Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2
Sampai kita ke Cheritera 2.
Apa macam setakat ini?
Mohon komen dan pandangan.
Mohon doa dan sokongan.
Cheritera 2
Midori. Atau semenjak 6 bulan yang lepas lebih dikenali sebagai Neo-Chinmayi. Sebuah wilayah yang sangat hijau lagi indah. Walaupun tidak seratus peratus seperti Chinmayi yang lama, ianya mirip. Chinmayi yang lama, para penduduknya tinggal di rumah pokok, namun di Midori rakyatnya hidup di rumah tanah seperti di wilayah-wilayah lain. Tinggalnya, Midori sangat hijau, rumput menghampari setiap inci wilayah ini, disertai tasik-tasik yang menyejukkan pandangan, dan pokok-pokok hampir sahaja menutup seluruh pandangan ke langit.
Midori boleh dikatakan agak sederhana. Tidak semaju Duarte di bawah pimpinan End Less, namun tidak pula mundur seperti Ethan yang dahulunya dijaga oleh O Zero.
Kini, Midori telah bertukar nama menjadi Neo-Chinmayi, dan diperintah oleh Raja Ali, pemerintah Chinmayi, dengan para penduduk Chinmayi kini hidup bersama dengan penduduk asal di sini. Sebahagian penduduk berpindah ke Amara kerana mereka masih setia kepada Rafael dan Kerajaan Utopia, tetapi majoriti penduduk tetap tinggal di sini dan mengalu-alukan rakyat Chinmayi serta pemerintahan baru. Nampaknya pemerintahan zalim Rafael dan Kerajaan Utopia bukan diminati oleh semua.
Di salah satu kawasan lapang yang dikelilingi pokok-pokok yang besar dan punya tasik yang indah, kelihatan dua orang pemuda sedang bertempur sesama sendiri hingga menyebabkan mergastua yang tinggal di sekitarnya lari meninggalkan rumah masing-masing.
Panah-panah meluncur laju tidak berhenti. Namun semuanya tidak dapat mencederakan sasaran, bahkan dikesampingkan dan terpacak pada pokok-pokok, permukaann tanah serta ada juga yang tenggelam ke dasar tasik.
Serangan panah tadi terhenti seketika, dan pemuda yang menjadi sasaran panah tadi siap siaga dengan tombaknya. Dia tidak melepaskan kekudanya, dan tangan kiri sedang mengalunkan bunga tari persilatannya.
Bunyi berdesup membuatkan dirinya bereaksi. Beberapa anak panah datang ke arahnya dalam keadaan melencong. Dia tidak sempat memanipulasikan tombaknya, lantas di saat akhir dia melentukkan badannya ke belakang, dan melakukan lompatan balik kuang. Hampir sahaja panah-panah itu menjamah dagunya, namun dia dan panah-panah itu dipisahkan jarak lebih kurang seinci, lantas terselamat dia dari mata panah nan runcing itu.
Sebaik sahaja kedua tapak kakinya menyentuh bumi, dia tidak menanti lama, terus dia melompat dan melibas tombaknya sekuat hati ke tanah. Gegaran yang amat kuat berlaku, tanah terbelah dan batu-batannya terangkat lurus ke satu arah. Sebuah pokok gergasi menjadi mangsa serangan tersebut, hampir sahaja ianya tumbang.
Ketika ini pemuda yang sedang memegang kemas busur kelihatan keluar dari persembunyiannya di pokok gergasi itu. “Menakutkan! Haha.”
“Ashok, kau jangan ingat akan selamat hanya dengan bermain jarak jauh!” Pemuda bertombak melaung kepada Ashoka, pemanah genius Chinmayi, dan merupakan salah seorang panglimanya.
Ashoka kembali menjejak tanah. “Panah-panahku telah mengalami peningkatan dalam 6 bulan ini. Jangan terlalu selesa!” Dia berguling mengelak ‘bilah angin’ yang dilancarkan oleh pemuda bertombak dari jauh. Sambil Ashoka berguling, dia mengambil sebatang panah dan kemudian bilah panah itu dipadankan dengan satu bahan yang diambil dari kantung pada pinggangnya. Bila Ashoka bangkit dari gulingannya, dia tidak membazir walau sesaat masa, dan melepaskan panahannya.
Pemuda bertombak mengelak, sekali lagi di saat akhir dek kepantasan serangan yang diluncurkan oleh Ashoka.
“Ashok Si Pemanah Genius Chinmayi tidak mengenai sasaran? Pelik ni.” Pemuda Bertombak menyakat.
“Aku tidak pernah terlepas dari sasaranku wahai Arnav!” Ashoka menjerit.
Mata Arnav terbeliak. Tanpa melihat ke belakang, dia terus berguling ke hadapan, dan sebuah letupan sederhana besar berlaku, menyebabkan gulingannya terganggu dek gelombang letupan tersebut. Rupa-rupanya Ashoka telah menyambung alat peletup pada anak panahnya. Tetapi dia tidak cepat panik, Arnav membiarkan tubuhnya dibawa gelombang letupan, dan dengan daya yang terhasil dari gelombang tersebut, dia menampar tanah dan kini berada di atas Ashoka.
