Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1
Alhamdulillah, hari ini saya telah memulakan penulisan Novel Takdir 3 dengan izin Allah SWT.
Boleh enjoy dulu apa yang ada.
Dari masa ke semasa, saya akan update di LangitIlahi.Com ini.
Mohon doakan agar saya berjaya menyempurnakan Novel ini sebelum 15hb Disember 2013.
Terima kasih.
Peluh membasahi seluruh tubuh Angkasa. Hulu pedang warisan bapanya dipegang erat, matanya tajam memandang ke hadapan. Dua susuk tubuh yang kelihatan sangat perkasa lagi menggerunkan, sedang bergerak selangkah demi selangkah ke arahnya.
End Less yang berbaju lengan panjang serba putih, begitu jugalah warna seluarnya, gagah dengan tombak tiga mata yang dipegang dengan tangan kanannya. Aura yang dikeluarkan sangat dasyat. Namun tidak cukup dengan itu, bersama di sisinya ialah Izrayel Junjaki, sedang tidak berbaju mempamerkan tubuhnya yang kelihatan kurus tetapi kukuh itu, bersama pedang sumbingnya direhatkan pada bahu. Auranya bergabung dengan aura End, membuatkan Angkasa seperti mahu pengsan.
“Bagaimana budak? Sudah mengalah?” Izrayel memberikan provokasi, tangan kiri melambai seakan menjemput Angkasa untuk memberikan tentangan.
Angkasa mengetap giginya. Dia cuba memberikan fokus yang tertinggi berhadapan dengan dua pahlawan yang menggerunkan itu. Tenaganya cuba dipertingkatkan, melawan tekanan yang terwujud dek gabungan dua aura yang dahsyat daripada End dan Izrayel.
“Hiargh!” Angkasa kemudian pantas memecut ke arah lawannya.
Pedang warisan bapanya dilibas ke arah Izrayel. Izrayel menunduk. Pada masa yang sama, End mula memutarkan tombak tiga matanya, melibas ke arah Angkasa. Angkasa berputar dan mempertahankan dirinya dengan mengacungkan senjatanya ke udara. Sebelah tangan Angkasa menahan belakang bilah pedangnya untuk memperkukuhkan lagi pertahanan. Dua senjata bertembung. Bunyi yang kuat terhasil. Angkasa terlutut dan tanah meretak sedikit.
“Cuai.” Izrayel bersuara. Terus dia yang sedang menunduk itu menghayunkan pedangnya untuk mencantas Angkasa. Angkasa tidak membiarkan. Terus dia berguling. End mengangkat kembali tombak tiga matanya, memutarkannya dan terus menujah senjata itu ke arah Angkasa. Angkasa segera mengangkat pedangnya, mempertahankan diri. Mujur tindakan Angkasa pantas, pedangnya itu menjadi pemisah antara mata tombak End dengan batang tubuhnya.
End tidak membiarkan begitu sahaja. Dia melepaskan auranya, mengalir ke senjatanya, kemudian menghasilkan letupan pada hujung mata tombak tiga mata itu.
Angkasa membeliakkan mata. Tidak sempat melakukan apa-apa. Semua berlaku dalam keadaan yang amat pantas. Terus dia terpelanting hingga melanggar dinding yang memagari tempat pertarungan mereka bertiga.
Dinding tersebut merekah dihentam tubuh Angkasa, yang selepas itu jatuh menyembah bumi.
“Allah…” Angkasa memuntahkan darah. Bersusah payah hendak berdiri semula dengan menongkatkan tubuhnya menggunakan pedang warisan Bapa.
“Tiada rehat di medan perang!” Suara Izrayel berdentum ibarat halilintar. Angkasa tidak melihat ke arah Izrayel, yang kini berada di atasnya, namun pantas berguling mengelak serangan pahlawan yang pernah mendapat jolokan Pendekar Berdosa itu.
Dentuman kuat kedengaran lagi, dan kini dinding yang dihentam Angkasa tadi roboh sama sekali dek cantasan dasyat daripada Izrayel.
“Jangan alpa Angkasa.” Suara dingin End seakan berada di sisinya. Angkasa yang baru sahaja hendak menarik nafas, terus menolak tubuhnya kuat, menjauhi tempat dia berhenti berguling. Sesaat kemudian, tanah di tempat itu terbongkah dihentam tombak tiga mata End.
Mata Angkasa membesar. “Allahuakbar.” Sangat terkejut melihat kekuatan dua pahlawan itu. Bagaimana dia boleh menewaskan mereka berdua?
