30 Hari Mencari Tuhan: Allah Yang Membuatkan Kita Menangis
Dalam kita maklum bahawa Allah SWT sahajalah pemilik kepada kebahagiaan dan ketenangan, pemilik kepada kegembiraan dan kesenangan, hendaklah kita juga menyedari bahawa realitinya Allah SWT itu juga merupakan pemilik kepada ujian dan tribulasi, kesedihan dan kerisauan, kegelisahan dan keserabutan.
Cumanya sebagai adab kita kepada Allah SWT, biasanya kita merendahkan diri kita dengan berkata bahawa segala yang buruk itu adalah disebabkan salah silap kita sendiri. Namun tetap hakikat yang tidak boleh kita tolak adalah, ianya hadir kepada kita juga dengan izin daripada Allah SWT.
Namun mengapakah kita perlu mengakui hakikat ini?
Adakah supaya kita dapat meletakkan segala keburukan itu kepada Allah SWT? Menyatakan Allah SWT lah penyebab kepada segala keburukan yang menimpa kita?
Bagaimana?
Pengakuan Allah SWT
Dalam hal ini, kita perlu pertamanya melihat terlebih dahulu apa yang Allah SWT sendiri nyatakan.
Firman Allah SWT:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” Surah Al-Mulk ayat 2.
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” Surah Al-Hadid ayat 22.
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” Surah An-Nisa’ ayat 78.
Justeru jelas dan maklumlah kepada kita akan hal kebenaran bahawa Allah SWT jugalah yang mengaturkan ujian, bala bencana, musibah, kemurungan dan kegelisahan kepada kita.
Semuanya daripada Allah SWT.
Mengapa perlu kita dalami hakikat ini?
Dia PemilikNya, PadaNya Jalan Keluar
Sebagaimana kita memahami bahawa ketenangan adalah milik Allah SWT, maka kepada Allah SWT sahajalah kita meminta ketenangan. Kerana Dialah pemiliknya yang sebenar, maka pastilah kepada Dia sahaja kita meminta ketenangan itu, kerana Dia sahaja yang boleh memberikannya.
Begitulah apabila kita memahami bahawa Allah SWT sahajalah yang mampu memberikan mudarat kepada kita. Dialah pemiliknya, daripada Dialah satu-satu musibah itu datang, dengan izinNya sahajalah satu-satu musibah itu boleh berlaku. Maka pastilah kepadaNya sahaja kita meminta agar dikeluarkan dari musibah tersebut.
Dengan kefahaman itu jugalah kita maklum untuk mengelak dari apa-apa sahaja yang boleh menjadi penyebab kepada tertimpanya musibah ke atas kita. Kita maklum bahawa Allah SWT menguji hamba-hambaNya atas beberapa sebab.
Pertama: Untuk kita dapat menilai keadaan keimanan kita.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Kedua: Untuk mencuci kita daripada dosa.
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ketiga: Sebagai azab kerana penderhakaan kita.
“Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.” Surah An-Nisa’ ayat 123.
Memahami perkara ini, kita berusaha untuk mengelak dari menjemput kemurkaan Allah SWT, agar kita tidak diuji atas sebab nombor tiga tadi. Namun jika kita diuji juga, walaupun setelah berusaha untuk taat kepada Allah SWT, kita bersangka baik kepada Allah SWT bahawa Dia sedang mencuci dosa-dosa kita. Pada masa yang sama, kita menganggap ianya sebagai kayu ukur keimanan kita, yakni apakah kita percaya bahawa Allah SWT takkan menzalimi kita, lantas kita mampu bersabar dengan ujianNya?
Kefahaman inilah yang menjadikan kita muslim mukmin yang baik.
Bukan hanya bergembira saat Allah SWT memberikan kita anugerah. Tetapi kita juga akan kekal waras dan menjaga keimanan kita bila ditimpakan musibah.
Kerana kita tahu musibah itu datang daripada Allah, maka kita merasa tenang, kerana Allah SWT itu tidak akan menzalimi kita. Kita tahu, kalau Dia menguji kita, mestilah ada hikmahnya, dan Dia sendiri telah berjanji bahawa Dia tidak akan memberikan kita sesuatu yang tidak dapat kita tanggungi.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” Surah Al-Baqarah ayat 286.
Menjadi Yang Bergantung Hanya KepadaNya.
Akhirnya dengan kefahaman inilah, kita menjadikan Allah SWT satu-satunya tempat pergantungan kita. Kita menjadi manusia yang kuat dalam mengharungi kehidupan.
Kehidupan ini sendiri realitinya adalah ujian. Pastilah kita memerlukan perlindungan dan kekuatan. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita kalau bukan pemilik ujian itu sendiri? Siapakah yang dapat meringankan ujian itu selain pemilik ujian itu sendiri?
Dengan kefahaman inilah kita kembali kepada Allah. Hidup dengan rasa kerdil dan penuh bersangka baik kepadaNya. Menyebabkan akhirnya kita mempunyai hati dan jiwa yang lebih kental dan sejahtera. Akhirnya dengan keimanan sebeginilah yang menjadikan kita ajaib dan luar biasa.
“Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya.” Hadith riwayat Muslim.
Ya, memahami bahawa Allah adalah pemilik kepada ujian dan bencana bukanlah untuk kita meletakkan segala kesalahan itu kepadaNya. Bukanlah untuk kita mencaci dan memburukkanNya. Tetapi untuk kita mendalami realiti, siapakah sebenarnya kita, dan apa yang sebenarnya kita mesti lakukan.
Muhasabah.
—————————————
Jom sertai kami di Seminar Belia Merdeka: Belia Berwawasan!
Pendaftaran di: http://langitilahi.com/consultancy/events/seminar-belia-merdeka-belia-berwawasan/
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Allah Yang Membuatkan Kita Menangis appeared first on Langit Ilahi.