“Jaga-jaga Ashok!” Seluruh auranya dipusatkan pada mata tombak, dan Arnav sudah bersedia untuk melancarkan serangan terhebatnya.
“Kau yang patut berjaga-jaga sahabatku!” Ashoka tidak berganjak, tetapi mempersiapkan tiga anak panah dan menghalakannya ke udara, tepat ke arah Arnav.
Mereka semakin hampir untuk bertembung. Namun di saat akhir, Ashoka menurunkan busurnya, manakala aura milik Arnav susut dengan sendirinya, dan Arnav mendarat di sisi Ashoka, melutut. Terus tombaknya dipacakkan ke tanah. Arnav mendongak dan melihat Ashoka menghulurkan tangan. Tangan sahabatnya itu dicapai, dan Ashoka membantu Arnav untuk bangun.
Sebentar mereka bertentang mata, dan bunyi mergastua di sekeliling mereka mengisi suasana.
Kemudian mereka berdua tertawa kuat bersama.
“Banyak peningkatan ya!” Arnav menepuk bahu Ashoka. “Panah yang boleh meletup, siapa sangka?”
Ashoka menggeleng. “Kau pun apa kurangnya. Sejak bila seni tombak dan persilatan kau jadi begitu dasyat sekali?” Dada Arnav ditumbuk lembut oleh Ashoka.
“Raja Ali melatihku dengan sangat ketat dan dasyat 6 bulan ini. Katanya dia sudah semakin tua dan dia mahu memperturunkan segala seni tombak ini kepadaku. Ah, kau apa kurangnya, pasti Pertapa Arjuna melatihmu dengan latihan yang berat juga bukan?”
Ashoka tersenyum. “Pertapa Arjuna, nampak sahaja santai. Guruku itu bila melatihku, tidak pernah memberikan yang ringan-ringan.”
“Aku paling tidak sangka panah engkau boleh meletup sekarang.”
“Kau belum tengok yang lain-lain lagi. Kalau diteruskan pertarungan tadi, engkau pasti tewas Arnav.”
“Ah, jangan berlagak.”
“Aku hanya bercakap yang benar.”
Mereka berdua tertawa lagi. Mereka sahabat yang sangat akrab. Kedua-duanya panglima Chinmayi, dan kedua-duanya telah mengharungi pelbagai dugaan serta cabaran bersama-sama. Paling tidak dilupakan, adalah apabila seluruh tentera Chinmayi yang menyerang Ethan ditumbangkan oleh Sang Asura seorang diri. Mujur muncul Kiai Sunyi menyelamatkan mereka berdua, dengan izin Allah SWT. Dari sana, sekali lagi mereka berdua berkongsi pengalaman hidup yang amat menakjubkan.
6 bulan ini mereka telah dilatih oleh guru masing-masing, dan mereka belum pernah lagi bertarung sesama sendiri untuk memerhatikan kekuatan masing-masing dalam jangka masa itu. Jika bertemu pun, untuk urusan kerja. Kerja mereka telah bertambah memandangkan mereka berdua adalah panglima yang tinggal selepas yang lain-lainnya terkorban pada peperangan yang lepas.
“Sedang berlatih, atau sedang bermain-main?” Satu suara menyapa, membuatkan tawa mereka berdua terhenti. Arnav dan Ashoka sama-sama memandang ke satu arah. Arah suara itu tiba.
Kelihatan Pertapa Arjuna sedang bersandar pada sebatang pokok tidak jauh daripada tempat mereka berlatih. Sepertinya dia telah lama berada di situ memerhatikan mereka berdua semenjak tadi.
“Ah, Guru.” Ashoka berlari anak mahu mendapatkan Pertapa Arjuna. Tetapi Kiai Hutan itu mengangkat tangan, isyarat agar anak muridnya tidak bersusah payah mendapatkannya. Pertapa Arjuna sendiri bergerak ke arah mereka berdua.
“Ashoka, aku berpendapat latihan kita telah berakhir. Segalanya telah aku perturunkan, dan aku lihat engkau telah berjaya menyantuninya dengan baik sebentar tadi.” Ujar Pertapa Arjuna sebaik sahaja dia berdiri betul-betul di hadapan Ashoka dan Arnav.
“Arnav, ilmu tombak dan persilatan kau yang terkini sangat dasyat nampaknya. Raja Ali telah melatih kau dengan baik. Bagus.” Bahu Arnav ditepuk-tepuk.
“Agama ini memerlukan kekuatan kamu berdua, kita semua. Chinmayi ini memerlukan kita semua.” Pertapa Arjuna mengingatkan. Arnav dan Ashoka mengangguk.
