain?” Ezzen mencuba.
Syu’bah menggeleng. “Jikalah ada Tuanku Ezzen, sudah pasti saya usahakan dan utamakannya. Teknologi adalah perkara yang mengiurkan. Namun saya fikir, cara lain yang ada hanyalah berhadapan dengan Sang Asura sepenuh kuasanya, maka ianya tidak berbaloi.”
Ezzen memandang para panglimanya, seakan berbincang dengan isyarat mata, selepas itu dia memandang pula kepada Kiai Laut di hadapan. Kiai Laut mengangguk tanda bersetuju dengan rancangan Syu’bah, dan akhirnya Ezzen turut mengangguk. “Baiklah, kami akan usahakan sebaik mungkin.”
“Terima kasih tuanku Ezzen.”
“Aku baru faham kenapa Syu’bah ini jugalah yang mencadangkan agar teknologi-teknologi di Uftzi tidak disebarkan ke serata dunia selepas peperangan yang lepas.” Que Ron bersuara. Semua yang hadir memandang kepada Ketua kaum gergasi itu, yang juga kini merupakan Pemerintah di Brynhildur.
Syu’bah tersenyum. “Terima kasih Tuanku Que Ron. Tiadalah apa melainkan sekadar ilmu yang diberikan oleh Allah SWT, hasil daripada perkongsian Angkasa berkait pesanan Angkasa Sakti sebelumnya.”
“Kepada Ezzen, kalau Uftzi diturunkan dari langit, ia akan dekat dengan Brynhildur. Kami akan membantu sedaya mampu untuk suasana baru nanti.” Que Ron memandang tepat kepada Ezzen.
Roman wajah Ezzen terus manis dengan senyuman. Dia mengangkat tangan, isyarat terima kasih dengan niat baik Que Ron. Islam telah menyatukan jiwa mereka, sedang dahulu mereka adalah dua kaum yang bertelagah.
“Jadi kita akan ke Tanah Sejuk sebulan akan datang?” Panglima Terasing bersuara.
Syu’bah memandang Kiai Langit itu dan mengangguk.
“Para senior yang mulia, ini mungkin peperangan terakhir kita. Kita sendiri tidak tahu sebenarnya apakah kita akan benar-benar sampai kepada bulan hadapan, kerana sehingga kini kita masih tidak mempunyai apa-apa maklumat berkenaan pergerakan Utopia. Adalah menjadi kerisauan besar saya sekiranya Sang Asura bertindak dalam masa terdekat.”
Aizan Fahmi menyiku lembut adik iparnya, dan Angkasa memandang kepada sahabat merangkap abang iparnya itu.
“Sudah bersedia?”
Angkasa tersenyum. Sebentar dia memandang kepada isterinya yang khusyuk mendengar penerangan. Kemudian dia mengangguk.
“Jangan rasa berat hati. Anak adalah anugerah, dan boleh juga menjadi fitnah. Kembalilah kepada kisah Utusan Langit Ibrahim dan anaknya, Utusan Langit Ismail. Pengorbanan mesti dilakukan, dan yakinlah bahawa Allah SWT tidak akan mempersiakan perngorbanan itu.” Aizan Fahmi menepuk peha iparnya.
Angkasa terangguk-angguk dengan titipan pesan Aizan Fahmi.
Mengikut perancangan Syu’bah, Aizan ditugaskan untuk menemani Angkasa di dalam misi yang istimewa dalam peperangan ini. Dan nampaknya abang iparnya itu sentiasa dalam keadaan siap untuk berjuang.
Dia juga mahu begitu.
Mesyuarat tidak lama kemudiannya berakhir, dengan masing-masing bersalaman, berpelukan. Ruh Faizan menyatakan yang dia sendiri bersama ahli keluarganya serta para panglima Tanah Suci akan pergi menghantar para perwira dari wilayah lain ini di sempadan.
Apabila para perwira yang hadir mula keluar dari Istana, kelihatan para kiai berkumpul sesama mereka. Angkasa mengambil peluang ini merapati para kiai tersebut.
“Di manakah Kiai Sunyi?” Angkasa mencelah, membuatkan para kiai fokus kepadanya.
“Ah, anak Fathi Auni.” Kiai Api terus menarik Angkasa dengan mesra. Angkasa tersenyum. Para Kiai yang lain turut berwajah manis memandangnya.
“Kiai Sunyi tidak dapat kami hubungi, walau dengan apa cara sekalipun.” Panglima Terasing menghela nafas.
“Adakah sesuatu yang buruk sedang berlaku?” Angkasa cuba menerka.
Kelihatan Kiai Laut menggeleng. “Kiai Sunyi ini memang misteri. Bahkan kepada kami pun.”
“Oh.” Angkasa tidak kenal dengan rapat Kiai Sunyi, dan dia benar-benar tidak menyangka bahawa para Kiai pun seakan tidak berapa rapat dengan Kiai tersebut.
