Novel VT2: Avantgarde – Gelombang 4 – Semut Yang Ego.
Alhamdulillah, Novel VT2: Avantgarde sudah semakin hampir saya siapkan.
Tinggal beberapa bab lagi.
Mohon semua mendoakan.
Sementara menanti saya menyiapkannya, mohon enjoy dulu Gelombang 4 – Semut Yang Ego – ini.
Enjoy!
Fatih berpaut pada penghadang di luar dewan. Dewan Bola tampar terletak di tingkat tiga, manakala bangunan Syarikat Muslim’Sport adalah setinggi lima tingkat. Walaupun dari luar ia kelihatan seperti enam tingkat, kerana dua aras diambil menjadi tingkat tiga, memberi ruang udara yang selesa untuk permainan bola tampar. Seluruh aras tiga ialah dewan bola tampar tempat mereka berlatih selama hampir sebulan kini.
Dan selama hampir sebulan ini jugalah, mereka masih belum lagi menyentuh bola tampar.
“Lawa kan mataharin senja?” Abhiraj di sebelahnya memberikan komen. Suasana menjadi serba indah, dengan warna oren kekuningan menyaluti semua yang ada di hadapan mata mereka kini.
Sekarang waktu rehat sebelum Solat Maghrib. Fatih hanya tersengih dan mengangguk.
“Yep, indah. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tetapi tetap lebih baik negeri sendiri.” Fatih berbicara sambil melepaskan pandangannya pada matahari yang semakin hendak terbenam.
“Negeri sendiri tu Malaysia ke, Bosnia?” Akram menyakat.
Mereka berenam semuanya berada di tempat ini, menikmati pemandangan indah melepaskan lelah latihan yang berat.
“Aku mana pernah pergi Bosnia. Mak aku keturunan aja Bosnia. Tetapi dia orang Malaysia la.” Fatih menggeleng dengan sakatan Akram itu.
“Fatih rindu dengan bidadari di Amerika tu. Perempuan melayu terakhir ada di sana.” Dzakir masuk mencelah.
“What was her name again? Rabiatul right?” Leon Xavier memandang rakan-rakannya.
Semua tertawa. Mungkin ada kenangan yang sedang sama-sama mengimbaunya.
“Perempuan melayu terakhir apanya. Malaysia berlambak lagi perempuan melayu.” Akram membalas untuk Fatih. Fatih hanya tersenyum sahaja.
“Lagha, lagha.” Fei Hung menggeleng sendiri, disambut dengan tawa rakan-rakan yang lain.Fei Hung memang begitu. Ayat yang keluar dari mulut dia mesti ada bau-bau tazkirah. Kadang kala berseloroh pun, tetap ayat yang sedemikian keluar.
“Apa cerita kita ni? Dah sebulan tetapi tak sentuh-sentuh bola lagi?” Dzakir memandang Fatih. Fatih dilihat sebagai ketua buat mereka. Memang selama ini Fatih memimpin usrah mereka di Amerika, dan menjadi ketua pasukan bola tampar mereka di sana.
“Entahlah. Tetapi coach bukan jenis yang buat benda tak tentu hala. Kita pun bukan sebulan dua duduk dengan dia sebelum ini. Setahun ada.” Fatih melepaskan keluhan.
Matahari semakin menghilang, kelihatan seperti dimamah bangunan-bangunan tinggi Kuala Lumpur.
“Eh, apa pandangan korang fasal empat orang budak MATRI tu ha? Kita tak pernah sembang fasal mereka.” Abhiraj membangkitkan topik hangat. Semua memandang kepadanya.
“Entah. Kita kenal pun tidak dengan mereka.” Leon buat muka meluat. “Bengang jugaklah bila coach macam concern sangat dengan empat orang itu. Silap haribulan kerana merekalah penyebab mengapa coach masih tidak betul-betul melatih kita lagi.”
“Tunggu mereka berempat itu tiba-tiba muncul agaknya.” Akram buat kesimpulan sendiri.
Fatih, Dzakir, dan Fei Hung hanya mendiamkan diri.
