Kisah Saya : Dirompak di Mekah

Picture from ~ akhtarsaiyed.blogspot.com
Saya pernah dirompak di Mekah. Benar. Ianya berlaku tahun lepas semasa saya pergi menunaikan umrah. Rumah tumpangan saya diceroboh dan beg saya diangkut sekali.
Ketika itu kami – saya dan rakan-rakan – tiada dirumah. Kami keluar mencari sedikit makan malam. Hampir pukul 10.30 malam barulah kami pulang ke rumah.
Sampai sahaja dirumah segalanya sudah tiada. Semua telefon yang dicas di dalam rumah hilang. Beg saya dan seorang sahabat saya lesap.
Allahu akbar! Saya benar-benar terkejut. Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu. Jantung menghentak-hentak kuat. Saya tidak reti berlakon tenteram.
Saya tidak kisah beg hilang. Beg boleh dicari baru. Ihram hilang tiada masalah. Belambak dijual. Pakaian saya juga tidak saya pentingkan.
Ada perkara yang benar-benar menganggu fikiran saya ketika itu. Kad iqomah ( kad pengenalan arab Saudi ) saya ada di dalam beg itu.
Kad bank, duit, tiket bas dan kad pelajar. Ia sangat penting. Saya tidak boleh balik ke Madinah tanpanya! Kalau berjaya keluar daripada Mekah pun, urusan mendapatkan semula kad iqomah itu sangat sukar. Kosnya sekitar 1500 rial.
Saya mula membayangkan kesukaran demi kesukaran yang bakal dihadapi. Tentu sekali akan berurusan dengan karenah arab yang membosankan. Turun naik pejabat berhari-hari namun masih belum selesai. Ia bukan agakan dongeng. Senior sudah melauinya.
Sudah masak!
Sungguh kami tidak sangka perkara tersebut berlaku. Kami di Mekah. Tanah haram. Dekat dengan Kaabah. Tempat turun wahyu.
Adakah di bumi berkat ini ada pencuri? Allah… Pencuri itu pada saya sangat berani. Berani dia bermaksiat di bumi tertegaknya Kaabah ini. Bumi turunnya wahyu. Bumi yang menyaksikan bertapaknya dakwah nabi. Memang sangat berani!
Malam kejadian itu, masing-masing berkongsi cerita bagaimana Allah menguji hamba-hambaNya di sini. Macam-macam kisah.
Dalam diam, kegusaran saya sedikit terubat. Saya terpilih untuk diuji. Semuanya ada hikmah disisi Allah. Alhamdulillah, dalam hati yang masih berombak-ombak, saya cuba untuk tersenyum.
Tawar.
Saya terus memujuk diri. Ia tidak mudah. Saya mahu bersangka baik pada Allah. Bahawa Allah mahu saya belajar sesuatu daripada musibah ini.
Alhamdulillah. Jiwa saya mula akur. Saya sudah mampu menikmati senyuman yang sebelum ini tawar. Dada yang menghimpit bertukar menjadi lapang.
Perlahan-lahan saya pejamkan mata dalam kepekatan malam.
Jam sudah larut malam, anak tuan rumah yang kami tumpang meluru masuk menemui kami.
“Ayah, ayah, ada dua beg di bahagian bumbung!” Kami semua terkejut lantas bergegas ke tingkat paling atas. Tuan rumah yang bersama kami sejak tadi memandu jalan ke bumbung tempat beg tersebut berada.
Bahagian paling atas bangunan di sini tidak seperti Malaysia. Bumbungnya rata.
Sampai sahaja di atas bumbung kami dapati dua beg sudah dibongkar. Barang-barang dan pakaian saya bersepah. Begitu juga sahabat saya.
Saya tidak berfikir panjang. Saya terus mendapatkan beg dan membuka zip tempat tersimpannya kad iqomah, kad bank dan kad pelajar saya.
Jantung berdegup kuat.
Ya Allah, bagilah ada. Bagilah ada. Doa ringkas penuh berharap. Ia bercampur perasaan cemas.
Zip pun dibuka.
Allahuakbar! Ia masih ada! Tidak terusik.. Allah memeliharanya.
Spontan saya bersujud syukur. Tidak terhingga perasaan ketika itu. Charger dan telefon saya hilang. Begitu juga barang-barang yang lain. Tidak mengapa. Biarlah mereka mengambilnya.
Malam itu sukar sekali melelapkan mata. Berkali-kali saya merenungi apa yang baru sahaja terjadi. Terasa soalah-olah mimpi.
Akhirnya sebelum mata benar-benar terlelap, saya mempelajari beberapa perkara.
Pertama, bumi tidak mampu mengubah seseorang. Walaupun hidup di Mekah, belum tentu dia takut pada Allah. Belum tentu dia bertaqwa.
Ramai yang tinggal, bekerja dan hidup di Mekah dan Madinah. Tidak semua benar-benar patuh pada Allah. Demikian hidayah itu. Hanyasanya kurniaan Allah kepada mereka yang terpilih.
Kedua, apabila Allah menguji seseorang, Allah ingin kita belajar sesuatu. Saya belajar tentang pasrah dan tawakkal sepenuhnya pada Allah. Saya belajar untuk bersangka baik dengannya.
Dalam tempoh yang singkat itu, saya berkali-kali memujuk diri. Bila hati rasa terdidik, ujiannya berakhir. Akhirnya Allah kembalikan dokumen-dokumen saya yang amat berharga.
Itu kerja Allah. Apa yang mustahil bagiNya?
Ketiga, berwaspadalah dengan barang-barang penting dimanapun kita berada. Saya teringat, ada seorang pakcik yang dicuri telefon dalam begnya semasa tawaf. Ada yang lain, hilang dompet semasa melintasi makam nabi di masjid nabawi.
Kawan saya pula hilang duit dan kad iqamah semasa mandi di tandas masjidil haram. Di mana-manapun sama. Kita bukan buruk sangka tapi berwaspada. Beza itu!
Itulah sedikit kisah saya. Saya yakin masing-masing ada kisah tersendiri. Masing-masing diuji. Hakikatnya semua dari Allah.
Samada kita belajar daripadanya atau ia berlalu begitu sahaja.
Saya mohon keampunan Allah…
The post Kisah Saya : Dirompak di Mekah appeared first on Langit Ilahi.