Pengorbanan yang dijanjikan ganjaran
Google.com
Pengorbanan adalah satu nilai murni yang dituntut dari setiap insan. Bahkan ia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah mahupun manusia itu sendiri dek kerna pengorbanan itu adalah bentuk kerahan tenaga, atau harta hatta nyawa demi merealisasikan kehendak-Nya atau memenuhi kemahuan sesama manusia.
Justeru itu pengorbanan itu tergambar bukan dari kacamata yang mudah disebut-sebut menjadi buah mulut tetapi ketulusan hati untuk manusia mengurangkan kehendak nafsu untuk memilih jalan perjuangan dan pembaikan diri. Tanpa pengorbanan, manusia sebenarnya hanya berada dalam bayangan kejayaan. Sebuah syair arab ada menyebutkan:
“Sesiapa yang mencari ketinggian tanpa bersusah-payah, ia telah mensia-siakan usahanya mencari sesuatu yang mustahil.”
Tuntutan Pengorbanan
Erti korban itu jangan disempitkan dengan hanya ibadah penyembelihan pada hari ‘EidulAdha semata-mata yang mana juga menuntut penyediaan harta kerana korban itu mempunyai makna yang lebih luas yang juga melibatkan tenaga dan nyawa. Bahkan kesemua bentuk pengorbanan ini (harta,tenaga,nyawa) itu melengkapkan erti pengorbanan itu sendiri. Justeru itu, meskipun ayat-ayat Allah s.w.t tidak menerangkan maksud pengorbanan itu secara terperinci, tetapi seringkali nilai-nilai ini disebutkan secara serentak. Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga. [At-Taubah: 111]
Kata Syed Qutb r.h.m.h:
Islam itu merupakan suatu urusniaga di antara dua pihak, di mana Allah bertindak sebagai pembeli dan orang yang beriman sebagai penjual. Ia merupakan urusjanji dengan Allah, di mana seorang mu’min berjanji tidak akan menyimpan sesuatu apapun dari jiwa dan raganya dan dari harta bendanya kecuali semuanya dikorbankan kerana Allah dan pada jalan-Nya.
Orang-orang yang sanggup melakukan jualan ini dan mengadakan urusniaga ini ialah golongan yang terpilih, mempunyai sifat-sifat yang istimewa misalnya sifat-sifat yang berkaitan diri sendiri dalam hubungan secara langsung dengan Allah s.w.t tanpa ada dinding pemisah perasaan dan pergantungan terhadap-Nya dan keikhlasan dalam syiar-syiar ibadah.
Selain itu, sifat yang ada pada manusia pilihan ini juga adalah sifat berkaitan tugas-tugas kerja yang harus dipikul oleh mereka diluar diri mereka untuk menegakkan agama Allah, iaitu tugas-tugas menyuruh untuk melakukan perkara yang ma’aruf dan melarang daripada perkara yang mungkar dengan rasa rela menepati hukum-hukum Allah yang telah ditetapkan.
Pengorbanan jiwa Ismail a.s dan Ibrahim a.s
Kisah yang sangat masyhur dalam kalangan umat islam berkenaan peristiwa penyembelihan Ismail a.s oleh Ibrahim a.s yang mana keduanya tetap patuh dan taat akan suruhan Allah meskipun jika dinilai sifat insani sudah tentu ada jiwa yang terkoban. Namun, begitulah sifat manusia pilihan yang berkaitan diri sendiri dalam hubungan langsung dengan Allah yang mempunyai daya pengorbanan yang luar biasa seperti yang dirakamkan Allah dalam firman-Nya:
Maka ketika anak itu sampai(pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata:” Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar”. [As-saffat: 102]
Melalui kisah ini, pensyariatan ibadah korban itu diturunkan. Adapun kisah ini mempunyai maksud disebaliknya dengan memaparkan keteguhan jiwa keduanya dalam melaksanakan syariat Allah s.w.t. Dalam melakukan perkara kebaikan sudah tentu akan didatangkan ujian untuk menilai kedudukan insan itu di sisi tuhan. Di sini, perlunya jati diri yang mapan untuk membendung hawa nafsu. Justeru, mereka yang berjaya mengharungi ujian-ujian itu, maka merekalah orang-orang yang meperoleh kejayaan yang hakiki.
