Corat-Coret Hati: Pemuda & Perubahan
Pemuda adalah aset yang amat penting. Kepemudaan merupakan saat waktu yang penuh dengan peluang, potensi dan tenaga. Muda juga fitrahnya menandakan bahawa masa bersamanya. Golongan muda-mudi kini jelas merupakan sesuatu yang sangat penting, dalam penentuan jatuh bangun sesebuah organisasi, masyarakat, negara, bahkan dunia di masa akan datang.
Sirah juga tidak lekang dengan contoh-contoh muda-mudi berwibawa. Antaranya yang menumbangkan Abu Jahal, siapa lagi jika bukan Mu’adz dan Mu’awwidz, remaja belasan tahun. Antara yang faqih dan menjadi rujukan para sahabat, siapa lagi kalau bukan Aisyah RA yang masih lagi belasan tahun kala kewafatan Rasulullah SAW. Lihatlah Usamah bin Zaid RA, diangkat menjadi panglima perang menentang Rom, sebuah kerajaan setaraf Amerika Syarikat hari ini, pada usianya 18 tahun. Dan sejarah tidak lekang dengan manusia sebegini, apabila ianya diteruskan dengan kehadiran orang-orang muda yang merombak dunia seperti Imam Asy-Syafi’i, Imam Al-Bukhari, Muhammad Al-Fateh(pembuka Kota Konstantinopel), Imam Hassan Al-Banna, Zainab Al-Ghazali dan ramai lagi.
Begitu sekali pemuda-pemudi muncul mencorakkan dunia.
Betapa benar sekali ‘perubahan’ itu, dipadankan dengan golongan belia.
Kekuatan Terpendam Para Belia
Pengiktirafan pada kekuatan belia ini wujud di dalam hadith Rasulullah SAW yang masyhur:
Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara; masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati.” Hadith riwayat Imam Ahmad.
Rasulullah SAW sendiri suruh kita merebut masa muda sebelum tua. Menandakan bahawa pada masa muda ini, ada kelebihan-kelebihan besar yang tidak terwujud di kala masa tua.
Antara yang mampu saya kesani dan teliti ialah:
1 – Orang muda mempunyai masa.
Secara lumrahnya, yang tua semakin hampir dengan kematian. Walaupun waktu muda juga kematian boleh datang, tetapi secara lumrahnya, orang tua mempunyai masa yang sedikit berbanding anak-anak muda. Bukan semata-mata kerana masa yang semakin mendekati ajal, tetapi juga kerana tanggungjawab yang sudah bercambah-cambah, dengan anak-anak dan isteri, dengan pekerjaan dan bebanan yang telah terbina semasa muda.
Maka hendak memulakan sesuatu yang baru, masih hendak cuba ‘try and error’, hendak meneroka medan/peluang yang terkini, pastinya sudah tidak semampu orang-orang muda.
Orang-orang muda belum punya tanggungjawab yang banyak. Mereka punya masa lapang yang kalau bukan diisi dengan perkara bermanfaat, akan diisi dengan perkara yang melalaikan.
Justeru pada orang muda itu punya masa yang tidak wujud pada orang-orang tua.
2 – Orang muda lebih tinggi kreativiti.
Anak-anak muda biasanya lebih tinggi kreativitinya berbanding orang-orang yang telah berusia. Mereka mempunyai fantasi dan imiginasi yang tinggi, lebih-lebih lagi sebelum ditunjuk ajar itu dan ini, dilarang begitu dan begini. Minda mereka masih segar bugar dengan pelbagai idea dan pandangan.
Pada kreativiti inilah mereka akan mempunyai sikap inovatif, sekaligus melahirkan pelbagai alternatif di dalam perjuangan untuk mencapai matlamat.
3 – Orang muda punya tenaga.
