Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1

warrior


 


Assalamu’alaikum.


Dulu saya pernah mula menulis Takdir 3. Sekarang saya buat keputusan untuk mula semula. Maka saya karang daripada awal.


Takdir 3 ini dijangka akan siap hujung Disember ini, dan dijangka terbit pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang bakal berlangsung pada April atau Mei 2015.


Buat masa ini, saya akan muat naik di LangitIlahi.Com sekitar 10 bab terlebih dahulu sebagai ‘teaser’. Buku yang lengkap mempunyai sekitar 20-25 bab tidak termasuk prolog dan epilog.


Mohon doa agar saya mampu menyempurnakan Novel ini. Agak ‘berhantu’ sedikit Takdir 3 ini kerana saya asyik gagal menyiapkannya semenjak tahun lepas. Mungkin kerana saya malas nak tamatkan cerita ini. Sayang. :)


Doa-doakan ya.


Enjoy!



Cheritera 1


Tanah Suci. Dahulu terkenal sebagai Makkah Al-Mukarramah. Tempat kelahiran Utusan Langit Terakhir, Muhammad SAW. Di sini bermulalah Agama Langit, dan kemudian ia berkembang ke Madinah, atau kini lebih dikenali sebagai Bumi Barakah. Tempat ini sentiasa istimewa di hati penganut Agama Langit, selain merupakan tanah kelahiran Rasulullah SAW dan tempat bermulanya Islam, di sini juga terdapat Kaabah, yang beberapa ketika sebelum ini agak masyhur dengan jolokan Rumah Lagenda.


Kini Masjid Al-Haram yang mengelilingi Kaabah sedang dinaik taraf. Keamanan yang panjang selepas peperangan yang lepas telah memberi peluang untuk suasana di  Tanah Suci dipertingkatkan. Teknologi daripada Uftzi dan kekayaan daripada Duarte disumbangkan untuk perkara ini. Suasana Masjid Al-Haram juga diubah bersesuaian dengan keadaan semasa, yakni menjadikannya kondusif untuk Kaum Gergasi beribadah sama. Masjid Al-Haram diperluas, ruang di sekeliling Kaabah juga dibesarkan lagi.


Penduduk-penduduk di sekitar Masjid Al-Haram diberikan rumah yang baru, pembangunannya ditaja oleh orang-orang kaya Duarte, dan mereka mendapat pampasan wang atas tanah yang diambil oleh pemerintah untuk hal ini.


Kini usaha menaik taraf kawasan Masjid Al-Haram dan Kaabah sudah hampir sempurna. Kaum gergasi dan makhluk genetik juga sudah tidak segan silu hadir ke sini untuk beribadah, menunaikan umrah, bahkan para da’ie di Tanah Suci giat membuka kelas-kelas untuk memberikan pencerahan kepada mereka berkait Islam, juga ibadah-ibadahnya.


“MasyaAllah, siapa pernah sangka kita akan melihat pemandangan sebegini rupa?” Suara Ezakiel kedengaran di celah kesesakan manusia yang sedang berusaha mengerjakan ibadah tawaf. Matanya memandang penuh kagum suasana baru Masjid Al-Haram.


“Budak-budak, senang benar teruja.” Izrayel bersuara.


“Hei, aku dah besarlah.” Ezakiel menyiku bekas Pendekar Berdosa itu. Ulah itu disambut tawa kecil oleh Izrayel, juga Angkasa dan Tok Akram. Manakala End yang turut ada di situ sekadar melemparkan seulas senyuman penuh makna.


Mereka kelihatan sedang santai duduk-duduk di perkarangan Kaabah, menikmati pemandangan baru. Pembinaan Masjid Al-Haram sudah hampir siap, dan ianya dipermudahkan lagi dengan bantuan tenaga kerja daripada makhluk genetik dan kaum gergasi. Hari ini adalah julung-julung kali Masjid Al-Haram dibuka untuk Kaum Gergasi. Maka suasananya memang amat baru dan mengujakan, melihat makhluk yang kebanyakannya setinggi Kaabah mengelilingi Rumah Lagenda itu dan beribadah di sekitarnya. Sebelum ini, dek saiz mereka yang besar, ruang tidak mengizinkan mereka datang dan beribadah di dalam masjid ini.


