Pemuda: Berani Berubah, Hijrah Yang Membangkitkan Jiwa (4)

The_Traveler_by_nerdiesid Picture by nerdiesid


1435H bakal melabuhkan tirai, 1436H bakal mendepani kehidupan kita. Pelbagai ragam dan pengalaman kehidupan telah kita rakamkan. Semoga 1435H yang bakal kita tinggalkan memberikan kebaikan kepada kehidupan kita, dan alangkah malang kiranya berlalu dengan kerugian. Firman Allah SWT.:


“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya sentiasa bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) dengan kekotoran (dosa dan maksiat).” (As-Syam:8-9)


Memperingati Hijrah Rasul pasti tidak lengkap tanpa kita menelusuri pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat RA dalam meneruskan misi rahmatan lil ‘alamin saat mereka melewati marhalah awal dakwah. Saban tahun tatkala kita melewati tahun hijrah, serah dan kisah mereka akan kita ulang dan hidangkan buat umat Islam hari ini. Apakah hidangan yang indah dan mulia itu telah membangkitkan selera iman kita atau hati kita masih hambar dan tidak terpanggil untuk menjadikan ibrah hijrah sebagai momentum perubahan dalam kehidupan kita?


Asas Hijrah Mentauhidkan Allah


Hijrah Rasulullah SAW sarat dengan pelajaran buat kita semua. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW adalah untuk menyerukan tauhid untuk menghidupkan kembali agama nabi Ibrahim AS. Baginda diperintahkan menyerukan seluruh umat manusia agar membebaskan diri dari segala bentuk penyembahan terhadap selain Allah SWT baik berupa manusia, benda, makhluk, ideologi mahupun berhala. Justeru mereka tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apa pun. Mereka tidak bertuhankan satu sama lain kecuali Allah SWT. Hijrah Rasulullah SAW sebelumnya bermula dengan siksaan dan penderitaan. Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang bersama dengan Baginda pada saat sebelum hijrah disiksa dan ditindas selama 13 tahun. Namun selama itu juga Rasulullah SAW tetap tidak menghentikan dakwahnya. Baginda masih terus berdakwah, baik secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, baik ketika siang mahupun malam, terhadap penduduk Mekah dan kabilah-kabilah yang datang ke sana di musim haji.


Walaupun menerima tekanan yang amat kuat, namun Rasulullah SAW tidak mengalah, buntu dan berdiam diri. Ada satu isyarat jelas dari Allah SWT bahawa perjuangan mempertahankan kebenaran akan tetap berserta pertolongan Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud;


Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (al-Anfaal : 30)


Ikhtibar Yang Membangkitkan Jiwa


Peristiwa hijrah antara peristiwa yang besar kesannya dalam lipatan sejarah Islam. Pada peristiwa itu, umat Islam di Makkah bersama Rasulullah SAW diperintahkan Allah berhijrah ke Madinah. Walaupun berat hati dan kecintaan menebal terhadap kota Makkah, Baginda SAW berserta umat Islam yang setia dengan Rasulullah SAW tetap menjunjung titah perintah Ilahi tanpa berbelah bagi untuk membuka lembaran baru diari kehidupan umat Islam.


Justeru antara pelajaran yang boleh kita pelajari untuk manfaat kita pada fasa ini adalah;


i. Miliki tujuan dan matlamat yang jelas dalam kehidupan kita. Hidup kita sebagai muslim tidak boleh terpisah daripada tujuan penciptaan kita iaitu sebagai hamba Allah SWT yang mutlak. Misi kehidupan kita adalah mentauhidkan Allah SWT pada setiap saat dan dalam setiap situasi. Samada ketika susah mahupun senang, ketika berseorangan atau di tengah kehadiran manusia.


“Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” (QS. Al-An’am: 162).


ii. Sabda Nabi SAW “Tidak ada hijrah setelah pembebasan kota Makkah, tetapi jihad dan niat.” (Hadis riwayat Muslim) dan sabda Nabi SAW lagi; “Dan seorang yang hijrah adalah yang meninggalkan larangan Allah SWT. (HR. Bukhari)”.


Maka kita dituntut untuk hijrah melakukan pembaikan / pengislahan pada diri kita sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hari ini sudah menjadi kebiasaan sebahagian umat Islam hidup dengan apa yang ditegah oleh Allah SWT. Malah menjadi satu kebanggaan jika maksiat itu diketahui umum.Apakah kita sudah menghampiri kiamat? Sabda Nabi SAW;


“Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)  


iii.Untuk kita menjadi soleh / solehah, pasti akan ada ujian, mehnah dan tribulasi. Dan pada setiap fasa kehidupan untuk kita tetap istiqamah sebagai muslim dan mukmin, akan semakin berat ujiannya. Hijrah kepada kebaikan tidak diraikan dengan sorakan ribuan penonton final bolasepak.Atau dibentang dengan siaran langsung karpet merah ala Academy Award. Tidak! Ianya penuh ranjau dan duri. Penuh derita dan tekanan. Dikelilingi jerangkap dan muslihat. Namun janganlah kita mudah mengalah, menyalahkan suasana yang ada, buntu, membiarkan kita tewas dan kecundang dengan ujian dan tidak sabar menanti pertolongan Allah SWT. Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang ikhlas berhijrah meninggalkan larangan-Nya dan istiqamah dalam kebaikan, dengan syarat sentiasa sabar. Firman Allah SWT;


“Orang beriman yang sabar dengan ujian dan cubaan, hingga mampu melewatinya, maka Allah SWT tidak menyia-nyiakan kebaikannya itu. Dia berfirman, “Tidak! Barangsiapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, dan dia berbuat baik, dia mendapat pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.” (Al-Baqarah: 112).


iv.Kejayaan tidaklah dicapai dengan mudah bahkan ia menagih 1001 pengorbanan. Siapkan mental, perasaan, hati dan jasadi untuk berkorban meraih kejayaan. Tanyakan kepada mereka yang sudah berjaya, kejayaan mereka bukan dengan angan-angan atau sambil lewa, tetapi kerja kuat, istiqamah, berjihad, dan terpenting berkorban. Ada yang korbankan masa bersantai, masa outing, masa tidur, masa melepak dan masa bermain demi mengejar kejayaan masa depan. Rasulullah SAW berkorban meninggalkan kampung halaman, ada sahabat yang tinggalkan isteri dan anak-anak, ada yang tinggalkan kekayaan dan kesenangan, semuanya dilakukan kerana Allah dan demi kesinambungan legasi Islam. Itulah harga yang perlu mereka ‘bayar’ saat itu. Hijrah adakah sebuah pengorbanan.


“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (Al Baqarah: 207)


Nantikan sambungan Episod Hijrah Yang Membangkitkan Jiwa yang seterusnya,,:-)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 03, 2013 09:30
No comments have been added yet.