VT2: Avantgarde – Gelombang 1

VT2 Cover


 


Dia duduk berteleku lama. Sambil itu mulutnya beralun selawat secara perlahan. Berdiam diri tidak bermakna membazir masa. Sambil tangan silang pada dadanya, dia duduk bersila di tengah gelanggang bola tampar, yang berada di dalam dewan milik syarikat tempat dia bekerja – Muslim’Sport.


Hampir 7 tahun telah berlalu semenjak dia menjadi jurulatih pasukan bola tampar di sekolah tempat dia belajar dahulu. Sehingga kini dengarnya sekolah tersebut kekal menjadi juara bertahan di negeri darul sunnah Malaysia itu.


Dia tersenyum. Terkenang beberapa momen bersama remaja-remaja di dalam pasukan tersebut. Pelbagai telatah, penuh dengan ragam masing-masing, namun akhirnya semua bersatu untuk menjadi duta-duta Islam, membawa nama Islam dengan wasilah bola tampar.


Walaupun dia bukan orang yang rapat dengan teknologi maklumat, dia tidak mempunyai Facebook atau Twitter, dia sering mendengar perkembangan pasukan sekolah itu dari masa ke semasa. Sambil itu, dia meneruskan kerja-kerjanya, yang memerlukan dia mengembara ke pelbagai tempat.


Tugasannya sama. Membina pasukan-pasukan bola tampar yang boleh membawa syiar Islam di tempat-tempat tersebut. Tidak semestinya menjadi johan. Cukup sekadar kehadiran mereka dirasai masyarakat, dan keperibadian mereka menjadi contoh tauladan buat semua. Itu kerjanya dia, semenjak bertugas di Muslim’Sport.


Namun kini tugasan tersebut telah diambil alih oleh ramai jurulatih yang lain. Muslim’Sport telah berkembang, dan mempunyai ramai pekerja. Kini dia tidak lagi ditugaskan untuk mengembara. Dia telah dipanggil pulang ke Kuala Lumpur untuk sebuah projek mega Muslim’Sport.


Iaitu mencipta ‘gelombang baru’ di arena sukan pada tahap nasional.


Sukan Bola Tampar tidak terkenal di Malaysia, berbanding bola sepak, hoki dan lain-lain. Tidak pasti mengapa, tetapi publisiti yang diterima tidak semegah sukan yang lainnya. Namun, atas inisiatif Persatuan Bola Tampar Malaysia, taraf sukan Bola Tampar telah dinaikkan ke tahap professional apabila mereka menganjurkan Volleyball National Royal Championship(VNRC).


VNRC ialah kejohanan bola tampar yang terbuka untuk sesiapa memasukinya, dan ahli pasukannya tidak terbatas pada satu-satu negeri sahaja. Tiada juga had umur, namun rata-rata yang menyertainya ialah remaja. VNRC mempunyai jalinan dengan acara bola tampar terbesar dunia – Volleyball International Royal Championship(VIRC), yakni pasukan yang menjuarai VNRC, selain mendapat hadiah yang dianugerahkan sendiri oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia, juga akan mewakili negara ke kejohanan VIRC.


Hadiah yang sangat lumayan, bersama dengan publisiti yang meningkat mendadak disebabkan penglibatan Yang DiPertuan Agong di dalam kejohanan VNRC ini, menyebabkan banyak pihak mula membina pasukan masing-masing.


Dan kali pertama VNRC akan diadakan ialah pada 5 bulan yang akan datang.


Justeru dia dipanggil pulang, untuk membina pasukan bagi mewakili Muslim’Sport. Dan dijangka dia akan kekal dengan tugasan ini, untuk tahun-tahun yang mendatang. Tujuan Muslim’Sport jelas, ingin membawa syiar Islam ke platform yang lebih tinggi. Misi yang terletak di pundaknya kini ialah hendak menjadikan pasukannya sebagai pasukan terbaik, agar mereka dapat  menjadi johan untuk VNRC kali pertama ini.


Sekaligus, dengan publisiti yang diberikan terhadap VNRC ini, diharapkan mereka mampu menjadi sebuah gelombang baru, merubah wajah ‘sukan’ di Malaysia ini ke arah yang lebih patuh syariah.


Itulah tugasnya. Besar. Tetapi dia tidak menyendiri.


Tap, tap, tap. Tiba-tiba bunyi derap langkah kasut bertemu lantai gelanggang kedengaran. Dia mengangkat wajah.


“Assalamu’alaikum coach Saiful.” Kelihatan 8 orang pemuda berdiri di hadapannya.