Mereka bertiga kemudiannya perlahan-lahan bergerak meninggalkan tapak latihan. Ashoka mencadangkan agar mereka merehatkan diri dengan minum-minum sambil bersembang di sebuah kedai yang tidak terlalu jauh dari tempat mereka berlatih. Cadangan itu disambut baik oleh Arnav dan Pertapa Arjuna.
“Sekarang kita bukan lagi hanya sepasukan manusia eh?” Arnav membuka bicara, memecah bunyi mergastua yang menemani perjalanan mereka.
“Sekarang penganut agama langit ini bukan lagi manusia semata-mata. Kaum gergasi dan makhluk genetik juga telah bersama kita sekarang. Meriah sungguh.” Ashoka tertawa sendiri.
“Dahulu, manusia bertelagah atas perbezaan sesama mereka. Kulit cerah, kulit hitam, berlainan bangsa dan negara, berlainan pegangan mazhab dan agama. Masing-masing mahu merasakan diri mereka lebih dari yang lain. Banyak sengketa yang sia-sia terbit hanya kerana tidak reti menghormati perbezaan.” Pertapa Arjuna bersuara.
“Di dalam Agama ini, Allah SWT telah menegaskan bahawa semua manusia itu tiada yang lebih mulia satu sama lain, melainkan yang lebih bertaqwa. Dan taqwa itu pula bukan untuk kita mengukurnya, ianya hanya milik Allah SWT untuk dinilai. Justeru apa yang sepatutnya kita sebagai manusia usahakan ialah saling memperdalamkan kenal dan bantu membantu sesama kita ke arah kebaikan.” Kiai Hutan itu menambah.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.
“Dan aku masih ingat dengan kemas akan sabda Utusan Langit Terakhir: Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan. Kalam ini diriwayatkan Ahmad.” Tambah Pertapa Arjuna lagi.
Arnav dan Ashoka mendengar dengan khusyuk. Indahnya Islam yang meraikan perbezaan, dan memberikan fokus yang lebih besar dari kelebihan zahir. Agama yang benar-benar kena dengan fitrah manusia yang mahukan hidup nan aman dan harmoni sesama mereka. Agama yang memberikan semua pelantar yang serupa untuk sama-sama berdiri, walaupun punya pelbagai perbezaan.
“Bahkan, Agama Langit ini juga mendidik kita untuk menghormati agama lain. Sebab itu kita tidak sewenang-wenangnya membunuh orang-orang yang berbeza agama dengan kita. Melainkan mereka melancarkan perang terhadap kita. Tetapi jika mereka sudi duduk bekerjasama dengan kita, hidup harmoni bersama kita, kita tidak sesekali berhak menganggu mereka. Bahkan ketika perang, Agama Langit melarang penganutnya menganggu rumah-rumah ibadat agama lain.”
“Wah wah Guru, kalau disuruh mengaku Kiai, tak mahu.” Ashoka bercanda. Tidak hilang langsung sikap suka berguraunya.
Pertapa Arjuna tersengih. “Kami sebagai Kiai, hanya manusia biasa sahaja Ashoka. Tiada apa yang istimewa. Generasi ini melihat para kiai adalah kami bersembilan, Kiai Songo, dan kelihatan gelaran itu seperti istimewa untuk kami. Bahkan ada yang melihat kami ini ‘ajaib’, sakti. Sedang kami hanya manusia biasa, dan sebelum kami sudah ada segolongan besar kiai, ulama’, ahli agama yang tidak kurang jahatnya, dan antara menjadi punca kepada kelahiran makhluk seperti Sang Asura.” Wajah Pertapa Arjuna berkerut.
Tawa Ashoka terpotong. Arnav pula semakin serius memasang telinga.
“Balik kepada hal perbezaan tadi juga akhirnya, yang sebenarnya paling mulia adalah yang paling bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa adalah ketundukan, taqwa adalah sikap berhati-hati untuk hidup dan mentaati Allah SWT, taqwa adalah takut kepada Allah SWT. Itu yang menjadi pembeda antara yang mulia dan yang hina. Allah jualah sahaja yang mampu menilai ketaqwaan ini, tugas kita hanya berusaha memperkasakannya.”
“MasyaAllah, terima kasih Pertapa Arjuna kerana berkongsi.” Arnav akhirnya bersuara. Dia benar-benar seperti ‘terisi’, dan ketika ini dia melihat betapa Agama Langit menjadi harapan untuk menyatukan segala rencam yang ada di atas muka bumi ini, mengembalikan keharmonian dan membawa keamanan dalam segenap kehidupan makhluk.
Mereka akhirnya sampai ke kedai yang dituju. Ramai pelanggannya. Kedai ini juga besar, menjadikannya tempat untuk kaum gergasi yang singgah ke mari untuk bersantai juga. Kelihatan makhluk-makhluk genetik pelbagai rupa dan keadaan, turut ada bersama. Suasana meriah dengan kepelbagaian. Arnav memandang Ashoka, sama-sama bertentang mata, dan kemudian berbalas senyum.
Harmoni.