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. [At-Taubah: 20]
Pengorbanan jiwa tidak tertumpu hanya kepada nyawa. Ia juga melibatkan tenaga dan masa kerana kadang-kadang manusia itu mengerah tenaga berkorban membantu manusia yang lain tetapi tiadalah diharapkan balasan yang zahir melainkan ganjaran daripada Allah s.w.t biarpun menanggung kepenatan dan mungkin juga kesakitan kerana percaya tenaga itu milik-Nya walhal manusia boleh sahaja memilih untuk bersendirian tidak membantu sesiapa dan berfokus beribadah. Namun, tetap juga ia memilih mengorbankan tenaganya kerana nilaian membantu manusia yang lain itu keluar dari kesulitan yang dihadapinya lebih bermakna bagi dirinya.
Uthman bin Affan r.a biarpun disifatkan sebagai seorang yang pemalu yang biasa ditakrifkan dengan peribadi yang lemah lembut hinggakan baginda s.a.w juga segan kepadanya juga tidak memilih berdiam diri dalam membantu kerja-kerja kasar seperti menyiapkan masjid Quba’. Sepenuh tenaga dikerahkan untuk membantu. Maka yang manakah lebih baik antara mereka yang berdiam diri itu dengan berusaha menolong jalan Allah ini?
Allah s.w.t menjawab dalam firman-Nya:
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar [An-nisaa’: 95]
Meskipun orang yang berusaha melaksanakan ibadah, melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah s.w.t dan meninggalkan perkara yang dilarang-Nya itu layak digelar orang beriman, tetapi tetap sahaja Allah membedakan pula antara orang beriman yang duduk sahaja dengan mereka yang keluar berjihad di jalan Allah. Ia membuktikan kehidupan manusia yang sempurna imannya itu tidak semata ibadah (khusus) kepada Allah bahkan juga merangkumi aspek gerak kerja pembaikan ummat sejagat.
Pengorbanan harta Abdurrahman Auf dan Suhaib Ar-Rumy
Sifat kedua manusia pilihan itu adalah yang berkaitan diluar diri mereka yang melibatkan bantuan kepada orang lain melalui jalan harta ataupun yang berkaitan dengan hubungan mereka dengan manusia yang lain sama ada mempunyai pertalian darah kekeluargaan ataupun hubungan erat sebagai rakan, kesemua itu sanggup mereka korbankan dengan tidak menjadikan ia sebagai penghalang jalan mereka menuju Allah.
Allah s.w.t memberi ancaman kepada mereka yang leka dengan nikmat dunia yang berupa harta dan hubungan yang menyekat perjalanan seseorang insan itu menuju tuhan bahkan menyifatkan mereka sebagai golongan yang derhaka dalam firman-Nya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [At-Taubah: 24]
Suhaib Ar-rumy ketika beliau ingin tinggalkan kota Makkah untuk pergi berhijrah bersama Rasulullah s.a.w, lalu orang-orang Quraisy berkata; ‘ Hai Suhaib dulu kaudatang tanpa hartasekarang kau hendak pergi dengan hartamu, sungguh itu tidak akan terjadi!’ Lantas aku (Suhaib) berkata kepada mereka; ‘Jika aku berikan hartaku kepada kalian, apakah kalian akan membiarkanku pergi? Mereka menjawab; ‘Ya! Maka aku berikan seluruh hartaku kepada mereka dan ketika sampai di Madinah, aku ceritakan hal itu kepada nabi s.a.w. Lalu baginda bersabda: ‘Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib!’. Maka turun ayat Allah s.w.t:
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. [Al-Baqarah: 207]
Begitu juga dengan ketelusan hati sahabat nabi s.a.w yang dijanjikan syurga padanya yakni Abdurrahman bin Auf yang banyak mengorbankan hartanya kepada jalan Allah dan menolong hamba-hamba untuk dibebaskan.
