Semisal Pemuda Badar

130725093443oS2r


 


Perang Badar yang diriwayatkan berlaku dalam bulan Ramadhan memberikan banyak pelajaran penting kepada kita.


Disebabkan ia adalah perang yang pertama dalam sejarah Islam, maka ia merupakan titk penentu kepada jalan-jalan seterusnya yang akan dituju oleh ummat Islam. Pada perang Badar, teruji keimanan dan keyakinan terhadap Allah. Pada perang Badar juga, momentum keberanian jamaah muslim menjadi terlonjakkan melalui kesediaan mereka berdepan dengan pengalaman baru dalam siri perjuangan mereka.


Antara pelajaran penting yang tidak dapat kita tinggalkan juga dari perang Badar adalah peranan pemuda.


Sebagaimana para pemuda yang menjadi antara pendokong awal dakwah baginda s.a.w. menempati barisan para pejuang Islam dalam perang Badar yang merupakan perang pertama penentu hayat perjuangan Islam, pemisah antara haq dan batil, penentu apakah Allah bakal disembah atau tidak lagi selepas itu, pemutus apakah dakwah baginda akan mampu diteruskan lagi, sepenting itu jugalah peranan jujukan pemuda dalam kebangkitan Islam era baru ini.


Pastinya ia bukanlah sebarangan pemuda. Tetapi ia adalah pemuda yang memenuhi syarat sebagaimana pemuda dalam angkatan Badar bersama Rasul s.a.w. telah memenuhinya.


 


Beberapa Contoh Peranan Pemuda Badar


Dr Raghib As-Sirjani mencatatkan beberapa susuk pemuda Badar yang menjadi inspirasi zaman, buruan syurga idaman kerana kekuatan iman dan amal yang mempesonakan.


Di antara mereka adalah SAIDINA ALI BIN ABI TALIB R.A. Pemuda bijak dan berwawasan, peribadi hebat dan tak kenal keputus asaan, meski kita mengenal zaman akhir pemerintahannya dipenuhi fitnah.


Merupakan anak panah dari anak-anak panah Islam, pedang di antara pedang-pedangnya, yang berjuang mempertahankan Islam, mengelirukan dan menyebabkan tercampak rasa takut dalam hati musuh, serta orang yang menguasai medannya.


Rasul s.a.w. pernah mengutuskan beliau bersama Zubair bin Awwam dan Saad bin Abi Waqas ke telaga Badar untuk mencari berita, mereka kemudiannya datang dengan membawa 2 orang tawanan bertemu Rasul s.a.w., yang daripada situ, maklumat tentang musuh dapat dirisik.


Bahkan, di dalam perang Badar juga, kalau diingat-ingat semula, perang Badar tidaklah bermula langsung dengan pertempuran melibatkan kesemua anggota tentera sekaligus, tetapi ia bermula dengan tampilnya 3 orang dari sebelah musyrikin, 3 orang juga di sebelah muslimin.


Di sebelah musyrikin, yang tampil ke hadapan adalah Utbah bin Rabiah, salah seorang yang mengetahui kebenaran Nabi tetapi tidak mengimaninya, juga Syaibah bin Rabiah, saudaranya dan juga anaknya Al-Walid bin Utbah.


Keluar pula 3 orang dari kalangan mukmin, iaitu dari kalangan Ansar, tetapi mereka menolak. Mereka meminta dari kalangan keluarga mereka sendiri, yakni orang-orang tanah mereka untuk keluar bertarung dengan mereka. Maka dimintalah Hamzah bin Abd Mutalib, Ubaidillah Al-Harih dan Ali bin Abi Talib.


Dan kemenangan ternyata berpihak di sebelah mukmin.


Susuk pemuda yang seterusnya dikisahkan oleh Dr Raghib melalui catatan Ibn Hajar dalam Al-Asobah Fi Tamyiz As-Sohabah adalah UMAIR BIN ABI WAQAS, saudara kepada Saad bin Abi Waqas. Masih kecil, namun jiwanya besar, imannya memuliakan dirinya, diuji dengan kehidupan dunia namun lebih rela memilih kematian di jalan Allah.


Saad bin Abi Waqas menceritakan : “Aku melihat saudaraku Umair menyusup di kalangan manusia. Aku pun berkata :


“Kenapa dengan engkau ini, wahai saudaraku?”


“Aku risau Rasul s.a.w. akan melihatku, menganggap aku masih kecil lalu menolak (penyertaan) diriku sedangkan aku cinta amat untuk keluar (berperang). Semoga Allah rezekikan aku dengan syahid !”


Apabila baginda s.a.w. melihatnya, memang ternyata Rasul s.a.w. menganggapnya masih kecil lalu menolak (penyertaan)nya. Dia menangis dan terus memohon daripada Rasul s.a.w. sehinggalah baginda membenarkannya.”


Kata Saad lagi, “Aku ikatkan untuknya tali pinggang pedangnya kerana umurnya yang masih kecil. Dia berperang dan terbunuh sedangkan umurnya ketika itu 16 tahun !”


badr-battle-map


Peribadi pemuda seterusnya yang pasti tidak asing lagi bagi kita, seorang pemuda yang pernah hidup mewah sebelum Islamnya dia, diriwayatkan antara manusia terwangi di Makkah, orang paling kemas penampilannya, lahir dari keluarga kaya, dialah MUS’AB BIN UMAIR.