Agama Langit memandu hidup semuanya, membuatkan suasana sebegini muncul dengan begitu cantik sekali. “Semoga ini semua kekal, insyaAllah.” Getus hati Arnav, sepuncak harapan dan impian, diluahkan dalam bentuk doa dan tawakkal, moga direalitikan Tuhan.
Mereka mencari meja kosong, dan duduk. Minuman dipesan. Beberapa manusia, makhluk genetik dan kaum gergasi yang kenal dengan mereka memberikan sapaan. Arnav dan Ashoka memang sangat dikenali ramai kerana boleh dikatakan mereka berdualah yang banyak menguruskan hal-hal di Neo-Chinmayi ini sekarang. Namun bila mereka berpakaian marhaen seperti sekarang, tidak ramai yang perasan. Mereka lebih dikenali saat menyarung zirah panglima Chinmayi.
“Guru, kebetulan guru berada di sini, aku ingin bertanya akan bilakah kita bertolak ke Tanah Suci untuk Haji dan Perhimpunan Agung para perwira?” Ashoka melontar soalan.
“Kita akan bertolak tujuh hari dari sekarang.”
“Ah, kita akan ada masa sebelum Haji berlangsung? Aku sangat teruja kerana ini pertama kali aku melaksanakannya. Bukankah begitu Arnav?” Ashoka membunga senyum.
Arnav mengangguk. Selama ini dia hanya membaca dan belajar mengenainya.
Pertapa Arjuna turut tersenyum.
“Aku juga sudah lama tidak melaksanakannya.” Seakan terpancur rasa rindu yang teramat dari bicaranya itu. “Kamu akan melihat sesuatu yang jauh lebih indah dari keharmonian di kedai ini hari ini di sana nanti.”
“Jika Kerajaan Utopia berani menganggu hari itu, tahulah mereka.” Ashoka buat gaya geram.
Arnav tertawa. Ada-ada sahaja Ashoka ini.
“Tempoh hari pun kita selamat kerana Allah SWT izinkan Kiai Sunyi menyelamatkan kita.” Arnav menyakat.
“Ah, kau ni Arnav. Kita telah jauh berbeza lah!” Ashoka mencebik.
Pertapa Arjuna sekadar tersenyum melihat anak muridnya dan Arnav.
Generasi baru, harapan baru.
******
Lapangan Latihan untuk para tentera di Tanah Suci kelihatan dikelilingi pelbagai orang. Manusia, makhluk genetik dan beberapa kaum gergasi kelihatan khusyuk duduk memerhatikan apa yang berlaku di tengah lapangan itu.
Suasana lapangan tersebut sangat berkecamuk. Debu-debu memenuhi ruang udara, dan lapangan itu tidak lagi rata kerana punya lubang dan bongkahan batu di sini dan sana.
“Hei hei hei, bangun budak!” Kabus debu dicarik sebilah pedang sumbing. Izrayel keluar dari kepulan debu dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar hitam panjang tanpa sepatu.
Kelihatan Angkasa yang sedang menopang tubuhnya dengan kedua-dua belah tangan. Keringat membasahi wajah, dan baju tanpa lengan khas untuk latihannya sudah lencun dengan peluh. Pedang warisan bapanya terpacak di hadapan, menjadi pemisah antara dirinya dan Izrayel.
“Argh!” Angkasa meluruskan tangan, dan pedangnya terus terpelanting meluru ke arah Izrayel. Izrayel menampan pedang itu dengan senjatanya. Pedang Angkasa berputar-putar sebentar di udara, sebelum terpacak kembali ke tanah. Izrayel memandang semula kepada Angkasa, dan melihat Angkasa sudah berada di hadapannya, terapung sedikit di udara, dengan penumbuk yang kelihatannya penuh kuasa.
Tetapi Izrayel tidak cemas, langkahnya kemas. Dengan tenang lagi bersahaja dia mengelak dengan hanya menggerakkan tubuhnya, kakinya selangkah ke kiri. Tumbukan Angkasa telah tersasara. Angkasa tidak berhenti di situ, diputarkan bahagian atas pinggangnya, dan kaki kiri mengikut gerakan itu melibas tubuh Izrayel. Sekali lagi Izrayel menahan sepakan Angkasa itu dengan tidak bersusah payah.
“Ah, nampaknya serangan kau makin padu budak.” Izrayel terus menangkap kaki Angkasa itu dengan tangan kirinya, kemudian menggerakkan pantas tangan kanannya melibas senjata sumbing kesayangannya.
“Huargh!” Angkasa menyiku kuat pinggang Izrayel yang terdedah. Membuatkan cengkaman Pendekar Berdosa itu pada kakinya terlepas, dan libasan Izrayel tadi terganggu. Izrayel terjarak beberapa langkah ke belakang. Angkasa mengambil peluang ini dengan terus berguling ke arah senjatanya. Pedang warisan bapa disambar.
Namun belum sempat dia berehat mengatur nafas, terasa dirinya diserbu aura yang dasyat.