“Aku fahamlah orang mu’min itu bersaudara. Tetapi coach aku tengok macam agak lebihkan mereka la kan? Mungkin sebab coach dahulu pelajar MATRI juga. Ini bakal membuatkan projek yang coach sendiri usahakan, yakni memenangi VNRC ini, gagal.” Dzakir menambah.
Pelbagai persepsi.
“Huh.” Fatih melepaskan keluhan. Dia pun tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Tetapi tidak dinafikan yang dia ada rasa sedikit terkilan. Jurulatihnya itu dengan dirinya bukanlah tidak rapat. Mereka berkongsi pelbagai perkara sepanjang keberadaan Saiful di Amerika.
Tetapi pelik mengapa fokus jurulatihnya banyak kepada hendak mengembalikan empat orang tersebut ke kumpulan mereka.
“Mungkin kita nak kena cakap betul-betul dengan coach.” Fatih memberikan cadangan.
“Tak takut coach marah ke?” Akram menimbulkan persoalan yang dijangkanya akan terjadi.
“Terpaksalah.” Fatih angkat kedua-dua belah bahu, tanpa memandang Akram.
Matanya fokus pada matahari yang semakin malap, dan malam yang datang.
Kemudian Fatih berpaling menghadap dewan, dan memandang kesemua rakannya. “Tak mengapa, nanti kita cari masa yang sesuai untuk bercakap dengan Coach.”
“Jomlah, persiapkan diri. Maghrib dah ni. Malam ini ada tadarus dan usrah dengan coach.” Fei Hung mengajak, dan dia melangkah pergi terlebih dahulu.
“Baik ustaz Fei Hung. Wachha!” Dzakir buat tabik, tetapi kemudian menggayakan kungfu.
Semua yang ada tertawa. Dzakir memang penceria kumpulan mereka.
******
“Assalamu’alaikum Hannah.” Faiz melemparkan senyuman kepada setiausahanya. Meja setiausaha yang terletak tidak jauh dari bilik pejabatnya, membuatkan saban dia memasuki pejabatnya, dia akan melepasi Hannah terlebih dahulu.
“Waalaikumussalam Encik Faiz.”
Faiz berjalan mendekati pintu pejabatnya.
“Ah, Encik Faiz.” Suara Hannah menghentikan langkahannya. Segera Faiz berpaling.
“Ya?”
“Pagi ada email baru masuk. Jurulatih kumpulan Rurouni mahu datang melawat bersama pasukannya hari ini.”
Tersentak Faiz mendengar berita itu. Kumpulan Rurouni adalah pesaing utama yang selama ini dimaksudkan. Mereka dinaungi oleh Syarikat Kasai International. Apa yang tidak ramai tahu ialah, di belakang Syarikat Kasai International, mereka ini dinaungi oleh sebuah lagi organisasi…
“Bila mereka akan datang melawat?” Faiz berdehem cuba menenangkan diri.
Hannah kembali menatap monitor, membaca email, kemudian Faiz mendengar Hannah seperti terkejut.
“Kenapa Hannah?” Faiz merapati Hannah selangkah dua.
“Mereka kata mereka akan datang pukul 8.30 pagi.” Hannah seperti tergamam.
“Sekarang?” Faiz melihat jam.
“Tidak mengapa Hannah. Terima kasih.” Terus Faiz berpaling semula dan melangkah pantas ke pejabatnya.
Telefon bimbit dikeluarkan, dan segera dia menekan butang nombor 1 dalam keadaan yang sedikit lama. ‘Speed Dial’. Dia menghubungi Saiful Rahman.
“Assalamu’alaikum Saiful…”
“Ha, Faiz, Waalaikumussalam.”
“Kumpulan Rurouni…”
“Mereka sedang berada di dalam dewan.”
Langkahan Faiz terhenti.
*****
“Siapa mereka ni?” Omar memandang Malik, Malik mengangkat bahu. Tidak tahu.
Malik memandang Fatih dan lima rakannya yang lain. Kelihatan seperti mereka juga terpinga-pinga. Semua mereka fokus kepada Saiful Rahman yang berdiri di antara dua kumpulan mereka.