Angkasa kini berada di udara, masa seakan bergerak perlahan, dia memerhatikan End dan Izrayel berdiri saling bersebelahan. Bagaikan raksasa kembar yang tidak akan mampu ditewaskan.
Itu baru mereka berdua. Yang pernah menjadi orang bawahan Sang Asura. Bagaimana Sang Asura sendiri?
“Aku takkan mengaku kalah!” Angkasa melaung. Mengumpulkan kekuatan. Sebaik sahaja telapak kakinya menyentuh semula ke bumi, dia mencampakkan pedang warisan bapanya ke udara.
Pedang itu tidak terlambung begitu sahaja, tetapi dengan dikawal oleh jari Angkasa, pedang itu meluru laju ke arah Izrayel.
Izrayel tersengih. Dia pantas melibas pedang sumbingnya, membuatkan pedang Angkasa tadi terpelanting ke sisi medan dan terpacak pada dinding sisi itu yang masih tidak roboh. Mata Izrayel memandang sebentar melihat pedang yang terpacak itu.
“Lemah.” Dia memberikan komentar, dan wajahnya hendak kembali melihat keadaan Angkasa.
Angkasa telah tiada di tempatnya tadi.
“Tepi Izrayel!” End melaung. Tidak kuat. Masih dengan nada dinginnya seperti biasa. Batang tombak tiga mata End menolak tubuh Izrayel dari belakang beberapa langkah ke hadapan. Angkasa muncul di situ memberikan beberapa tumbukan. Namun tumbukan itu sekadar mengenai udara sahaja kerana End telah mengalihkan sasaran tumbukan tersebut, yakni Izrayel.
Tetapi itulah kesilapan End.
Sasarannya bukan Izrayel. Tumbukan itu dilepaskan bersama aura yang tidak kurang dasyatnya, memukul udara dan dengan aura yang dasyat itu, jirim-jirim yang terwujud di alam mikro seakan terkumpul dalam masa yang pantas, membentuk angin yang keras seperti besi, bergerak ke wajah End.
Bekas Jeneral Utopia dan pemerintah Daerah Duarte itu terpukul berkali-kali hingga terundur beberapa langkah. Ketika ini Izrayel pantas melibas pedang sumbingnya ke belakang untuk menyerang Angkasa. Namun tangan bekas pendekar berdosa itu ditahan.
“Persiapkan dirimu Izrayel!” Angkasa melaung kuat. Tangannya bergerak laju dengan aura yang berpusat pada penumbuknya. Izrayel membeliakkan mata.
“Tumbukan alam!” Angkasa memberikan tumbukan yang diajar oleh arwah bapanya. Menghentam betul-betul pada tulang belakang Izrayel. Bekas Ketua Jeneral Utopia itu tersungkur jatuh dan tidak cukup dengan itu, dia berguling-guling hingga dihentikan oleh tembok yang jauh di hadapannya.
Angkasa menghela nafas.
“Belum tamat lagi Angkasa!” Suara End menyergah. Angkasa pantas mengelak tujahan tombak tiga mata End. Setiap tujahan hanya mampu dielak dengan kadar jarak kurang seinci dari tubuhnya. Badan Angkasa kini mula dipenuhi goresan-goresan luka. Walaupun bilah tombak tiga mata tidak menyentuh tubuhnya, aura yang menyelaputi senjata itu telah mencederakan dirinya.
Beberapa kali berkeadaan sedemikian, Angkasa mengambil langkah drastik. Tujahan terakhir End, dia elak, dan kali ini dia melangkah pantas ke hadapan. Memukul batang tombak tiga mata tersebut, membuatkan End hilang kawalan terhadap senjatanya, dan terus mara untuk menjamu tubuh pemerintah Duarte itu dengan tumbukannya yang bertubi-tubi.
End hilang keseimbangan. Angkasa pula selain memukul tubuh End, dia memastikan bahawa End tidak akan sesekali dapat mengaktifkan gerak tombak tiga matanya. Namun ketenangan bekas Jeneral Utopia itu luar biasa. Tidak lama selepas beberapa kali menerima serangan Angkasa, dia seakan telah berjaya melihat hala tuju tumbukan Angkasa.
Tumbukan terakhir Angkasa ditampan dengan kemas oleh tangan kiri End, dengan kekuatan yang tinggi, membuatkan tubuh Angkasa sedikit tidak terkawal, mengikuti daya besar yang membawa tangannya dek pukul End tadi. Ketika inilah End memanipulasikan tombaknya, memukul kaki Angkasa dengan belakang senjata itu, seterusnya menendang tubuh Angkasa sekuat hati. Angkasa terpelanting menjauhi End.