Kabus debu terus menghilang, seakan memberi ruang kepada penyerang yang kini telah muncul di atas Angkasa bersama Tombak Tiga Matanya.
End Less!
Aura yang padat lagi menggerunkan tertumpu pada tiga mata senjatanya, menjunam laju ke arah Angkasa. Dirinya punya dua pilihan, sama ada berhadapan terus dengan serangan End, atau mengelak. Sepintas masa, dia membuat pilihan.
“Huh!” Angkasa mengangkat pedang warisan bapanya, dengan lengan kirinya menahan belakang bilah senjatanya itu.
Senjatanya dan Tombak Tiga Mata milik End bertembung. Menghasilkan bunyi yang sangat menggegak gempita. Kakinya terbenam dan dia sedikit tertunduk. Tanah di persekitarannya merekah, dan bongkah tanah terangkat sedikit ke permukaan.
End mendarat di hadapannya, dan belum sempat dia hendak melibas senjatanya ke arah Pemerintah Duarte itu, End lebih pantas memanipulasikan Tombak Tiga Mata dengan menekan senjata Angkasa ke tanah, sebelum tubuh bekas Jeneral Utopia itu berpusing dan tendangannya mendarat ke perut Angkasa.
Angkasa terpelanting beberapa depa, sebelum mendarat dan terseret hingga melanggar penghadapng lapangan latihan.
Suasana berdebu semakin kurang kepekatannya. Kebanyakan debu mula tidak lagi terapung di udara, dan jatuh kerana beratnya aura gabungan End dan Izrayel. Penonton-penonton diam dan kelu melihat kedasyatan yang terpampang di hadapan mata mereka.
“Urgh.” Angkasa memegang kepalanya, yang terasa seperti dihentak berkali-kali, walaupun sebenarnya yang baru diserang adalah bahagian perutnya. Entah mengapa, kesakitan pada kepalanya berkali ganda lebih terasa.
Matanya sedikit berpinar.
“Belum boleh rehat lagi!” Dia samar-samar melihat Izrayel yang telah melompat ke arahnya, siap siaga menusuk pedang sumbing itu kepadanya.
Angkasa mengerah segala kekuatan, aura dikumpul dan nafas diatur.
“Aku takkan mengalah!” Dia berteriak. Izrayel di tengah udara tersengih. Tidak menghentikan serangannya yang semakin menghampiri Angkasa.
Angkasa mengelak sekadar seinci, membiarkan pedang sumbing Izrayel menusuk dinding tempat dia bersandar. Terus tangan Izrayel yang memegang senjata itu ditangkap erat. Angkasa memutarkan tubuhnya, membanting tubuh Izrayel ke dinding yang sudah hancur itu. Bekas Pendekar Berdosa itu sedikit tersentak.
Angkasa terus menyepak tangan Izrayel, menyebabkan pedang sumbingnya terlepas. Dan kala senjata itu sedang terawang di udara, Angkasa melepaskan sebuah tumbukan yang dasyat.
“Tumbukan alam!” Tepat melandas pada dada Izrayel. Membuatkan mata pendekar itu terbelalak sedikit, seperti terkejut. Angkasa pula tidak berehat, dia menggunakan daya serangan itu untuk melancarkan dirinya dengan jarak beberapa depa dari Izrayel. Bukan kerana hendak menjauhi Izrayel, tetapi kerana End telah bersiap hendak melancarkan serangan terhadapnya. Dengan berbuat demikian, dia telah memintas End dan membantutkan pergerakan pemerintah Duarte itu.
End melibas senjatanya, Angkasa yang baru sahaja mendarat terus menggunakan saki baki daya tadi untuk berguling, menyambar kembali senjatanya yang ditekan End sebentar tadi.
“Pancung langit!” Angkasa melepaskan seni yang dipelajarinya daripada Panglima Terasing atau Kiai Langit sebaik sahaja dia menggapai hulu senjatanya.
Pada saat terakhir, End menahan serangan yang berteraskan angin bergabung aura itu dengan senjatanya. Membuatkan dirinya terpelanting sebentar sebelum terseret beberapa depa ke belakang. Namun dia tidak tumbang. Tinggal pakaiannya koyak dibelah aura pancungan itu.
Angkasa sudah seperti hendak kehabisan tenaga.
Dia sendiri dalam keadaan sedikit menunduk. Namun tangannya erat bersama pedang warisan bapanya. Masih cuba untuk memberikan saingan yang sengit.
End mengukir senyuman. Tombak Tiga Matanya direhatkan pada dadanya, dengan belakang senjata itu mencium tanah.
Pap, pap, pap, pap. Bunyi itu kedengaran. Angkasa melihat kepada Izrayel. Pendekar itu rupanya sudah berdiri dengan pedang sumbingnya kemas tersangkut pada pinggang. Kedua-dua belah telapak tangan sedang bertepukan. Tidak lama kemudian, seluruh penonton di lapangan itu memberikan tepukan gemuruh.
“Sangat hebat!”
“Allahuakbar!”
“Pertarungan yang sangat dasyat!”