“Dewan tidak berkunci, maka kami masuk.” Seorang lelaki berambut putih, bertubuh tegap, tinggi, melangkah ke hadapan mendekati Saiful Rahman.
“Coach Mustofa. Apa khabar?” Saiful memaniskan muka, walau ada rasa sedikit tidak senang dengan kehadiran mereka. Kehadiran yang tidak beradab baginya.
“Khabar baik.” Mereka berjabat tangan. Saiful terasa betapa tangan Coach Mustofa sengaja mengcengkam jabatannya dengan keras. Tetapi Saiful berlagak seperti biasa.
“Kenalkan, pemain-pemain saya…” Coach Mustofa melepaskan jabatan tangan antara dia dan Saiful, kemudian berpaling. Perlahan-lahan enam pemainnya mara ke hadapan.
“Azzam,” Dia menunjuk kepada seorang pemain yang tidak terlalu tinggi. Berambut hitam ikal, berkulit agak gelap.
“Hazim,” Seorang pemuda yang tinggi lampai. Berambut kerinting, sedikit perang.
“Timothy Chong,” Sekali pandang sudah diketahui keturunan Cina. Bermata sepet, berambut lurus yang tidak terlalu hitam gelap. Orangnya kurus.
“Saudara kau tu Fei Hung.” Dzakir menyiku Fei Hung di sebelahnya. Fei Hung hanya tersengih.
“Jabez Shah,” Coach Mustofa meneruskan pengenalan, menunjuk kepada seorang pemuda yang sederhana tinggi, rambutnya hitam legam tersisir rapi, kulitnya hitam manis.
“Feh, macam Shah Rukh Khan la. Kalah Abhiraj kita.” Dzakir bersuara lagi.
“Hei, kau diam boleh tak Dzakir? Suasana tegang lagi nak melawak.” Abhiraj di kanan Dzakir meluku perlahan sahabatnya itu. Dzakir mengaduh manja sambil tertawa. Rakan-rakan lain tersenyum sahaja dengan telatah Dzakir.
Coach Mustofa menunjuk kepada pemain seterusnya, “Ini namanya Wirawan. Ketua kumpulan.” Seorang pemuda tinggi, tegap, wajahnya bersahaja, nampak tidak peduli dengan suasana, leka bersama headphones Beats By Dr Dre yang menutup telinganya.
“Dan yang terakhir, Wei Freddy.” Coach Mustofa menunjukkan pemainnya yang terakhir. Susuk tubuhnya seperti Timothy Chong, cuma dia berambut panjang, bertocang satu dan bercermin mata.
Saiful Rahman terangguk-angguk.
“Enam sahaja?” Saiful mengajukan soalan.
Coach Mustofa tersengih. “Team kau pula bagaimana? Berlapan sahaja?”
“Ah, lagi empat orang masih belum hadir. Mereka ada urusan masing-masing.” Saiful menjawab.
“Oh, dalam keadaan Kejohanan Pre-VNRC semakin hampir? Berani.” Coach Mustofa tertawa dan menepuk tangannya sendiri beberapa kali. Wajahnya jelas berbau perlian.
“Coach lagi berani, tampil dengan enam orang sahaja.” Saiful cuba mengembalikan soalan asal.
“Ah, kerana enam orang ini sudah cukup. Jabez, boleh tolong berikan seorang satu bola?” Coach Mustofa memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar.
Pemuda bernama Jabez itu bergerak mendapatkan karung yang berisi bola. Jelas terpampang pada karung itu logo Syarikat Kasai International, penaung mereka, menandakan bola-bola itu memang mereka bawa sendiri.
Jabez mengeluarkan bola dan memberikan kepada setiap satu rakannya sebiji bola.
“Tunjukkan pada mereka ini, siapa kita.”
“Biar wa dulu mula.” Timothy Chong mencampakkan bola itu ke udara. Tinggi. Bola itu pula bergerak ke hadapan sambil ke atas. Kini hampir melepasi net kala bola tersebut mula menjunam. Manakala Timothy masih di garisan servis.