“Orang ramai mula hadir kerana musim haji sudah semakin hampir ya?” Angkasa memandang Tok Akram.


Kiai Awan itu tersenyum mengangguk. Mereka sudah melepasi Ramadhan dan Syawal dalam keadaan yang penuh bermakna, aman dan tenteram. Kini bulan Zulhijjah pula semakin hampir dan di dalamnya ada Aiduladha, atau perayaan korban, yang terdapat juga ibadah Haji.


“Pada ibadah ini, kita dapat melihat betapa kita semua hanyalah makhluknya yang biasa. Disatukan dengan aqidah, dan kita akan dapat melihat lautan perbezaan kulit, bahasa, saiz, tetapi semuanya sujud kepada Allah SWT, menghadap satu kiblat.” Tok Akram berhenti sebentar, menarik nafas. Usianya yang semakin senja menampakkan kesan terhadap dirinya. Namun wajanya berseri menampakkan semangatnya nan waja.


“Semua melaksanakan manasik yang sama, melaksanakan pengorbanan meninggalkan keluarga dan keselesaan rumah masing-masing. Semata-mata untuk menyahut panggilan Haji. Dan semuanya menyeru kepada Tuhan yang sama.” Sambung Tok Akram. Tersenyum puas. Mungkin kerana amat gembira dengan keadaan sekarang.


Angkasa terangguk-angguk. Dia sengaja memasung suaranya, untuk menikmati keamanan yang dikecapi kini, sambil menghayati suasana bersama rakan taulan yang amat dihargainya. Hari ini dia diajak oleh Ezakiel untuk bersantai melihat suasana baru Masjid Al-Haram, dan tanpa dia sangka Izrayel, Tok Akram bahkan End juga turut ada bersama.


Khabarnya End datang bersama rombongan khas dari Duarte, diiringi para da’ie daripada sana untuk mendidik sebahagian masyarakat Duarte yang baru memeluk Islam berkenaan agama Allah SWT ini, sekali dengan tujuan untuk melaksanakan haji, yang akan tiba lebih kurang sebulan dari hari ini.


“Nampaknya peperangan lepas memberikan pukulan yang hebat terhadap Utopia. Sudah hampir 6 bulan mereka tidak bertindak balas.” Ezakiel membuka topik baru sambil memandang End.


End tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia mempunyai kebiasaan untuk mengunci bicaranya, dan tidak memaparkan riak wajah, bahkan dia pernah disangka bisu selama ini. Tinggalnya bila dia telah memeluk Agama Langit, kadanngkala dia akan bersuara, dan ada masanya dia memaparkan juga riak wajahnya.


“Mengenali Sang Asura, aku amat yakin yang dia sedang merancang sesuatu. Dia sedang mengumpulkan kekuatan.” Izrayel menyuakan pandangannya.


Angkasa mengangguk. Sang Asura pasti tidak akan berdiam diri. Pasti ada sesuatu yang sedang dikerjakannya di Tanah Sejuk sana.


“Perhimpunan Agung para panglima dan pahlawan akan berlangsung selepas sahaja selesai ibadah Ibadah Haji. Di sana kita akan bincangkan perancangan kita untuk berhadapan dengan Utopia.” Angkasa memberitahu.


Semua terangguk-angguk, kecuali End. Hal ini sudah diketahui mereka kerana mereka akan terlibat sama.


“Dengan maklumat yang telah Angkasa Sakti sebelum kau kongsikan, kita memang ada peluang untuk menumpaskan Sang Asura.” Izrayel memberikan reaksi. Harapan tak pernah malap.


“Assalamu’alaikum.” Tiba-tiba sembang mereka dicelah oleh satu suara yang tidak asing lagi. Semua menangkat wajah, memandang pemilik suara.


Ruh Faizan, diiringi Mughirah Syu’bah dan Khalid Al-Walid, sedang bergerak ke arah mereka. Selepas beberapa tapak, manusia yang penuh karisma dan berkaliber ini sudah berdiri amat hampir dengan mereka. Angkasa mahu berdiri, begitu juga dengan yang lain-lain, namun Ruh Faizan segera menahan dan mengajak semua duduk bersamanya, sebelum dia juga turut duduk, kecuali Mughirah Syu’bah dan Khalid Al-Walid yang menolak pelawaan itu dan memilih untuk berdiri sebagai pengawal.


