30 Hari Mencari Tuhan: Mereka Yang Memilih Untuk Beriman KepadaNya dan Mereka Yang Derhaka.
Di dalam sejarah kemanusiaan, telah berlalu sebelum kita generasi demi generasi. Di antara mereka ada yang memilih untuk beriman dan tunduk kepada Allah SWT. Ada pula di antara mereka yang memilih untuk menderhakaiNya.
Kita sebagai generasi yang hadir di kemudian hari, adalah bijak bagi kita untuk belajar dari generasi-generasi lepas. Agar kelebihan yang ada pada mereka dapat kita contohi dan teladani, manakala apa yang buruk telah mereka lakukan dapat kita jadikan sempadan.
Melihat Kepada Mereka
Kita melihat kepada manusia-manusia atau sekumpulan manusia yang telah memilih untuk beriman kepada Allah SWT sepanjang sejarah kemanusiaan ini.
Kita cuba melihat kepada Nuh AS dan mereka yang telah beriman dengan apa yang dibawa olehnya. Kita melihat walaupun Nuh AS diuji dengan kesukaran dalam berdakwah, Allah SWT telah memberikan baginda satu jangka masa yang amat panjang untuk memikul tanggungjawab dakwah ini – yakni selama 950 tahun – dan dakwahnya pula tidak diterima oleh kaumnya ketika itu. Yang menerima hanya segelintir, sekitar 83 orang sahaja. Kaumnya pula bukan sekadar tidak menerima, bahkan menghina, mengeji, dan mengganggu pula urusan dakwah baginda. Tidak cukup dengan itu, antara yang menentang dakwah baginda adalah isteri dan anak baginda sendiri.
Beratnya ujian Nabi Nuh AS, dan mereka yang memilih untuk beriman dengannya.
Namun apakah pengakhiran mereka?
Mereka dipilih oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang selamat, saat bahtera yang dibina di tengah daratan mengalir di atas banjir besar yang menenggelamkan walaupun gunung ganang. Ketika semua yang selama ini menentang dan mengeji hancur musnah diazab oleh Allah SWT, mereka selamat dan menjadi penerus kepada kelangsungan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
“Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung ‘Judi’ serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim.” Surah Hud ayat 42-44.
Kita melihat pula kepada Ibrahim AS. Baginda memikul tanggungjawab dakwah semenjak remaja. Baginda telah dengan beraninya meruntuhkan berhala-berhala sembahan kaumnya, yang ditukangi sendiri oleh bapanya. Baginda menjawab persoalan-persoalan kaumnya dengan bijak. Menjemput kemarahan kaumnya hingga dilemparkan ke dalam api yang marak menyala.
Apakah pengakhiran kepada Ibrahim AS?
“Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? Dia menjawab: (Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata. Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim. Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)? Nabi Ibrahim berkata: Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu? (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” Surah Al-Anbiya’ ayat 62-70.
Baginda diselamatkan oleh Allah SWT, yang telah mengarahkan agar api itu menjadi sejahtera buat Ibrahim AS. Allah SWT kemudian menjadikan Ibrahim AS sebagai antara NabiNya yang terulung, dengan dari keturunannya diutus para Nabi. Anaknya Ishaq diangkat menjadi Nabi, dan dari Ishaq datangnya Ya’kub, Yusuf dan Nabi-Nabi dari keturunan Bani Israel. Manakala anaknya yang sulung, Ismail, juga diangkat menjadi Nabi, dan dari keturunan Ismail, datanglah Nabi Muhammad, Rasulullah, yang kita semua ikuti dan cintai.
“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.” Surah Assaffat ayat 108-113.
Kita lihat pula kepada Yusuf AS. Dia memilih untuk beriman kepada Allah SWT. Diuji semenjak kecil, dengan dibuang ke dalam telaga oleh abang-abangnya. Kemudian dia diselamatkan, dan diambil oleh pemimpin Mesir. Di sana dia diuji lagi, dengan digoda oleh Isteri Pemimpin Mesir itu, dan atas keimanannya kepada Allah, dia menolak. Disebabkan itu, dia dipenjarakan.