Orang-orang muda mempunyai tenaga yang lebih berbanding mereka yang lebih berusia, secara lumrahnya. Orang-orang muda punya tulang rangka yang masih kuat, stamina yang lebih tinggi bahkan mempunyai peluang untuk mempertingkatkannya lagi dari masa ke semasa untuk kekal sihat di hari tua.
4 – Orang muda punya peluang.
Orang-orang muda mempunyai peluang yang lebih banyak berbanding orang-orang yang telah berusia. Peluang belajar terutamanya. Mereka berpeluang belajar lebih banyak, dengan meneliti kesilapan dan kejayaan orang-orang berusia. Di sana mereka berpeluang untuk mencuba perkara baru yang mungkin belum dicuba oleh orang-orang sebelum mereka, dan berpeluang mengelak akibat-akibat buruk yang pernah dihadapi oleh orang-orang sebelum mereka.
Mereka juga mempunyai peluang untuk membuat kesilapan-kesilapan yang baru, dan belajar daripadanya. Mereka mempunyai peluang untuk merangka strategi baru dan mencubanya.
Muhjahid Fathi Yakan dalam bukunya yang bertajuk Syabab wa Taghyir(Pemuda & Perubahan) ada menyebut: “Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus.”
Pemuda Sebagai Ejen Perubah
Maka golongan belia memang merupakan generasi yang cocok untuk menjadi ejen perubahan. Masa yang masih banyak, kreativiti yang tinggi, tenaga yang masih tidak terganggu, peluang yang masih tidak terkira, semuanya terkumpul pada mereka.
Adalah rugi serugi-ruginya apabila golongan ini rosak dengan pembaziran masa, maksiat dan kemungkaran, hiburan yang menghancurkan, jati diri yang rapuh, kefahaman yang celaru, ilmu yang cetek dan sebagainya.
Bayangkan, masa muda dihabiskan dengan menonton drama-drama secara maraton puluhan jam. Bayangkan, masa muda dihabiskan dengan ketagihan permainan video dan komputer. Bayangkan anak-anak muda yang kerjanya melepak kosong dengan perkara yang sia-sia. Bayangkan generasi yang habis dengan perkara maksiat dan merosakkan diri. Bayangkan masa hadapan ummat apabila generasi ini membesar nanti?
Mereka akan tetap menjadi ejen perubah. Mereka akan jadi ejen perubah suasana ini menjadi lebih buruk lagi daripada sekarang.
Ya.
Hari ini kita menangisi keadaan ummat. Kita bertanya-tanya mengapa ummat kita lemah. Mengapa ummat kita terhina. Mengapa ummat kita hanya dianiaya. Tetapi pernahkah kita melihat keadaan diri kita?
Ya. Kita tidak menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan, maka bagaimana ummat ini hendak berubah menjadi baik? Generasi remaja, belia ini tidak kita pimpin, tidak kita arahkan kepada kebaikan, bagaimana masa hadapan nanti hendak terbentuk dengan acuan kebaikan juga?
Maka generasi ini perlu dipersiapkan. Perlu diisi. Perlu dipandu. Perlu dibentuk.
Mujahid Fathi Yakan ada menyatakan bahawa generasi muda perlu dipersiapkan di tiga bahagian, di dalam kitabnya, Syabab wa Taghyir:
1 – Persediaan Dari Segi Pemikiran.
2 – Persediaan Dari Segi Hati.
3 – Persediaan Dalam Bentuk Organisasi.
Mujahid Fathi Yakan menegaskan peri pentingnya membentuk generasi ini dengan fikiran Islam, dan bagaimana pemikiran Islam itu perlu diiringi dengan pengetahuan am. Agar generasi muda ini merupakan generasi yang jelas fikrahnya, yang mendalam kefahamannya, seterusnya cakna dengan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat umum, sekaligus akan mampu memberikan jalan keluar mengikut kerangka yang diredhai Allah SWT.
