Sudah-sudah Lah


photo source: healthmeup.com


Sekejap-sekejap handphone itu dibeleknya. Walaupun dia tahu tiada mesej baru yang masuk, tangannya tetap terasa gatal untuk membuka Whatsapp. Nama seseorang ditekan dari contact list.


“Last seen 12.05 pm.”


Dia melihat jam di tangan. 12.08 pm. Ini bermakna si fulan itu baru sahaja online beberapa minit yang lalu tetapi mengapa mesejnya tidak berbalas? Dia mengakses sekali lagi aplikasi Whatsapp itu. Tidak puas hati.


“Online”


Hah, online pula. Tetapi dengan siapa? Kenapa mesejnya tidak berbalas? Kenapa dia tidak dipedulikan? Kenapa itu? Kenapa ini? Berbagai-bagai sangkaan menerjah benak fikiran. Lalu berlakulah pergaduhan, perselisihan yang akhirnya meretakkan perhubungan.


Pelbagai aplikasi sosial yang ada dalam medan maya pada hari ini memudahkan hubungan dan komunikasi manusia. Namun tanpa kita sedari, ia memakan diri dari dalam seandainya tidak dikawal. Fungsi “last seen” yang terdapat pada kebanyakan aplikasi sama ada Facebook, Whatsapp, WeChat dan sebagainya sewajarnya menjadi penanda bahawa penerima pesanan telah selamat menerima dan membaca mesej yang disampaikan. Mungkin si application creator macam tahu-tahu saja masalah psikologi ini mesti akan timbul, maka pada bahagian setting atau tetapan, diberi pilihan sama ada pengguna mahu fungsi “last seen” itu dipaparkan atau tidak.


Apa yang harus difahami ialah, setiap daripada kita mempunyai hak dalam soal privasi. Tiada siapa suka dipaksa dan dikawal. Telah menjadi penyakit sebilangan besar dari kalangan kita, sering menghantar mesej bertalu-talu kepada temannya. Selagi tidak dibalas mesej itu selagi itu tidak aman dirinya. Sedangkan si penerima di sebelah sana merasa rimas dengan setiap tujahan mesej yang masuk. Dia juga punyai kerja lain untuk diselesaikan, dia juga perlukan masa untuk dirinya sendiri, dia juga mahu memberikan dirinya peluang untuk menikmati kehidupan sebenar tanpa ada sebarang gadget di depan mata dan mesej yang diterima itu tidaklah sepenting mana, pendek kata tidak melibatkan urusan-urusan mustahak, tidak juga melibatkan urusan hidup ataupun mati, sekadar mahu sentiasa dihubungi.


 


Penyakit ini harus segera dirawat. Bagaimana?


Pertama: Kembalilah ke alam nyata. Tinggalkan sebentar segala peranti canggih yang kita ada. Fikir.Berfikir menggunakan akal yang Tuhan beri, bukan menggunakan emosi. Betapa selama ini kita yang dianugerahi otak dan akal fikiran ini telah dikuasai dan dikawal sesuatu yang lebih kecil dan lemah dari kita, malah tidak berakal dan tidak berotak pula tu. Mana mungkin hal ini harus dibiarkan terjadi? Maka harus diatasi!


Kedua: Bersangka baiklah! Barangkali si penerima mesej sedang membuat suatu kerja yang penting, atau sedang melunaskan tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain, atau dia online sekadar untuk melihat mesej apa dan dari siapa dan dia akan membalasnya kemudian tetapi dia terlupa. Boleh jadi juga dia sengaja tidak membalas kerana tiada mood dan sebagainya. Teman mu itu juga punya kehidupannya sendiri. Berikan dia ruang untuk bernafas, berikan dia peluang untuk dirinya sendiri, untuk keluarganya, untuk sahabat-sahabatnya yang lain, dia bukan milik kita secara mutlaknya.  Sekalipun kamu adalah best friend forever, seakrab mana sekalipun kamu, masing-masing juga perlukan masa untuk bersendirian. Tidak berhubung tak bermakna melupai. Jangan sampai temanmu itu merasa jemu dan hambar.


