Hijrah Yang Lebih Bermakna
Saban satu Muharram, kita meraikan Sambutan Ma’al Hijrah, yang kita anggap sebagai tahun baru di dalam kalendar Islam. 1 Muharram dipilih sebagai permulaan tahun di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA, kerana ketika itu ummat Islam baru usai menunaikan Haji di Bulan Zulhijjah, dan juga kerana Muharram tergolong di kalangan bulan-bulan yang haram(suci) di dalam Islam(rujuk: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr)
Rasulullah SAW tidak berhijrah pada 1hb Muharram, bahkan bukan di bulan Muharram pun. Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah pada penghujung bulan Safar dan tiba di Madinah pada 8 atau 12 haribulan Rabi’ul Awwal(rujuk: al-Mubarakfuri, al-Raheeq al-Makhtum). Cumanya, tahun Rasulullah SAW berhijrah itu diambil untuk menjadi permulaan kepada perkiraan tahun di dalam Islam, makanya 1 hijrah bermula pada tahun di mana berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Kerana itu kita melihat perang Badar dicatat oleh ahli sejarah berlaku pada Tahun 2 Hijrah, yakni 2 tahun selepas hijrah Rasulullah SAW.
Perbahasan berkait asal-usul ‘Awal Muharram Sebagai Permulaan Tahun Baru Di Dalam Islam’ sering kali menimbulkan polemik perdebatan agama, apabila ada pihak-pihak yang cuba mempromosikan ibadah-ibadah tertentu yang berkait dengannya. Fakta yang menunjukkan bahawa bermulanya kewujudan Tahun Islam di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, dan bukannya di zaman Rasulullah SAW, sepatutnya sudah cukup untuk menamatkan perdebatan tersebut, kerana ibadah-ibadah khusus untuk sesuatu itu mestilah datang daripada Rasulullah SAW hasil wahyu daripada Allah SWT. Jika penggunaan Tahun Hijriyyah yang bermula pada zaman Umar Al-Khattab, bagaimana boleh wujud ibadah khusus berkait dengannya, daripada Rasulullah SAW? Sepatutnya kita sudah jelas akan hal ini.
Namun, walaupun kita telah masuk kepada era 1400 Hijrah, pergaduhan masih berlaku, dan kemudian label-melabel berterusan. Ini sangat menyedihkan.
Hijrah Sebagai Titik Muhasabah
Bukan untuk memanjangkan isu tersebut, saya di sini ingin membawa kita kepada peristiwa hijrah itu sendiri untuk kita ingati kembali. Mungkin sudah terlalu banyak yang membawa kembali kisah-kisah hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat pada musim tahun baru Hijrah ini, tetapi saya kira penting untuk menyentuhnya juga pada artikel ini.
Kadang kita terlupa bahawa hidayah yang kita perolehi hari ini, iman dan Islam yang kita pegang pada hari ini, hakikatnya tidak datang dengan mudah kepada kita. Ianya adalah hasil perit jerih seorang Rasul, yang telah berkorban terlalu banyak, untuk memenuhi tugasan yang Allah SWT berikan kepadaNya, hingga Allah SWT mengizinkan hidayahNya itu sampai kepada kita hari ini.
Peristiwa Hijrah tidak patut kita ambil hanya sebagai sebuah ‘fakta’. Ianya hakikatnya adalah titik muhasabah yang amat penting di dalam diri kita. Rasulullah SAW bukan berhijrah dalam keadaan senang lenang. Begitu juga para sahabat baginda. Rasulullah SAW terasa kesyahduan yang amat, sedih kerana perlu meninggalkan tanah air yang dicintai baginda. Hingga baginda berkata: ”Demi Allah, ya Makkah sesungguhnya engkau adalah bumi yang paling dicintai Allah, dan bumi yang paling aku cintai. Sekiranya bukan kerana penduduknya mengusirku, niscaya aku tidak akan pergi meninggalkanmu.”
Namun demi perjuangan dakwah, ditinggalkan tanah kecintaan itu. Pergi untuk melunaskan tanggungjawab baginda yang terutama – memperluaskan hidayah Allah SWT di atas muka bumiNya.
Jika kita perhatikan para sahabat, seperti Abdurrahman bin Auf RA contohnya, seorang peniaga yang tersangat kaya. Namun untuk berhijrah, dia tinggalkan segala hartanya agar tidak diganggu oleh musyrikin Makkah. Begitulah juga sahabat Rasulullah SAW yang lain seperti Suhaib Ar-Rumy, kaya raya juga, pergi sehelai sepinggang mengorbankan hartanya untuk membolehkan dirinya berhijrah.
Kita lihat pula kepada Kaum Ansar, yang menunggu baginda di Madinah sana. Tatkala saudara mereka para Muhajirin sampai, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan dua golongan ini, dan kemudiannya kaum Ansar berkorban dengan pengorbanan tertinggi, berkongsi rumah, harta dan kelebihan yang ada untuk membantu Kaum Muhajirin memulakan hidup mereka di Madinah sana.
