Bermulanya Tahun ke-7 LangitIlahi.
Alhamdulillah, segala puji saya panjatkan kepada Allah SWT. Atas kurnia dan pertolongan, atas izin dan kasih sayangNya ke atas kita semua, dibenarkan lagi bernafas walau hidup diselaputi dosa. Diizinkan lagi mencuba untuk melakukan/menambah kebaikan, walau semalam telah kita sia-siakannya. Semoga kita belajar menjadi hamba yang bersyukur, dan berusaha untuk terus melakukan yang terbaik sepanjang hayat kita insyaAllah.
Alhamdulillah, 2014 datang dan LangitIlahi kini berwajah baru. Kami memikirkan pelbagai perkara dan cara untuk meningkatkan kualiti penyampaian kami, dan kami berusaha semampu mungkin ke arah tersebut. Setakat ini, ini yang termampu. Namun tidak akan sekali perjalanan ke arah peningkatan itu terhenti. Kami insyaAllah akan terus mencuba dan mencuba lagi, agar penyampaian bermanfaat itu dapat lebih dihayati, dinikmati, oleh lebih ramai manusia lagi.
Saya mula menggerakkan LangitIlahi pada pertengahan 2007. Dengan cadangan dan bantuan seorang sahabat – Ihsan Berahim – LangitIlahi mula terbina sebagai sebuah blogspot. Tidak lama kemudian, saya menjadi seorang penulis secara rasmi pada tahun 2009 dengan karya sulung saya – Novel VT dan Buku Motivasi LangitIlahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita – alhamdulillah. LangitIlahi pun kemudiannya dinaik taraf menjadi website – LangitIlahi.Com
Bermula pertengahan 2007 hingga 2010 itu, saya menggerakkan LangitIlahi berseorangan. Bila views semakin banyak dan orang yang mengikuti LangitIlahi semakin ramai, saya berfikir bahawa diri saya ini tidaklah sebaik mana untuk dijadikan contoh kepada masyarakat. Saya kenal diri saya. Maka saya tergerak untuk mengajak beberapa sahabat saya untuk menggerakkan LangitIlahi, yang saya kenal mereka adalah orang yang baik dan lebih layak menjadi contoh buat masyarakat.
Pada tahun 2011, bermulalah perjalanan LangitIlahi sebagai sebuah tim. Bukan lagi perseorangan. Alhamdulillah, walaupun bukanlah semua Tim LangitIlahi istiqomah dan kekal bersama LangitIlahi sepanjang 2011-2013, namun yang istiqomah sudah mula menunjukkan hasilnya.
LangitIlahi telah berjaya mengadakan Teen’s Awards, Convention, Exhibition(TeenACE) yang dihadiri seramai 1000 orang,
Tim LangitIlahi telah berjaya bergabung dan menghasilkan Buku Motivasi Keimanan Adalah Paksi.
Tim Komikers LangitIlahi telah berjaya menarik perhatian Pihak PTS dan sedang ada projek untuk membukukan komik mereka.
Afdholul Rahman Che Ani, karyanya sedang di proses untuk diterbitkan oleh Syarikat Karya Bestari.
Aiman Azlan pula bergabung dengan saya, menghasilkan buku sulungnya, akan diterbitkan oleh PTS.
Ameen Misran juga karyanya telah diterima oleh PTS dan bakal menjadi eBook – Reflections of Life.
Vlogger LangitIlahi, Qawiem Khairi, juga semakin diterima dan Facebooknya juga mula diikuti ramai.
Alhamdulillah.
Pada penghujung tahun 2013, saya telah membuka saringan untuk memilih barisan Kolumnis LangitIlahi yang baru. 8 orang telah terpilih sebagai Kolumnis Junior kami, dan insyaAllah tahun 2014 ini mereka akan mula beraksi.
Saya berhajat hendak menjadikan LangitIlahi sebagai ‘akademi’, untuk mendidik dan mengasah mereka yang berbakat, mempunyai potensi, untuk dikembangkan lagi potensi itu, dan disebar luaskan lagi capaiannya kepada masyarakat yang lebih besar. Moga usaha itu akan melahirkan banyak saluran alternatif ke arah memperkenalkan Islam dan mengajak manusia kembali kepada Allah SWT, dan seterusnya menjadi kekuatan, sokongan, dalam memudahkan urusan dakwah di negara ini.
LangitIlahi juga kini giat mengadakan seminar-seminar ilmu dengan harga yang rendah, untuk menggencarkan lagi kecintaan ilmu dalam kehidupan masyarakat. LangitIlahi juga telah mula mengadakan usrah umum secara percuma. InsyaAllah saya sedang mengumpul kekuatan agar LangitIlahi turut mampu melaksanakan projek berbentuk charity secara berkala. InsyaAllah.
Segalanya untuk memperbaiki diri, dan mengajak orang lain memperbaiki diri. Hendak mengajak diri dan orang lain untuk pulang menjadi hamba Ilahi. Hendak menaikkan imej Islam dan menjaganya daripada fitnah yang durjana. Hendak menegakkan kebenaran dan menyah zulumat dengan nur Islam. Semoga inilah dia antara saham akhirat saya dan rakan-rakan yang menggerakkannya. Tiadalah harapan yang lebih tinggi melainkan ini semua dikira sebagai amal soleh di sisiNya.
Alhamdulillah. Inilah dia LangitIlahi.
2014 merupakan tahun ke-7 LangitIlahi beraksi.
Saya memohon doa dan sokongan para pembaca dan pelawat.
Tanpa kalian, siapalah kami.
Teruskan mengikuti post-post di LangitIlahi.Com, berikan sokongan/kritikan membina kepada kolumnis-kolumnis kami, semoga kami juga dapat terus melakukan peningkatan diri. Kita saling lengkap melengkapi, takmil wa istikmal insyaAllah.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Hilal Asyraf
Pengasas LangitIlahi.Com