PSY, Panda dan GST

Malaysia dan Kota Raya: Gambar merupakan ihsan Google
Kalaulah Panda itu merupakan seekor haiwan yang boleh berbahasa manusia, pasti ia akan merasa rimas kerana dirinya sering sahaja dibicarakan dan menjadi perhatian umum baru-baru ini. Ini kerana, massa diberitakan dengan laporan yang saya kira tidaklah begitu mengejutkan berkaitan dengan pembinaan kompleks panda gergasi di Zoo Negara yang menelan kos sebanyak RM 25 juta.
Apa yang nak dihairankan? Bukankah panda itu merupakan haiwan yang hampir kepupusan? Jadi sewajarnyalah kan kita begitu mengambil berat akan serba-serbi kehidupan mereka? Manalah nak sama dengan jumlah manusia yang semakin bertambah dan melebihi 30 juta orang saban hari di Malaysia ini? Ialah. Manusia tak akan pupus, biarpun ada yang bertaraf gelandangan, fakir miskin tidak cukup makan dan pakai dan yang seumpama dengannya. Yang pasti, manusia akan terus bertambah dan bertambah. Tidak seperti panda yang bakal pupus dan menghilang dari dunia ini. Lagipun, tahun ini kan Tahun Melawat Malaysia.
Apa juga yang nak dihairankan, bukankah sekitar Februari tahun lepas, seorang penyanyi K-Pop, PSY yang terkenal dengan tarian Oppa Gangnam Stylenya di bawa masuk ke Malaysia, khasnya Pulau Pinang bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina di sana yang menelan belanja sekitar RM 2 juta? Biarpun The Malaysian Insider melaporkan pada 3 Februari 2013 bahawa konsert tersebut ditaja oleh Mega Ultimate, sebuah syarikat swasta gergasi dan bukannya Barisan Nasional seperti yang dicanangkan pada mulanya, namun ianya tetap merupakan sejumlah wang yang bukan sedikit.
Ialah. Baik kerajaan mahupun badan korporat tersebut, tidakkah mereka belajar teori ekonomi bahawa kedua-dua entiti ini merupakan antara salah satu penyumbang terbesar dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK)? Andai saja entiti-entiti ini tidak hanya menumpukan perhatian sekitar perbelanjaan hasil (revenue expenditure) yang bersifat one-off seperti pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) misalnya, malah memberi fokus yang lebih utama terhadap perbelanjaan modal (capital expenditure), mungkin saja impian dan cita-cita untuk mencapai status negara maju melalui Wawasan 2020 mampu dilaksanakan dengan baik.
Memetik laporan akhbar Utusan online yang bertarikh 30 September 2010, mantan Perdana Menteri yang juga merupakan pengasas Wawasan 2020 itu sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa Malaysia tidak mungkin akan berjaya mencapai matlamat tersebut sekiranya tidak mengubah beberapa landskap ekonominya. Tambah beliau lagi dalam ucapannya selepas menyampaikan ucapan penutup di Forum CEO 2010;
“Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengejar impian itu jika kerajaan sanggup untuk melaksanakan beberapa perubahan penting, antaranya mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI). Ini kerana FDI tidak lagi relevan buat masa ini kerana pelabur asing hanya menyumbang 10 peratus kepada perolehan negara di samping meningkatkan aliran keluar wang dari negara ini. Malaysia tidak akan maju jika terus bergantung kepada FDI kerana pelabur asing hanya mementingkan keuntungan, jadi mereka memilih negara lain yang lebih murah, kita tidak akan mampu bersaing walaupun semakin banyak sektor diliberalisasikan,”
Tambah beliau lagi, kerajaan sewajarnya memberikan tumpuan kepada bidang yang lebih relevan sewaktu itu, iaitu pelaburan langsung domestik (DDI).
Kata beliau;
“Ada satu syarikat pembuat kapal tempatan yang mengeksport kapal ke seluruh dunia termasuk Norway tetapi tidak pernah menerima tempahan dari negaranya sendiri, kerajaan patut melihat kepada kes-kes sebegini.”
Bandaraya Kuala Lumpur vs Gelandangan
Meskipun ibu kota Kuala Lumpur yang menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat terus berkembang-pesat dari masa ke semasa yang menjadikan negara ini berfasiliti kelas pertama, ia sama sekali tidak mampu menutupi permasalahan-permasalahan warga kota kebanyakan yang tampak jelas dari terus menyinggah di retina. Ibarat pepatah Melayu yang mengatakan, ‘bangkai gajah, tak dapat ditutup dengan daun pisang, kelihatan dan berbau juga.’ Di sekitar kawasan Kuala Lumpur seperti Chow Kit, Masjid Jamek dan Pasar Seni, terdapatnya para gelandangan yang cuma berlindung di balik jambatan beralaskan kotak, malah adakalanya di tepi-tepi sungai akibat tidak mempunyai kuasa beli yang mencukupi dalam pasaran.