“MasyaAllah!”
Suara bersahut-sahutan antara satu sama lain.
Angkasa mencoret senyum. Puas. Pertama kali dia tidak terlentang dibelasah oleh Izrayel dan End semenjak seminggu mereka berlatih ini. Dia mengangkat tangan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi memerhatikan latihannya petang ini. Kebanyakan orang melambai tangan kepadanya, dan mengucapkan kekaguman sambil perlahan-lahan bersurai. Waktu sudah hampir maghrib. Angkasa memulangkan semuanya kepada Allah SWT.
Izrayel dan End pergi merapati Angkasa. Belakang Angkasa ditepuk kuat oleh Izrayel.
“Aduh!” Sakit mula terasa. Seluruh tubuhnya sakit. Seminggu ini, setiap pagi dan petang, dia akan berlatih dengan End dan Izrayel.
“Jangan rasa selesa budak. Masih jauh lagi untuk menumbangkan Sang Asura.” Izrayel berpesan.
End mengangguk. Angkasa menghela nafas lemah. Sudah sebegini pun, masih jauh?
“Tetapi peningkatan engkau memberangsangkan. Kita akan terus berlatih hingga musim haji tiba. Ada sekitar dua-tiga minggu lagi.” Izrayel menyambung bicaranya. “Engkau perlu keluarkan lagi seluruh potensi engkau. Masih belum benar-benar diusahakan.”
“Apakah Sang Asura itu memang benar-benar dasyat?” Angkasa bertanya. Kebetulan Izrayel dan End kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Sang Asura.
Izrayel diam sebentar, dan memandang End. End tidak mengeluarkan sepatah kata, sekadar memandang semula kepada Izrayel. Izrayel menatap Angkasa.
“Aku dan dia ini hebat tak?” Izrayel menunjukkan ibu jarinya ke arah End di sebelah.
Angkasa mengangguk.
“Sang Asura 10 kali ganda lebih daripada itu.”
Mata Angkasa membesar.
“Apa engkau lupa dia seorang sahaja menewaskan keseluruhan tentera Chinmayi yang menyerang Ethan??” Izrayel mengingatkan.
Ya, Angkasa ada mendengar kedasyatan ini daripada Arnav dan Ashoka sendiri. Namun dia tidak menyangka yang kekuatan Sang Asura boleh lebih 10 kali ganda berbanding End dan Izrayel. Dia tidak pernah melihat kedasyatan Sang Asura, tetapi dia amat tahu kehandalan Izrayel dan End. 10 kali ganda daripada itu?
Muka Angkasa jadi muram.
“Mengapa ini? Tiba-tiba sahaja. Kita memang sudah tahu yang Sang Asura itu tersangat hebat. Kenapa hari ini macam agak emosi?” Izrayel perasan. End juga kelihatan agak berminat untuk mengetahui.
Angkasa mengangkat wajah, memandang kepada kedua-dua pendekar di hadapannya.
“Maisarah sedang mengandungkan anak sulungku.”
Terus riak gembira terpapar pada wajah Izrayel, dan End memecah kebiasaan, dengan terus menepuk belakang tubuh Angkasa tanda kegembiraan.
“Taniah! Aku bakal jadi pakcik!” Izrayel tidak dapat menyembunyikan rasa bahagianya. Angkasa dipeluk erat.
Angkasa masih tidak kelihatan gembira. Dalam pelukan Izrayel itu, dia berata:
“Aku tidak tahu apakah dia dapat lahir ke dunia ini atau tidak.”
Dan suasana gembira yang diwujudkan dengan keletah Izrayel tadi hilang serta merta. Perlahan-lahan Izrayel merenggangkan dakapannya. Dia memandang kepada End.
“Angkasa.” End bersuara, keluar dari kebisuan biasanya. Angkasa menghalakan pandangan kepada Pemerintah Duarte itu.
“Inilah dia perjuangan.” Dan End sekali lagi menepuk bahu Angkasa. Kali ini dengan tepukan untuk menenangkan. “Engkau patut lebih kuat, kerana kini kita berjuang untuk generasi mendatang. Bukan semata-mata diri kita sekarang.” End menyempurnakan pesannya.
Izrayel terangguk-angguk.
Dan Angkasa pun mengalirkan air matanya. Terharu.
“Ah, apa menangis ini? Mari, bersihkan diri. Maghrib sudah semakin hampir.” Izrayel terus menggerakkan tubuh Angkasa sambil memautkan tangannya pada bahu pemuda itu.
Angkasa mengangguk perlahan, dan mereka bertiga bergerak keluar dari gelanggang latihan.
******
Sudah hampir ke tengah malam. Suasana istana Ruh Faizan sunyi. Istana ini sederhana sahaja, dua tingkat, tetapi tidak sebesar mana. Ruang bawah sebagai ruang urusan rasmi kerajaan. Ada balai menghadap, pejabat Ruh Faizan, dan di tingkat atas adalah ruang tamu, serta bilik tidur. Aizan Fahmi tinggal dengan Ruh Faizan, tetapi sebulan ini Aizan Fahmi sedang menyempurnakan gilirannya menjaga sempadan, maka dia tiada.