“Mereka komited dengan kerja.” Ruh Faizan berseloroh. Semua tertawa kecil, dan seperti biasa, End sekadar tersenyum.


“Selamat datang Jeneral End, pemerintah Duarte. Maaf jika layanan di sini tidak seberapa. Terima kasih juga atas segala sumbangan Duarte untuk merealitikan suasana hari ini di sini.” Ruh Faizan menepuk mesra bahu bekas Jeneral Utopia itu. End sekadar menggeleng sambil kekal dengan senyuman. Tanpa bicara, dia memaparkan rasa berterima kasih yang amat tinggi kepada Ruh Faizan. Inilah manusia yang membuka hatinya, dan menariknya dari kegelapan kepada cahaya. End mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap Ruh Faizan.


“Musim haji semakin hampir ya?” Ruh Faizan memandang sekeliling. Nampak rasa puas terpapar pada wajahnya.


“Tuanku sudah bersedia untuk menggepalai semua jemaah? Tuanku adalah imam kami nanti.” Tok Akram bersuara.


Ruh Faizan mengukir senyuman luas. “Tidaklah aku rasa diriku ini layak, tetapi akan kuusahakan sebaik mungkin, Tok Akram. Terima kasih atas didikan dan kepercayaan para kiai berikan selama ini kepadaku.”


“Aku memang teruja dengan musim haji yang akan tiba ini. Aku mahu ianya menjadi medan untuk seluruh ummat Agama Langit menyatukan jiwa dan raga mereka, fokus untuk menjadi khalifah di atas muka bumi Allah SWT dengan baik, seterusnya memenangi perjuangan ini untuk membina dunia yang lebih baik pada masa mendatang.”


Mata Ezakiel tidak berkelip. Terpana dengan bicara Ruh Faizan, dan dia memang tidak menyangka Raja kepada Tanah Suci ini sedang duduk santai bersamanya. Namun itulah dia Ruh Faizan, seorang yang merendah diri, dan hampir sahaja kadang orang terlupa bahawa dialah pemerintah Tanah Suci.


Tiba-tiba Ruh Faizan kelihatan sedikit gusar. “Tetapi ada satu perkara memberikan kerisauan kepadaku.” Suasana jadi sedikit dingin. Dia memandang End di sebelah kirinya, dan kemudian Angkasa, Izrayel, Tok Akram dan Ezakiel di sebelah kanannya.


“Aku amat risau jika Utopia menyerang kita semasa menunaikan Haji. Aku risaukan keselamatan para jemaah Haji dan juga seluruh rakyat. Dia boleh sahaja menyerang Tanah Suci, atau dia boleh juga menyerang wilayah-wilayah lain, yang kebanyakan perwiranya akan ke mari untuk menunaikan Haji dan juga menghadiri Perhimpunan Agung kita.”


Apa yang diluahkan ada kebenarannnya.


“Tuanku,” Mughirah Syu’bah, genius perang dan pakar strategi mencelah. Dia seorang yang masih lagi muda belia, sering tersenyum sebagaimana wajahnya sekarang. Amat sukar hendak melihat kerisauan terpapar pada riak wajahnya.


“Jangan risau, itu semua sudah kita ambil kira, dan saya sendiri sudah mengusahakan apa yang patut untuk berhadapan dengan segala kemungkinan, insyaAllah. Dan kita juga tahu bahawa Sang Asura tidak akan turun sendiri untuk hal ini.”


Kelihatan Ruh Faizan menarik nafas lega. “Alhamdulillah, jiwaku sedikit tenang mendengarnya.”


Khalid Al-Walid menepuk dada Syu’bah. Mengucapkan tahniah tanpa suara. Syu’bah terus dengan senyumannya, berdiri bersama Khalid, mengawal sambil menikmati suasana.


“Ayahanda jangan risau.” Angkasa tiba-tiba bersuara. Ruh Faizan fokus kepadanya. Begitu juga dengan yang lain.


“Anakanda dan rakan-rakan, kita semua akan usahakan yang terbaik. Sambil itu kita perkasakan tawakkal kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya kita telah berusaha yang terbaik, dan Allah SWT jualah yang akan menunaikan janji-janjiNya kepada kita.” Yakin. Mata Angkasa tidak memaparkan sedikit pun keraguan.