Dia tersenyum, “Waalaikumussalam,” lantas dia menguraikan silang tangannya, bangun dan mendakap mereka satu persatu.


“Rindu dengan kalian.”


Mereka juga membalas dakapannya erat. Usai semuanya, dia melihat mereka satu persatu. Dia baru perasan sesuatu. Bilangan mereka tidak cukup dua belas.


“Em, mana Ridhwan, Zulkarnain, Farhan dan Ihsan?” Dia bertanya kepada salah seorang dari 8 orang pemuda di hadapannya. Tinggi lampai, berkulit cerah, bersambut pendek seperti botak, Malik.


Malik menghela nafas. Kerut wajahnya menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena.


“Mereka kata, mereka tidak mahu menyertai.”


Mata Saiful membesar. Nama Tuhannya Yang Maha Esa melepasi bibir.


“Kenapa?” Dia cuba untuk memahami.


“Coach tak ada facebook, mungkin sebab itu coach tak berapa tahu.” Pemuda berkulit hitam manis, rambut panjang namun kemas tersisir seperti bawang, kurus dan sederhana tinggi, mencelah. Omar namanya.


“Apa yang dah berlaku Omar?” Dia mula rasa bersalah kerana tidak sempat untuk mengambil tahu setiap anak didiknya secara peribadi. Dia hanya mendengar khabar berkenaan pasukan sekolah sahaja. Tidak setiap mereka secara individu.


“Ridhwan, isterinya baru meninggal dunia dan dia seakan tidak boleh menerima kenyataan itu.” Malik menyambung.


“Allahuakbar. Innalillah.” Ibarat batu menghempap, begitulah perasaan Saiful ketika ini.


“Farhan, ada tragedi menimpanya beberapa tahun lepas. Semasa bermain bola tampar, rejamannya membuatkan salah seorang ahli pasukan lawan meninggal dunia.” Omar menambah.


Semua yang ada memandang Omar. Saiful pula hanya mampu menarik nafas yang agak dalam mendengar tragedi itu. Bagaimana sehingga boleh berlaku demikian?


“Ihsan pula sudah ada bisnesnya sendiri. Dia lama dah tak berlatih, dan dia juga rasa bola tampar bukan medannya lagi. Dia tidak mahu bersama kita.” Omar menyambung cerita berkenaan rakan-rakannya yang tiada.


Saiful mula menggeleng. Kita sudah berjanji bukan, Ihsan? Dia mula berbicara di dalam hatinya sendiri. Terbit sedikit rasa kecewa. Ihsan adalah antara ‘setter’ terbaik yang dia ketahui.


“Bagaimana dengan Zulkarnain?” Saiful bertanya berkenaan bekas pemainnya yang tinggi lampai, perejam yang sangat hebat.


Omar dan Malik saling memandang antara satu sama lain. Kemudian mereka berdua memandang Saiful.


“Zulkarnain, dia sekadar kata tidak dapat menyertai. Gaya macam ada masalah. Tetapi entahlah. Facebook dia pun lama dah tak update. Kami telefon tak angkat, SMS dan email pun dia tak balas.” Malik menjawab.


Saiful akhirnya menghela nafas. Terasa berat udara itu hendak melepasi rongganya. Empat yang tiada ibarat anak-anak kunci yang penting untuk membuka kemenangan. Ridhwan, Farhan dan Zulkarnain ialah perejam yang sangat berkaliber. Manakala Ihsan merupakan ‘setter’ yang amat handal. Ketiadaan mereka bermakna pasukan yang hendak dibinanya tidak lengkap, dan kekurangan.


Lebih menyedihkan dirinya, ialah mereka berempat seakan ‘hilang arah’, dan dia baru mengetahuinya. Sekiranya dia tahu lebih awal, pastinya dia akan mengusahakan sesuatu. Namun tiada yang memberitahu dirinya, dan dia juga tidak merapati laman-laman sosial yang boleh menghubungkan mereka.


Dia sibuk dengan kerjanya.


“Ala coach, janganlah sedih. Kami kan ada?” Satu suara mencelah lengang. Saiful mengangkat wajahnya dan memandang.


Fatih, kacukan Bosnia Malaysia, tinggi, berkulit putih, berambut sedikit perang, merupakan bekas ‘setter’ untuk pasukan didikannya di Amerika. Empat tahun lepas, dia membantu pasukan pelajar Malaysia di sana untuk memenangi kejohanan bola tampar peringkat universiti-universiti.


Saiful kemudian memandang rakan-rakan Fatih yang menyahut panggilannya untuk hadir ke mari.