Ruh Faizan masih berjaga walaupun tubuhnya sedikit letih. Usianya sudah semakin lanjut, tetapi perjalanan ke arah membina masyarakat yang lebih harmoni baru sahaja bermula. Hampir ¾ usianya habis di medan perang dan hidup dalam penuh kekurangan serta kesengsaraan. Dia seakan baru benar-benar menjadi Raja yang menguruskan kemakmuran, sepertinya selama ini dia hanya menjadi pelindung dari kecelakaan.
Mulutnya terkumat kamit dengan zikir dan doa. Hatinya tidak putus dengan pengharapan dan pergantungan kepada Allah SWT. Dia mengharap benar kekuatan daripada Yang Maha Kuat, dan Dia benar-benar memohon ketenangan, kelapangan, kemudahan daripada Yang Maha Memiliki Segala-galanya.
Pintu pejabatnya diketuk.
“Masuk.” Dia bersuara tenang. Dia memang sudah menjangka yang dirinya bakal mendapat tetamu pada waktu ini.
Tok Akram kelihatan melangkah masuk. Selangkah demi selangkah dibantu dengan tongkat. Bila dia berdiri di sebelah Ruh Faizan, dia berhenti. Wajahnya tidak segembira mana.
“Masih gagal?”
“Mungkin. Burung helwi yang kelima tidak pulang-pulang juga.” Tok Akram melaporkan.
Ruh Faizan beristighfar.
“Mengapa engkau masih mencuba Ruh Faizan?” Tok Akram melontar soalan.
“Supaya bila aku berdiri di hadapan Tuhanku nanti, Sang Asura tidak muncul dan berkata bahawa aku membiarkannya masuk ke dalam neraka Allah SWT tanpa menyerunya.”
Tok Akram menutur takbir dan istighfar. Seperti dirinya terpukul dengan kata-kata Ruh Faizan. Begitu sekali lembutnya jiwa pemimpin ini.
“Bukankah lebih baik jika semua ini ditamatkan dengan keharmonian, perdamaian dan bukan peperangan. Jika kita boleh mencari jalan untuk hidup bersama, tiada masalah insyaAllah.” Ruh Faizan bangun, memegang tangan Tok Akram.
“Malangnya Sang Asura bukan bermusuh dengan kita. Dia bermusuh dengan kepercayaan kita. Dia percaya bahawa kepercayaan kita adalan yang merosakkan dunia, adalah yang menciptakan makhluk sepertinya, dek kerakusan dan ketamakan kuasa oleh penganut-penganut Agama Langit sendiri selama ini.” Tok Akram dipimpin oleh Ruh Faizan untuk duduk di sebuah sofa khas buat tetamu di dalam pejabatnya itu.
Mereka berdua duduk sebelah menyebelah.
Ruh Faizan menghela nafas. Tunduk memandang lantai yang beralaskan tikar daripada Midori.
“Semoga Allah SWT membuka hatinya, dan jika tidak, semoga Allah SWT membantu kita menghadapinya. Aku akan terus mencuba Tok Akram. Sehingga tiba masanya.” Ruh Faizan bersuara.
Tok Akram mengangguk-angguk.
Semenjak tamat peperangan 6 bulan yang lepas, Ruh Faizan menghantar hampir sebulan sekali perutusan untuk berdamai melalui burung helwi kepada Sang Asura.
Dan tiada satu pun yang pulang.
Pernah juga dihantar utusan manusia pada awalnya, namun juga tidak pulang. Kerana risaukan keselamatan dan lebih banyak nyawa manusia dikorbankan, maka digunakan burung helwi. Namun nasib yang sama juga diterimanya.
Ruh Faizan tetap tidak mahu berputus asa.
Dia sentiasa percaya bahawa peperangan adalah jalan yang terakhir. Namun dia juga percaya, menanti diperangi tanpa persediaan juga adalah tindakan yang tidak tepat.
Maka kedua-duanya diusahakan sebaik mungkin.
Dia kini menggalas harapan masa hadapan.
Lebih lagi bila mendapat berita yang dia bakal dikurniakan cucu.
Buat dia rasa mahu lebih berusaha keras!
==================================
YouthACE 2015
Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) adalah program tahunan anjuran LangitIlahi. YouthACE 2015 adalah yang kedua dijalankan, selepas YouthACE 2014.
Tema YouthACE 2015 ialah “Belia & Masa Depan.”
Tarikh: 25hb & 26hb April 2015
Tempat: sekitar Kuala Lumpur/Selangor(akan dimaklumkan selewat-lewatnya penghujung Januari 2015)
Pendaftaran YouthACE 2015 sudah boleh dilakukan dihttp://youthace.langitilahi.com/
Harga asal: RM180
Harga Promosi Gelombang Pertama(valid hingga 31hb Disember 2014 sahaja):
*RM100
*Harga istimewa(rahsia) – jika datang secara rombongan(minimum 30 orang). Sila hubungi Saudara Muhaimin Misran – 0135041501 atau Saudari Nadiah Mohamad – 01132535975 untuk mendapatkan harga istimewa ini.