Ruh Faizan kembali tersenyum lebar, dan begitu juga Tok Akram, Ezakiel, dan Izrayel. Mughirah Syu’bah dan Khalid Al-Walid juga tersenyum, walaupun wajah mereka tidak menghadap Angkasa. Mendengar sahaja sudah cukup menggembirakan jiwa. Dan End pada ketika ini tertawa kecil.


Membuatkan semua memandang kepadanya, termasuk Syu’bah dan Khalid.


“Kita akan hargai masa sebelum haji ini dengan berlatih, Angkasa.” End bersuara dan memandang anak angkat Kiai Suci itu. “Betul kan Izrayel?”


Izrayel mengangguk. Memang itu antara tujuan utama End ke mari.


“Kami tidak akan berbelas kasihan kepada kau ya budak.” Izrayel menepuk kuat belakang Angkasa.


Angkasa sekadar tertawa.


Kemanisan suasana hari ini, dia berdoa agar ianya tidak hilang selama-lamanya.


Dia akan mempertahankannya.


Dengan izin Allah SWT.


 


*******


 


Angkasa berjalan pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, beberapa kali langkahannya terhenti kerana disapa oleh orang ramai. Baik manusia, makhluk genetik atau kaum gergasi, bagi yang mengenalinya, akan menyapa dengan mesra.


Dia sendiri telah beberapa kali, dalam 6 bulan ini, ditugaskan unntuk memberikan tazkirah di Kaabah, selepas Subuh. Sebuah tugas yang selama ini digerakkan oleh Ruh Faizan seorang, dan kini sekali sekala diserahkan kepadanya.


Teringat dia kepada Bapa.


“Bapa, alangkah indahnya jika engkau ada bersama kini.”


Terjemahan akhlak yang indah daripada lelaki itu tidak akan sesekali dilupakannya. Dalam tegas melatih dirinya menjadi muslim yang baik dan seorang pendekar, Kiai Suci merupakan seorang bapa yang penyayang. Sedar tidak sedar, sudah lama dia mengorak langkah memulakan perjalanan, meninggalkan rumah mereka, berpisah dengan bapanya itu.


Kini Tanah Suci pula sudah seperti rumahnya sendiri.


Sebelum ini dia tidak pernah mempunyai tempat tinggal di Tanah Suci. Dia hanya menumpang rehat di kem tentera yang ada di sini setiap kali dia perlu menetap. Izrayel dan Ezakiel biasanya akan menemani dirinya. Tetapi kini kehidupannya telah berubah. Selepas peperangan 6 bulan yang lalu, dia dikurniakan rumah oleh Ruh Faizan. Begitu juga dengan Izrayel dan Ezakiel. Masing-masing mempunyai rumah sendiri di Tanah Suci sekarang.


Namun perubahan hidupnya bukan setakat itu sahaja…


“Balik pun.” Suara itu menepuk lembut gegendang telinganya. Suara yang mulus, yang halus, yang sering membuai jiwanya, yang membuatkan hatinya kembang dan jiwanya bahagia.


Angkasa keluar dari lamunan dan mengangkat wajahnya sambil melemparkan senyuman. Seoranng wanita, bertudung litup, dengan pakaian labuh menutup seluruh tubuh, bersarung tangan dan memakai ‘but’, disertai wajah yang amat menawan, ditambah pula dengan senyuman yang pada Angkasa menghampiri kesempurnaan, sedang berdiri di hadapan rumahnya.


Atau lebih tepat, rumah mereka.


“Wahai kekasih hatiku Puteri Maisarah, sudah lamakah adinda menunggu kanda?”


Puteri Maisarah tersenyum lebar, dan terus menghulurkan tangan, menarik Angkasa ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat. Dan mereka berdua berdakapan, seakan sudah berbulan tidak bertemu.


“Dinda baru sahaja hendak keluar tadi, fikir mahu bertemu dengan ayahanda.” Dakapan direnggangkan. Mereka duduk di kerusi berdekatan pintu masuk. Biasanya kerusi ini diduduki tetamu yang hadir ke mari.