Pada saat inilah Timothy memecut pantas. Bunyi telapak kasutnya menghentam lantai menggerunkan. Dan dari tengah, dia sudah melompat, melayang menuju ke arah bola yang menjunam.
“Hiargh!” Rejaman dilakukan, dan bola tidak bergerak ke hadapan, tetapi ke bawah. Betul-betul di hadapan net gelanggang sebelah.
Timothy mendarat.
Malik, Omar, Fatih, Fei Hung, Dzakir, Abhiraj, Akram dan Leon membeliakkan mata.
“Itu kalau block pun tak ada guna maa.” Abhiraj memberikan komentar.
Ini kerana bola yang direjam Timothy itu betul-betul jatuh menegak di hadapan net. Jika dipertahankan pun, bola hanya akan melantun keluar, dan ini akan memberikan mata kepada kumpulan Timothy.
Kelihatan Timothy kekal di hadapan net. Azzam melontar bola dari garisan servis kepada Timothy.
“Feh, dia tu setter ke rupanya?” Dzakir garu kepala. Parah kalau setter bolah melakukan rejaman seperti tadi. Itu kelebihan yang besar.
Saiful bertenang sahaja tanpa reaksi. Matanya melihat Timothy kini mengangkat bola tinggi, kembali ke tengah gelanggang, dan Azzam sudah mula berlari, melompat, melayang, dan anehnya kala Azzam berada di hadapan bola, waktu seakan terhenti seketika, dan kemudian rejaman dilakukan.
Bola meluncur dengan amat laju, sehingga anak didik Saiful hampir sahaja tidak dapat melihat ke mana bola itu pergi. Sedar-sedar bola itu melantun tinggi selepas betul-betul jatuh di atas garisan servis gelanggang sebelah.
“Allah, sudahlah rejamannya amat laju. Dia bolah sasarkan bola itu betul-betul atas garisan servis!” Omar macam tidak percaya. Malik sudah menggigit bibir. Geram.
Jabez pula melontar bola kepada Timothy. Sekali lagi bola diangkat cantik, kali ini ke kiri gelanggang, namun dalam keadaan betul-betul berada di atas net. Hanya tinggi seinci dari net. Dan sebelum bola itu turun, Jabez sudah merejamnya jatuh ke tengah gelanggang sebelah. Bola itu melantun melanggar dinding dewan selepas menghentam gelanggang. Dari bunyinya sahaja, sudah diketahui betapa dasyatnya rejaman itu. Pantas, tajam, kuat.
Fei Hung menggeleng kepala. Kumpulan Rurouni seakan berada di satu tahap lain berbanding mereka.
“Timothy!” Hazim menolak bola pantas kepada Timothy dalam keadaan mengejut. Namun Timothy tenang. Bagi yang menonton dari luar gelangang, mereka perasan yang tiba-tiba Hazim telah tiada di tempat dia berdiri tadi.
Timothy menyambut bola dengan baik sekali, namun kali ini dia tidak mengangkat bola itu ke hadapan atau ke atas, dia menghalakan bola itu ke belakang dirinya, yakni ke kanan gelanggang. Dan belum sempat bola itu jauh dari Timothy, Hazim sudah berada di atas paras bola, dan merejamnya sekuat hati.
Bola jatuh di bahagian kanan gelanggang sebelah. Bermakna rejaman yang berlaku tadi adalah rejaman serong.
“Lagi satu rejaman mereka yang tak guna kita block.” Akram menggeleng. Dasyat sungguh kumpulan Rurouni ini.
“Freddy?” Timothy memanggil sebangsanya. Freddy tersenyum. Dia membaling bola pantas seperti Hazim tadi. Cuma kali ini dia bergerak lurus, bola baru sampai ke tangan Timothy, dia sudah berada di udara, sebaik sahaja bola itu diangkat oleh Timothy, dia terus merejamnya. Dan bola itu jatuh menegak seperti rejaman Timothy tadi.
“Fast dia memang fast.” Fatih membeliakkan mata buat sekian kalinya.
“Sangat tajam pula tu. Ramai orang akan menunggu di tengah gelanggang, tetapi rejaman dia akan jatuh di hadapan net.” Malik memberikan komen. Takjub.