Apakah balasan Allah SWT buat Yusuf AS?
“Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman. Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” Surah Yusuf ayat 99-101.
Dia bebas dan kemudiannya menjadi penasihat Mesir. Menyelamatkan Mesir dari bencana kemarau, dan Allah SWT memulangkan kepadannya keluarganya, serta memuliakan Yusuf di kalangan mereka.
Kita lihat pula kemudiannya kepada Musa AS. Dia yang dibesarkan di Istana Firaun, diuji Allah SWT apabila menumbuk mati salah seorang bangsa Qibti, yang membuatkan dia kemudiannya melarikan diri. Dididik oleh Nabi Syu’aib di Madyan, seterusnya diangkat menjadi Rasul untuk pulang berdakwah kepada bapa angkatnya – Firaun.
Dia diuji dengan pelbagai ujian. Hingga ke tahap dia terpaksa membawa Bani Israel untuk keluar dari cengkaman Firaun. Dan di sana juga dia masih diuji, dengan tersekat antara laut merah dan tentera Friaun yang ingin menghapuskan mereka.
Apakah yang Allah lakukan kepda Musa AS?
“Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Nabi Musa menjawab: Sesekali tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), yang memberikan petunjuk!. Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukulah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.” Surah Asy-Syu’ara’ ayat 60-67.
Allah SWT telah membelahkan laut buatnya, menyelamatkan dirinya dan kaumnya, kemudian menenggelamkan Firaun dan mengekalkan pula jasad Firaun itu buat pengajaran generasi seterusnya.
Kita lihat pula Nabi Lut yang diutuskan kepada kaumnya, Nabi Saleh yang diutuskan kepada Kaum Thamud, dan Nabi Hud yang diutuskan kepada kaum ‘Ad.
Mereka ini mendapat kesukaran dalam urusan dakwah mereka. Kaum mereka berdegil dan tidak mahu beriman.
Kaum Nabi Lut berdegil dengan nafsu homoseksual mereka, bahkan bertindak hendak menceroboh rumah Nabi Lut, kerana bernafsukan para malaikat yang datang pada ketika itu dengan wajah lelaki kacak.
“Maka tidak lain jawapan kaumnya adalah mengatakan: Usirlah Luth beserta keluarganya dari negerimu; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang (menyatakan diri mereka) bersih.” Surah An-Naml ayat 56.
“Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Lut berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka).” Surah Al-Ankabut ayat 29.
Kaum Nabi Saleh pula bertindak mencabar dengan menyembelih Unta mukjizat.
“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan.” Surah Hud ayat 65.
Kaum ‘Ad pula berdegil walau telah diberikan amaran. Terus kekal dengan pilihan hendak menderhakai Allah SWT.
“Mereka berkata: Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu! Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)”. Surah Hud ayat 53-54.
Apakah balasan Allah SWT kepada orang-orang yang beriman kepadaNya?
Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Lut, Nabi Saleh, Nabi Hud dan kaum mereka yang memilih untuk beriman. Manakala Kaum Nabi Lut, KaumThamud, Kaum ‘Ad dihancurkan dan diazab dengan bencana yang dasyat.
Diriwayatkan Kaum Nabi Lut diangkat tinggi ke langit dan kemudian dihempas secara terbalik. Tempat mereka kini dikenali sebagai Laut Mati, laut yang amat masin hingga kita tidak boleh tenggelam di dalamnya, dan tempat terendah di atas muka bumi.
KaumThamud dan Kaum ‘Ad, yang terkenal sebagai penoreh gunung ganang dan perkasa, tiada seorang pun dari kalangan mereka yang selamat. Bahkan Rasulullah SAW pernah singgah ke Hijr, tempat Kaum Thamud, Rasulullah SAW telah melarang para sahabat dari meminum air yang wujud pada telaga di situ, dan Rasulullah SAW tidak berlama-lama di tempat tersebut.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya.” Surah Al-Ankabut ayat 35.