Namun sebaik sahaja Angkasa terpelanting menjauhinya, End yang ketenangannya tidak ada tandingan itu, membeliakkan sedikit matanya. Kerana pedang Angkasa sedang mara ke arahnya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Tergesa-gesa dia mengangkat batang senjatanya untuk mempertahankan diri.
Hentaman yang kuat berlaku, hingga dirinya turut terpelanting ke arah berlawanan daripada Angkasa.
Angkasa yang telah menyembah bumi, tersengih. Rancangannya menjadi. Dia tahu dia tidak akan mampu lama menyerang End. Kerana itu dia telah menyusun serangan mengejut itu tadi.
“Argh, sakitnya.” Terasa seperti seluruh kekuatannya diragut. Dia cuba menjana kekuatan untuk berdiri, namun tidak mampu.
Dia kini terasa seperti lumpuh.
“Gagal.” Suara Izrayel itu diikuti dengan pedang sumbing pahlawan itu tercacak di sisi kepala Angkasa.
Angkasa menghela nafas. Tidak lama kemudian dia dapat melihat End bangkit dari serangannya tadi.
“Ah, kamu berdua ini macam raksasa.” Angkasa tersengih. Tidak larat.
Izrayel tersenyum. Diam sebentar, seakan menanti Izrayel yang sedang melangkah merapati mereka.
“Jika begini kalian laksanakan setiap hari, Tanah Suci akan kehabisan kekayaannya kerana perlu sentiasa membina semula medan latihan ini.” Suara yang berkarisma itu kedengaran, membuatkan mereka bertiga menoleh ke satu arah yang sama.
Ruh Faizan sedang datang merapati mereka. Raja Tanah Suci dan kini telah diangkat menjadi Amirul Mukminin bagi Daulah Islamiyyah yang terbina hasil kesatuan Bumi Barakah, Wilayah Duarte, Wilayah Midori – kini Chinmayi, Wilayah Ethan, Wilayah Brynhildur dan Uftzi.
Ruh Faizan diiringi oleh dua anaknya, Panglima Aizan Fahmi dan Puteri Maisarah, sambil mereka diikuti oleh Tok Akram – Kiai Awan.
Izrayel dan End segera menundukkan tubuh mereka, menggapai dan kemudian memapah Angkasa.
“Maafkan kami Tuanku.” Angkasa bersuara lemah.
Ruh Faizan tersenyum, dan menggeleng. “Tidak menjadi masalah. Bahkan aku rasa senang hati melihat latihan kalian. Dasyat sungguh dan begitu keras sekali usaha kalian.”
“Angkasa ini perlu dilatih untuk berhadapan dengan Sang Asura. Pedangnya merupakan kunci kemenangan kita nanti tuanku.” Izrayel memberitahu.
Ruh Faizan terangguk-angguk. “Namun kunci kemenangan yang sebenar itu tetaplah milik Allah SWT.”
“Allahuakbar.” Angkasa menyahut jawapan Ruh Faizan itu. Benar.
“Tetapi nampaknya masih jauh lagi.” Aizan Fahmi mencelah. Semua memandang ke arahnya.
Angkasa tersengih. “Aku akan usaha lebih keras.” Yakin. Sempat matanya menjeling ke arah Puteri Maisarah. Anakanda Ruh Faizan itu cepat-cepat menundukkan wajahnya. Rupanya Puteri Maisarah sepanjang tadi sedang menatap wajahnya dari sisi ayahandanya. Wajah Angkasa jadi sedikit merah. Segan.
“Bagaimana dengan mesyuarat kita dengan semua wakil wilayah dan para pejuang, Tuanku?” Izrayel bertanya. End kekal sepi. Memang jenis yang tidak banyak bicara.
“Akan berlangsung minggu hadapan. Seluruh wakil dan para pejuang sudah menyatakan persetujuan dan memastikan kehadiran. InsyaAllah.” Ruh Faizan menjawab.
“Masanya sudah semakin hampir. Para Kiai yang masih hidup juga akan berkumpul nanti pada hari itu.” Tok Akram menambah.
Izrayel mengangguk. End wajah tidak beriak.
“Masa untuk engkau berlatih semakin sedikit, budak.” Izrayel memandang Angkasa yang dipapahnya.
Angkasa tersengih cuma. Besar tanggungjawabnya.