Tiada Yang Boleh Harap

w000107


Usai solat isya’ di masjid kampung, saya dipelawa oleh seorang ‘Datuk’ ajak singgah ke rumah. Tiada yang terlalu menarik. Sengaja mahu berborak mesra. Hampir lapan bulan kami tidak berjumpa. Saya di Madinah. Dia pula tidak lekat di rumah. Sekejab-sekejab ke luar negara. Mensyurat sini sana.


Bukan setahun dua kenal dengan datuk ini. Sudah lama. Hingga satu tahap, saya tidak lagi janggal bersembang dengannya walaupun saya kenal status beliau yang bukan calang-calang. Bagusnya, dia lekas mesra dengan semua orang. Tidak sombong.


Sedang kami asyik bersembang di ruang tamu, pembantu rumah datang daripada dapur. Dua cawan kecil beralaskan dulang berwarna emas diletakkan perlahan di meja empat segi sederhana besar. Aroma kopi menyelinap masuk ke hidung. Harum.


“Datin mana datuk?” Saya bertanya.


“Datin? Kemana lagi? Dia dengan kawan-kawan dialah. Pergi shoping. Biasalah orang perempuan.” Saya tergelak kecil.


Perbualan terhenti seketika. Mencari modal untuk dibuat bersembang.


Saya leka membelek gambar-gambar yang ada di dalam rumah. Kesemuanya berbingkai cantik dan tertampal kemas di dinding .


Lima bingkai gambar digantung sebaris. Tampak menarik. Semuanya berwajah muda, kemas dan bergaya. Masing-masing menggenggam segulung sijil di tangan. Tanpa saya sedar datuk pun ikut membelek.


“Semua ini gambar anak-anak saya. Yang sulung kakak tu sekarang kerja di Australia. Lecturer.” Saya mengangguk. Terselit rasa kagum.


“Yang sebelah itu anak yang nombor dua, kerja dengan petronas. Dia sekarang ini pengurus besar di pelantar gali minyak di Sabah.


Saya mengangguk lagi. Tangan kanan mengangkat cawan kopi untuk dihirup. Tangan kiri mengikuti dengan piring.


“Yang ketiga pulak datuk?”


“Oh, yang ketiga kerja di Malaysia sahaja. Dia pegawai kanan di CIMB Bank Kuala Lumpur. Adik dia yang ke empat tu arkitek. Baru sambung master di Ireland.”


Kali ini datuk pula yang mengangkat cawan kopi. Selesai menghirup dia menyambung.


“Yang bongsu pula dia ambil medic di Canada. Lagi setahun baliklah dia.”


“Subhanallah… Hebat belaka anak-anak datuk ya! Macam ayah mereka juga!” Datuk senyum meleret.


Bersungguh-sunggguh datuk bercerita. Airmukanya menggambarkan rasa hati. Bangga dan puas dengan prestasi anak-anak. Mana tidaknya. Semua hebat-hebat. Ikut hebat seperti ayah mereka.


Saya terasa ingin menduga. Namun akal dua tiga mempertimbangkan. Soalan yang mahu ditanya agak berisiko.


Tidak mengapa. Apa salahnya mencuba. Barangkali ada memberi guna.


Dalam keadaan separuh berani saya cuba bersuara.


“Datuk, hmm.. Dalam kelima-lima orang anak datuk ini, agaknya anak yang mana satu yang akan doakan datuk nanti bila datuk dalam kubur? Yang tolong selamatkan akhirat datuk? Yang berterusan menyambung saham akhirat datuk?”


Satu soalan maut dilepaskan. Walaupun dengan nada teragak-agak, soalan saya itu seakan sebuah bom yang mampu meledakkan jiwa, perasaan dan ego seorang datuk.


Datuk terdiam. Benar-benar diam! Airmukanya berubah. Dia tunduk tidak termaya. Pandangannya rapat ke lantai.


Barangkali soalan saya menghentam keras ke hatinya. Saya pula jadi bersalah. Mengapalah saya begitu berani bertanya sedemikian rupa.


Setelah agak lama berdiam, dengan muka yang sayu dia menggeleng.


”Saya sebagai ayah, saya kenal sungguh kesemua anak saya. Dan ustaz… Saya akui, tiada seorang pun daripada mereka yang boleh saya harapkan. Mungkinkah mereka yang saban waktu sibuk dengan urusan kerja mereka akan mengingati saya dalam doa mereka? Itupun kalau mereka berdoa…”


Kesal. Seakan datuk itu tersedar sesuatu yang selama ini dia langsung tidak pernah terfikir tentangnya.


Saya tidak mahu duduk lebih lama. Biarkan datuk bersendiri dengan apa yang baru sahaja berlalu sebentar tadi.


“Terima kasih ustaz. Saya baru tersedar. Benar-benar tersedar.”


“Ia belum terlambat datuk. Belum terlambat…” Ayat itu mengahiri pertemuan kami di banglo mewah tersebut.


Begitulah. Ia kisah seorang datuk. Saya pasti, ia kisah ramai orang.


Betapa ramai yang terlupa akan masa depan akhirat yang bakal setiap pemilik nyawa akan tempuhi. Terlupa mempersiapkan bekal. Tidak ingat mencipta saham akhirat yang berterusan. Sayangnya bila kekesalan itu tiba, kita sudah berada di penghujung usia.


“Apa yang boleh kita tuai pada musim menuai andai tiada benih yang kita semai.”


Andai yang membaca adalah seorang anak, pastikan kita menjadi pembela masa depan akhirat kedua orang tua kita!


Saya mohon keampunan Allah.


 


The post Tiada Yang Boleh Harap appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 28, 2014 12:17
No comments have been added yet.