Kita pandang pula kepada Kaum Nabi Yunus AS. Mereka pada asalnya tidak mahu beriman, sehingga Nabi Yunus marah dan meninggalkan mereka untuk diazab oleh Allah SWT. Saat azab semakin hampir, mereka memilih untuk beriman. Apakah balasan Allah SWT buat mereka?
“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu), beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.” Surah Yunus ayat 98.
Allah SWT telah menurunkan rahmatNya ke atas kaum ini, dan terpahatlah pujian Allah SWT untuk kaum Yunus AS di dalam Al-Quran, buat tatapan manusia hingga ke akhir zaman.
Kita pergi sebentar kepada pemuda-pemuda Kahfi, yang memilih untuk beriman kepada Allah SWT lantas diburu oleh pemerintah yang zalim. Allah SWT telah menyelamatkan mereka, menidurkan mereka di dalam gua selama 300 tahun, dan kemudian membangkitkan mereka sebentar sebagai bukti kebesaranNya. Mereka bangkit saat orang ramai telah tunduk kepada Allah SWT, dan akhirnya jadilah mereka golongan yang dimuliakan, hingga ke hari ini. Sedang kerajaan dan pemerintah yang zalim pada zaman mereka telah tiada dan hilang begitu sahaja ditelan zaman.
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Surah Al-Kahfi ayat 13.
Kita lihatlah pula kepada Nabi kita, Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Yang telah menggerakkan dakwah dan perjuangan Islam selama 23 tahun. Diuji dengan pelbagai ujian, ditentang oleh pelbagai pihak. Namun sedikit pun mereka tidak berhenti dan mengalah. Bahkan langkah diteruskan dan diluaskan usaha-usaha.
Mereka bukan ditentang oleh orang-orang yang kecil. Antara penentang mereka ialah Abu Jahal, seorang yang gagah perkasa serta dihormati masyarakat Makkah. Antara penentang mereka juga ialah Abu Lahab, pakcik kepada Rasulullah SAW sendiri. Di fasa Makkah, mereka melalui pelbagai seksaan dan kejian. Ada yang gugur dan diseksa dengan begitu teruk sekali seperti Sumaiyyah yang syahid, dan Bilal bin Rabah yang diletakkan batu besar atas badannya.
Mereka hingga terpaksa meninggalkan Makkah yang mereka cintai, berhijrah ke Madinah dan membina kerajaan sendiri. Ujian tetap belum berakhir.
Mereka diuji pula dengan fasa peperangan. Quraisy Makkah berperang dengan mereka di Badar dan Uhud. Pada peperangan Khandaq, Quraisy Makkah bersatu dengan pelbagai kaum untuk menumbangkan mereka di Madinah.
Ummat Islam mendapat tentangan bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari kaum Yahudi yang duduk di dalam Madinah, dan telah mempunyai janji sepakat sebelum ini dengan mereka. Berlakulah peperangan antara mereka di Khaibar, kubu orang-orang Yahudi.
Bila kekuatan Islam semakin meningkat di Madinah, Rom pun mula rasa tercabar dan mula menghantarkan tenteranya. Berlakulah peperangan Mu’tah, peperangan Tabuk.
Namun akhirnya apakah balasan Allah SWT kepada yang beriman?
Makkah kembali ke tangan Islam, dan seluruh penduduknya beriman. Begitulah juga seluruh jazirah Arab, berbondong-bondong manusia datang dan mengkhabarkan kemasukan mereka ke dalam Islam. Bahkan selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam terus berkembang dan berkembang, perjuangan diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, dan mereka yang mengikuti mereka selepas itu. Hingga ke hari ini.