Mujahid Fathi Yakan juga mengingatkan bahawa, persediaan hati adalah untuk mengikat generasi ini dengan Allah SWT. Agar generasi ini tidak mudah disesatkan, serta pemikiran mereka berada di atas panduan keimanan kepada Allah SWT. Supaya generasi ini tidak membesar dengan hawa nafsu yang tidak dikawal. Hati yang bersih dan hidup adalah apa yang akan membuatkan akal segar dan mampu fokus mengikuti neraca Allah SWT.
Akhir sekali Mujahid Fathi Yakan mengingatkan akan pentingnya untuk generasi muda dididik dengan keorganisasian. Beliau menegaskan bahawa generasi ini perlu dididik untuk meneliti organisasi Islam, kesilapan dan kejayaannya, dan juga organisasi jahiliyyah. Juga perlu dilatih penelitian terhadap suasana masyarakat sekeliling, suasana ekonomi dan politik, agar mempunyai kefahaman jelas akan medan perubahan yang ingin dibawa.
Kerja Lebih Banyak Dari Masa
Kader dakwah yang sebenar tidak akan bongkak menyatakan bahawa kejayaan akan tiba pada generasinya. Semua pejuang Islam dididik bahawa mereka hanyalah mata rantai daripada mata rantai-mata rantai perjuangan. Kemenangan belum pasti akan tiba pada umurnya.
Kerana itu pentingnya mendidik generasi muda.
Pertama – Agar generasi muda dapat menyambung perjuangan ini.
Kedua – Agar generasi muda tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh generasi sebelumnya. Jika hendak melakukan kesilapan pun, biarlah kesilapan yang baru agar ianya mampu dikaji dan dijadikan pengajaran buat generasi selepasnya.
Ketiga – Agar generasi muda ini mampu meneruskan perubahan ke arah kebaikan ini dalam keadaan lebih baik, lebih kreatif, lebih berkesan, hingga mampu mencapai tangga-tangga baru di dalam perjuangan, atau harapannya, memenangi perjuangan membawa perubahan ke arah kebaikan ini.
Kerja pastinya lebih banyak dari masa. Kerana itu perjuangan ini belum berakhir hingga kini. Dan perjuangan ini memerlukan tenaga untuk menggerakkannya. Tenaga mana yang lebih baik daripada tenaga anak-anak muda.
Justeru anak-anak muda perlu sedar akan kuasa yang berada di tangan mereka.
Mereka bukan generasi budak hingusan. Mereka adalah generasi berpotensi untuk melaksanakan perubahan.
Cumanya pilihan di tangan anak-anak muda sendiri. Sama ada sekadar mahu meneruskan kitaran hidup yang telah diset oleh sistem agar merencatkan jalan perubahan ke arah kebaikan ini, atau memecahkan kitaran ini dan mula bergerak menentang arus, menjadi ejen-ejen perubahan.
Penutup: Pemuda Berkuasa
Golongan belia bukan golongan budak-budak. Golongan belia adalah golongan harapan. Yang mempunyai potensi besar untuk melaksanakan perubahan.
Adalah amat rugi jika golongan ini terus lena dengan hedonism, sibuk dengan perbincangan kosong, dan hanya tahu melakukan lawak bodoh. Hiburan, maksiat, berada di sekeliling merosakkan semua orang dan terutamanya generasi muda.
Generasi ini perlu diselamatkan untuk masa hadapan yang lebih cerah.
Hanya dengan terselamatnya generasi ini, maka perubahan ke arah kebaikan itu akan mampu dilaksanakan.
Maka ayuh bangun pemuda-pemudi. Sedarlah akan pentingnya diri kalian semua.
Bangunlah dari lena dan marilah bersama rombongan perjuangan semenjak muda lagi. Masa muda bukan masa bermain-main. Masa muda masa bekerja. Rehat kita hanya di syurga sana.
Ayuh bangkit, dan sedarlah!
The post Corat-Coret Hati: Pemuda & Perubahan appeared first on Langit Ilahi.