30 Hari Mencari Tuhan: Kuda Perang dengan Tuannya, Kita dengan Allah SWT
Dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi, ditambah pula dengan tanggungjawab untuk mentaati Allah SWT, memang mudah untuk kadangkala kita merungut dan rasa terbeban.
Bila begitu, kita mula persoalkan mengapa perlu taat kepada Allah, apa yang kita dapat, dan macam-macam lagi. Kerana dek kepenatan, kita mula rasa mahu melepaskan diri dari semua tanggungjawab ini. Kita fikir ianya tidak berbaloi.
Namun bijaksananya Allah SWT dalam memotivasikan hamba-hambaNya agar kekal di atas jalan kebenaran, Dia turunkan buat kita satu surah yang menceritakan perihal kuda perang.
Ya, kuda perang. Yang dibesarkan untuk berperang. Yang pergi ke medan perang dengan peratusan kemungkinan tertinggi untuk bertemu dengan kematian.
Allah SWT berfirman
Perhatikan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Adiyat dari awal hingga penamatnya.
“(1)Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. (2)Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. (3)Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. (4)Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. (5)Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. (6)Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (7)Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (8)Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (9) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (10)Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (11)Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu.”
Surah ini boleh kita bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama, dari ayat 1 hingga ayat 5, yang memfokuskan kita kepada keadaan kuda perang. Manakala bahagian kedua bermula dari ayat 6 hingga 11 yang merupakan refleksi kepada kehidupan kita sebagai manusia.
Kuda Perang, Kehidupan dan Tuannya
Bila kita perhatikan keadaan hidup kuda perang, kita maklum bahawa kehidupannya adalah kehidupan yang merbahaya. Allah SWT menggambarkan betapa beratnya kehidupan kuda perang dengan mempersembahkan kepada kita situasi-situasi yang perlu dihadapi oleh kuda perang.
Kuda perang perlu berlari dengan tangkas hingga kedengaran kencang nafasnya. Kuda perang bila bersungguh-sungguh, ladam pada kakinya akan bergesel dan hingga boleh tercetus percikan api. Kuda perang perlu menyerbu musuh mengikuti tuannya walau dalam apa ketika sekalipun, dan di dalam Surah digambarkan pada waktu Subuh, yang mana kita manusia pun masih lena diulit mimpi. Debu-debu medan perang naik dan menganggu penglihatan mereka, membuatkan mereka sukar memandang bahaya yang bakal menimpa. Dan kuda perang perlu menggempur di tengah kumpulan musuh yang ramai, membuka dirinya kepada segala malapetaka.
Apakah kuda perang dilayan bagai maharaja oleh tuannya hingga kuda perang sanggup merisikokan hidupnya sedemikian rupa?
Kuda perang jika tidak berperang, hidupnya di bangsal. Makanannya tidak mewah. Hidupnya biasa sahaja. Tidaklah sehebat mana jika hendak diukur dengan pengorbanannya.
Apakah kuda perang lari dari tanggungjawabnya?
Tidak. Dia tetap melaksanakannya.
Ya, itulah dia kuda perang.
Mengapa Allah SWT meletakkan kuda perang sebagai perbandingan kepada kita?
Kita dan Allah SWT
Bahagian kedua Surah Al-‘Adiyat adalah refleksi kepada kita sebagai manusia yang hidup berTuhankan Allah SWT, dan mengharap belas rahmat inayahNya.
Selepas menceritakan perihal kuda perang, Allah terus memulakan refleksi kepada manusia dengan menyatakan bahawa kita adalah amat tidak bersyukur kepada Allah SWT.
Setelah menggambarkan kehidupan kuda perang, risiko yang perlu diambil, tanggungjawabnya yang berat dan kemudian layanannya yang tidaklah seberapa, Allah SWT seakan-akan mahu berkata kepada manusia-manusia yang masih lagi tidak bersyukur dengan segala nikmat dan kasih sayang yang Allah SWT telah curahkan kepada manusia, yang berkali-kali ganda jauh lebih baik dari kehidupan seekor kuda perang.
Allah SWT menyatakan kita terlalu materialistik. Mengejar sangat kesenangan, keselesaan, kekayaan. Hingga hendak mentaati Allah SWT pun payah dan terasa berat serta susah. Sedangkan Allah SWT bukan mahu kita taat kepadaNya untuk kegunaan diriNya. Maha Suci Allah SWT, Dia tidak memerlukan kita.
