Corat-Coret Hati: Zun-nun Dan Kita.
Kita semua ibarat Zun-nun yang berada di dalam perut ikan paus.
Perut ikan paus dikatakan mempunyai sistem pencernaan yang 6 kali lebih kuat dari manusia. Maka di dalamnya mempunyai asid yang boleh mencerna apa-apa yang berada di dalam tubuhnya dengan pantas.
Kita semua ibarat Zun-nun, yang berada di dalam suasana itu. Kita terperangkap di dalam perut ikan paus. Yang menghakis dan ‘mencerna’ kita. Seperti Zun-nun juga, kita berada di dalam perut paus itu kerana kesilapan kita.
Bagaimana kita mahu keluar?
Seperti Zun-nun juga, kita hanya mampu keluar dengan melihat kembali diri, bermuhasabah dan memperbaiki keadaan diri sendiri.
Zun-nun apabila undian di kapal memutuskan dia perlu dibuang ke laut walau selepas berkali-kali undian diulang, dia sudah mengetahui betapa Allah sedang hendak memberikan teguran atas sikapnya yang tergesa-gesa meninggalkan ummatnya. Lantas Zun-nun tidak menyalahkan orang-orang kapal yang mencampaknya. Zun-nun juga tidak menyalahkan Ikan Paus yang memakannya. Pada saat di dalam ikan paus, kala Zun-nun mendapat peluang untuk bersuara, yang diungkapkan ialah:
“Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.
Dan lihatlah bagaimana pantasnya Allah SWT mengeluarkan Zun-nun selepas itu. Pada ayat 88, Allah sudah menyatakan bahawa Zun-nun diselamatkan.
“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman.” Surah Al-Anbiya’ ayat 88.
Di dalam Surah Ash-Shaffat, Allah SWT menceritakan bagaimana jika Zun-nun tidak mengambil sikap menyedari kesilapan diri, maka Allah akan membiarkan Zun-nun di dalam perut ikan paus tersebut.
“Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak(dengan ujian yang lebih berat). Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.” Surah Ash-Shaffat ayat 142-144.
Maka kita hari ini, yang juga terperangkap di dalam perut ikan paus, dihakis untuk dicerna menjadi bahan makanan sistem caca merba hari ini, hanya akan mampu keluar sebagaimana Zun-nun dikeluarkan.
Iaitu kala kita berhenti menyalahkan musuh-musuh dan mula menyalahkan diri sendiri. Menyedari kesilapan diri, dan mula menyusun untuk melakukan peningkatan. Mula buat kerja. Mula tinggalkan retorik-retorik yang selama ini ibarat menanam tebu di tepi bibir untuk halwa telinga diri sendiri dan orang ramai.
Kala itu Allah akan mengeluarkan kita daripada perut ikan paus hari ini.
Dan memberikan kita kemenangan.
Jika tidak, terus tinggal lah kita dalam kekalahan dan ketewasan.
“Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.” Surah Ash-Shaffat ayat 143-144.
The post Corat-Coret Hati: Zun-nun Dan Kita. appeared first on Langit Ilahi.