Apakah mereka mungkin akan menang bila menentang kumpulan ‘raksasa’ ini?
Sampai giliran Wirawan. Berbanding dengan yang lain, Wirawan nampak bersahaja. Dia langsung tidak menanggalkan headphonenya.
Timothy mengangkat kening, dan Wirawan menggeleng. Tanda Timothy tidak diperlukan. Wirawan berdiri tegak di garisan servis, kemudian melambung bola tegak ke atas. Dia ingin melakukan jumping spike seperti Timothy tadi. Sekurang-kurangnya itulah yang dijangkakan penonton semua.
Tetapi Wirawan kelihatan tidak melompat langsung. Apabila bola turun, dia sekadar memukulnya dengan kuat seperti servis biasa.
“La?” Dzakir seakan kecewa. Terkejut, seperti rakan-rakan yang lainnya.
Namun bola Wirawan itu bergerak dengan kelajuan yang tinggi, kemudian ianya sebentar di atas dan sebentar di bawah. Apabila tiba ke gelanggang sebelah, apabila hampir hendak jatuh ke tempat yang sepatutnya ia tuju, bola tersebut melencong ke kiri dan menghentam garisan tepi.
Dzakir diserang kagum yang teramat. Disangkanya Wirawan tidak menunjukkan aksi yang hebat. Tetapi servis Wirawan sahaja sudah amat dasyat. Dahulu mereka suka memanggil teknik itu sebagai ‘float’, namun tiada siapa mampu melakukannya selaju Wirawan, dan tidaklah selama ini dia pernah melihat bola melencong terlalu jauh dari trakjektori asal.
Saiful kekal seperti tadi. Tidak kelihatan teruja. Walaupun dia sebenarnya amat kagum dengan kehebatan pemain lawan. Dia memang berusaha mengawal riyak wajahnya agar tidak kelihatan lemah.
“Itu sahaja tujuan kedatangan kami.” Coach Mustofa berbicara, memecah sunyi usai persembahan yang menggerunkan tadi.
“Itu sahaja?” Kening sebelah Saiful terangkat automatik. Hairan.
Semua pemain Saiful memandang Coach Mustofa dan pemain-pemainnya bergerak meninggalkan dewan latihan mereka.
“Ya. Sekadar hendak memberitahu bahawa kalau pihak kamu berani menentang kami, maka kami tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan kamu dengan teruk sekali.” Coach Mustofa tersengih.
Saiful diam sahaja. Menghantar Pasukan Rurouni keluar dari dewan dengan pandangan mata sahaja.
Sebaik sahaja kumpulan tersebut hilang dari pandangan, dia menggelengkan kepala.
“Cooooach!” Dzakir menjerit. Saiful menoleh.
“Macam mana kita nak kalahkan mereka?” Dzakir seakan histeria. Memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan.
Saiful menghela nafas. Kedatangan Coach Mustofa selain sebagai amaran, ianya juga ialah untuk menganggu psikologi lawan. Coach Mustofa mahu moral lawannya jatuh sebelum pertandingan bermula. Maka mereka akan menang sebelum bertanding lagi.
“Tidak mengapa. Mereka manusia, kita manusia. Kita berusaha dan Allah SWT jugalah pemilik kemenangan yang sebenarnya.” Saiful Rahman menenangkan semua.
“Coach cool aja.” Omar tersenyum sambil memandang Malik.
“Kalau dia gelabah macam Si Dzakir tu, habis kita semua.” Malik membalas.
“Ya tak ya juga.” Omar menggaru kepala yang tidak gatal.
“Okay semua. Training kita bermula untuk hari ini. Mula dengan berlari selama sejam mengelilingi dewan.” Saiful Rahman menepuk-nepuk tangannya.
“Aduh, bila kita nak sentuh bolanya?” Akram merungut sendiri.
“Coach tak nampak ke kedasyatan mereka tadi?” Abhiraj berbisik kepada Fatih.
Fatih angkat bahu. Buat masa ini, dia malas hendak berbicara berkenaan hal itu. Kedasyatan kumpulan Rurouni tadi membuatkan dia seperti terpempan.