Seakan-akan Islam telah mengubah pendirian hidupnya secara total. Kemewahan tidak lagi menjadi keprihatinan terpenting hidupnya, bahkan akhir hayatnya pun tidak cukup kain untuk ditutup tubuhnya. Pemuda bersemangat, dengan harapan yang luas serta impian yang besar. Menjadi duta pertama ke Madinah mengajarkan dan menyebarkan Islam di sana.


Tercatat dalam Ibn Hisham dan At-Tobari, Dr Raghib menyebut : Saudaranya, Abu Aziz bin Umair tertangkap di dalam perang Badar.


Kata Abu Aziz : Saudaraku Mus’ab bin Umair lalu di sisiku dan bersamanya seorang lelaki Ansar. Ini menggembirakan aku.


Dia memandang Abu Aziz kemudian berkata kepada orang yang menawan saudaranya itu : “Berkeras sikit dengan orang ini, ibunya memiliki harta yang banyak, boleh jadi ibunya akan membayar untuknya kepada engkau.”


Yang seterusnya adalah 2 MUAZ.


“Aku berdiri dalam barisan ketika perang Badar,” kata Abd Rahman bin Auf, “aku melihat kanan dan kiriku, bahawa aku berada di antara 2 pemuda dari Ansar, masih teramat muda umur kedua-duanya.


Salah seorang di antara menyentuh aku dan bertanya :                                                       


“ Wahai pak cik, kenalkah engkau dengan Abu Jahal?”


“Ya. Dan apa hajat kau kepadanya?”


Dia berkata : “Aku dikhabarkan dia mencela Rasul s.a.w., demi yang nyawaku di tangan-Nya, jika aku menemuinya, tak akan aku pisahkan baju perangku ini dengan baju perangnya (membunuhnya) sehinggalah dia mati lebih cepat dari kami.”


Aku kagum dengan hal itu. Kemudian, seorang lagi daripada mereka menyentuh aku dan berkata perkara yang sama.


Tidak aku lepas peluang apabila aku melihat Abu Jahal dan dia sedang berpusing-pusing dalam kalangan manusia ketika itu.


“Tidakkah kalian lihat itu? Inilah orang yang kalian tanyakan itu.”


Mereka pun mengangkat pedang masing-masing sehingga membunuhnya, kemudian pergi melaporkannya kepada Nabi s.a.w. Masing-masing di antara keduanya mengaku, merekalah yang terdahulu membunuhnya.


Nah, sehebat itu para pemuda yang lahir dari madrasah tarbiyah Rasul s.a.w. Sudahlah bercita-cita tinggi, memilih ketua musuh untuk dibunuh, bukan setakat memilih berperang dengan prebet biasa-biasa saja, bahkan setelah itu saling berkeinginan agar merekalah yang terpilih sebagai orang termulia kerana telah membunuh musuh nombor satu Islam.


“Sudahkah kamu mencuci pedang-pedang kamu?” kata Nabi kepada mereka berdua.


“Belum.”


Nabi melihat dan berkata kepada mereka, “Kedua-dua kamu telah membunuhnya.”


Mereka adalah Muaz bin Amr bin Jamuh dan Muaz bin Afra’.


 


Penutup : Mempersiapkan Kekuatan Menjadi Semisal Pemuda Badar


Pelajarilah sejarah pemuda dan kepemudaan di dalam Badar, di dalam Islam, nescaya kita menemui harga diri dan ummat penuh ketinggian, nilai penuh kemuliaan buat sebuah kehidupan yang begitu singkat tempohnya di dunia nan penuh fitnah dan kepalsuan.


Sebagaimana Badar telah menjadi garis pemula yang menyebabkan jamaah muslim semakin bertambah keyakinan mereka untuk bekerja untuk Islam serta menyebarluaskan lagi kerja dakwah, maka berharap kepada sebuah kebangkitan Islam semula era ini, ia perlu bermula dengan mendidik iman seterusnya membangunkan kesedaran para pemuda agar kekuatan mereka disalurkan untuk kepentingan Islam.


Kita belajar mempersiapkan kekuatan menjadi semisal pemuda Badar, agar kita pun bisa punya keberanian dan momentum yang hampir semisal itu untuk memenangkan iman atas batil, memenangkan Islam atas jahiliah.


Persiapan yang tidak dapat tidak mencakupi seluruh aspek kehidupan.


Persiapan iman sebagai persiapan asas, dilengkapkan dengan persiapan ilmu, persiapan fizikal, persiapan ibadah, persiapan akhlak, persiapan aspek usaha, persiapan disiplin dan sistem hidup, persiapan neraca dan timbangan hidup.


Ia tidak dapat tidak perlu kembali kepada proses didikan sebagaimana dilakukan oleh Rasul s.a.w. Kembali kepada madrasah tarbiyah imaniyah. Mendidik seterusnya membentuk generasi baru yang kuat rohaninya, penuh spirit Islam dalam jiwanya, tinggi kesediaannya untuk berkorban serta luas pengetahuannya.


The post Semisal Pemuda Badar appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 16, 2014 04:21
No comments have been added yet.