Antara faktor utama yang mengakibatkan keadaan seperti ini adalah kenaikan harga rumah dan hartanah yang melambung tinggi dan mencanak naik saban waktu, menyebabkan kebanyakan warganegara yang berpendapatan sederhana apatah lagi yang berada di bawah paras kemiskinan tidak lagi mampu untuk memiliki ‘rumah mampu milik.’ Terkini, akhbar The Star bertarikh 18 Februari 2014 melalui tajuknya, ‘Sweet news for home buyers,’ melaporkan secara sinikalnya pada pandangan mereka yang tidak berkemampuan ini saya kira, berbunyi;
“You must have an average household income of RM 14,580 a month to afford a home in the Klang Valley, according to a recent study.”
Malah, di dalam muka surat yang sama di dalam akhbar tersebut turut dilaporkan berkenaan dengan kadar kenaikan harga rumah yang tidak selari dengan kenaikan harga dan tangga gaji dan pendapatan isi rumah. Setiausaha Kehormat Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (National House Buyers Association), Chang Kim Loong dipetik sebagai berkata, pembeli, terutamanya pasangan muda yang baru berumahtangga perlu membeli rumah yang berkadaran sebanyak empat kali ganda purata gaji bulanan mereka sahaja, sekiranya lebih, mereka pasti tidak akan mampu untuk membayarnya.
Memetik laporan akhbar Utusan online yang bertarikh 19 Mei 2014 yang bertajuk ‘Syurga kami di bawah jambatan’ pula, sepasang suami isteri bersama-sama dengan empat orang anak mereka, yang mana salah seorang daripadanya merupakan kurang upaya (OKU) dilaporkan sebagai sudah menjadi penghuni tetap di bawah jambatan konkrit di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni selama hampir beberapa bulan semenjak tahun lepas akibat tidak mampu untuk membayar sewa rumah. Manakan tidak, mereka cuma bekerja dengan mencari barangan lusuh setiap hari dengan pendapatan yang cuma berjumlah tidak melebihi RM 10.
Entah siapa yang lebih kasihan dan wajar disantuni, mereka ataupun Fu Wa dan Feng Yi si panda dari China itu.
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Hasil Bumi
Dan kurang setahun daripada sekarang, rakyat yang sudah sedia miskin ini pasti akan lebih menderita kesusahan, bahkan tidak mustahil melarat kelaparan. Apa tidaknya, belum pun tiba 1 April 2015, harga barang secara umum sudahpun dinaikkan oleh para penjual ekoran daripada pengumuman kerajaan berkenaan dengan pelaksanaan cukai GST.
Saya sendiri sebagai seorang rakyat biasa turut merasakan tempiasnya. Apa tidaknya, sebagai seorang penggemar ais krim Baskin Robbins yang cuma kadang-kadang dibeli, harga asal berjumlah RM 5.85 sen seingat saya untuk sebatang (kon) aiskrim bersama dengan satu scoop perisa telah meningkat ke RM 6.15. Dan di atas resit pembelian tersebut, tecetak dengan jelasnya perkataan GST (Government Services Tax, dan oh, tersangatlah misleading!) dengan kadar pengecasan sebanyak RM 0.30/0.40 sen. Nah, belum pun tamat tahun 2014, kesan berkaitan dengan inflasi berikutan GST telah pun dikenakan! Inilah yang dipanggil sebagai teori domino-effect di dalam ekonomi.
Apatah lagi, wacana siri 28 anjuran Sinar Harian yang dilaporkan secara bertulis bertarikh 22 Mei 2014 (semalam) telah melakarkan tajuk ‘Jangan Beban Rakyat,’ yang membawa isu seputar GST untuk kefahaman rakyat kebanyakan dengan wacananya yang bertajuk, ‘GST: Siapa Untung Siapa Rugi.’ Biar bagaimana positif pun sisi GST tersebut, ia tetap tidak dapat mengubah hakikat bahawa yang akan menanggung kesan akhirnya adalah para pembeli. Ini kerana, pengeluar di setiap peringkat akan menyerap semula kos kenaikan harga pembuatan dan pengeluaran barang mereka dengan mengecas harga yang lebih tinggi daripada biasa kepada pengguna akhir (final consumer). Kerana itu pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli tegar memperjuangkan pelaksanaan cukai khas terhadap orang kaya sebelum GST untuk kerajaan memperoleh pendapatan alternatif.
“Kenapa nak kenakan GST yang pukul rata rakyat tidak kira tua, muda, miskin, cacat atau pun tidak. Di Malaysia masih ada cukai yang belum dikenakan pada orang kaya, iaitu capital gain tax, win for tax dan super rich tax,” katanya dalam diskusi tersebut.