Kata Imam Syihab Az-Zuhri bahawa Abdurrahman bin Auf pada masa hayat Rasulullah s.a.w pernah bersedekah sebanyak 4000 dinar, kemudian 40,000 dinar. Setelah itu bersedekah dengan mengirimkan sejumlah 500 ekor kenderaan di jalan Allah. Kesemuanya hasil dari perniagaannya.
Tentang pengorbanannya yang luar biasa dalam usaha memerdekakan hamba, berkata Jaa’far bin Barqan bahawa Abdurrahman bin Auf telah memerdekakan hamba sebanyak 30,000 yakni seramai 30 orang hamba dalam satu hari, kata Abu Umar.
Generasi awal terdahulu dimuliakan dan diangkat martabat mereka hingga dirakam dalam al-Quran disebabkan luar biasa sifat mereka dan pengorbanan mereka pada jalan Allah. Seharusnya kita pada zaman ini yang ingin mengikut sunnah rasul-Nya dan para sahabat berusaha untuk menggandakan amalan kita semampu bisa. Moga dengan amalan itu menjadi bekalan meniti hari kemudian.
Pengakhiran yang diimpi serta janji yang pasti
Dalam ayat yang sama [At-Taubah: 111] Allah menyatakan bahawa ganjaran jual beli insan pilihan itu adalah syurga. Pengakhiran yang diimpikan bagi setiap orang beriman. Dek kerana syurga itu sangat berharga, tinggi nilainya, maka bayarannya sudah tentu ‘mahal’ pula. Adapun hakikatnya pada pengorbanan itu masih terdapat nilai kasih Ar-rahman disebabkan tiada insan yang bisa melakukannya jika tiada izin dari Yang Esa.
Mana hendak dicari harta untuk disumbangkan jika bukan harta itu juga pemberian dari-Nya?
Mana mahu mengumpulkan tenaga untuk dikerahkan jika bukan itu kurniaan dari-Nya?
Mana ingin membahagikan masa untuk diaturkan kepada jalan Allah jika tidak Dia yang memberi masa yang barakah?
Mana ingin menggadai nyawa untuk dikorbankan jika tidak Dia yang memberi kehidupan?
Allah s.w.t tidak akan pernah memungkiri janji-Nya. Pun begitu dalam menggambarkan tingginya nilai pengorbanan mereka yang benar ikhlas di jalan Allah ini, Dia memberi penekanan yang tegas dalam ayat yang sama dengan menyatakan bahawa janji itu tidak sekadar disebutkan dalam al-Quran bahkan kebenaran ini dinukil dalam taurat dan juga injil.
Sungguh janji-Nya pasti!
Penutup: Yang dituntut itu adalah taqwa
Bicara soal korban yang diberikan itu adalah harta, tenaga, masa atau nyawa. Tetapi hakikatnya Allah s.w.t tidak berhajat akan semua itu daripada kita kerana kerajaan Allah itu bisa berdiri sendiri walaupun semua manusia ini kufur. Namun sebagai tanda kasih dan sayang kepada hamba Dia jadikan ia sebagai jalan menuju taqwa yang merupakan kunci memasuki syurga. Maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha mengorbankan pinjaman Allah ini demi kesenangan di kemudian hari.
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. [AL-Hajj: 37]
Rujukan
1- Tafsir Fi Zilal, Syed Qutb
2- 10 Intan Pilihan, Tarikuddin Hussin
3- 38 Sifat Generasi Unggulan, Dr Majdi Al-Hilali
4- Risalah Ta’alim, Muhammad Abdullah Al-Khatib
The post Pengorbanan yang dijanjikan ganjaran appeared first on Langit Ilahi.