Namun ketaatan kita kepadaNya hanya akan memberikan manfaat kepada diri kita sendiri. Ketaatan kita kepada Allah SWT menjauhkan diri kita dari kerosakan dan kefasadan.
Tidak cukup dengan itu, Allah SWT memotivasikan kita untuk mentaatiNya dengan pelbagai ganjaran dan janji balasan yang indah-indah. Semaklah Al-Quran, dan lihatlah pelbagai janji Allah SWT untuk mereka yang taat kepadaNya. Syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan, gandaan pahala, pengampunan dari dosa, ketenangan jiwa, kebersihan hati. Pelbagai!
Di sinilah Allah SWT mengingatkan kepada kita manusia, untuk mengenang hari di mana kita dibangkitkan dari kubur. Allah SWT mahu kita fikir, apakah yang berharga ketika itu. Apakah kesenangan, keselesaan kita terhadap apa yang materialistik, atau ketaatan kita kepada Allah SWT?
Allah menutup Surah Al-‘Adiyat dengan mengingatkan bahawa Allah SWT sahajalah yang akan mampu membantu manusia pada hari mereka dibangkitkan semula di akhirat kelak.
Tidak seperti kuda perang, yang mana selepas kematiannya, tuannya akan meninggalkan dia. Sudahlah hidupnya penuh berisiko, dengan ganjaran layanan tidak seberapa. Selepas mati, tuannya tidak lagi bertanggungjawab kepadanya.
Tetapi tidak dengan Allah SWT.
Selepas kita mati, kita akan berada di alam barzakh dengan mukaddimah terhadap balasan atas apa yang kita laksanakan di dunia. Kemudian dibangkitkan di mahsyar, untuk diadili dan dihisab oleh Allah SWT. Dan kemudian masing-masing mendapat balasan masing-masing mengikut rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Sama ada ke syurga, atau neraka.
Di sinilah kita perlu bertanya, sejauh manakah komitmen kita dalam mentaati Allah SWT itu?
Kita Bukan Kuda Perang
Kuda perang mungkin bersetuju dengan kehidupannya adalah kerana dia tidak mempunyai akal. Justeru dia terpaksa sahaja mengekori hajat tuannya. Dia terpaksa menerima sahaja layanan tuannya.
Tetapi kita bukan kuda perang. Kita ada akal. Dan akal inilah yang dijentik oleh Allah SWT saat membandingkan kita dengan kuda perang. Kuda perang mati, dia tidak akan dibangkitkan semula di akhirat untuk dihisab. Kita bukan kuda perang. Kita akan dibangkitkan semula dan dihitung amalan.
Segala penat lelah kita di dunia ini, akan mendapat ganjaran yang jauh lebih berharga dari segala keletihan dan pengorbanan kita.
Maka sepatutnya akal kita menilai semula akan dedikasi kehidupan kita ini kepada Allah SWT.
Apakah masih patut kita sambil lewa dengan perintahNya?
Apakah masih boleh suka-suka hendak melaksanakan apa yang dilarang olehNya?
Akal kita perlu menilai dan meneliti perkara ini.
Kita bukan kuda perang yang tiada pilihan. Allah SWT menghormati akal yang Dia ciptakan untuk kita ini dengan memberikan kita kuasa untuk memilih.
Namun setiap pilihan ada konsikuensinya.
Apakah kita hendak menjual kesenangan akhirat dengan mengambil kesenangan di dunia, sedang kesenangan di dunia itu murah harganya?
Atau kita sanggup untuk tunduk dan mentaati Allah SWT, menerima dunia sebagai ujian, memahami bahawa di dunia ini ada perkara yang boleh kita lakukan, ada yang tidak boleh kita lakukan, dan seterusnya bergerak untuk menggapai kesenangan yang abadi dengan rahmat Allah SWT di akhirat kelak?
Allah SWT sedang menjentik minda dan hati kita.
Kita bukan kuda perang.
Maka sepatutnya kita boleh buat keputusan yang lebih baik.
Dan Allah SWT bukan ‘tuan’ yang biasa-biasa. Dia pencipta alam semesta, berkuasa atas segala-galanya!
The post 30 Hari Mencari Tuhan: Kuda Perang dengan Tuannya, Kita dengan Allah SWT appeared first on Langit Ilahi.