Angkasa menebarkan pandangannya sebenar ke rumah mereka. Rumah ini sederhana sahaja. Satu ruang tamu, dua bilik, dan satu bilik air, cukuplah untuk dia dan kekasih hatinya. Ruh Faizan mempelawa mereka tinggal di istana, namun Angkasa menolak.


Tambahan, ‘istana’ Ruh Faizan juga tidak sebesar mana lagi seperti dahulu, kerana ianya telah berpindah ke satu tempat khas, dan bukan lagi di Masjid Al-Haram kerana pengubah suaian yang berlaku. Ruh Faizan telah memilih untuk istananya sederhana sahaja, hampir sahaja seperti rumah biasa. Maka jika Angkasa tinggal di sana, kemungkinan tempat itu akan lebih sempit, lebih lagi istana adalah tempat kebanyakan urusan rasmi Tanah Suci berlangsung.


“Kanda baru sahaja bertemu ayahanda tadi di Masjid Al-Haram.”


“Ah, ayahanda dengan rondaan hariannya.” Puteri Maisarah bersuara manja. Kepalanya dilentukkan pada dada Angkasa. Angkasa mengusap kepala isterinya.


“Kebiasaannya?” Angkasa sengaja bertanya, walaupun setiap kali dia berada di Tanah Suci ini, dia memang perasan itu merupakan rutin wajib buat Ruh Faizan.


“Semasa bonda masih hidup, bonda pernah bercerita bahawa itu adalah tabiat ayahanda semenjak remaja lagi. Bonda kata, ayahanda sudah merasakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin semenjak remaja, dan ayahanda menganggap tugas pemimpin adalah untuk bersama rakyat, bukan sekadar menjadi yang di atas sahaja.” Maisarah berkongsi.


Angkasa terangguk-angguk. Indah sungguh sikap mertuanya. Tidak hairan apabila melihatnya, Angkasa jadi teringat kepada bapa.


“Habis, masih nak bertemu ayahanda kah?” Angkasa bertanya, mengingatkan tujuan isterinya hendak keluar rumah tadi.


“Biarlah dinda peluk kanda lama sedikit. Bukan senang kita hendak berdua di rumah.” Puteri Maisarah mengeratkan dakapan pada pinggang Angkasa.


Angkasa tertawa.


Mereka telah bernikah 3 bulan yang lalu. Di majlis yang sederhana yang berlangsung di perkarangan Kaabah, sambil disaksikan seluruh rakyat Tanah Suci yang memenuhi Masjid Al-Haram, dia dinikahkan sendiri oleh Ruh Faizan sambil diperhatikan oleh Tok Akram, para panglima, Izrayel, Ezakiel dan lain-lain. End turut hadir meraikan hari yang indah itu.


Sebulan selepas tamat peperangan, dia membuat keputusan untuk melamar Puteri Maisarah, selepas dia beberapa kali mendapat mimpi yang lebih kurang serupa semasa kali pertama pertemuan mereka berlaku.


Awalnya dia agak keberatan, namun bila dikongsikan kepada Izrayel, bekas Ketua Jeneral Utopia itu berkata: “Hargailah keamanan ini. Kita belum tahu ia akan berpanjangan sehingga bila. Kahwinilah dia, dan habiskanlah waktu keamanan ini dengan kebahagiaan. Hidup bukan untuk berperang sahaja tahu.”


Dia membalas nasihat itu dengan seloroh ‘Engkau pula bila lagi?’ namun sekadar disambut dengan tawa oleh pendekar hebat itu. Cakap orang pandai, Angkasa masih ingat getusannya ketika itu. Namun atas nasihat Izrayel itulah, dia memberanikan diri pergi menghadap Ruh Faizan dan melamar Puteri Maisarah.


Memang Aizan Fahmi, abang kepada Puteri Maisarah sudah beberapa kali menggesanya, dengan menyatakan Puteri Maisarah juga menaruh perasaan terhadapnya.


Semuanya berjalan dengan lancar.


Dan tiada yang lebih menggembirakan dia selain dari memutuskan untuk membuat pilihan tersebut.


“Kanda?”


“Hah?” Angkasa terpinga-pinga. Dia larut jauh dalam memori.


“Teringat siapa tu?” Puteri Maisarah buat muka cemburu.