Takut?
Entah.
******
Zulkarnain Ahmad. Orangnya tinggi lampai. Kulitnya sedikit gelap. Kini dia sedang memandu pulang dari kerja, kembali ke rumahnya.
Masih bujang dan belum berkahwin, tinggal di Perlis, Zulkarnain bekerja sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Perlis(UniMAP).
“Abang balik, abang balik!” Suara adik beradiknya di perkarangan rumah menyambut kepulangannya. Sayu jiwanya melihat adik beradiknya.
Semuanya tidak bersekolah, kerana dia tidak mampu menampung mereka. Ini kerana dia menampung beban yang lebih besar, yang membuatkan segala gajinya sebagai pensyarah menjadi seakan tidak bermakna.
“Abang, kami lapar, kami lapar.” Adik perempuannya menarik seluar.
“Dari pagi tadi kami tak makan, bang.” Adik lelaki bongsunya bersuara.
Zulkarnain mengusap kepala kedua-dua adik beradiknya.
“Aisyah dan Zaid sabar ya. Abang masak ni.” Zulkarnain kemudian berpimpinan tangan dengan kedua-dua mereka, memasuki rumah.
“Abang nak jumpa Ibu dulu.” Zulkarnain bergerak masuk ke bilik bondanya.
Kelihatan seorang wanita yang amat uzur sekali. Rambut sudah gugur. Mukanya pucat dan tubuhnya lesu. Zulkarnain terus melutut di sisi katil dan menggapai tangan ibunya. Diusap-usap lembut tangan itu.
“Karnain…” Ibunya bersuara lemah.
“Ya Ibu, Karnain sini.”
“Dah makan?”
“Baru nak masak Ibu. Ibu jangan risau ya.”
“Ibu sakit Karnain.”
“Karnain faham Ibu. Ibu bersabar ya? Karnain tengah usahakan rawatan untuk Ibu.”
“Duit cukup ke? Ayah engkau dulu tiada simpanan. Kita keluarga miskin Karnain.”
Mata Zulkarnain mula bergenang.
“Biarlah ibu pergi Karnain. Jangan sampai susahkan kamu dan adik beradik.”
Terus air mata Karnain tumpah.
“Ibu, jangan cakap begitu. Tolong. Yakinlah, Allah SWT tak akan menzalimi kita Ibu.”
“Ibu kasihankan kamu.”
“Jangan begitu Ibu, Karnain, Aisyah dan Zayd sayangkan ibu sangat-sangat. Ibu rehat ya. Karnain akan masakkan sayur masak air untuk kita semua.”
Sayur masak air aja yang termampu. Paling ekonomi. Ayah Zulkarnain telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu kerana asma. Ibunya pula didapati menghidap kanser sekitar dua tahun yang lepas.
Kini Zulkarnain membanting tulang mencari rezeki untuk keluarganya. Sebahagian besar wangnya pergi kepada rawatan ibunya. Hidupnya pula semakin hari semakin terhimpit. Tanah dan harta benda banyak yang telah dijual.
Namun dia tidak sampai hati hendak berkongsi masalah ini kepada Malik dan Omar. Dia tahu masanya telah sampai untuk dia mengotakan janjinya kepada Coach Saiful. Dia perasan Malik dan Omar kerap cuba menghubunginya kebelakangan ini.
Tetapi dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Hatta guru-guru dan kenalan di MATRI pun tidak mengetahui, walaupun dia duduk tidak jauh dari mereka. Tambahan, kenalan-kenalan seangkatan dengannya semua telah pulang ke negeri masing-masing, menyambung pengajian, berkeluarga dan bekerja.
Maka dia membuat keputusan untuk tidak mengangkat langsung panggilan Omar dan Malik, kerana tidak mahu menyusahkan mereka dengan masalahnya.
Biarlah dia menanggung ini semua sendirian.
Walaupun dia amat suka dengan Bola Tampar, dia terpaksa melupakan sukan kegemarannya itu. Kini, ibu dan keluarganya lebih utama. Dia perlu fokus mencari wang buat mereka.