Dzakir, asal Melaka, berkulit cerah, rambut panjang ke belakang mencecah bahu, sederhana tinggi. Perejam.


Leon Xavier. Anak orang Inggeris yang mendapat kerakyatan Malaysia. Namun ibu bapanya bekerja di Amerika, dan Leon tidak pernah lama menetap di Malaysia. Dia seorang yang tinggi lampai, berkulit putih, berambut perang pendek seperti tentera. Perejam.


Akram, orang Kuala Lumpur, tingginya sederhana, rambutnya ikal pendek. Tugasanya di gelangangg sebelum ini ialah sebagai ‘libero’.


Wong Fei Hung, Cina Muslim, asal Singapura tetapi keluarganya mendapat kerakyatan Malaysia, tidak terlalu tinggi, paling rendah dalam pasukan, rambutnya lurus tersisir kemas. Sebelum ini dia merupakan pemain simpanan, menggantikan pemain utama yang keletihan.


Abhiraj Khan, India Muslim, asal Johor. Seorang yang sederhana tinggi, berambut kerinting. Perejam.


Malik dan Omar memandang keenam-enam pemuda tersebut. Mereka bertembung kala hendak memasuki gelanggang tadi. Sekadar berbalas salam sahaja tanpa berkenalan pun.


“Malik, Omar, mereka berenam ini ialah pasukan di bawah didikan ana semasa di Amerika Syarikat. Kenalkan, Fatih, Dzakir, Leon, Akram, Fei Hung dan Abhiraj.” Saiful menunjuk satu persatu. Omar dan Malik terangguk-angguk.


“Fatih, walaupun kamu semua ada bersama pasukan ini, pasukan ini tetap memerlukan empat rakan kita yang tidak hadir hari ini.” Saiful menyambung bicara yang terhenti tadi.


Fatih mencebik. Malik perasan.


“Weh, kau tak puas hati apa hah?” Emosinya tercuit, maju dia berhadapan dengan Fatih.


What? Dah team kau tak datang sampai menyusahkan coach.”


“Mereka ada masalah lah. Kau tak faham ke?” Omar masuk campur.


“Mukmin yang kuat akan menganggap masalahnya kecil. Allah lebih besar dari masalah kita.” Dzakir menyebelahi Fatih.


Fei Hung, Abhiraj, Akram, dan Leon merapati Fatih sebagai tanda sokongan. Malik mengetap bibir manakala Omar mula mengepal penumbuk.


Saiful segera bergerak ke tengah antara mereka dan menolak lembut Fatih dan Malik yang hampir bersentuh muka.


“Berhenti. Sabar. Apa semua ini?” Saiful memandang kepada kedua-dua belah pihak.


Belum bermula lagi apa-apa, sudah terpercik api pepecahan. Dalam keadaan empat dari ahli pasukan yang hendak dibinanya tidak hadir. Hati Saiful sedikit terpukul.


“Fatih, cukup. Dzakir, benar mukmin yang kuat itu akan tabah. Tetapi iman manusia naik dan turun. Dan kala iman seseorang manusia itu turun, jangan kita mencelanya. Kita mungkin tidak diuji sedemikian rupa. Malik…” Saiful kemudian menoleh kepada Malik.


“Bumping 100 kali sebagai denda.”


Malik mendengus kencang. Tetapi tidak menyambung bicara. Terus dia melakukan bumping yang diarahkan. Dia tahu Saiful akan menambah dendanya jika dia melawan. Jiwanya kini diamuk bengang.


Omar menggeleng. Hendak berkumpulan dengan mereka? Apakah mungkin?


“Baik, duduk semua.” Saiful bersila sambil memberikan isyarat. Malik yang sedang melakukan denda yang diberikan turut memasang telinga.


“Ana mengumpulkan antum adalah untuk kita menyertai VNRC yang akan diadakan julung kalinya 5 bulan yang akan datang.”


Kemudian Saiful meneruskan taklimatnya.


Namun jauh di dalam hatinya, dia bersedih sebenarnya.


Sedih dengan ketiadaan dan masalah empat orang bekas pemainnya.


Juga sedih dengan pertengkaran yang berlaku tadi. Menyedarkan dia bahawa pasukan yang hendak dia bina ini, mempunyai jurang yang besar antara dua generasi. Generasi anak didiknya di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, dan Generasi anak didiknya di Amerika.


Terselit keinsafan di dalam dirinya, yang menyangka perjalanannya akan menjadi mudah apabila dua pasukan yang hebat digabung menjadi satu. Rupa-rupanya Allah SWT tidak akan meninggalkannya tanpa diuji. Mungkin ini untuk dia bermuhasabah.