Di manakah Abu Jahal? Dia mati dengan hina sekali di peperangan Badar. Bukan ditumbangkan oleh jaguh ternama pun, dia jatuh di tangan remaja belasan tahun, Mu’adz dan Mu’awwidz. Kemudian mati di tangan Abdullah ibn Mas’ud.
Di manakah Abu Lahab? Dia mati dalam kekufuran. Diserang penyakit. Mati dalam penderitaan. Bahkan namanya terabadi di dalam Al-Quran sebagai ahli neraka bersama isterinya, sebagai peringatan daripada Allah SWT kepada yang lain-lainnya.
Begitulah juga Yahudi dan Rom serta Parsi yang menentang cahaya Islam. Mereka semua akhirnya roboh dan terpaksa tunduk di bawah pemerintahan Islam.
Hinggalah ummat Islam itu sendiri memilih untuk membelakangkan Islam. Memilih untuk derhaka kepada Allah SWT. Memilih untuk hidup dengan sistem yang tidak mengangkat syariat Allah SWT. Yang menyebabkan Allah SWT menarik pula kemenangan dan segala kekuatan yang telah Dia kurniakan kepada mereka yang beriman.
Paten Kemenangan, dan Paten Kehancuran
Kita dapat melihat dari pergerakan sejarah kehidupan manusia yang telah kita lewati sebentar tadi, bahawa paten kemenangan adalah apabila seseorang atau satu-satu kaum/kumpulan itu tunduk kepada Allah SWT.
Di sana, mereka akan dijauhkan dari bala bencana, dikurniakan kemakmuran, diberikan kemenangan. Bahkan Allah SWT sendiri berjanji sedemikian rupa bagi mereka yang mentaatiNya.
Itu pula baru apa yang digambarkan pada kemenangan duniawi. Tewas menang dalam peperangan. Ada juga sebenarnya Nabi yang mati dibunuh, seperti Nabi Yahya dan Nabi Dzakariyya. Tetapi apakah itu menandakan mereka tewas?
Kemenangan tetap datang buat semua yang beriman kepada Allah SWT, kalau bukan di dunia yang sementara ini, di akhirat yang kekal abadi itu adalah pasti. Dan kemenangan di akhirat kelak sebenarnya adalah kemenangan yang sebenar, yang hakiki.
Namun kita melihat semula kehidupan kita hari ini.
Apakah cara hidup kita hari ini adalah cara hidup yang menjemput keredhaanNya, sekaligus menjemput sebuah kemenangan?
Atau sebenarnya cara hidup kita kini adalah cara hidup yang menjemput kemurkaanNya, sekaligus itulah sebabnya mengapa kita sedang berada dalam ketewasan yang berpanjangan?
Sejarah kehidupan manusia telah menjadi bukti bahawa mereka yang telah menderhakai Allah SWT, tidak akan mengecap kejayaan. Lihatlah kepada Iblis yang menderhakai Allah SWT, dia akhirnya dihalau keluar dari syugaNya. Dan lihatlah apabila Adam dan Hawwa juga menderhakai Alah SWT, mereka juga akhirnya dihalau keluar dari syurgaNya. Begitulah kita jika ingin menderhaka kepada Allah SWT. Kita akan kehilangan kekuatan, sumber kesenangan dan ketenangan, lantas akan menjadi kumpulan yang tewas!
Hanya yang benar-benar tunduk kepada Allah, yang mencari keredhaanNya, yang hidup atas syariatNya, itulah sahaja golongan yang akan berjaya. Golongan ini pula takkan sepi dari ujian demi ujian.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Dan golongan yang berjaya ini, tetap akan wujud. Sama ada kita berada di dalamnya, atau kita tidak berada di dalamnya.
Persoalannya, apakah kita mahu bersama dengan kemenangan?
Jika ya, maka berimanlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan, dan biarlah keimanan itu menggerakkan kehidupan kita!
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Mereka Yang Memilih Untuk Beriman KepadaNya dan Mereka Yang Derhaka. appeared first on Langit Ilahi.