Kita pada hari ini tidak sampai perlunya untuk berhijrah ke sebuah negara asing, atau mengorbankan kehidupan kita memberikan ruang kepada penghijrah. Hijrah yang kita hadapi ialah hijrah dari keburukan kepada kebaikan, kepada kebaikan yang lebih baik, sahaja. Itu pun kita merungut dan mengeluh, terasa sukar yang teramat, terasa seperti mustahil! Tetapi jikalah kita mampu memandang sebentar perit jerih Rasulullah SAW dan para sahabat semasa peristiwa hijrah, kita akan tahu bahawa pengorbanan kita terlalu kecil.
Sepatutnya kita rasa malu untuk ‘rasa susah’ melaksanakan hijrah perubahan. Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat mendidik kita bahawa pengorbanan di jalan Allah SWT, akan sentiasa ada ganjarannya. Bukan Allah SWT suruh kita berkorban begitu sahaja.
Hijrah Yang Lebih Bermakna
Berubahnya tahun, tanda bertambahnya umur. Tanda Allah SWT masih sudi menyambung usia kita. Apa yang perlu kita lihat pada diri sendiri adalah, apakah kita telah menghargai masa-masa yang telah berlalu?
Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah telah memanfaatkan 10 tahun yang ada, hingga ummat Islam menjadi ummat yang kuat dan perkasa, Madinah menjadi kota yang makmur, bahkan masyarakat arab berbondong-bondong memeluk Islam selepas peristiwa Fath Makkah yang berlaku pada tahun 8 hijrah. Pengalaman selama 13 tahun di Makkah, berusaha pelbagai metod dakwah dalam kesukaran, membina akhlak dan iman, dipersembahkan pembumiannya pada fasa Madinah.
Sudah berapa tahun pula kita hidup? Saat saya menulis artikel ini, telah 25 tahun. Apakah perubahan yang telah saya laksanakan untuk kebaikan, dan apakah pencapaian yang signifikan untuk ummah yang telah saya usahakan?
Allah SWT menyatakan bahawa manusia itu berada di dalam kerugian, dengan bersumpah pada masa, menandakan kerugian dan masa itu ada hubungannya. Masa yang terbazir akan menjadikan manusia rugi. Allah SWT meletakkan pengecualian pada mereka yang mengisi masa tersebut dengan keimanan dan amal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran, sebagai isyarat bahawa masa perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk manfaat diri dan juga orang lain.
Maka bagaimana ‘hijrah’ kita?
Apakah kita ini menjadi manusia yang saban tahun, bertambah baik, bertambah memanfaatkan peluang-peluang yang Allah SWT bentangkan, atau kita tergolong dalam kalangan mereka yang membazirkannya?
Apakah hijrah kita, hijrah yang bermakna?
Penutup: Keluar Dari Kitaran Kekalahan, Bangkit Menggapai Kejayaan
Saya percaya ummat Islam hari ini kelihatan lemah dan longlai kerana terlalu banyak terpedaya dengan sistem yang cuba membuatkan kita rasa selesa dengan apa yang ada. Keselesaan ini membuatkan mereka rasa boleh meluangkan masa untuk perkara yang sia-sia, antaranya pergaduhan yang berpanjangan. Saya lihat di negara kita contohnya, kita bergaduh tak habis-habis terhadap perbezaan yang wujud di antara kita. Malangnya kita jarang sekali membuat perkumpulan untuk mencari apakah persamaan yang ada, dan mula bergerak dari persamaan tersebut untuk membina masa hadapan yang baik.
Sebagai Muslim, antara apa yang patut kita sedar ialah persamaan dari sudut aqidah, dan itu sepatutnya sudah boleh menghubungkan kita dengan hubungan yang erat. Dengan agama lain, kita patut melihat bahawa kita adalah sama-sama warganegara, sama-sama manusia, dan pastilah kita semua sama-sama mahu hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Dari persamaan-persamaan ini, sepatutnya kita mencari solusi. Kerana akhirnya, kedamaian dan kemakmuran, hanya akan memberikan kebaikan kepada semua pihak, sedang yang sebaliknya sekadar memakan masa, tenaga, dan potensi kita ke arah yang tidak sepatutnya.
Sama-samalah kita keluar dari kitaran kekalahan dan memandang tahun baru ini sebagai hadiah daripada Allah SWT, sebagai peluang daripadaNya untuk kita koreksi kesilapan-kesilapan kita yang lalu, dan mula mengorak langkah menggapai kejayaan.
Moga Allah permudahkan dan memakbulkan.
Mari Menjadi Hamba!
The post Hijrah Yang Lebih Bermakna appeared first on Langit Ilahi.