Allah, aku khilaf. Bisik hatinya, sambil mulut meneruskan taklimat kepada pasukan barunya.


 


*****


 


Suasana di balkoni banglo tiga tingkat di Damansara itu indah. Bersama angin malam yang bertiup sepoi, seakan mengurut seluruh tubuh menjadi tenang.


Kelihatan dua orang lelaki bersut kemas sedang duduk bersama di tempat rehat balkoni tersebut..Salah seorang dari mereka berdua kelihatan lebih berusia dari seorang yang lain.


“Bagaimana dengan projek terkini kita, Faiz?” Yang lebih berusia berbicara.


“Alhamdulillah pakcik. Kita sedang mengusahakan Team untuk VNRC.”


“Saiful Rahman sudah pulang?” Teh panas yang tersedia di hadapannya, dihirup usai bertanya. Mata memaku kepada pemuda bernama Faiz di hadapannya.


“Sebulan yang lalu. Alhamdulillah. Dia yang akan menjadi jurulatih untuk Team tersebut.”


“Bagus. Saiful telah membuat kerja kita bertambah lancar. Perlis, Thailand, Singapura, Amerika, kita mempunyai proksi kita di tempat-tempat tersebut.”


“Alhamdulillah Pakcik Abdul Majid. Allah mempermudahkan.”


“Terima kasih juga kerana sudi bersama pakcik menguruskan Muslim’Sport ni, walaupun baru nak bergerak.” Lelaki berusia bernama Abdul Majid itu memanjangkan tangan, menepuk bahu Faiz.


Faiz tersenyum. Menggeleng. “Saya yang kena ucapkan terima kasih kerana pakcik memberikan peluang. Pakcik banyak membantu saya, terutama selepas saya diracun 13 tahun lepas.”


Abdul Majid sekadar tersengih. “Semuanya adalah atas rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kebetulan pakcik juga kronik ketika itu. Ketagihan rokok. Letaknya di sebelah kamu yang soleh. Yang kenalkan pakcik semula kepada Allah, dan mengembalikan pakcik pada jalan dakwah dan tarbiyah ini.”


“Kisah lama.” Faiz cepat-cepat memotong.


“Kisah lama.” Abdul Majid tersenyum.


Sepi mengisi ruang antara mereka. Angin terus bertiup lembut. Mereka berdua menghirup teh yang ada. Mungkin apa yang dibangkitkan oleh Faiz dan Abdul Majid, masing-masing membuatkan mereka mengimbau kenangan lama.


“Ah, kenapa sebenarnya pakcik mahu bertemu dengan saya malam ini? Pastinya bukan semata-mata kerana VNRC bukan?”


Abdul Majid menggeleng.


“Ada kait mengaitnya juga. Pesaing kita yang…” Abdul Majid mengangkat tangan, kedua-dua belah jari telunjuk dan jari hantu disatukan, kemudian dibengkokkan dua kali, “…’tidak sihat’…” kemudian tangan dijatuhkan, “…mereka juga akan menyertai VNRC. Mereka mahu kita tidak menganggu laluan mereka.”


Faiz terpana sebentar. Pesaing mereka yang ‘tidak sihat’ itu memang telah banyak menyukarkan mereka selama ini, dalam pelbagai medan yang diceburi. Hendak meng’islamisasi’kan sukan di negara ini amat sukar. Terlalu banyak sebenarnya ‘taikun-taikun’ yang cuba memonopoli keuntungan yang ada dari medan sukan di negara ini.


Namun apa yang lebih teruk dari pengejar-pengejar wang ialah, pihak yang hendak terus menjadikan sukan sebagai salah satu senjata ‘hedonisme’ yang merosakkan masyarakat. Dan itulah yang sedang dipelopori pesaing mereka yang ‘tidak sihat’ itu.


Memandangkan Muslim’Sport membawa wadah untuk membersihkan sukan dari anasir yang menjauhi syariat Allah SWT, maka pesaing mereka merasakan bahawa Muslim’Sport ialah ancaman buat kerja yang mereka usahakan.


“Hem. Jadi, apakah Pakcik mahu kita berhenti?”


Abdul Majid terus tertawa usai mendengar soalan Faiz itu. Kemudian mata mereka bertaut.


“Faiz, kita sudah kenal dan bekerjasama lebih 10 tahun. Takkan kau tidak mengetahui lagi apa yang pakcik akan lakukan?” Tawanya masih berbaki.


Faiz menggores senyuman yang manis pada bibirnya, kemudian melepaskan pandangan ke luar balkoni.