Bermula 1hb Januari 2015, kami akan mulakan Harga Promosi Gelombang Kedua, dengan harga RM120 seorang.
Maka jangan lepaskan peluang untuk dapatkan harga terendah. Ayuh!
—————————
Tentatif
—————————
MC sepanjang program – Aiman Azlan
HARI PERTAMA -
08.00AM – Pendaftaran
09.30AM – Slot 1: Ucaptama Pengarah YouthACE 2015 – Belia & Masa Hadapan
10.00AM – Rehat
10.30AM – Slot 2: Belia & Survivalnya di Masa Depan – Zul Fikri Zamir
11.30AM – Slot 3: Belia Kritis Melalui Tindakan – Saudari Azila Aziz Telekung Project
12.30AM – Persembahan Daripada Pelajar-pelajar Khalifah Model School Secondary(KMSS)
01.00PM – Rehat
02.00PM – Slot 4: Forum – Belia Penggerak Islah Masa Hadapan
Panel 1: Saudara Muhammad bin Zahid
Panel 2: Saudara Jufitri Joha
Panel 3: Saudari Amnani Akhili
04.00PM – Persembahan dan Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
04.30PM – Rehat
05.30PM – Slot 5: Mencari Makna Diri Sebagai Belia – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
06.30PM – Persembahan & Penyampaian Anugerah Belia(YouthAwards)
07.00PM – Rehat
08.00PM – Tayangan Perdana – Filem arahan Qawiem Khairi
09.15PM – Sesi LangitIlahi
- Pembentangan pencapaian & aktiviti LangitIlahi oleh Hilal Asyraf
- Pelancaran karya-karya Tim LangitIlahi
- Pelancaran Apps oleh Ammar Amran of LangitIlahi
10.00PM – Persembahan Daripada Mirwana
10.30PM – Bersurai
HARI KEDUA –
08.00AM – Slot 6: Pentas Belia
09.00AM – Rehat
09.30AM – Slot 7: Mendepani Masa Hadapan Dengan Ilmu – Ustazah Fatimah Syarhah
10.30AM – Slot 8: Forum – Belia & Peranan Terhadap Negara
Moderator: Saudara Hafizul Faiz
Panel 1 – Wan Ahmad Faysal
Panel 2 – Dr Maszlee Malik
12.30PM – Slot 9 – Muhasabah Belia: Peranan Besar Mencorak Masa Hadapan – Hilal Asyraf
01.30PM – Kesimpulan oleh MC & Bersurai
——————————-
Pertandingan
——————————-
YouthACE juga membuka medan untuk mencungkil bakat dan potensi terpendam para belia. Maka dianjurkan pertandingan, dengan tawaran hadiah berupa wang dan piala Anugerah Belia(YouthAwards) untuk mereka yang memenangi tempat pertama bagi setiap kategori.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
InstaVlog
Penulisan Cerpen
Penulisan Artikel
Filem Pendek
Poster
Foto
Spoken Words
Essay
Nasyid
Komik
Semua syarat-syarat bagi menyertai pertandingan ini termaktub di link berikut:
http://youthace.langitilahi.com/awards/
——————————-
Peluang Tajaan
——————————-
Kami mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan tajaan atau bekerjasama dengan kami dalam menjayakan YouthACE 2015 ini.
Sila hubungi terus kami di email program@langitilahi.com jika berminat untuk menawarkan tajaan atau kerjasama.
——————————————–
Walaupun program ini bakal berlangsung pada 25 & 26hb April 2015, kami membuka pendaftaran awal kerana kami berhajat untuk mempunyai masa yang panjang mempromosikan program ini. Hal ini kerana, untuk YouthACE 2015, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 3000 orang peserta.
Kami harapkan juga bantuan promosi daripada orang ramai kerana kami tidak mempunyai ‘cable’ dan kewangan yang cukup untuk mempromosikan YouthACE 2015 ini di media-media arus perdana.
YouthACE 2014 telah mendapat sambutan dan respon yang baik, maka kami berhajat untuk meneruskan kepositifan itu pada YouthACE 2015. Hajat kami agar YouthACE mampu menjadi wadah perkumpulan yang bermanfaat buat belia, sebagai alternatif kepada pelbagai perkumpulan yang lain, yang wujud di negara kita.
Suasana YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=F-EnY8Ou6P4
Komen peserta YouthACE 2014: http://www.youtube.com/watch?v=O-3DtmBeKyo
Bagi yang pernah hadir YouthACE 2014 dan berminat untuk menghadiri YouthACE 2015, jangan ragu-ragu untuk segera mendaftar!
Jom bersama kami!
Belia Mencorak Masa Hadapan!
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2 appeared first on Langit Ilahi.