Ketiga: Lengahkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang lebih penting dan berfaedah. Utamakan hubungan dan komunikasi dengan ahli keluarga sendiri, tanyakan khabar ayahnda dan bonda, adik-adik abang kakak semuanya. Itu lebih bermakna. Setiap kali rasa nak check handphone (padahal tak bunyi pon mesej masuk, sah-sah la tiada mesej) tahan tangan, cakap pada diri, tak perlu..tak penting pun. Rajin-rajinkan diri lihat di bilik ada baju ke tidak untuk dibasuh, pinggan di dapur sudah dicuci ke belum, nota kuliah dah diulangkaji ke tidak, assignment dah siap ke? hari ini Quran dah baca ke belum? Mathurat? Baca buku, tengok cerita, dan macam-macam lagi perkara lain boleh dilakukan. Tinggal kita saja mahu usaha atau tidak.


 


Yang penting dan segera


Adakala mesej yang mengetuk inbox adalah mesej yang penting. Bagi si penerima, belajarlah untuk membalas dengan kadar segera. Usah buatkan urusan orang lain menjadi sukar. Sekiranya tidak mampu kerana ada halangan, mohon maaf serta berikan sebab dan penerangan yang jelas akan keterlewatan anda itu, jangan dibiarkan mesej berlalu sedangkan orang di sana menunggu dengan penuh kesabaran. Anda pasti tidak mahu orang sekeliling melabel anda sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab, berlengah-lengah dan suka memberi alasan bukan?


Jika anda pula adalah orang yang sering terganggu dengan mesej-mesej yang tidak penting, khabarkan dengan cara yang baik pada teman anda bahawa anda kurang selesa dengan perbuatannya, beritahu padanya anda juga perlukan masa untuk diri anda sendiri, mohon maaf padanya dan pinta ruang privasi. Semoga dengan tindakan anda itu, dia berusaha untuk memahami. Kadang-kadang kita perlu memberitahu pendirian dan prinsip kita. Berdiam diri dan senyap semata-mata adakalanya hanya membuatkan situasi menjadi lebih buruk. Bawa berbincang dan berdiplomasilah dengan santun.


 


Penutup


Lihatlah betapa kita lebih banyak dikongkong dan dimanipulasi kecanggihan teknologi yang telah banyak merasuk dan mempengaruhi jiwa dan minda kita sehinggakan hanya kerana fungsi “last seen”, hubungan persahabatan yang hangat menjadi dingin, hubungan rumahtangga yang indah menjadi retak. Mengapa kita membiarkan objek kecil tak bernyawa tak berjiwa itu yang menguasai dan mengawal emosi dan pemikiran kita? Kita bukan lemah, kita kuat sebenarnya. Tapi kita yang enggan mengawal perasan yang dihasut nafsu sendiri. Alangkah indahnya andai sekerap mana kita memeriksa “last seen” itu, sekerap itu juga kita memeriksa kembali “last seen” hubungan kita dengan Allah. Sebagaimana kita resah apabila teman kita tidak membalas mesej-mesej kita, adakah begitu juga perasaannya apabila kita gagal menjalankan perintah-perintahNya? Allah menghantar mesej lima kali sehari, tapi berapa kali yang kita sahuti? Surat cinta yang termaktub dalam al-Quran berapa kali kita sentuhi? Nyata kita telah berjaya dilalaikan. Jangan mula kaitkan teori konspirasi kecerdikan Yahudi dan illuminati mencipta gadget-gadget ini untuk melalaikan kita, tetapi tanyalah diri sendiri mengapa dengan mudah tertipu begini.


Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Az-Zumar: 53


The post Sudah-sudah Lah appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 08, 2014 12:27
No comments have been added yet.