“Pakcik tidak akan berhenti.”


“Benar. Kita memikul amanah dakwah ini. Memang akan ada cabarannya. Ia menuntut daripada kita pengorbanan. Bermula dengan masa, harta, dan ke peringkat paling tinggi, nyawa. Maka bagi kita yang faham, tiada apa yang akan menghentikan kita. Kerana kita adalah manusia yang sanggup berkorban untuknya.”


Faiz terangguk-angguk. Hebat Pakcik Abdul Majid. Usianya hampir mencecah 50-an, tetapi semangatnya ibarat pemuda baru menginjak 20-an. Ideanya besar, usahanya keras, dedikasinya pada dakwah dan tarbiyah sangat tinggi. Dia pula bukan berseorangan. Bersamanya ada 9 lagi rakan yang mengusahakan pelbagai bidang. Walau kelihatan mereka mengusahakan bidang yang berbeza, masing-masing saling membantu rakan yang lain, semuanya untuk mencapai matlamat yang satu – membina Malaysia yang lebih kondusif untuk syariat Allah tumbuh melata dalam kehidupan rakyatnya.


“Maka kita akan teruskan. Apa sahaja yang saingan ‘tidak sihat’ itu usahakan, kita akan menghadapinya dengan baik insyaAllah.” Faiz membuat konklusi.


“Ya. Cumanya berhati-hati. Islam mahu guna kita lebih lama lagi, insyaAllah.” Abdul Majid menepuk lagi bahu Faiz.


Jelas, mungkin akan ada ancaman nyawa. Faiz bukan tidak kenal dengan pesaing mereka yang ditaja oleh kongsi gelap yang membuat porak peranda di Malaysia ini.


“Sama-samalah kita berusaha, sambil tidak meninggalkan tawakkal kita kepadaNya. Semoga Allah SWT membantu kita.” Abdul Majid menyempurnakan bicara.


“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Surah Ali-Imran ayat 159.


 


*****



Pagi. Kala semua orang bergerak pergi ke tempat kerja. Namun tidak untuk dia. Dia pula pergi ke tempat yang penghuninya tidak lagi bekerja apa-apa.


Kubur.


Langkahnya longlai usai keluar dari kenderaan. Entah telah berapa hari dia menghabiskan waktunya di tanah perkuburan ini. Bukan untuk muhasabah. Bukan untuk mengingati mati. Tetapi untuk menangis hiba mengingati si mati.


Sampai dia ke sebuah kubur, jelas tertulis pada nisannya nama Fatimah Yusra, dengan tarikh kematiannya sekitar 3 minggu yang lalu. Dia terjelepuk lagi di situ, dan air matanya mula turun tanpa henti.


Dia menangis hiba sekali.


Sungguh dia amat mencintai Fatimah Yusra ini. Itu ialah isterinya. Yang amat dikasihi dan disayanginya. Mereka berumahtangga pada usia muda dan telah dikurniakan seorang anak lelaki. Namun musibah menimpa, dia dan keluarganya ditimpa kemalangan.


Hanya dia dan anaknya sahaja terselamat.


Kesedihan menjerut jiwanya. Dia seakan tidak boleh hidup lagi tanpa isterinya. Anaknya ditinggalkan di tanah kelahirannya, Pulau Pinang, bersama ibu bapanya.


Dia? Tidak terurus semenjak itu. Kumisnya tidak pernah dipotong dan rambutnya serabut. Dirinya pun sudah mula berbau, akibat tidak pernah mandi. Dia hanya bermandikan air mata dan peluh, duduk di kubur dari pagi hingga tibanya senja.


Seakan mengharapkan isterinya hidup kembali secara tiba-tiba.


Dirinya jadi amat tidak terarah. Segala didikan agama, tarbiyah yang dilaluinya, seakan hilang serta merta dengan ujian yang menimpa.


Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi.  Tersentak, dia segera hendak menggapainya, untuk mematikannya. Namun dia tertekan punat mengangkat panggilan.


“Ridhwan, Ridhwan? Coach ni. Saiful Rahman.”


Dia terhenti sebentar mendengar suara yang telah lama tidak didengarinya. Air matanya bergayut pada dagu, dan kemudian menitik di atas telefon bimbitnya itu.


“Enta apa khabar? Enta ada tak ni?” Suara bekas jurulatihnya seakan berusaha menggapainya.


Perlahan dia menekan punat meletakkan panggilan.


Kemudian dia meneruskan tangisannya.


The post VT2: Avantgarde – Gelombang 1 appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2014 19:27
No comments have been added yet.