“Apakah para Kiai akan memimpin kami pada peperangan mendatang ini? Kiai-kiai adalah satu-satunya kumpulan yang berjaya ke Tanah Sejuk, menyergah Istana Hitam dan kembali hidup-hidup bukan?” Angkasa bertanya lagi.
Kiai Alam tertawa kecil. Pertapa Arjuna sekadar tersenyum melihat harapan yang Angkasa tunjukkan dalam pertanyaannya itu.
“Kau perlu ingat Angkasa, yang kami hanyalah manusia biasa. Tiada keistimewaan apa pun pada kami ini, melainkan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kami. Maka jangan gantung harapan kau pada kami ini. Gantungkanlah sepenuhnya kepada Allah SWT.” Pertapa Arjuna memberi pesan.
Pesan itu seperti pelukan lembut bapanya. Angkasa mengangguk perlahan dan menerima hakikat itu.
“InsyaAllah Angkasa, yakinlah, Allah SWT itu tidak akan sesekali memungkiri janjiNya.” Kiai Laut mengusap belakang tubuh Angkasa, seperti cuba hendak menenangkan anak angkat Kiai Suci itu. Kiai-kiai yang lain turut mengangguk.
Angkasa kemudiannya meminta izin untuk meninggalkan mereka, dan dia bergerak ke arah Aizan Fahmi, yang kini sedang berdiri bersama Ruh Faizan, Puteri Maisarah dan Mughirah Syu’bah. Angkasa pantas menggapai tangan isterinya, dan berdiri rapat di sebelahnya. Mereka berbalas senyum.
Tidak lama kemudian mereka disertai Ashoka, Arnav, Izrayel, Ezakiel, dan End. Arnav dan Ashoka sebenarnya hendak berjabat tangan dengan Angkasa, mereka masih belum punya kesempatan itu semenjak datang ke Tanah Suci. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing.
End dan Izrayel pula merapat kerana hendak bertanya sendiri kepada Syu’bah akan perancangan mereka.
“Jadi kami berdua akan berhadapan dengan Sang Asura?” Izrayel bertanya.
Syu’bah mengangguk. “Angkasa akan fokus kepada misinya dengan Aizan.”
“Hem, ini pasti mengejutkan.” Izrayel buat muka bersahaja.
“Mungkin. Tetapi pun, buat masa ini, yang terhebat di medan pertarungan pada hemat saya, adalah Senior Izrayel dan Senior End.”
Semua terangguk-angguk, bersetuju. End tidak membalas apa-apa, diam tanpa riak wajah pada muka.
“Tetapi ini tidak bermakna engkau tidak perlu berlatih lagi ya budak.” Izrayel menyakat Angkasa. Angkasa tertawa.
“Angkasa akan ada cabarannya yang tersendiri nanti.” Syu’bah mengingatkan.
“Aku ada bersamanya, dan Allah SWT ada bersama kita semua pastinya.” Aizan mencelah.
“Amiin.” Ezakiel menyahut.
“Jadi, rancangan yang hingga boleh menjatuhkan Uftzi, akan menumbangkan Sang Asura?” Ashoka bercanda.
Mughirah Syu’bah tersenyum, namun kemudiannya dia menggeleng.
“Allah jualah yang berhak menjatuhkan dan menaikkan sesiapa yang Dia kehendaki, senior Ashoka.”
“Dengar tu.” Arnav menyiku Ashoka, dan mereka yang ada tertawa dengan keletah dua orang sahabat itu.
Mereka semakin hampir dengan peperangan terakhir.
Mereka mengharapkan satu daripada dua.
Hidup mulia, atau mati sebagai syuhada’.
==================================
YouthACE 2015Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”
Tarikh: 25hb & 26hb April 2015
Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)
Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/
Harga asal: RM180
Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):
*RM100
*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.
Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.
Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!
—————————
Tentatif
—————————
MC sepanjang program – Aiman Azlan
HARI PERTAMA -
08.00AM – Pendaftaran
09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan
10.00AM – Rehat
10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir
11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project
12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)
01.00PM – Rehat
02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan
Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid
Panel 2: Saudara Jufitri Joha
Panel 3: Saudari Amnani Akhili
04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
04.30PM – Rehat
05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
07.00PM – Rehat
08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi
09.15PM – Sesi LangitIlahi
- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf
- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi
- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi
10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana
10.30PM – Bersurai
HARI KEDUA –
08.00AM – Slot 6: Pentas Belia
09.00AM – Rehat
09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah
10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara
Moderator: Saudara Hafizul Faiz
Panel 1 – Wan Ahmad Faysal
Panel 2 – Dr Maszlee Malik
12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf
01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai
——————————-
Pertandingan
——————————-
YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
InstaVlog
Penulisan Cerpen
Penulisan Artikel
Filem Pendek
Poster
Foto
Spoken Words
Essay
Nasyid
Komik
Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:
http://youthace.langitilahi.com/awards/
——————————-
Peluang Tajaan
——————————-
Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.
Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.
——————————————–
Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.
Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.
YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.
Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4
Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo
Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!
Jom bersama kami!
Belia Mencorak Masa Hadapan!
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 3 appeared first on Langit Ilahi.