Pemuda Ayam Daging
Saya buka catatan kali ini dengan memetik potongan ayat daripada surah Al-Baqarah. Berikut adalah terjemahan ayat yang ke 120.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
Saya yakin ramai khayalak pernah membaca dan mendengar ayat ini. Perhatikan ayat ini dengan teliti. Kata Allah, orang-orang Yahudi dan Nasrani sentiasa tidak senang dengan orang islam. Sampai bila-bila. Sehinggalah kita ikut mereka. Ikut akidah mereka, akhlak mereka dan cara hidup mereka.
Maknanya tujuan hidup orang kafir sudah diceritakan secara jelas oleh Allah dalam ayat-ayatnya. Mereka ingin merosakkan orang-orang islam. Maka kita orang-orang islam mesti tahu tentang hal ini. Mesti cakna. Barulah kita tidak terheret dan menjadi mangsa kepada matlamat jahat mereka.
Kalau kita ikut akhlak mereka, cara hidup mereka dan akidah mereka, musnahlah hidup kita. Mengapa? Kita orang islam hidup bermatlamatkan syurga Allah. Kita bersusah payah di dunia supaya dapat masuk syurga kelak.
Matlamat orang kafir mahu memesongkan kita dari tujuan itu. Tidak mahu kita masuk syurga. Mereka mahu orang-orang islam menyertai mereka ke neraka.
Hakikatnya sebahagian besar mereka sangat tahu agama yang mereka anuti itu adalah agama yang salah. Dan mereka memang sangat maklum bahawa islam adalah agama yang benar. Lalu mengapa mereka memusuhi islam dan masih tetap berada dalam agama terpesong mereka?
Mereka sebenarnya hasad. Mereka dengki dengan kebenaran yang dibawa islam. Ditambah bongkak dan rasa tidak mahu tunduk kepada peraturan Allah. Tidak mahu meninggalakan kehidupan senang lenang dengan dunia. Perasaan-perasaan ini telah membuatkan mereka bersungguh-sungguh mengatur perancangan yang sangat hebat untuk menjatuhkan orang-orang islam.
Sasaran utamanya adalah golongan muda. Mengapa pula ? Kerana generasi muda adalah tonggak kekuatan sesebuah ummat. Jika lemah pemudanya, lemahlah ummat tersebut. Jika pemuda-pemuda islam lembik, maka lemahlah islam.
Musuh-musuh islam tidak akan pernah berhenti. Macam-macam cara dicuba. Banyak yang berjaya!
Kita lihat bagaimana pemuda-pemudi hari ini diasuh dengan filem-filem, novel dan suasana yang mengajak kepada percintaan. Pemuda-pemudi diajar untuk bermatlamat dengan perkara-perkara remeh. Nak menangi hati perempuan. Nak dapat suami yang romatik. Nak jadi isteri yang sweet. Kemudian apa?
Dicuba pula dengan games. Pun berjaya! Berapa ramai anak-anak muda yang menghabiskan sebahagian besar masanya untuk bermain games? Dalam tidak sedar mereka merugikan begitu banyak masa muda yang terlalu berharga. Membaca tentulah kurang. Menghadiri majlis ilmu? Mempersiapkan diri dengan ilmu? Mengajak manusia kembali kepada islam yang sebenar? Bila semua itu?
Ia tidak akan berlaku jika matlamat pemuda-pemuda ini hanya untuk menang level games. Tidak. Ia tidak salah bermain tetapi hanya pada sisa-sisa waktu yang terluang. Saya juga bermain games. Tetapi bukan setiap masa. Orang muda itu banyak kerjanya. Kalau hanya bermain, bila kerjanya?
Apabila melihat keadaan anak-anak muda hari ini, kita dapati musuh-musuh islam hakikatnya telah berjaya. Pemuda pemudi telah dibentuk menjadi ayam daging.
Bagaimana?
Hidup ayam daging
Cuba perhatikan kehidupan ayam daging. Ayam yang diternak untuk diijual dagingnya. Ayam ini hidup di dalam sangkar kecil yang cuma muat-muat. Diletakkan padanya air dan makanan . Setiap hari itulah kerjanya. Makan minum tidur makan minum tidur. Kalau terjaga pukul 3 pagi pun makan minum. Sama setiap hari. Cukup sebulan kena sembelih.
Itulah perjuangan ayam daging. Menggemukkan diri, hidup santai kemudian siap untuk disembelih. Dia tidak ada cita cita untuk bangkit melepas diri. Jantungnya lemah. Kalau terdengar guruh berdentum dilangit terus mati. Hendak disembelih tidak lari. Terus menyerah diri.
Begitulah ayam daging. Kalau pemuda pemudi itu hidup sakadar untuk makan minum, santai, tidur, seronok, tiada bezalah dengan ayam daging. Sampai masanya siap disembelih oleh musuh-musuh islam.
Jiwanya lemah. Kalau susah cepat mengalah.Tidak mahu bangkit dan buat perubahan. Tidak mahu mencari tetapi sentiasa tunggu diberi.
Hidup bermatlamat yang rendah-rendah sahaja. Ingin popular, banyak wang, ada ramai peminat. Tidak ada langsung cita-cita nak bantu islam. Nak lawan musuh-musuh islam.
Ayam daging lebih baik
Pemuda yang mahu disayangi Allah tidak boleh mencontohi ayam daging. Kena berubah. Kena berbeza. Kena bekerja.
Matlamat hidup harus jelas. Akademik kena tip top. Ibadah pula mantop. Baru boleh jadi pemuda pemudi yang hebat.
Kalau tidak kita cuma jadi pemuda ayam daging. Malah lebih teruk! Ayam daging kalau disembelih boleh dijual. Boleh bagi pulangan yang sangat menguntungkan pada penternak.
Tetapi manusia kalau matlamat hidup cuma mahu santai, senang lenang, dan tidak mahu bersusah, tentulah langsung tidak bermanfaat. Hendak disembelih tidak boleh. Hendak dijual tidak ada yang mahu.
Malu pada ayam daging.
The post Pemuda Ayam Daging appeared first on Langit Ilahi.