Idea ini serupa dengan apa yang pernah dibawakan oleh saudara Anas Alam Faizli, pengasas bersama BLINDSPOT, sebuah badan penggerak dan pemikir sosio-ekonomi di dalam wacananya yang bertajuk ‘Talk on GST: Breaking the Block of Confusion’ yang diadakan sekitar pertengahan Mac lepas. Selain memperkenalkan capital gain tax, saudara Anas turut berpendapat bahawa Malaysia boleh juga menguatkuasakan sistem percukaian dengan memperkenalkan inheritance tax, iaitu cukai yang dikenakan ke atas harta peninggalan orang-orang yang bukan saja kaya, bahkan jutawan.
Manakala di dalam buku tulisannya yang bertajuk, ‘Rich Malaysia, Poor Malaysians’ pula beliau menggariskan kepentingan hasil bumi utama negara, iaitu petroleum. Ini kerana, beliau menekankan kepentingan untuk rakyat Malaysia memahami bahawa hasil bumi yang satu ini merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Mana tidaknya, daripada cuma berpendapatan sekitar RM 60 bilion pada tahun 2000, pendapatan negara mencanak naik sehingga ke RM 224 bilion baru-baru ini ekoran sumbangan PETRONAS sebanyak sekitar 35% hingga 45% kepada pendapatan kerajaan semenjak tahun 2007 hingga 2011.
Selain itu, berbalik kepada forum berkaitan GST tersebut, beliau turut menekankan kepentingan polisi kerajaan untuk bersifat pro rakyat. Ini kerana, sistem perindustrian masa kini, terutamanya perkilangan dan pembinaan banyak dipenuhi oleh warga asing yang dibayar dengan kadar yang rendah oleh para majikan berikutan nilai matawang yang rendah yang dimiliki negara pekerja-pekerja asing tersebut. Bagaimana dengan 75% penduduk Malaysia yang berkelulusan SPM boleh bersaing dengan mereka ini kerana faktor upah dan gaji? Ialah. Dengan kos sara hidup di Malaysia, takkanlah penduduknya mahu dibayar setaraf dengan bayaran kepada pekerja asing tersebut. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa kerajaan perlu menaik tarafkan penawaran pekerjaan untuk penduduk-penduduk tempatan dalam industri perkilangan, pembinaan dan juga servis, dan dalam masa yang sama juga memperkasakan tangga upah dan gaji yang setimpal. Dalam erti kata lainnya, menaikkan kadar upah minimum. Manakala pekerja-pekerja asing ini boleh dibiarkan untuk terus berkhidmat sebagai orang gaji di rumah mahupun di kebun-kebun.
Penutup: ASEAN Economic Community (AEC) dan Masa Hadapan Negara
Adapun, Malaysia sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN bersama-sama dengan sembilan buah negara lain turut sama berusaha bergerak untuk mencapai objektif AEC pada tahun 2015, iaitu mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik melalui asas pasaran dan pengeluaran tunggal, perkembangan ekonomi yang ekual dan beberapa lagi. Apatah lagi Malaysia bakal menjadi negara yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.
Namun begitu, yang menjadi persoalan utama adalah berjayakah Malaysia dan negara jirannya menuju ke arah itu? Apatah lagi dengan permasalahan-permasalahan semasa yang melanda.
Memetik laporan akhbar Sinar Harian yang bertarikh 22 Mei 2014, risikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bahawa penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi yang melibatkan Malaysia dan negara jiran secara sindiket melalui penjawat awam sudah berada pada tahap yang serius. Selain itu, SPRM Perlis juga mendapati bahawa ketirisan bahan api ke negara jiran melibatkan anggota agensi penguatkuasaan dalam negeri sendiri.
Lalu, di manakah letak duduknya AEC ini nanti?
Kerana itu, pucuk pangkal permasalahan ekonomi negara sebenarnya berbalik semula kepada pengurusan kerajaan. Bukan cuma terletak di bahu rakyat kebanyakan yang cuma asyik disuruh berjimat dalam berbelanja, kalau tidak pun terus pindah ke luar negara seandainya tidak berpuas hati dengan kerajaan. Bukankah di dalam laporan audit yang terkini semakin banyak pendedahan ketirisan demi ketirisan yang dilakukan oleh para penjawat awam ini? Malah diperkenalkan pula GST untuk lebih ‘mencekik’ rakyat secara regresif.
Bak kata seorang sahabat;
“Pelaksanaan GST haruslah dilakukan mengikut prinsip ekonomi yang diajar Nabi Yusuf di mana hasil dipungut dan disimpan di waktu ekonomi meningkat sebagai bekalan untuk dibelanjakan semasa ekonomi merudum. Pelaksanaan GST di Singapura berjaya kerana diperkenalkan ketika kerajaan kaya dengan simpanan sehingga boleh memperkenalkan pelbagai skim bantuan untuk mengurangkan impak kenaikan harga dek GST kepada golongan susah.”
Hai lah panda.
Nasib badan menjadi barang ‘pertukaran’ dalam sistem barter pasca modernisasi.
The post PSY, Panda dan GST appeared first on Langit Ilahi.