Angkasa tersenyum. “Anehnya, kanda teringat kepada dinda.”


“Ah, mulut manis.” Pipi Angkasa dicubit kuat. Angkasa memegang erat tangan isterinya, dan meletakkan pada pehanya. Puteri Maisarah kembali merehatkan kepalanya pada dada Angkasa.


“Kanda,”


“Ya dinda?”


“Sampai bila keamanan ini akan berkekalan?”


Angkasa terdiam. Suasana rumah mereka tiba-tiba seperti membeku. Soalan yang dirinya sendiri sering tanyakan.


“Jika Sang Asura tidak menyerang kita pun, kami telah membuat perancangan untuk menyerangnya di Tanah Sejuk. Kerana kita tidak boleh sentiasa menanti disergah. Buruk padahnya. Pastilah akan sampai waktunya untuk semua ini berakhir. Sama ada kemenangan di pihak kita, mahupun di pihaknya.” Angkasa berkongsi sedikit perkembangan.


Puteri Maisarah tahu akan perkara itu. Dia sendiri sebenarnya terlibat dengan peperangan ini secara langsung, kerana dia antara yang mengetuai para wanita untuk bahagian perubatan. Jika ditakdirkan mereka perlu menyerang Utopia, pasukan perubatan ini akan pergi bersama. Dan memang itu hajatnya, biar kalau perlu mati, dia mahu mati bersama Angkasa di medan perang.


Tetapi…


“Kanda, dinda ada satu berita.” Puteri Maisarah mengangkat mata, memandang Angkasa.


“Ya?” Mata mereka berdua bertaut.


Puteri Maisarah memegang tangan Angkasa, dan membawa ke perutnya sambil menggerakkan tangan Angkasa itu mengusapinya.


Mata Angkasa membesar.


Puteri Maisarah tersenyum lebar. Mengangguk.


“Allahuakbar.” Angkasa terus memeluk erat isterinya, mengucup pipi perempuan yang sangat dicintainya itu, kemudian melekapkan pipinya ke pipi Puteri Maisarah. “Ya Allah, semoga Allah SWT membesarkannya sebagai seorang manusia yang soleh atau solehah!”


Gembira tidak terkata.


Namun kegembiraan itu seperti tidak lama. Perlahan-lahan senyumannya kendur. Matanya kembali bertaut dengan isterinya. Nampak isterinya juga seperti sedikit durja.


Ya, peperangan akan berlaku bila-bila masa sahaja.


Sempatkah zuriatnya ini menjenguk dunia?


 


*****


Tanah Sejuk. Bumi Beku. Istana Hitam. Pelbagai nama. Pusat Pemerintahan Kerajaan Utopia, yang dahulunya meliputi seluruh bumi ini kecuali Tanah Suci, Bumi Barokah, Chinmayi dan Uftzi. Kini tinggal tempat ini dan Wilayah Amara sahaja selepas peperangan 6 bulan yang lepas.


Dari sebuah kerajaan yang teramat digeruni, kepada dua wilayah yang seperti tidak punya apa-apa kekuatan, terpencil di hujung dunia, lebih-lebih lagi Tanah Sejuk yang tidak punya penghuni kecuali Sang Asura dan isi istananya sahaja.


Itupun apa yang menjadi isi istananya?


Dia, makhluk-makhluk genetik hasil ciptaannya, dan kini ditambah dengan Valdis dan Rafael yang terselamat dari dikorbankan pada peperangan yang lepas.


Sang Asura diam berteleku pada singgahsananya. Hari ini dia membuat keputusan untuk memulakan langkahan. Langkahan untuk memusnahkan musuh-musuhnya, mereka yang cuba mencabar kekuasaannya. Mereka yang padanya tidak sedar diri akan kehinaan sendiri. Mereka yang sebelum ini zalim dan khianat kepadanya, kepada bumi ini. Kini mereka mahu berkuasa kembali, dan Sang Asura bersumpah tidak akan sesekali membiarkan ianya terjadi.


“Rafael, Valdis, ke mari!” Sang Asura melaung. Balai menghadap itu bergegar dengan suaranya yang lantang, disertai aura yang dasyat lagi menakutkan.


Ketika itu juga, angin menderu kencang, dan Rafael bersama Valdis muncul, melangkah pantas, dan terus tunduk melutut di hadapannya. Keadaan tubuh mereka sudah berbeza. Mereka dilengkapi zirah baru, dan tangan serta kaki mereka sudah menjadi seperti robotik. Pemegang cemeti milik Valdis juga baru, begitulah juga pedang kembar milik Rafael. Masing-masing kemas pada pinggang dan belakang tubuh tuannya.


“Bagaimana keadaan kamu berdua?”


“Sangat sangat berbeza tuanku.” Valdis pantas menjawab.


“Hihihi.” Rafael tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. “Mungkin dengan kekuatan ini, kami setanding dengan Long…”


Tiba-tiba aura yang tidak kurang dasyatnya memenuhi ruang menghadap. Rafael tersentak, membuatkan kalamnya seperti dibelah pedang tidak terlihat.


“Jangan bermimpi jahanam.” Dia melihat kaki tuan punya suara, berhenti di sebelahnya, dan kemudian melutut sepertinya. Long Berk.


“Rafael, keangkuhan kau adalah puncanya engkau tewas tempoh hari.” Sang Asura mendengus.


Terus wajah Rafael berkeringat. Takut. Kegembiraannya menjadi tumpul.


“6 bulan ini, aku telah perbaiki dan memperkasakan kamu berdua, Valdis dan Rafael. Jangan persia-siakan peluang ini, kerana aku tidak akan sesekali memberikannya lagi.” Sang Asura sengaja melempiaskan auranya, membuatkan suasana tambah menekan. Rafael dan Valdis lebih tertunduk, manakala Long Berk berlagak tenang.


“Apakah masanya telah sampai tuanku?” Long Berk bertanya.


Sang Asura mendengus.


“Ya, kita akan ajar mereka kali ini, sehingga mereka benar-benar rasa tiada harapan lagi.” Penumbuknya dikepal seerat mungkin, dan lantai balai menghadap bergetar serentak dengan tindakan itu. Kekuasaannya memang di luar dugaan sesiapa.


“Aku mahu pastikan yang mereka tidak akan sesekali bangkit semula.” Kepalan itu dilepaskan. Sang Asura berpaling, dan menghenyakkan punggungnya di singgahsana. Tangan kanan menongkat dagu. Dia memandang tepat kepada tiga jeneralnya.


“Bersiap sedia semua.” Dia bersuara dingin.


“Baik Tuanku!” Valdis, Rafael dan Long Berk menjawab serentak.


Ribut taufan yang amat dasyat nampaknya bakal menjelma tidak berapa lama lagi.


==================================


1957707_886013578100140_4428239793563905008_o


 




YouthACE 2015


Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.


Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”

Tarikh: 25hb & 26hb April 2015

Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)


Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/


Harga asal: RM180

Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):


*RM100

*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.


Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.


Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!


—————————

Tentatif

—————————


MC sepanjang program – Aiman Azlan


HARI PERTAMA -


08.00AM – Pendaftaran

09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan


10.00AM – Rehat


10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir


11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project


12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)


01.00PM – Rehat


02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan


Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid

Panel 2: Saudara Jufitri Joha

Panel 3: Saudari Amnani Akhili


04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)


04.30PM – Rehat


05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)


07.00PM – Rehat


08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi


09.15PM – Sesi LangitIlahi

- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf

- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi

- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi


10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana

10.30PM – Bersurai


HARI KEDUA –


08.00AM – Slot 6: Pentas Belia


09.00AM – Rehat


09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah


10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara

Moderator: Saudara Hafizul Faiz

Panel 1 – Wan Ahmad Faysal

Panel 2 – Dr Maszlee Malik


12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf


01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai


——————————-

Pertandingan

——————————-


YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.


Kategori yang dipertandingkan ialah:


InstaVlog

Penulisan Cerpen

Penulisan Artikel

Filem Pendek

Poster

Foto

Spoken Words

Essay

Nasyid

Komik


Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:

http://youthace.langitilahi.com/awards/


——————————-

Peluang Tajaan

——————————-


Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.


Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.


——————————————–


Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.


Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.


YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.


Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4


Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo


Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!


Jom bersama kami!


Belia Mencorak Masa Hadapan!


 


 


The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 08, 2014 20:20
No comments have been added yet.